Hukum Pemindahan Atau Pendermaan Organ Manusia
Soalan: Dipohonkan pandangan atau fatwa Pehin Mufti mengenai isu-isu perniagaan organ manusia (human organ trade) dari sudut perspektif syar‘iyyah khususya megenai:
1. Pendermaan organ sama ada oleh orang yang masih hidup atau sudah meninggal dunia.
2. Pengambilan sebarang organ tubuh badan dari jenazah atas sebab kemahuan empunya badan sendiri atau melalui autopsi (pembedahan dan pemeriksaan mayat untuk menentukan atau mengetahui sebab-sebab kematian).
Jawapan: Zaman sedang melalui berbagai-bagai penemuan terkini dalam teknologi sains yang tidak pernah disaksikan atau dilakukan oleh generasi terdahulu. Para saintis sekarang telah berjaya mencipta bermacam-macam jenis ubat dan kaedah pembedahan khususnya untuk merawat pesakit yang mempunyai kerosakan organ.
Perkara pemotongan anggota atau organ manusia ini walaupun pernah disentuh oleh para fuqahâ’ terdahulu secara umumnya, namun permasalahan atau perbahasan yang timbul pada ketika itu tidak boleh dijadikan perbandingan untuk permasalahan masa kini. Ini kerana perubahan zaman dan teknologi telah banyak membuka ruang kejayaan bagi para doktor sekarang dalam memenuhi kehendak manusia untuk memelihara kemashlahatan mereka sesuai dengan perkembangan ilmu dan kejayaan penemuan yang diterokai oleh para saintis dan doktor.
Hukum Memotong Organ Menurut Ulama Terdahulu
Dalam hal memotong atau memanfaatkan organ badan manusia, perkara ini ada disebutkan dalam kitab-kitab fiqh yang mu‘tabar, umpamanya kitab al-Majmû‘.
Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullâh:
Ertinya: Haram memanfaatkan rambut anak Adam dan seluruh bahagian-bahagian anggotanya yang lain kerana kehormatannya. (Al-Majmû‘: 3/145)
Dan beliau berkata lagi:
Ertinya: Tidak harus memotong (anggota badan) daripada orang lain yang ma‘shûm (orang yang tidak boleh dibunuh) untuk dirinya sendiri tanpa percanggahan (pendapat di kalangan ulama), dan juga tidak harus bagi orang lain memotong sesuatu daripada anggota-anggota badannya untuk diberikan kepada orang yang sangat memerlukan tanpa percanggahan (pendapat di kalangan ulama). (Al-Majmû‘: 9/40)
Dengan itu dapat difahami, secara umumnya adalah haram memanfaatkan semua bahagian anggota manusia kerana kemuliaan manusia itu sendiri dan haram juga hukumnya memotong anggota badan sendiri untuk diberikan kepada orang yang memerlukan seperti orang lapar kerana perbuatan sedemikian memudharatkan dirinya sendiri.
Mashlahat Dalam Pemindahan Organ
Persoalan sekarang, bagaimanakah kedudukannya jika pemanfaatan bahagian anggota atau organ manusia itu atas dasar mashlahat dharûriyyah atau hajiyyah dan diyakini pemotongan atau pemindahan anggota berkenaan tidak akan mendatangkan kemudharatan terhadap orang yang dipotong anggotanya atau hanya mendatangkan kemudharatan yang minima berbanding dengan kemudharatan besar yang dapat dikaitkan dengan pemindahan anggota atau organ?
Mashlahat atau mashlahah bererti mengambil manfaat atau faedah dan menolak mudharat dengan berlandaskan kepada matlamat syara‘. Adapun matlamat syara‘ bagi manusia itu ada lima perkara, iaitu:
