Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Hukum Menerima Sumbangan Hasil Kutipan Dari Lions Club Bandar Seri Begawan

Soalan: Sejak penubuhan Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim (DANA) pada 4 Jamadilawal 1419 Hijrah bersamaan 25hb Ogos 1998 Masihi, DANA telah berhasil mengumpul sejumlah sumbangan kewangan para dermawan terdiri daripada agensi-agensi kerajaan dan swasta, badan-badan perniagaan dan perusahaan, persatuan dan pertubuhan, badan-badan amal, keluarga dan orang perseorangan.

Sehubungan dengan itu, pertubuhan Lions Club of Bandar Seri Begawan juga berhasrat untuk memberi sumbangan kewangan yang mana difahami adalah hasil kutipan daripada pelbagai aktiviti tahunan seperti walkathon anjuran pertubuhan tersebut.

Oleh yang demikian, dipohonkan pandangan Pehin Mufti apakah sumbangan kewangan itu dapat diterima sebagai sumbangan kepada DANA anak-anak yatim di Negara ini?

Jawapan: Lions Club merupakan salah sebuah pertubuhan yang mempunyai kaitan dengan pergerakan Freemason (Shahyuniyyah atau al-Mashuniyyah). Freemason pula pada asalnya ia ditubuhkan daripada daya usaha orang-orang Yahudi Zionis. Perkara ini banyak disebut berulang kali oleh Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz di dalam fatwa-fatwa beliau.

Dalam fatwa bilangan 57/84 berhubung hukum orang Islam masuk kelab seperti Kelab Lions, antara lain beliau menegaskan:

“Dalam Persidangan Lembaga Majlis Fiqh Islam Sedunia pada 15hb. Julai tahun 1978 telah mengambil keputusan bahawa Freemason dan kelab-kelab Rotary itu adalah perbuatan kufur dan orang-orang yang menganut fikiran Freemason dan kelab-kelab Rotary itu adalah kufur. Freemason suatu pertubuhan sulit tersembunyi hingga kepada anggota-anggotanya, kecuali orang-orang khas yang sangat khas yang sampai kemuncak dari kemuncak Freemason itu. Anggota-anggota Freemason itu terasas di atas asas yang zahir sahaja dan pura-pura sahaja bagi mengaburkan mata orang, iaitu mengajak persaudaraan kemanusiaan dengan tiada beza antara aqidah-aqidah dan mazhab-mazhab itu. Freemason itu menarik orang-orang siapa yang mereka fikir boleh, dengan jalan mengajak berpura-pura pada mengadakan persaudaraan Freemason di serata bumi ini, supaya dapat pertolongan daripada tiap-tiap orang yang menganut Freemason dalam hajat-hajat dan tujuan-tujuan masing-masing itu dan boleh menolongnya dalam apa jua perkara dan hajatnya. Freemason itu pada asalnya dan puncanya ditubuhkan oleh orang-orang Yahudi dan dari usaha daya orang-orang Yahudi Zionis. Tujuan sulitnya ialah menentang apa jua agama. Dan Freemason sangat memilih orang-orang yang menganut dengannya ialah orang-orang yang ternama di dalam lapangan kewangan atau lapangan siasah dan politik atau lapangan sosial dan ternama. Freemason itu mempunyai banyak cawangan dan cawangan-cawangannya itu memakai berbagai-bagai nama bagi mengelirukan fahaman dan pandangan orang pada perkara pertubuhan sulit Freemason itu. Dan cawangan Freemason yang nyata dan ketara di hadapan ramai ialah pertubuhan singa, pertubuhan Rotary dan Pertubuhan Lions dan lain-lain (seperti Syahud Yahuh).”

Katanya: Telah ternyata dan ketara bahawa perhubungan yang rapat sangat di antara Freemason dan cawangan-cawangannya Rotary, Singa, Lions itu dengan pertubuhan Shahyun atau Zionis Antarabangsa yang bertujuan mengawasi manusia dan negeri-negeri dan kerajaan-kerajaan dalam dunia ini di bawah pengaruh dan faedah mereka. Freemason telah berdaya mempengaruhi kebanyakan orang-orang yang bertanggungjawab dalam negeri-negeri Arab dan lain (seperti Amerika Syarikat, Britain, Perancis, German dan lain-lain). Dari sebab itu Freemason atau Mashuniyyah dalam bahasa Arab suatu pertubuhan yang sangat merbahaya bekerja merobohkan agama Islam dan orang-orang Islam dan umat Islam. Dan barang siapa menganut faham Freemason dan ia ketahui akan hakikat Freemason itu dan tujuan-tujuan sulitnya maka orang itu menjadi kafir dan keluar dari agama Islam dan meninggalkan umat Islam.

