Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الجنائز

Hukum Mengadakan Kenduri Arwah Pada Hari-Hari Tertentu

Soalan: Diterima beberapa pertanyaan mengenai kenduri arwah dan tahlîlan bagi si mati, antaranya:

1. Apakah hukumnya mengadakan majlis makan tahlîl bagi si mati dari harinya meninggal dunia hingga ke tujuh hari dan 40 hari? Apa pula hukum mengadakan kenduri arwah atau makan haul, iaitu memperingati hari kematian si mati pada tiap-tiap tahun?

2. Apakah pandangan Pehin Mufti mengenai teks, risalah dan artikel berikut:

i. Majlis bertahlîl, do‘a selamat dan kenduri arwah atau berkumpul di rumah keluarga si mati dengan disediakan hidangan makanan untuk para tetamu adalah dilarang, mengikut para ulama yang bermazhab imam Syafie. Malah ada di antara mereka mengatakan bahawa ia adalah bid‘ah munkarah iaitu bid‘ah yang tidak diakui Islam. Ada juga yang mengatakan bahawa ia adalah bid‘ah ghair mustahabb iaitu bid‘ah yang tidak pernah disunatkan.

ii. Amalan ritual tahlîlan yang dianggap ibadat itu adalah satu dusta atas nama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, kerana beliau tidak pernah memerintahkannya, tidak pernah mengamalkannya dan tidak ada satu sahabat pun yang melakukannya, namun kyai-kyai itu menyangka bahawa ritual tahlîlan adalah tuntutan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam padahal beliau sendiri tidak pernah mengadakan ritual tahlîlan jika ada sahabatnya yang meninggal, bahkan beliau sendiri pun wafat tidak ada acara ritual tahlîlan di rumahnya.

iii. Fatwa Imam Syafi‘e dan para ulama mu‘tabar yang bermazhab Syafie telah mengharamkan berkumpul beramai-ramai dan menyediakan hidangan makanan di rumah si mati untuk tujuan kenduri arwah, tahlîlan, yâsînan dan menghadiahkan (mengirim) pahala bacaan al-Qur’an kepada arwah si mati. Mereka berdalilkan al- Qur’an, hadits dan atsar-atsar para sahabat yang shahîh sebagaimana yang dikemukakan oleh mereka melalui tulisan-tulisan di kitab-kitab mereka.

Jawapan: Menurut kebiasaan masyarakat Islam di Negara Brunei Darussalam mengadakan kenduri arwah ialah untuk tujuan berkumpul beramai-ramai dengan diisi amalan membaca ayat-ayat al-Qur’an, bertahlîl, berselawat, berzikir, berdo‘a, di samping bersedekah dan jamuan makan supaya pahala amalan-amalan tersebut dihadiahkan kepada ahli keluarga yang telah meninggal dunia.

Do‘a, Sedekah dan Pahala Bacaan Al-Qur’an Bermanfaat Bagi Si Mati

Mengenai do‘a dan sedekah, adalah bermanfaat bagi si mati berdasarkan dalil-dalil, antaranya seperti berikut: (Mughni al-Muhtâj: 4/110)

1. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdo‘a dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman.” asyr: 10)H-(Surah al

2. Daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Apabila mati seorang insan, terputuslah amalannya kecuali tiga iaitu ilmu yang dimanfaatkan atau sedekah jariah (yang berterusan) atau anak salih yang mendo‘akannya. (Hadits riwayat ad-Darimi)

3. Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, bahawa seorang lelaki yang telah kematian ibunya bertanya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Adakah bermanfaat jika aku bersedekah bagi pihaknya? Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Ya.” Maka lelaki itu berkata: “Sesungguhnya aku mempunyai sebuah kebun berbuah, dan aku bersaksi dengan Tuan, sesungguhnya aku telah menyedekahkannya bagi pihak ibuku.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Dalil-dalil di atas menunjukkan bahawa memohon rahmat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ untuk orang yang telah meninggal dunia melalui sedekah dan do‘a orang yang masih hidup adalah memberi manfaat kepada orang yang meninggal dunia.