1. Memelihara agama. 2. Memelihara nyawa. 3. Memelihara akal. 4. Memelihara keturunan. 5. Memelihara harta.
Setiap perkara atau tindakan yang mengandungi maksud memelihara lima perkara tersebut adalah mashlahah dan setiap perkara yang mengancam perkara-perkara ini adalah kerosakan dan menjauhkannya atau mencegahnya adalah satu mashlahah. (Al-Mustashfâ: 1/217)
Menurut asy-Syathibi Rahimahullâh, hukum syara‘ itu disyariatkan adalah bertujuan untuk memelihara kemashlahatan manusia. Kemashlahatan manusia dari segi keutamaan terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu mashlahah dharûriyyah, mashlahah hajiyyah dan mashlahah tahsîniyyah. (Al-Muwâfaqât: 2/275-276)
Mashlahah dharûriyyah ialah mashlahat yang memelihara keperluan asasi manusia yang menjadi matlamat syara‘. Jika ia (perkara tersebut) tidak ada, maka tidak akan berjalan kemashlahatan hidup di dunia secara berterusan, bahkan akan menimbulkan kerosakan atau kebinasaan dan boleh melenyapkan kehidupan. Dari sudut yang lain pula, boleh menghilangkan keselamatan dan keni‘matan sehingga membawa kepada kerugian. Ini terkandung dalam lima perkara tersebut, iaitu: Agama, nyawa, keturunan, harta dan akal. Memelihara setiap satu perkara ini adalah keperluan asasi manusia.
Mashlahah hajiyyah ialah mashlahat yang memelihara keperluan sampingan manusia untuk memudahkannya menjalani kehidupan dan menghilangkan kesukaran. Jika ia (perkara tersebut) tidak ada, maka hidup manusia akan berada dalam kesukaran tetapi tidak menimbulkan kerosakan atau kebinasaan dalam kehidupan.
Mashlahah tahsîniyyah ialah mashlahat yang memelihara keselesaan dan keharmonian hidup yang selayaknya dan bersesuaian dengan akhlak yang mulia serta adat yang baik. Jika ia (perkara tersebut) tidak ada, maka kehidupan manusia akan dipandang menyalahi nilai-nilai akhlak yang mulia dan tidak mencapai taraf hidup yang bermartabat, tetapi tidak akan menimbulkan kerosakan atau kebinasaan dalam kehidupan mahupun menjadikan kehidupan berada dalam kesukaran.
Pemindahan organ termasuk dalam memelihara salah satu matlamat syara‘ iaitu menjaga nyawa. Apabila pemindahan organ yang dilakukan oleh para doktor masa kini mempunyai kejayaan peratusan yang tinggi dan telah memberi harapan dan manfaat besar kepada pesakit organ untuk kembali semula sihat dan menjadi manusia normal, maka tidak diragui lagi, rawatan pemindahan organ merupakan satu mashlahat bagi pesakit organ kerana dengan cara pemindahan organ ini sajalah dapat merawat penyakit mereka secara total supaya dapat kembali sihat sepenuhnya. Oleh itu, majoriti ulama sekarang tidak menghalang rawatan ini dengan memberikan syarat-syaratnya yang ketat sebagai cara terakhir untuk menjaga mashlahat pesakit berkenaan.
Dalam perhimpunan Majlis Ulama Tertinggi Arab Saudi atau Hai’ah Kubbâr al-‘Ulamâ’ as- Sa‘ûdiyyah (هيئة كبار العلماء السعودية) pada tahun 1402H/1982M berkenaan dengan resolusi tentang pengharusan pemindahan organ manusia, ahli majlis berkenaan tidak mensyaratkan pemindahan organ manusia itu dalam keadaan dharurat (keperluan yang mendesak) sahaja, tetapi memadai dengan adanya hajat (keperluan) dan pemindahan tersebut mengikut kadar yang diperlukan. Jika pemindahan organ tersebut hanya dilakukan sekadar untuk berhias-hias atau mencantikkan tanpa ada hajat kepadanya, maka perkara ini tidak disebutkan di dalam majlis berkenaan dan ia tidak termasuk dalam pengharusan ini. Bahkan, sebahagian ulama telah menetapkan bahawa pemindahan organ yang bertujuan untuk kecantikan adalah tidak diharuskan kerana perkara ini termasuk dalam menukar ciptaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. (Al-Mauqif al-Fiqh wa al-Akhlâq min Qadhiyyah Zar‘ al-A‘dhâ’: 117)
Bahkan perbuatan menukar atau mengubah ciptaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang semata-mata bagi tujuan berhias atau kecantikan ini selain membawa makna tidak bersyukur terhadap ciptaanNya, ia juga dianggap sebagai perbuatan mengikut petunjuk syaitan yang sentiasa ingin menyesatkan manusia, sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan demi sesungguhnya aku (syaitan) akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak) lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. (Surah an-Nisâ’: 119)
Berdasarkan majoriti pendapat ulama mutakhir, hukum pemindahan organ tidaklah mengapa jika dalam keadaan dharurat untuk menyelamatkan nyawa seperti pemindahan jantung, atau dalam keadaan berhajat kepadanya untuk menghilangkan kesukaran dalam kehidupan seperti pemindahan kornea mata. Tetapi jika pemindahan organ tersebut hanya bertujuan untuk berhias atau mencantikkan diri sahaja, maka dalam konteks ini, pemindahan tersebut adalah ditegah sama sekali dalam syara‘.
