Hukum Penggunaan Gigi Emas
Soalan: Jabatan Agama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei memohon penjelasan dengan lebih terperinci tentang hukum pemakaian gigi emas, kerana terdapat beberapa kekeliruan mengenainya di kalangan pesakit yang beragama Islam.
Jawapan: Ulama asy-Syafi‘e telah bersepakat mengatakan bahawa adalah haram ke atas orang Islam lelaki dan perempuan menggunakan emas dan perak sebagai alat untuk makan, minum, bersuci, bercelak mata, menyikat rambut, mencungkil kotoran telinga atau gigi dan lain-lain penggunaan seumpamanya. (Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj: 1/118, al-Majmû‘: 1/311)
Pengharaman ini adalah berdasarkan hadits daripada Hudzaifah Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Jangan kamu minum pada bejana emas dan perak, dan jangan kamu pakai sutera halus dan sutera kasar, kerana sesungguhnya ia (barang-barang itu) untuk mereka (orang kafir) di dunia dan untuk kamu (kelak) di akhirat. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Menurut asy-Syeikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh:
Ertinya: Dan diqiyâskan kepada (hukum haram makan dan minum pada bejana emas dan perak itu) semua jenis penggunaan selain makan dan minum, dan dikhususkan penyebutan (makan dan minum) kerana kedua-duanya itulah yang lebih nyata dan banyak dari segi penggunaannya. (Mughni al-Muhtâj: 1/45)
Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh:
Ertinya: Dan yang dimaksudkan dengan bejana itu ialah setiap benda yang digunakan bagi sesuatu perkara yang ditetapkan untuknya menurut kebiasaan, maka termasuklah di dalamnya (maksud itu) pencelak mata, bekas (tempat) pencelak mata, pencungkil gigi, pencungkil kotoran telinga dan seumpamanya. (Az-Zawâjir: 1/154)
Demikian juga menurut al-‘Allâmah as-Sayyid ‘Abdullah al-Jardani Rahimahullâh:
Ertinya: Ketahuilah bahawa termasuk daripada (maksud) bejana itu ialah bekas celak, tempat membakar kemenyan (pedupaan), sudu, tempat menyimpan alat tulis, piring cawan, cangkul, cerek (kendi) dan tempat menghidang makanan. Dan seumpama sedemikian itu: Penutup bekas (kendi) air, pencelak mata, pencungkil gigi, jarum dan sikat, maka haram menggunakan semua itu jika (diperbuat) daripada emas atau perak. (Fath al-‘Allâm: 1/267)
Adapun ‘illah pengharaman ialah kerana pada penggunaan emas itu terdapat unsur-unsur pembaziran, kesombongon dan melukai hati fakir miskin. (Fath al-Bâri: 11/232, al-Majmû‘: 1/310)
Walau bagaimanapun, jika penggunaan emas itu sebagai perhiasan perempuan seperti gelang, cincin, rantai dan anting-anting, maka hukumnya adalah harus kerana keperluannya berhias dan kelihatan cantik di depan suami. Berlainan dengan lelaki, maka diharamkan ke atasnya berhias dengan emas. (Nihâyah al-Muhtâj: 3/90 & 94, al-Majmû‘: 1/311)
Sebagaimana hadits daripada Sayyidina ‘Ali Karamallâhu wajhah, beliau berkata bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah mengambil sutera dengan tangan kiri Baginda dan emas dengan tangan kanan Baginda, kemudian Baginda mengangkat kedua-duanya lalu bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya kedua-dua ini adalah haram ke atas kaum lelaki umatku, halal bagi kaum perempuan mereka. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Namun terdapat juga pengecualian jika penggunaan emas itu untuk tujuan perubatan, maka hukumnya adalah harus menggunakannya. Ini berdasarkan hadits daripada ‘Arfajah bin As‘ad Radhiallâhu ‘anhu berkata:
Maksudnya: Hidungku telah terpotong ketika dalam peperangan al-Kulab pada zaman jahiliah. Maka aku pun membuat hidung daripada perak, lalu ia mendatangkan bau busuk kepadaku. Maka Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam menyuruhku membuat hidung daripada emas. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh, haram ke atas lelaki dan khuntsâ berhias dengan emas kecuali bagi orang yang rompong hidungnya, maka harus baginya membuat hidung daripada emas sebagai ganti, sekalipun dia boleh membuatnya daripada perak. Demikian juga, harus bagi orang yang tercabut atau pecah giginya untuk membuat gigi daripada emas sebagai ganti, sekalipun jumlahnya banyak, dan sekalipun bagi menggantikan keseluruhan giginya. Begitu juga, adalah harus mengukuhkan gigi dengan emas apabila gigi bergoyang. Hukum harus ini berqiyâs kepada keharusan menggunakan hidung daripada emas. Hidung dan gigi yang diperbuat daripada emas itu pula tidak wajib dikeluarkan zakat, sekalipun ia dapat ditanggalkan. Melainkan jika gigi emas itu dijadikan perhiasan seperti cincin, maka wajib dikeluarkan zakat daripadanya kerana penggunaan emas sebagai perhiasan yang diharamkan adalah wajib dikeluarkan zakat. (Nihâyah al-Muhtâj: 3/88,90-92)
