Hukum Penggunaan Syisya
Soalan: Berdasarkan laporan kajian WHO, syisya mengandungi Glycerin yang boleh mengakibatkan penyakit emfisema, iaitu penyakit paru-paru yang sukar dirawat. Ia mendedahkan tubuh seseorang itu kepada cadmium, iaitu sejenis kimia yang terdapat dalam sebatang rokok dan bateri kereta.
Apa yang jelas di sini, syisya yang dianggap selamat selama ini adalah juga berbahaya seperti rokok. Oleh itu, apakah kedudukan hukum mengenainya?
Jawapan: Latar Belakang dan Sejarah
Waterpipe atau lebih dikenali dengan nama syisya adalah sejenis alat yang digunakan untuk menghisap tembakau dan bahan-bahan lain seumpamanya. Ia digunakan oleh puak asli di Afrika dan Asia lebih kurang empat kurun yang lalu.
Menurut satu catatan sejarah, alat syisya ini telah dicipta di India oleh seorang doktor sebagai satu cara atau alternatif yang dapat mengurangkan bahaya menghisap tembakau. Menurut doktor tersebut, asap tembakau yang disedut itu perlu ditapis terlebih dahulu melalui satu bekas air agar ia tidak mendatangkan bahaya kepada penggunanya.
Kepercayaan atau mitos lama ini tersebar dan masih dipercayai hinggalah ke hari ini terutamanya bagi mereka yang baru mengenal atau menggunakannya. Bahkan trend menghisap tembakau menggunakan syisya ini semakin popular pada masa ini, kerana ramai yang percaya ia selamat digunakan berbanding dengan menghisap rokok.
Secara umumnya alat syisya terdiri daripada beberapa bahagian utama iaitu:
i. Bahagian kepala (head), yang merupakan sebiji mangkuk (diperbuat daripada tanah liat) untuk meletakkan tembakau dan arang.
ii. Bahagian badan atau tengah (body), merupakan penghubung di antara bahagian kepala dengan bahagian bawah dan kebiasaannya ia diperbuat daripada bahan logam ataupun kayu.
iii. Bahagian bawah yang merupakan sebiji mangkuk air (water bowl/water chamber). Biasanya ia diisikan dengan air tetapi kadang-kala ia juga boleh diisikan dengan susu, jus buah-buahan ataupun wain. Bekas air ini selalunya diperbuat daripada kaca.
iv. Hos dan alat penyedut (mouthpiece) yang digunakan untuk menyedut asap keluar daripada alat syisya tersebut.
Namun begitu terdapat juga beberapa perbezaan dalam reka bentuk syisya ini mengikut tempat serta kebudayaan penduduk yang menggunakannya. Sebagai contoh, ada yang mempunyai hos dan alat penyedut yang lebih daripada satu dan boleh dikongsi berdua atau lebih dan juga perbezaan pada bentuk dan saiz bahagian kepala atau bekas airnya.
Bahkan nama bagi syisya ini juga berbeza mengikut tempat atau negeri. Misalnya di negeri-negeri di kawasan Mediterranean Timur (Turki, Syria dan lain-lain) ia dikenali dengan nama narghile, di Mesir dan di sesetengah negeri Afrika Utara pula ia dikenali sebagai syisya atau goza dan di India ia dipanggil hookah. Dalam bahasa Inggeris ia dipanggil waterpipes tetapi nama syisya lebih dikenali dan sering digunakan. (Advisory Note - Waterpipe Tobacco Smoking: Health Effects, Research Needs and Recommended Actions by Regulators)
Tembakau Syisya
Terdapat dua jenis atau dua cara tembakau syisya ini digunakan iaitu yang dipanggil ma‘assil (معسل) dan ‘ajami (عجمي). Tembakau ma‘assil terdiri daripada campuran tembakau, buah-buahan dan bahan manisan seperti sirap daripada tebu ataupun madu. Ia juga ditambah dengan glycerin, bahan perisa serta pewarna yang lain. Tembakau ma‘assil ini basah dan melekit dan apabila digunakan akan mengeluarkan bau yang manis dan nyaman seperti bau buah-buahan dan kebanyakan pengguna lebih suka menggunakan tembakau jenis ini.
Tembakau ‘ajami pula selalunya tidak berperisa, kering dan lebih asli. Sebelum digunakan ia perlu dicampurkan dengan air sehingga ia boleh dicanai atau dibentuk dan harganya lebih mahal.