Menghilangkan Kemudharatan Dengan Pemindahan Organ
Sebagai agama yang sangat bersungguh-sungguh menjaga mashlahah hidup manusia, maka Islam amat menitik-beratkan kemashlahatan umatnya dengan menghilangkan segala kesukaran yang dialami dalam kehidupan dan menolak segala perkara yang membawa kemudharatan sehingga ada kalanya perkara-perkara yang haram itu menjadi harus dilakukan mengikut sukat-sukat yang ditetapkan oleh syara‘. Umpamanya, dalam pemindahan organ manusia kepada pesakit organ.
Antara kaedah fiqhiyyah yang berkaitan dengan mashlahat hidup manusia sepertimana yang disepakati oleh para fuqahâ’ ialah:
Ertinya: Kemudaratan itu dihilangkan.
Kaedah ini adalah berdasarkan kepada sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tidak boleh memudharatkan dan tidak boleh saling memudharatkan. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Menurut Imam as-Suyuthi Rahimahullâh dalam kitab al-Asybâh wa an-Nazhâ’ir, daripada kaedah fiqhiyyah itu tadi, terhasil lagi beberapa cabang kaedah mengenainya, iaitu:
Ertinya: Keadaan-keadaan dharurat itu mengharuskan perkara-perkara yang dilarang. (Al-Asybâh wa an-Nazhâ’ir: 1/210)
Ertinya: Apa yang dibolehkan kerana dharurat adalah dihadkan mengikut kadarnya.
iii.
Ertinya: Kemudharatan tidak boleh dihilangkan dengan kemudharatan.
Ertinya: Apabila bertemu dua kerosakan hendaklah dihindari mudharat yang lebih besar di antara keduanya dengan melakukan mudharat yang lebih ringan di antara keduanya.
v.
Ertinya: Menolak (menghindari) kerosakan-kerosakan itu lebih utama daripada membawa (apa jua) kemashlahatan.
Ertinya: Hajat menempati tempat dharurat, sama ada secara umum atau khusus.
Syarat Keharusan Pemindahan Organ Daripada Penderma Yang Masih Hidup
Syarat-syarat berikut adalah berdasarkan kepada kaedah fiqhiyyah yang disebutkan di atas, iaitu:
i. Pemindahan organ tidak memberi mudharat yang sama atau lebih besar kepada penderma organ. Ertinya, dalam menghilangkan kesakitan atau kemudharatan pesakit, penderma tidak boleh menanggung kemudharatan yang sama atau lebih besar kesan daripada pendermaan tersebut. Maka difahami, tidak boleh menderma organ untuk menghilangkan mudharat orang lain dengan menimbulkan kemudharatan yang sama atau lebih besar terhadap diri sendiri.
ii. Organ yang dipindahkan sangat diperlukan oleh penerimanya dan ia merupakan cara rawatan yang terakhir untuk menyembuhkannya.
iii. Pemindahan organ dijangkakan berjaya dan peratusan kejayaan bagi pemindahan organ yang pernah dilakukan dahulu adalah tinggi.
iv. Pemindahan organ yang diharuskan itu hanyalah kerana dalam keadaan dharurat untuk menyelamatkan nyawa atau adanya hajat untuk menghilangkan kesukaran sahaja bukannya untuk keperluan berhias atau kecantikan.
v. Keharusan melakukan perkara yang diharamkan itu tidaklah terbuka seluas-luasnya. Ia dibolehkan hanya pada kadar yang terhad sahaja. Ertinya, apa yang diharuskan itu hanya sekadar daripada keperluan sahaja dan tidak boleh melebihi had keperluan.