Manakala mengenai pahala bacaan al-Qur’an dan zikir-zikir yang dihadiahkan kepada si mati, terdapat dua pendapat dalam Mazhab asy-Syafi‘e, iaitu:

1. Sampai kepada si mati pahala bacaan al-Qur’an.

2. Tidak sampai kepada si mati pahala bacaan al-Qur’an.

Menurut asy-Syeikh al-Bujairimi asy-Syafi‘e Rahimahullâh, pendapat yang mengatakan tidak sampai pahala bacaan, walaupun masyhûr tetapi ia adalah dha‘îf. Pendapat yang mu‘tamad adalah sampai pahala bacaan kepada si mati. (Hâsyiah al-Bujairimi ‘ala al-Minhâj: 3/286)

Menurut asy-Syeikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh:

Ertinya: Dan atas pendapat itulah orang ramai mengamalkannya (menghadiahkan pahala bacaan al-Qur’an kepada orang-orang yang telah meninggal dunia). (Kemudian beliau menyebutkan hadits riwayat Ahmad daripada Ibnu Mas‘ûd Radhiallâhu ‘anhu yang maksudnya): “Perkara yang dilihat baik oleh orang-orang Islam maka adalah ia baik di sisi Allah.”

Beliau juga menyebutkan pendapat Imam as-Subki Rahimahullâh, adalah sebahagian al- Qur’an yang dibaca apabila diniatkan untuk memberi manfaat kepada si mati dan meringankan seksanya, maka ia boleh memberi manfaat kepada si mati. Ini berdasarkan hukum yang diistinbâth daripada hadits yang telah sabit bahawa surah al-Fâtihah memberi manfaat (kesembuhan daripada penyakit) ke atas orang hidup, maka tentulah manfaat ke atas orang mati adalah lebih utama. (Mughnî al-Muhtâj: 4/111)

Adapun pendapat yang mengatakan tidak sampai kepada si mati pahala bacaan al-Qur’an yang dihadiahkan oleh orang yang masih hidup dengan dalil:

Tafsirnya: Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya. (Surah an-Najm: 39)

Zahir ayat di atas memberi maksud si mati tidak mendapat apa-apa manfaat setelah dia meninggal dunia, kerana dia hanya memperolehi apa yang telah diusahakannya ketika hidupnya di dunia. Bagaimanapun, terdapat beberapa ayat lain yang menetapkan si mati dapat memperolehi manfaat walau bukan daripada usahanya. (Tahqîq al-Âmâl fî mâ Yanfa‘ al- Mayyit min al-A‘mâl: 5)

Menurut asy-Syeikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh, ayat 39, surah an-Najm tersebut adalah ayat ‘âm (umum) yang dikhususkan oleh ayat berikut: (Mughni al-Muhtâj: 4/110)

Tafsirnya: Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdo‘a dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman.” asyr: 10)H-(Surah al

Demikian juga menurut Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa setelah ayat 39, surah an- Najm diturunkan, maka diturunkan pula ayat berikut:

Tafsirnya: Dan orang-orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan (himpunkan di dalam syurga) anak cucu mereka dengan mereka. (Surah ath-Thûr: 21)

Oleh itu, anak-anak dimasukkan ke syurga dengan kebaikan (amal) bapa-bapa mereka. (Jâmi‘ al-Bayân ‘an Ta’wîl Ây al-Qur’ân: 27/98)

Berdasarkan huraian di atas, adalah sampai pahala bacaan al-Qur’an kepada si mati sebagaimana menurut pendapat mu‘tamad dalam mazhab asy-Syafi‘e. Oleh yang demikian, dakwaan yang mengatakan asy-Syafi‘e menghukumkan haram dan bid‘ah perbuatan menghadiahkan pahala bacaan al-Qur’an kepada si mati adalah bertentangan dengan pendapat mu‘tamad dalam mazhab asy-Syafi‘e.

Hukum Mengadakan Kenduri Arwah

Mengenai perkara ahli keluarga si mati mengadakan majlis agar orang berkumpul dan mengadakan jamuan makan kepada tetamu, terdapat beberapa pendapat ulama mengenainya sebagaimana yang dinukil oleh Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz, bekas Mufti Kerajaan, di dalam fatwa beliau seperti berikut:

1. “Kata al-Imam asy-Syeikh Ibnu Hajar dalam at-Tuhfah:

Adapun perkara yang biasa dibuat iaitu pihak ahli si mati mengadakan makanan kerana menjamu orang-orang yang dijemput pada jamuan itu adalah ia bid‘ah makrûhah sebagaimana bid‘ah makrûhah kepada orang-orang menyahut seruan pada jamuan itu kerana telah sah suatu hadits daripada sahabat, Jarir berbunyi:

Ertinya: Kami sahabat mengi‘tibârkan berhimpun di tempat ahli si mati dan ahli si mati membuat jamuan makan lepas ditanam si mati itu, adalah ia sebagai satu niyâhah.