Tetapi walau apapun jenis tembakau yang digunakan, penggunanya perlu meletakkan bahan pembakar seperti arang (sama ada arang kayu atau arang campuran) kerana tembakau syisya ini tidak dapat terbakar dengan sendirinya secara berterusan. Jadi apabila pengguna menyedut asap dari alat syisya ini dia bukan sahaja menyedut asap dari tembakau tetapi juga arang, yang masing-masing mengandungi bahan kimia dan toksik yang terhasil daripada pembakaran tersebut. (Advisory Note - Waterpipe Tobacco Smoking: Health Effects, Research Needs and Recommended Actions by Regulators) (Tobacco Smoking Using a Waterpipe: Product, Prevalence, Chemistry/Toxicology, Pharmacological Effects and Health Hazards – A Monograph Prepared for The WHO Study Group on Tobacco Product Regulation (TobReg) by Alan Shihadeh and Thomas Eissenberg)
Kesan Syisya Kepada Kesihatan
Menurut satu dokumen (Tobacco: Deadly In Any Form or Disguise) yang telah dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2006, bahawa tembakau walau dalam bentuk apa pun tetap boleh mendatangkan bahaya dan mudharat kepada penggunanya, termasuklah syisya.
Ini kerana satu sesi penggunaan syisya (lebih kurang 20-80 minit) akan mendedahkan penggunanya kepada asap yang lebih banyak dalam masa yang lebih lama berbanding dengan sebatang rokok (lebih kurang 5-7 minit), dan asap yang terhasil daripada syisya tersebut mengandungi bermacam-macam bahan toksik yang diketahui boleh menyebabkan kanser paru-paru, penyakit jantung dan berbagai jenis penyakit yang lain. (Advisory Note - Waterpipe Tobacco Smoking: Health Effects, Research Needs and Recommended Actions by Regulators)
Menurut kajian Dr.Alan Shihadeh, asap syisya mengandungi nikotin, tar, bahan kimia carcinogenic dan logam (seperti arsenik, kromium dan plumbum) dalam kadar yang membimbangkan, bahkan dalam sesetengah kes, melebihi daripada apa yang terkandung dalam sebatang rokok.
Menurut beliau juga, walaupun air dalam syisya tersebut dapat mengurangkan kadar kandungan nikotin dalam asap syisya, ia tidak berkesan dalam mengurangkan bahan-bahan toksik yang lain misalnya tar. Tetapi sungguhpun kandungan tar dalam satu sesi syisya itu lebih tinggi berbanding sebatang rokok, namun kandungan tar (tar fraction) atau kepekatannya (tar concentration) boleh jadi berbeza daripada apa yang terhasil daripada rokok kerana suhu kepanasan pada syisya lebih rendah daripada rokok. (Tobacco Smoking Using a Waterpipe: Product, Prevalence, Chemistry/Toxicology, Pharmacological Effects and Health Hazards – A Monograph prepared for The WHO Study Group on Tobacco Product Regulation (TobReg) by Alan Shihadeh and Thomas Eissenberg)
Manakala asap daripada syisya (yang terhasil daripada pembakaran tembakau dan arang) mengandungi gas berbahaya seperti karbon monoksida. Selain itu ia juga mengandungi hidrokarbon (benzene dan benzo-pyrene) yang dikatakan bahan penyebab kanser tetapi kadarnya belum dapat dipastikan.
Daripada hasil kajian yang ada, penggunaan syisya telah dikaitkan dengan berbagai penyakit serius seperti penyakit jantung koronari, atherosclerosis, penyakit sistem pernafasan yang kronik, kanser mulut, kanser pundi kencing dan juga saluran darah tersumbat (clogged arteries).
Selain itu penggunaan syisya juga dikaitkan dengan beberapa jenis penyakit berjangkit seperti turberculosis (tibi), hepatitis, herpes, jangkitan virus di bahagian pernafasan dan bahkan juga HIV.