Di samping itu, perkara ini turut dibahaskan oleh ulama fiqh kontemporari iaitu Dr. Muhammad Nu‘aim Yasin dalam kitabnya Abhâts Fiqhiyyah fî Qadhâyâ Thibbiyyah Mu‘âshirah, beliau juga menggariskan beberapa syarat hasil daripada kaedah-kaedah fiqhiyyah tersebut, iaitu:
i. Para doktor pakar hendaklah mendapat petunjuk ukuran ilmiah yang betul lagi tepat terhadap kesan buruk serta-merta dan akan datang yang boleh menimpa ke atas penderma organ akibat daripada pemotongan anggota badannya itu.
ii. Para doktor pakar hendaklah mendapat petunjuk ukuran ilmiah yang betul lagi tepat terhadap kesan buruk yang akan menimpa ke atas penerima organ dengan melihat kepada keadaan sakitnya.
iii. Para doktor pakar hendaklah mendapat petunjuk ukuran ilmiah yang betul lagi tepat kebaikan yang akan didapati oleh penerima daripada pemindahan organ itu.
iv. Para doktor pakar hendaklah mengetahui dengan jelas hasil pertimbangan di antara kebaikan dan keburukan yang diakibatkan oleh pemindahan organ dan kebaikan serta keburukan tanpa melakukan pemindahan. Ertinya, kebaikan pemindahan organ hendaklah lebih besar daripada keburukan pemindahan serta kebaikan membiarkannya tanpa melakukan pemindahan. Perkara ini haruslah jelas dan jangan sampai kebaikan dan keburukannya sama atau hampir sama besarnya. Jika tidak, maka mengorbankan kemashlahatan penderma adalah dilarang jika hanya untuk mencari kemashlahatan yang sama atau lebih besar sedikit daripadanya atau kemashlahatan yang masih diragukan.
v. Hendaklah pemindahan organ ini merupakan satu-satunya cara terakhir untuk menyelamatkan nyawa penerima organ.
vi. Hendaklah pemindahan organ tidak menjadi sebab kepada kehilangan hak orang lain kepada Allah selain haknya ke atas anggota yang didermakan. Contohnya, pendermaan organ yang boleh membawa kepada rosaknya masyarakat dan akhlak yang bertentangan dengan matlamat syara‘ seperti menderma air mani, biji zakar dan ovari (indung telur) kerana hal ini membawa kepada percampuran nasab dan ini merosakkan masyarakat yang ditentang oleh syara‘.
vii. Penerima derma hendaklah terdiri daripada kalangan orang-orang yang dipelihara nyawanya oleh syara‘ iaitu orang-orang Islam, ahli dzimmah (orang kafir yang tinggal di bawah perlindungan pemerintah Islam) dan orang-orang kafir yang ada perjanjian keselamatan dengan orang Islam. Tidak boleh menderma organ kepada kafir harbi (orang kafir yang memerangi orang Islam), orang murtad, penzina yang dihukum rejam, perompak yang membunuh, pembunuh yang membunuh dengan sengaja yang berhak mendapat hukuman qishâsh (hukuman bunuh) dan tidak ada sebab yang boleh menggugurkan hukumannya.
viii. Pendermaan organ tidak boleh menjadi sebab yang jelas kepada penghinaan kehormatan manusia. Ini terjadi jika penderma beranggapan kuat bahawa organ atau anggota badannya akan dijual untuk mendapatkan keuntungan.
ix. Penderma hendaklah sempurna keahlian untuk melakukan pendermaan ketika menderma, ketika memulakan pelaksanaan pendermaan dan menjalankan proses pengambilan organ. Tidak diterima pendermaan organ yang dibuat oleh anak kecil, orang gila dan orang bodoh sekalipun ia dibenarkan oleh wali atau penjaganya.