Banyak juga riwayat yang menyebutkan beberapa sahabat Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam seperti ‘Utsman bin ‘Affan dan Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhum menggunakan emas sebagai pengukuh gigi dan tindakan mereka itu tidak diingkari oleh seorang pun. (Nihâyah al-Muhtâj: 3/91, Tuhfah al-Ahwadzi: 5/387)
Hal ini disebutkan dalam atsar daripada Waqid bin ‘Abdullah at-Tamimi Radhiallâhu ‘anhu, seorang tâbi‘ tâbi‘în:
Maksudnya: Daripada seseorang (daripada kalangan tâbi‘în) yang melihat ‘Utsman bin ‘Affân mengukuhkan gigi-gigi beliau dengan emas. (Hadits riwayat Ahmad)
Adapun hikmat daripada keharusan mengganti atau mengikat gigi dengan emas itu adalah kerana emas tidak berkarat jika ia tulen, berbanding selainnya, dan ia juga tidak merosakkan tempat pertumbuhan (seperti gusi). (Nihâyah al-Muhtâj: 3/91)
Walaupun hukum mengganti gigi dengan emas itu harus jika gigi itu rosak, pecah atau tercabut, namun jika seseorang menggantinya dengan tujuan untuk berhias, kelihatan cantik atau bermegah-megah, maka hukumnya menjadi haram, baik ke atas lelaki mahupun perempuan. Begitu juga, haram mengganti salah satu anggota badan dengan emas bagi tujuan berhias, bukan untuk tujuan mengganti anggota yang rosak atau sakit, sebagaimana menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh, adalah haram hukumnya mengganti sebatang jari dengan emas bagi tujuan berhias:
Ertinya: [Tidak sebatang jari] dan dua ruas hujung jari daripadanya (daripada sebatang jari), maka tidak harus daripada emas, juga tidak daripada perak, kerana ia tidak berfungsi, lalu (penggunaan emas padanya) adalah semata-mata bertujuan untuk perhiasan. Berlainan dengan (keharusan penggunaan emas pada) gigi dan satu ruas hujung jari (daripada sebatang jari), maka sesungguhnya ia boleh bergerak. (Nihâyah al-Muhtâj: 3/91-2)
Daripada pernyataan di atas dapat difahami, hukum mengganti gigi atau satu ruas hujung jari yang rosak dengan emas adalah harus. Berlainan jika tujuan mengganti gigi atau sebatang jari dengan emas adalah untuk berhias agar nampak cantik dan bukan untuk merawat kerosakan, maka hukumnya adalah haram.
Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh lagi, pengharaman mengganti anggota badan dengan emas untuk tujuan berhias bukan sahaja dihukumkan ke atas lelaki tetapi juga perempuan. (Nihâyah al-Muhtâj: 3/91)
Demikian juga Imam an-Nawawi Rahimahullâh ada menyebutkan cabang masalah di bawah bab pengharaman penggunaan bejana daripada emas:
Ertinya: Jika seorang lelaki atau perempuan menyelitkan gigi-giginya atau rambutnya dengan penyelit daripada perak atau mereka bercelak dengan alat pencelak mata daripada perak, maka hukumnya adalah haram. (Al-Majmû‘: 1/314)
Di bawah bab zakat emas dan perak pula, beliau menyebutkan pendapat penulis kitab al- Hâwi:
Ertinya: Jika seorang lelaki atau perempuan memiliki alat pencelak mata daripada emas atau perak, maka hukumnya adalah haram dan wajib dikeluarkan zakat, kecuali ia digunakan bagi tujuan perubatan untuk menerangkan matanya, maka hukumnya adalah harus, sebagaimana penggunaan emas untuk mengikat giginya. (Al-Majmû‘: 6/35)
Pernyataan-pernyataan di atas menunjukkan adalah haram ke atas lelaki dan perempuan bercelak mata dan menyelitkan gigi atau rambut dengan sesuatu yang diperbuat daripada perak dan emas bukan untuk tujuan perubatan. Oleh itu, menyelitkan aksesori gigi seperti sarung atau pendakap gigi dan lain-lain seumpamanya yang diperbuat daripada emas, adalah haram ke atas lelaki dan perempuan jika bukan untuk perubatan tetapi sebagai perhiasan, kerana terdapat unsur pembaziran dan kesombongan sebagaimana yang telah dinyatakan di awal tadi.
Berdasarkan penerangan di atas, hukum penggunaan emas pada gigi tertakluk kepada tujuan ia digunakan:
1. Penggunaan emas sebagai merawat gigi yang rosak; sama ada mengikat gigi dengan pendakap emas untuk mengukuhkannya, menanam gigi emas ke dalam gusi sebagai ganti gigi yang hilang dan lain-lain perawatan gigi yang memerlukan penggunaan emas, hukumnya adalah harus dengan berqiyâs kepada keharusan menggunakan hidung daripada emas sebagai ganti hidung yang rompong. Dalam perkara ini, jika lelaki diharuskan menggunakan emas bagi rawatan pergigian, maka hukumnya adalah lebih utama diharuskan bagi perempuan.
2. Penggunaan emas pada gigi bukan untuk tujuan merawat gigi yang rosak tetapi bagi tujuan semata-mata berhias atau bermegah-megah, seperti menyarungkan aksesori gigi yang diperbuat daripada emas atau lain-lain perawatan gigi yang menggunakan emas agar nampak cantik, hukumnya bukan sahaja haram ke atas lelaki, tetapi juga perempuan, sebagaimana diharamkan mengganti sebatang jari dengan emas kerana tujuan berhias dan sebagaimana diharamkan menyelitkan gigi dengan emas kerana terdapat unsur pembaziran dan kesombongan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11509