Walaupun kajian mengenai syisya ini belum dilakukan secara intensif sebagaimana yang dilakukan terhadap rokok, namun kajian awal telah menunjukkan bahawa syisya itu boleh membawa risiko dan bahaya yang sama sebagaimana rokok. Ini adalah berdasarkan kesimpulan yang telah dibuat pihak WHO dan disokong oleh data saintifik, yang menyatakan: Menggunakan syisya untuk menghisap tembakau boleh menyebabkan bahaya kesihatan yang serius kepada perokok dan juga orang lain yang terdedah kepada asap tembakau tersebut. (Advisory Note - Waterpipe Tobacco Smoking: Health Effects, Research Needs and Recommended Actions by Regulators)
Manakala American Lung Association mengatakan dalam laporannya, bahawa kebanyakan pengguna syisya juga adalah perokok dan ini akan merumitkan kajian khusus mengenai syisya dan kesannya terhadap kesihatan. (Americam Lung Association – Tobacco Policy Trend Alert “An Emerging Deadly Trend: Waterpipe Tobacco Use” – February 2007)
Pada masa ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), badan-badan kesihatan, institusi perubatan, universiti dan juga para pakar perubatan sedang giat melakukan kajian yang lebih terperinci untuk mengenal pasti akan bahaya syisya terhadap kesihatan. Tetapi menurut hasil kajian dan data yang ada mengatakan bahawa syisya boleh membawa risiko dan bahaya yang sama seperti rokok dan ia bukanlah satu alternatif yang selamat bagi rokok. Hakikatnya, walaupun dalam bentuk dan cara yang berbeza, menghisap syisya adalah menghisap tembakau dan kajian sains telah membuktikan bahawa tembakau dan pendedahan kepada asapnya boleh menyebabkan bermacam penyakit, bahkan boleh membawa maut.
Pandangan Islam Mengenai Makanan Yang Memudharatkan
Dalam menentukan hukum sesuatu makanan itu sama ada halal atau sebaliknya (haram), selain disebut secara terang melalui nash al-Qur’an atau hadits, ia juga dapat diketahui berdasarkan kaedah fiqh yang digunakan oleh para ulama yang diambil berdasarkan al-Qur’an dan juga hadits.
Dalam menentukan yang mana halal atau haram, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah menerangkannya dalam firmanNya:
Tafsirnya: Dan Dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang jijik (keji, buruk). (Surah al-A‘râf: 157)
Maksud atau huraian bagi perkataan al-khabâ’its ( ِل اَ بائث ) ialah apa jua perkara yang menjijikkan dan tidak disukai oleh tabiat suci atau pembawaan normal manusia, seperti bangkai dan darah mengalir, ataupun sesuatu yang menjadi sebab kerosakan dan bahaya kepada tubuh badan, seperti babi yang boleh memberi kesan buruk kepada pemakannya, atau daripada sumber-sumber yang memudharatkan, ataupun sesuatu yang memudharatkan dari segi agama seperti binatang sembelihan yang disembelih untuk menghampirkan diri kepada selain Allah. Sementara jijik (keji dan buruk) dari segi harta benda pula ialah segala harta benda yang diperolehi bukan dengan jalan hak dan halal, seperti riba, rasuah, mencuri, merompak dan lain-lain usaha yang menjijikkan. (At-Tafsîr al-Munîr: 9/117)
Perkataan al-khabâ’its (اِلبائث) dan juga perkataan yang berasal daripadanya banyak disebutkan dalam al-Qur’an dengan maksud yang berbeza-beza, antaranya ada yang bermaksud yang tidak subur, yang buruk, wanita-wanita keji, munâfiq dan lain-lain.