x. Hendaklah pelaksanaan pemindahan organ ini dilakukan di bawah pengawasan sebuah organisasi rasmi yang mempunyai kelayakan dari segi ilmiah dan moral supaya segala apa yang disyaratkan dipenuhi dengan baik. (Abhâts Fiqhiyyah fî Qadhâyâ Thibbiyyah Mu‘âshirah: 160-165)
Syarat Keharusan Pemindahan Organ Daripada Orang Yang Telah Meninggal Dunia
Adapun orang yang meninggal dunia, jika dia berwasiat untuk menderma organnya, maka wasiat itu boleh dilaksanakan setelah kematiannya. Jika orang yang telah meninggal dunia itu tidak berwasiat untuk menderma organnya, maka pengambilan organnya boleh dilakukan dengan syarat ada keizinan daripada warisnya. Dengan demikian, apabila ada keizinan daripada waris atau mengikut wasiat yang telah ditetapkan oleh si mati, maka pengambilan sebarang organ dari badan orang yang telah meninggal dunia itu harus dilaksanakan walaupun mengambil organ yang penting seperti jantung kecuali organ yang dapat menyebabkan pertukaran nasab seperti ovari, maka mengambil atau menderma organ berkenaan hukumnya adalah haram. (Abhâts Fiqhiyyah fî Qadhâyâ Thibbiyyah Mu‘âshirah: 163 & 177)
Sementara itu, menurut Dr. Ahmad Muhammad Kan‘aan, memindah organ dari orang yang telah meninggal dunia kepada orang yang masih hidup hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut:
i. Hendaklah ada izin atau persetujuan orang berkenaan sebelum dia meninggal dunia dan hendaklah dia mempunyai kebebasan mengubah fikirannya tentang pemindahan tersebut pada bila-bila masa yang dia mahu sebelum dia meninggal dunia.
ii. Hendaklah ada persetujuan daripada ahli keluarga si mati jika si mati tidak meninggalkan sebarang wasiat untuk melakukan pemindahan organ sebelum dia meninggal dunia.
iii. Hendaklah ada persetujuan daripada pemerintah atau pihak berkuasa jika ingin melakukan pemindahan organ daripada si mati yang tidak dapat dikenali identitinya atau yang tidak ada waris. (Al-Mausû‘ah ath-Thibbiyyah al-Fiqhiyyah: 717)
Walau bagaimanapun, para doktor hendaklah memastikan terlebih dahulu bahawa penderma tersebut telah betul-betul meninggal dunia sebelum melakukan sebarang pengambilan atau pendermaan organ berkenaan. Di samping itu, proses pengambilan organ dari tubuh mayat perlulah mengikut etika yang digariskan oleh syara‘ bagi menjaga kehormatan mayat berkenaan. Antaranya:
i. Menjaga had keperluan.
Pemindahan organ itu diharuskan berdasarkan kepada keperluan pesakit berkenaan yang menjadi sebab pembedahan tersebut dilakukan. Jika tiada keperluan untuk menjaga mashlahah hidup manusia, maka ia adalah dilarang kerana dikira melakukan penganiayaan terhadap mayat, tidak menghormatinya dan memburukkan rupa bentuk mayat.
ii. Melakukan pembedahan setakat yang diperlukan sahaja.
Keharusan pemindahan organ itu hendaklah diukur berdasarkan kadar keperluan sahaja. Oleh itu dalam menjalankan pembedahan ke atas mayat adalah menjadi kewajipan untuk hanya membedah mana-mana bahagian mayat yang diperlukan sahaja.
iii. Melaksanakan pembedahan dengan lemah-lembut.