Dan sebab dii‘tibârkan jamuan makan kerana si mati itu suatu perkara niyâhah kerana di dalamnya sangat-sangat mengambil berat dan perhatian dengan perkara sedih dan pilu dan dengan sebab yang tersebut makruh bagi ahli si mati berhimpun supaya orang-orang datang memberi ta‘ziah. Dan ulama-ulama yang besar-besar telah berkata: Bahkan sayugia bagi mereka itu pergi membuat kerja masing-masing, dan barang siapa berjumpa dengan mereka itu maka ia memberi ta‘ziah kepadanya. Tamat katanya.” (Fatwa Mufti Kerajaan: 55/70 [A])

2. “Begitu juga tersebut dalam an-Nihâyah bagi al-Imam Muhammad Jamal ar-Ramli, dan tersebut begitu juga dalam Hâsyiah al-Jamal dan Hâsyiah Fath al-Mu‘în bagi al- ‘Allâmah as-Saqqaf al-Makki.” (Fatwa Mufti Kerajaan: 55/70 [A])

3. “Tetapi setengah ulama telah memberi fatwa iaitu al-Imam al-‘Ârif Billâh asy-Syeikh Husain bin Ibrahim al-Maghribi Mufti Malikiyyah di Makkah al-Mukarramah yang mati pada tahun 1292H, ayahanda kepada al-‘Allâmah asy-Syeikh Muhammad ‘Ali al-Maliki yang terkenal di Makkah al-Mukarramah, dan asy-Syeikh Husain itu seorang guru kepada tuan guru kami al-‘Allâmah asy-Syeikh Muhammad Habibullah asy-Syanqathi yang terkenal yang mengajar dalam bahagian-bahagian tinggi di Universiti al-Azhar asy- Syarif Rahimahumullâhu Ta‘âlâ dalam satu soal kepadanya:

“Apa pendapat tuan dalam perkara makanan yang dibuat pada hari tujuh bagi si mati, dijamukan kepada pengaji-pengaji Qur’an dan lain-lain orang dan orang yang mengadakan jamuan makan itu tiadalah lain tujuannya ialah memberi rahmat kepada si mati dan menghubungkan silaturahim, dan setengah orang berkata perbuatan itu ditegah, dan tiada harus dimakan jamuan itu. Mohon jawabnya.”

Jawab al-‘Allâmah itu begini: “Bila dibuat jamuan makanan itu kerana minta rahmat bagi si mati dan silaturahim supaya jiwa tertarik dan supaya hati bangkit bangun pada berdo‘akan si mati, dan mohon rahmat ke atasnya, maka tujuan sedemikian itu ialah tujuan yang baik. Dan sanya tiap-tiap amal itu dengan ada niat dan ini satu kaedah dari kaedah-kaedah yang mu‘tamad dalam mana-mana percakapan dan perbuatan. Dan tiadalah ia jadi bid‘ah, dikecualikan apabila ia buat makanan itu dengan dikatakan ia suatu perkara agama dan suatu syariat Islam, dan dikatakan suatu kewajipan wali-wali si mati kepada si mati sebagaimana yang dibuat oleh kebanyakan orang-orang jahil dengan tujuan yang sedemikian itu dan pada ketika itu wajib ditegah.” (Fatwa Mufti Kerajaan: 55/70 [A])

Setelah membentangkan beberapa pendapat tersebut, beliau pun menyimpulkan dengan berkata:

“ Inilah perkataan ulama berkenaan dengan kenduri do‘a arwah, menurut mazhab Syafi‘e adalah kenduri do‘a arwah itu bid‘ah makrûhah. Dan menurut suatu kaedah dalam mazhab Maliki boleh dibuat kenduri itu dan ia suatu perbuatan yang baik dengan tujuan kerana memberi rahmat kepada si mati dan membuat silaturrahim kepadanya, dan supaya orang-orang mendo‘akannya, dan bukan kenduri itu dibuat sebagai suatu perkara yang ada di dalam agama dan syara‘ Islam.