Tetapi walaupun al-khabâ’its ( اِلبَ ائث ) dalam ayat ini ditujukan kepada (memakan) daging babi dan riba, namun menurut al-Imam Fakhruddin ar-Razi Rahimahullâhu Ta‘âlâ ketika mengulas ayat di atas adalah seperti berikut:
Ertinya: Mengikut pendapatku: Setiap benda yang dipandang jijik oleh tabiat (tabiat semula jadi) dan dianggap kotor oleh jiwa, adalah memakannya boleh menyebabkan timbul kesakitan atau kemudharatan. Dan asal (dasar) hukum segala yang memudharatkan itu haram. Oleh yang demikian, maka asal (dasar) hukum setiap benda yang dipandang jijik oleh tabiat juga adalah haram, melainkan benda-benda yang mempunyai bukti untuk dikecualikan. Dan bertolak dari kaedah inilah Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh membuat hukum cabang tentang pengharaman menjual anjing. (Tafsîr al-Kabîr: 15/21-22)
Atas dasar itu Islam telah mengharamkan semua makanan dan minuman yang dipandang jijik dan memudharatkan seperti bangkai, daging babi dan arak. Bahkan Islam melarang perbuatan yang amat keterlaluan yang boleh memudharatkan tubuh badan seperti berjaga malam (qiyâm al-lail) yang berlebih-lebihan, berpuasa sunat secara berterusan yang sangat membebankan dan lain-lain, kerana pada tubuh badan itu juga ada hak yang perlu dira‘ikan, sebagaimana daripada Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Ash Radhiallâhu ‘anhumâ beliau berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda kepadaku: “Wahai Abdullah, tidakkah benar (seperti yang) diberitahukan kepadaku sesungguhnya engkau berpuasa siang hari, beribadat pada waktu malam?” Jawabku: “Benar, wahai Rasulullah”. Sabda Baginda: “Janganlah engkau lakukan (seumpama itu), berpuasalah dan berbukalah, berjaga dan tidurlah, sesungguhnya bagi tubuh badanmu atas engkau ada hak, bagi dua matamu atas engkau ada hak, dan bagi isterimu atas engkau ada hak, dan bagi tetamumu atas engkau ada hak.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Al-Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitabnya al-Umm juga ada menyebutkan tentang makanan yang mendatangkan mudharat kepada manusia dan hukumnya. Beliau berkata:
“Asal sesuatu yang dimiliki oleh manusia daripada jenis makanan dan minuman itu ada dua. Salah satu daripadanya ialah: Yang bernyawa. Yang bernyawa itu, ada yang diharamkan dan ada yang dihalalkan. Dan yang kedua pula ialah yang tidak bernyawa. Semuanya halal selagi ia tetap berada dalam keadaan sebagaimana ia diciptakan oleh Allah dan ia tidak dicampurkan dengan sesuatu yang haram oleh manusia, atau ia dibuat menjadi yang memabukkan, maka ini hukumnya adalah haram.
Dan apa-apa jua yang mengandungi racun yang boleh membunuh, maka saya berpendapat itu juga haram, kerana Allah ‘Azza wa Jalla mengharamkan manusia membunuh diri, dan mereka itu membunuh diri sendiri dengan cara yang khas (dengan memakan atau meminum racun). Dan apa-apa jua yang keji dan kotor, maka orang Arab telah meninggalkannya, diharamkan kerana kotornya itu. Ini termasuklah juga segala macam jenis najis.
Dan apa yang dapat dikenali oleh manusia sebagai racun yang boleh membunuh, membawa saya bimbang bahawa tiada seorang pun yang akan boleh diberi kelonggaran untuk meminumnya, bagi tujuan berubat dan lainnya. (Untuk tujuan berubat dan lainnya itu) saya menghukumkannya makruh, sama ada sedikit atau banyak, yang sudah bercampur dengan yang lain atau belum bercampur. Di samping itu saya juga takut peminumnya dan pemberi minuman itu akan membunuh diri mereka dengan meminumnya.
Ada lagi yang berpendapat: Tentang haram yang banyak dan halal yang sedikit yang pada ghâlibnya memberi manfaat dan tidak sampai membunuh. Bagaimanapun saya mendengar ada orang yang mati kerana racun yang sedikit dan juga yang selamat daripada yang sedikit itu.
Oleh sebab itu saya tetap tidak menyukainya dan tidak sekali-kali memberi kelonggaran padanya.” (Al-Umm: Jilid 1, Juz 2/270)
Imam Ibnu Hajar al-Haitsami Rahimahullâhu Ta‘âlâ telah menghuraikan tentang sebab atau punca sesuatu benda atau makanan itu diharamkan:
i. Ia mendatangkan kerosakan atau menimbulkan kemudharatan yang tersembunyi seperti zina dan sembelihan orang Majusi.
ii. Ia mendatangkan kerosakan atau kemudharatan yang nyata, seperti racun atau arak.