Secara umumnya, mereka yang melakukan pembedahan ke atas mayat hendaklah menghormati mayat yang dibedah dengan menjalankan pembedahan itu secara yang paling cermat iaitu dengan adab-adab yang tidak merosakkan kehormatan dan kemuliaan mayat manusia.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh ketika membicarakan tentang perkara yang patut dilakukan ke atas mayat sejurus saja kematiannya. Menurutnya, ahli keluarga adalah dituntut supaya memejamkan matanya dan menutup keseluruhan badannya dengan kain, serta menghadapkan mukanya ke arah qiblat. Ia hendaklah dilakukan oleh ahli keluarga yang paling lemah-lembut di kalangan mahramnya. Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Dan orang yang menangani perkara itu ialah orang yang paling berlemah-lembut daripada kalangan mahramnya. (Minhâj ath-Thâlibîn: 1/322)
Dapat difahami bahawa pembedahan ke atas mayat itu hendaklah dilakukan dengan cara yang lemah-lembut sesuai dengan tuntutan menghormati mayat berkenaan seperti mengangkat dan meletakkannnya ke tempat bedah dengan lembut dan cermat.
iv. Menjaga aurat mayat.
Menjaga aurat si mati khususnya jika mayat itu perempuan. Oleh itu, seseorang yang sepatutnya melakukan pembedahan ke atas mayat perempuan ialah doktor bedah perempuan juga. Ini kerana haram memandang aurat mayat perempuan oleh lelaki asing. Walau bagaimanapun, jika tidak ada langsung doktor bedah perempuan, maka tiadalah halangan untuk dilakukan proses pembedahan itu oleh doktor lelaki atas sebab-sebab dharurat.
Dalam hal melihat aurat ini, orang yang melakukan pembedahan itu hendaklah mengelak daripada melihat aurat mayat dengan sengaja sekalipun mereka daripada sesama jenis, kerana antara etika orang yang memandikan mayat ialah dia tidak diharuskan melihatnya kecuali pada kadar yang diperlukan pada bahagian yang bukan aurat, sedangkan perbuatan memandikan mayat itu adalah wajib. Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, orang yang memandikan mayat itu hendaknya jangan melihat badan si mati melainkan kadar hajat yang bukan terdiri daripada aurat. (Minhâj ath-Thâlibîn: 1/351-352)
v. Suasana tenang.
Ketika menjalankan pembedahan itu, sewajarnya tidak diganggu dengan bunyi-bunyian yang bising kerana ia dianggap tidak menghormati mayat.
Resolusi Akademi Fiqh Liga Islam Sedunia (اجملمع الفقه لرابطة العامل اإلسالمي) dan Akademi Fiqh
Memindah atau menderma organ sama ada dari orang yang masih hidup atau orang yang telah meninggal dunia adalah harus jika perkara ini sangat diperlukan oleh pesakit sama ada kerana dharurat untuk menyelamatkan nyawa atau kerana adanya hajat untuk menghilangkan kesukaran dengan berpandukan kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syara‘. Perkara ini juga banyak dibincangkan oleh pertubuhan-pertubuhan Islam dan saya juga amat cenderung dengan resolusi yang mereka keluarkan hasil daripada perbincangan dan kajian mereka mengenai isu pemindahan organ. Antaranya:
1. Akademi Fiqh Liga Islam Sedunia (اجملمع الفقه لرابطة العا َل اإلسالمي ) dalam persidangannya yang ke lapan di Makkah al-Mukarramah pada tahun 1405H/1985M, setelah membincangkan dan mengkaji isu pemindahan organ, mengeluarkan resolusi berikut:
i. Mengambil organ dari badan manusia yang masih hidup dan memindahkan organ tersebut kepada badan manusia yang memerlukan untuk menyelamatkan nyawanya atau untuk menolong mengembalikan semula fungsi organ asasinya adalah harus dan ia tidak menafikan kehormatan manusia dari segi pengambilan organ berkenaan. Bahkan padanya terdapat mashlahat yang besar dan bantuan yang baik kepada orang yang memerlukan dan ia sesuatu amalan yang disyariatkan dan terpuji jika memenuhi syarat-syarat yang berikut:
a. Hendaklah pengambilan organ tersebut tidak memudharatkan kehidupan biasa penderma kerana kaedah syara‘ menetapkan bahawa kemudharatan tidak dihilangkan dengan kemudharatan yang seumpamanya dan juga dengan kemudharatan yang lebih kuat daripadanya. Jika demikian (pendermaan itu akan memudharatkan kehidupan biasa penderma), maka ia dianggap seperti mencampakkan diri ke dalam kebinasaan dan perkara itu adalah suatu yang tidak dibenarkan oleh syara‘.
b. Hendaklah pendermaan organ itu dilakukan dengan kerelaan hati penderma tanpa sebarang paksaan.
c. Hendaklah pemindahan tersebut merupakan satu-satunya rawatan untuk menyembuhkan penyakit pesakit berkenaan.
d. Hendaklah proses pengambilan dan pemindahan organ yang dilakukan oleh para doktor pada kebiasaan dan adatnya menghasilkan kejayaan.