Katanya: Suatu perkara yang dahsyat bahawa kelab-kelab Rotary itu telah berkembang dalam kebanyakan di dalam negeri-negeri Islam dan dapat perhatian dan sokongan daripada pemimpin-peminpin negeri-negeri Islam itu dan daripada orang-orang dan pegawai-pegawai yang bertanggungjawab. Mereka memberi berkat dengan membuka rasmi akan majlis-majlis dan persidangan kelab-kelab dan pertubuhan-pertubuhan Rotary itu dengan terang-terang dengan tiada malu dan segan-segan.”

Manakala dalam fatwa bilangan 33/85 mengenai permohonan Lions Club Brunei untuk mengadakan Big Walk 1985 bersempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, antara lain beliau menyatakan:

“Oleh sebab terang bahaya kelab-kelab Lions, Rotary, Bant Banat, Al-Maharisyi, Moral Armament Movements, Brothers of Liberty, Syuhud Yahuh (Jehova’s Witnesses) dan lain-lain nama kelab yang ditubuhkan oleh Freemason di dalam berbagai-bagai negeri di Asia, Eropah, Afrika dan lain-lain, pada agama Islam dan pada umat Islam dan pada negeri Islam.

Maka ulama Islam dan ahli pandai Islam telah memberi keputusan setelah mengkaji sedalam-dalamnya dari segala segi:

1. Bahawa orang Islam yang menganut kelab-kelab yang tersebut dan menyokong kelab-kelab yang tersebut dan bergabung dengan kelab-kelab yang tersebut setelah diberitahu atau setelah ia tahu akan bahaya kelab-kelab itu pada agama Islam, maka orang Islam itu adalah murtad keluar dari agama Islam.

2. Keputusan ulama Islam itu telah disokong oleh kitab-kitab Islam dan ulama yang dahulu:

(i) Barang siapa menghulukan perkara merobohkan Islam dan umat Islam dan negeri Islam adalah orang Islam itu orang murtad keluar dari Islam.

(ii) Orang murtad itu sama ada ia laki-laki dan perempuan tercerai di antara suami isteri kiranya ia tiada balik ke dalam Islam mengucap dua kalimat syahadat dan meninggalkan perkara yang menjadikan dia murtad itu, di dalam ‘iddah isteri itu. Dan anak yang dapat dalam masa murtad itu anak zina.

Jika ia mati maka haram di atas orang Islam menyembahyangkan bangkainya dan bangkainya boleh dicampak di mana-mana dan kalau bangkainya itu menyusahkan orang boleh ditimbus. Hartanya menjadi harta umat Islam.”

3. Permintaan hendak mengadakan Big Walk itu wajib diketepikan. Barang siapa melayan akannya dan ia redha akan kelab Lions yang merbahaya itu, maka dia menjadi murtad dan keluar dari Islam, atau tiada redha akan perbuatan Lions itu, maka ia telah membuat dosa besar dan dia orang fâsiq tiada layak ia memegang jawatan tadbir perkara orang Islam dan umat Islam di dalam negeri Islam, kerana dia tiada amanah kepada Allah bagaimana ia amanah kepada manusia.

4. Sila lihat fatwa berturut-turut bilangan 52 dan 55 dan 56. Wallâhu A‘lam.

5. Pada menyambut sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam wajiblah ditinggalkan dari segala rupa maksiat dan tari menari, joget, campur gaul, nyanyian haram yang haram, yang dayus itu, supaya diberkati Allah Ta‘ala dan dapat selamat pada hari yang baik dan bulan yang baik dan saat yang baik itu, kerana apa jua majlis kesyukuran ada di dalamnya perkara-perkara yang ditegah dan diharamkan itu tiada akan dikabulkan doa dan tiada berkat dan tiada kebaikan kesudahannya. Wallâhu A‘lam.