Adapun sesuatu yang memberi manfaat atau faedah, sama ada ia berupa galian, tumbuhan atau binatang ternakan dan yang berkaitan dengannya seperti susu, semuanya itu adalah halal melainkan yang mendatangkan bahaya. Bahaya itu bukanlah hanya tertentu, seperti ia racun atau arak, bahkan sekiranya madupun, jika mendatangkan bahaya kepada seseorang yang tabiatnya lekas marah (misalnya dengan meminum madu itu dia terus panas baran), maka haram baginya memakan madu itu. Adapun tumbuh-tumbuhan jika ia boleh menyebabkan hilang nyawa (mematikan) seperti racun, atau menghilangkan akal fikiran seperti arak dan semua yang memabukkan dan membuat tidak sedar (mengkhayalkan) seperti hasyisy, ganja, opium dan seumpamanya, adalah kesemuanya itu haram hukumnya.” (Fath al-Mubîn li Syarh al-Arba‘în: 112)
Larangan Memudharatkan Atau Membunuh Diri Islam sebagai agama sejahtera sangat menghargai nyawa serta kehidupan dan mementingkan kesihatan, keafiatan, kecergasan dan kekuatan, dan kesemuanya itu bagi tujuan yang satu iaitu untuk beribadat kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Oleh itu, Islam melarang umatnya daripada merosakkan diri mereka sendiri, apatah lagi membunuh diri sendiri. Larangan ini banyak disebutkan dalam ayat-ayat al-Qur’an antaranya firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri. Sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepada kamu. (Surah an-Nisâ’: 29)
FirmanNya lagi:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan. (Surah al-Baqarah: 195)
Dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam juga jelas melarang umatnya daripada membahayakan diri sendiri dan juga orang lain. Sabda Baginda:
Maksudnya: Tidak boleh mencipta bahaya dan membalas dengan bahaya. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Ayat al-Qur’an dan hadits ini jelas melarang manusia daripada membunuh dan memudharatkan dirinya sendiri dan juga orang lain. Ini kerana seseorang manusia itu tidaklah memiliki dirinya sendiri sehingga dia boleh sesuka hati melakukan apa sahaja yang dikehendakinya. Bahkan dia adalah milik Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Kehidupannya adalah hak Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kerana Dialah yang mengurniakannya dan Dialah yang berhak ke atasnya. Begitu juga kesihatan seseorang, ia merupakan kurnia dan ni‘mat Allah kepadanya.
Oleh kerana itu haram seseorang menamatkan riwayat hidupnya sendiri (membunuh diri) dan memudharatkan kesihatannya padahal dia tahu bahayanya, kerana manusia dan kehidupannya adalah milik Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Tidak ada perbezaan di antara orang yang membunuh diri secara mengejut dengan orang yang membunuh diri secara perlahan-lahan, seperti dengan memakan racun. Ini kerana kedua-duanya mempunyai tujuan yang sama, yang berbeza hanyalah segera ataupun lambat. Tetapi natijahnya adalah sama iaitu memudharatkan atau menyebabkan kematian. Kedua-dua cara ini sama tertegahnya di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Untuk memelihara kesejahteraan umatnya, Islam juga telah menetapkan beberapaa kaedah bagi menolak bahaya dan kemudharatan yang digunakan para ulama dalam menentukan hukum. Antaranya ialah:
Ertinya: Dharar (mudharat) itu dihilangkan (dihindarkan).
Jika sesuatu benda itu tsabit mendatangkan mudharat, kerosakan dan kebinasaan, hendaklah ia dijauhi dan dihindari. Memakan, meminum dan juga menghisap benda-benda yang memudharatkan hendaklah dielakkan bahkan ia dihukumkan haram. Tidak kira sama ada bahaya atau mudharat tersebut datang secara perlahan-lahan atau serta merta, kerana para ulama telah mengatakan bahawa bahaya secara perlahan-lahan juga adalah sama dengan bahaya yang serta merta, kedua-duanya perlu dielakkan.
Oleh kerana itu meminum atau memakan benda yang memudharatkan dan merosakkan tubuh badan, tidak kira sama ada kesannya serta-merta atau lambat, kedua-duanya adalah sama dan haram.
Jika dilihat berdasarkan hasil kajian yang ada setakat ini menyatakan bahawa syisya itu boleh membahayakan kesihatan sebagaimana rokok, maka ia adalah haram. Kerana apabila syara‘ mengharamkan اِلبائث (benda-benda yang keji, jijik, buruk dan seumpamanya) atau perkara yang berbahaya atau memudharatkan, ia adalah berdasarkan kaedah: “Apa juga makanan atau minuman yang mengandungi unsur-unsur اِلبائث (keji, buruk atau bahaya) adalah haram”. Yang mana kaedah ini didasarkan kepada ayat-ayat al-Qur’an serta hadits di atas. Maka apabila syisya itu memudaratkan, dan setiap yang memudharatkan itu haram dimakan atau diminum, maka menghisap tembakau menggunakan syisya itu juga adalah haram.