2. Akademi Fiqh Islam (جممع الفقه اإلسالمي), yang anggotanya terdiri daripada ulama dari seluruh dunia Islam dan diasaskan di bawah Persidangan Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC), dalam persidangannya yang ke-4 di Jeddah pada tahun 1408H/1988M, telah membuat resolusi tentang pemanfaatan manusia dengan organ manusia lain sama ada daripada orang yang masih hidup ataupun orang yang telah meninggal dunia. Antara resolusi itu adalah seperti berikut:
i. Harus memindah organ daripada tempat asalnya ke tempat lain pada badan yang sama dengan memastikan bahawa kemanfaatan yang dijangkakan daripada pemindahan lebih kuat daripada kemudharatannya, dan dengan syarat pemindahan itu bertujuan untuk mengadakan anggota yang hilang atau untuk mengembalikan semula bentuk atau fungsinya, atau untuk memperbaiki kecacatan, atau untuk menghilangkan kejelekan yang menyebabkan jiwa atau anggota seseorang itu terseksa.
ii. Harus memindah organ dari badan seseorang kepada badan orang lain jika organ yang dipindah itu boleh berkembang lagi dengan sendirinya seperti darah dan kulit dengan syarat penderma ityu seorang yang berkelayakan dan menepati syarat-syarat yang diperakui oleh syara‘.
iii. Harus memanfaatkan sebahagian daripada anggota yang dipotong dari badan seseorang yang disebabkan oleh penyakit untuk diberikan kepada orang lain yang memerlukannya. Umpamanya, mengambil kornea mata (selaput mata) daripada mata seseorang yang dibuang akibat penyakit.
iv. Haram memindah organ yang boleh menghentikan nyawa orang hidup kepada orang lain seperti jantung.
v. Haram memindah dari orang hidup organ yang boleh menjejaskan fungsinya yang asasi dalam kehidupan walaupun ia tidak mengancam nyawa si penderma. Umpamanya, menderma kedua-dua belah kornea matanya. Adapun jika pemindahan itu hanya menjejaskan sebahagian fungsinya yang asasi, perkara tersebut masih lagi dalam perbincangan.
vi. Harus memindah organ dari orang yang telah meninggal dunia kepada orang yang masih hidup sama ada organ itu ialah organ yang bergantung nyawanya padanya atau organ yang bergantung kesejahteraan fungsinya yang asasi padanya dengan syarat ada izin si mati sebelum dia meninggal dunia atau ada izin daripada warisnya selepas dia meninggal dunia atau dengan syarat ada izin pemerintah Islam jika si mati tidak diketahui identitinya atau tidak ada warisnya.
vii. Pemindahan organ yang dibenarkan pada perkara yang telah disebutkan tidak boleh diniagakan, kerana organ manusia tidak boleh diperniagakan dalam apa jua keadaan sekalipun.
Dengan demikian, pemindahan dan pendermaan organ adalah suatu amalan yang mulia dan berkebajikan jika dilakukan mengikut garis pandu yang telah ditetapkan oleh syara‘. Walau bagaimanapun, organ manusia yang dipindahkan atau didermakan itu tidak harus dijual beli atau diniagakan. Pemindahan atau pendermaan tersebut adalah atas dasar sedekah semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Oleh itu, jika seseorang ingin memberikan organnya kepada pesakit organ, maka tidak akan timbul soal penetapan harga bagi sesuatu organ yang akan dipindahkan itu. Tetapi, jika si penerima organ tersebut atau mana-mana pihak ketiga memberikan saguhati atau sumbangan sebagai penghargaan kepada si penderma tanpa ditetapkan sebelumnya, maka ia adalah diharuskan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11504