Bagaimanapun menurut fatwa al-‘Ârif Billâh asy-Syeikh Husain al-Maghribi yang di atas ini, menjadi suatu kemudahan dan kebenaran bagi orang-orang Islam yang suka mengadakan kenduri do‘a arwah sebagai silaturrahim dan mohon rahmat dan berdo‘a kepada si mati, bukan kenduri itu sebagai suatu pekerjaan yang telah disyara‘kan dalam agama Islam.” (Fatwa Mufti Kerajaan: 55/70 [A])

Oleh itu, kenduri arwah yang diadakan oleh masyarakat kita untuk mendo‘akan keampunan dan kerahmatan bagi si mati adalah suatu perkara yang berkebajikan dan tidak dilarang dalam Islam. Walau bagaimanapun, mengadakan majlis tersebut hendaklah tidak dianggap sebagai suatu perkara yang menjadi tuntutan syara‘, dan jangan sampai ia dibuat sehingga membebankan diri ahli keluarga si mati, apatah lagi tujuan mengadakannya adalah untuk menunjuk-nunjuk atau riya’.

Demikian juga, jangan sampai ia diadakan dengan menggunakan harta peninggalan si mati yang mempunyai hutang walaupun sedikit, atau daripada harta waris yang mahjûr (tertahan) atau ghaib, maka haram hukumnya. Tetapi tidak pula haram jika menggunakan harta orang yang mengadakan majlis tersebut. (Bujairimi ‘ala al-Khathib: 2/388-9)

Kenduri Arwah Pada Hari-Hari Tertentu

Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz menyebutkan dalam fatwa beliau:

1. “Berkata al-Imam al-‘Ârif Billâh asy-Syeikh Ahmad al-Hilwani asy-Syafi‘e yang mati pada tahun 1308H dalam kitab Wasâ’il ar-Rahmât fî mâ Yuthlab li man Mât:

Orang biasa membuat kerana si mati empat puluh hari iaitu mereka mengadakan bacaan Qur’an dan mengeluarkan sedekah kerana si mati dan menerima ta‘ziah dalam masa empat puluh hari dari hari mati si mati (seperti orang Mesir) adakah perbuatan itu mempunyai dalil?

Katanya: Menurut riwayat daripada Mujahid yang telah berkata:

Ertinya: Tiada seorang mu’min mati melainkan langit dan bumi menangis kerananya empat puluh pagi. Lalu ditanya akannya: “Mengapa langit bumi menangis?” Jawabnya: “Mengapa bumi tiada menangis kerana seorang hamba Allah yang telah mengimârahkan bumi dengan ruku‘ dan sujud? Dan mengapa langit tiada menangis kerana seorang hamba Allah yang tasbîhnya dan takbîrnya di langit berbunyi sebagai bunyi burung lebah.”

Kata qîl: Menangis langit itu ialah dengan merah-merah di tepi-tepi langit. Adapun yang lain daripada orang mu’min tiadalah sesuatu menangis kerananya. Seperti firman Allah dalam perkara kaum Fir‘aun yang dikaramkan itu:

Daripada sahabat Anas bin Malik meriwayatkan hadits marfû‘:

Ertinya: Tiada seorang mu’min, melainkan baginya dua pintu; satu pintu naik ke langit amalannya darinya, dan satu pintu turun rezekinya darinya. Dan apabila dia mati, maka kedua-dua pintu itu menangis. Dan itulah tujuan firman Allah:

Dan kata qîl: Penduduk langit dan bumi menangis kerananya.

Menurut riwayat ‘Ubaid bin ‘Umair yang telah diisnâdkan oleh Ibnu Juraij: “Bahawa orang mu’min disoal dicuba selama tujuh hari dan munâfiq selama empat puluh hari.” Katanya lagi: “Sahabat-sahabat suka dibuat makanan sepanjang tujuh hari itu kerana menolong kesusahan yang berlaku selama tujuh hari bagi si mati itu.” Dipetik dengan ringkas.” (Fatwa Mufti Kerajaan: 55/70 [A])

2. “Kenduri tiga hari atau tujuh hari atau lain seumpamanya itu tiada disuruh dalam Islam, tetapi bersedekah kerana si mati adalah diberi pahala seperti kenduri itu, dan bersedekah itu sunat bila-bila masa dengan tiada ditentukan masanya 3 atau 7 atau 40 hari.” (Fatwa Mufti Kerajaan: 72/88)

3. “Suatu hadits diriwayatkan oleh al-Imam Abu Daud dengan sanad hasan:

Ertinya: Jikalau mayat itu orang Islam, maka kamu merdekakan hamba kerananya, atau kamu bersedekah kerananya, atau kamu buatkan haji sunat akannya, nescaya sampai pahala amal-amal itu kepadanya.