Menjauhi Makanan Syubhah
Ugama Islam dalam apa jua perkara, telah menentukan mana yang halal dan yang haram dan garis pemisah antara keduanya sangatlah jelas. Namun jika ada yang masih samar yakni belum jelas atau syubhah, maka syara‘ juga telah menyuruh meninggalkan yang samar atau syubhah itu, sebagaimana hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Daripada Abu ‘Abdullah bin an-Nu‘man bin Basyir Radhiallâhu ‘anhumâ, katanya: “Aku mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram (juga) jelas, dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhah (belum diketahui halal atau haramnya) yang tidak diketahui oleh orang ramai. Orang yang memelihara dirinya daripada perkara-perkara yang syubhah itu, samalah seperti orang yang telah melindungi agamanya (daripada celaan syara‘ dan azab Allah) dan melindungi kehormatannya (daripada kata nista orang lain). Dan barang siapa jatuh ke dalam syubhah dia jatuh ke dalam haram, laksana seorang pengembala yang sedang mengembala di sekitar tempat larangan, akhirnya lalai, lalu memasuki tempat larangan itu. Adapun bagi setiap raja itu ada tempat larangannya, dan tempat larangan Allah ialah perkara-perkara yang diharamkanNya. Dan ketahuilah bahawa pada setiap jasad itu ada seketul daging. Sekiranya ia baik, baiklah seluruh jasad itu, dan sekiranya ia rosak, rosaklah seluruh jasad itu. Ia itulah hati.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan hadits ini, para ulama Rahimahumullâhu Ta‘âlâ telah menetapkan bahawa perkara-perkara syubhah itu ialah sesuatu yang tidak atau belum jelas kedudukan hukumnya sama ada halal atau haram. Di antara sebab-sebab yang menjadikan sesuatu itu syubhah:
i. Ketiadaan nash yang jelas atau terang daripada al-Qur’an dan hadits, atau
ii. Ada nashnya, tetapi ulama tidak mengambilnya sebagai dalil yang sah, atau
iii. Terdapat dua nash, yang satu sama lainnya bertentangan secara zahir, atau
iv. Ada berbagai-bagai kemungkinan yang boleh dihukumkan kepada perkara itu, sama ada ia wajib atau harus, atau adakah ia larangan yang berbentuk haram atau makruh, dan tiap-tiap hukum mengenainya pula ada dengan dalil-dalilnya.
Hukum Penggunaan Syisya
Berdasarkan hasil kajian awal mengenai syisya, yang disokong oleh data saintifik, menunjukkan bahawa ia boleh membawa risiko dan bahaya yang sama seperti rokok, bahkan ia juga dikatakan boleh menyebabkan penyakit yang sama yang berkaitan dengan menghisap rokok. Walaupun kajian yang lebih terperinci masih dijalankan dan belum ada keputusannya, namun hasil keputusan itu nanti tidak mungkin menyatakan bahawa syisya itu selamat digunakan dan tidak membahayakan kesihatan kerana menurut kajian awal (preliminary research) sahaja telah menunjukkan bahayanya terhadap kesihatan.
Berdasarkan ini boleh dikatakan bahawa menghisap tembakau menggunakan syisya membawa bahaya kepada kesihatan dan boleh menyebabkan berbagai penyakit, maka hukum menghisapnya adalah haram. Ini kerana sebagaimana yang telah dihuraikan di atas, setiap yang boleh memudaratkan atau mendatangkan bahaya, tidak kira secara perlahan atau serta-merta, hukumnya adalah haram.
Katakanlah jika sekiranya menghisap tembakau menggunakan syisya itu dianggap syubhah dengan alasan bahawa bahayanya itu belum dapat dipastikan lagi, tetapi pimpinan syara‘ adalah tetap dan tidak berganjak iaitu menuntut supaya syubhah itu hendaklah juga dijauhi dan ditinggalkan, sesuai dengan peringatan hadits di atas. Ajaran atau peringatan hadits ini sungguh jelas agar kita tidak mendampinginya, apatah lagi menceburkan diri dalam perkara-perkara syubhah itu.
Oleh itu, tidak kiralah sama ada ia haram atau syubhah, menghisap tembakau menggunakan syisya itu hendaklah dijauhi dan ditinggalkan sebagaimana tuntutan syara‘ apatah lagi ia dikatakan boleh membahayakan kesihatan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11513