6. Sesuatu derma yang diperolehi dari sumber dan pihak yang dimurkakan Allah itu adalah haram dan derma yang sebegitu rupa adalah tidak diterima Allah Ta‘ala membawa penderma-pendermanya pada neraka.

Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

Ertinya: Tiada masuk syurga daging dan darah yang tumbuh daripada pencarian dan usaha haram dan api neraka lebih utama padanya yakni usaha haram itu tempatnya di neraka.

Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

Ertinya: Tiada mencari dan tiada berusaha oleh seorang hamba Allah akan harta dari sumber haram kiranya ia bersedekah dengannya maka tiada Allah terima daripadanya, dan tiada hamba Allah membelanjakan dari sumber haram, maka tiadalah diberkatkan dia padanya, dan tiada hamba Allah meninggalkan harta dari sumber haram itu lepas mati melainkan harta haram itu menjadi bekalan ke dalam api neraka.

Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirannya: Hanya sanya Allah Ta‘ala menerima amal itu daripada orang-orang yang takutkan Allah. (Surah al-Mâ’idah: 27)

Ini kedudukan seperti kedudukan kelab-kelab Freemason yang diharamkan dan kufur oleh ulama Islam dan usahanya sia-sia sahaja di sisi Allah Ta‘ala. Wallâhu a‘lam.”

Dalam fatwa bilangan 6/85, beliau antara lain menegaskan kembali di bawah tajuk ‘Ringkasan: Rotary Dan Lions Itu Ialah Mashuniyyah Memakai Nama Baru”.

“Kita dapat faham dari keterangan-keterangan dan tulisan-tulisan dan kajian-kajian bahawa Mashuniyyah yang sulit dan merbahaya itu, apabila orang-orang telah ketahui akan tujuan-tujuannya yang jahat dan matlamatnya yang merbahaya, maka Mashuniyyah memakai nama samaran seperti kelab Lions, Rotary, Syuhud Yahuh dan sebagainya bagi mengkaburkan mata orang-orang ramai dan memalingkan pandangan serong orang ramai pada meneruskan kegiatan jahat itu dengan nama-nama kelab yang samar-samar pada tujuannya dan berpura-pura pada mengajak persaudaraan, sama rata dan bebas dan merdeka itu.

Walhasil Rotary dan Lions dan Syuhud Yahuh dan lain-lain kelab itu ialah sebenarnya hakikatnya pertubuhan Mashuniyyah berubah kulit dan memakai nama lain supaya tiada ketara kerja-kerja Mashuniyyah yang jahat pada umat manusia terutamanya kepada orang Arab dan umat Islam dan pada agama-agama seluruhnya dan agama Islam khususnya. Dan orang Islam telah terpedaya dengan meninggalkan persaudaraan cara Islam itu.”

Persoalan yang dikemukakan sekarang ialah pertubuhan Lions Club Bandar Seri Begawan berhasrat untuk memberi sumbangan kewangan yang difahami adalah merupakan hasil kutipan daripada pelbagai aktiviti tahunan seperti walkathon anjuran pertubuhan tersebut. Pada dasarnya persoalan tersebut tidak berbeza dengan persoalan fatwa bilangan 33/85 mengenai permohonan Lions Club Brunei untuk mengadakan Big Walk 1985 bersempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di- Pertuan Negara Brunei Darussalam, yang saya petik di atas.

Pandangan dan fatwa saya tetap bersetuju dengan fatwa tersebut yang menegaskan bahawa sesuatu derma yang diperolehi dari sumber dan pihak yang dimurkakan Allah itu adalah haram.

Oleh yang demikian, Pihak Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah bahkan mana-mana pihak kebajikan Islam di Negara Brunei Darussalam adalah haram menerima sumbangan mana-mana pertubuhan yang mempunyai kaitan dengan pertubuhan Freemason seperti kelab Rotary, Lions dan seumpamanya yang jelas diketahui mempunyai agenda tersembunyi untuk merobohkan agama Islam, orang-orang Islam dan umat Islam, kerana sumbangan mereka itu hanyalah sebagai satu helah untuk mendapat pengiktirafan terutama daripada kerajaan akan kewujudan pertubuhan mereka dan sekaligus mengukuhkan kedudukan mereka di Negara Brunei Darussalam.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11494