Hadits ini sebagai dalil bagi orang-orang yang berkenduri arwah kaum kerabatnya atau ibu bapanya atau saudara maranya, sebagai silaturrahim dan tanda sayang kepada mereka.

Hadiah kepada mereka sama ada dengan berdo‘a, bersedekah, beri makan orang, menolong orang dengan tenaga atau dengan wang atau dengan harta seperti makanan, pakaian, perabot, tempat kediaman dan lain yang disuruh Allah dengan niat hadiah seperti pahala benda-benda yang diderma itu kepada si mati, pada tiap-tiap masa dan ketika dan tiada mesti setahun sekali, tetapi orang-orang yang ingat kepada si mati itu sama ada setahun atau tiap-tiap masa lebih baik daripada orang-orang yang tiada ingat langsung kepada si mati itu.” (Fatwa Mufti Kerajaan: 11/92)

Berdasarkan huraian di atas, kebiasaan para sahabat mengadakan bacaan al-Qur’an dan mengeluarkan sedekah untuk si mati selama tujuh hari, adalah merupakan i‘tibâr daripada riwayat yang menyebutkan bahawa orang mu’min itu disoal dan diuji di dalam kubur selama tujuh hari sementara orang munâfiq pula selama empat puluh hari. Maka perkara tersebut dilakukan untuk menolong kesusahan yang berlaku terhadap si mati sepanjang masa itu.

Ini juga sebagaimana menurut Imam as-Suyuthi Rahimahullâh yang telah wafat pada tahun 911 Hijriyyah:

Ertinya: Sesungguhnya kebiasaan menjamu makan selama tujuh hari telah sampai kepada saya bahawa ia masih berterusan sehingga sekarang (zaman as-Suyuthi Rahimahullâh) di Makkah dan Madinah. Nyatanya amalan ini belum pernah ditinggalkan sejak zaman para sahabat hingga sekarang. (Al-Hâwî li al-Fatâwâ: 2/341)

Beliau juga ada menyebutkan atsar mengenai kebiasaan para sahabat mengadakan kenduri menjamu makan untuk meringankan beban si mati: (Al-Hâwî li al-Fatâwâ: 2/317) Daripada Sufyan katanya, Thawus Radhiallâhu ‘anhu (daripada kalangan tâbi‘în) telah berkata:

Ertinya: Sesungguhnya si mati sedang diuji di dalam kubur mereka selama tujuh hari. Maka mereka menyukai agar diadakan jamuan makan bagi pihak mereka pada hari-hari tersebut. (Riwayat al-Hafizh Abu Nu‘aim)

Menurut Imam Ahmad bin Yahya al-Wansyarisi Rahimahullâh yang wafat pada tahun 914 Hijriyyah, atsar daripada Thawus Radhiallâhu ‘anhu yang telah disebutkan di atas merupakan sumber yang berpengaruh besar bagi jamuan makan yang diadakan selama tujuh hari yang dilakukan oleh orang ramai pada zamannya bagi si mati. (Al-Mi‘yâr al-Mu‘rab: 1/313)

Bagaimanapun memohon rahmat Allah dan keampunanNya untuk si mati itu adalah dituntut dalam Islam sepanjang masa, dan bukan hanya pada hari-hari tertentu seperti 3 atau 7 atau 40 atau 100 hari atau setahun sekali. Ini sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud yang telah disebutkan di atas, bahawa jika mayat seorang Islam, maka merdekakanlah hamba kerananya, atau bersedekah kerananya, atau buatkan haji sunat akannya, nescaya sampai pahala amal-amal itu kepadanya. Hadits tersebut tidak mengaitkan amal-amal tersebut dengan hari-hari tertentu, oleh itu ia boleh dibuat pada bila-bila masa.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11498