Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳النكاح والطلاق

Kewajipan Memenuhi Undangan Majlis Perkahwinan

Soalan: Saya telah menerima kad undangan majlis perkahwinan anak lelaki seorang kenalan yang mengandungi mutiara kata bertajuk “Hukum Menghadiri Undangan Perkahwinan” yang dipetik dari buku “IRSYAD HUKUM 1996”. Pada pandangan saya, orang yang mengundang cuba meraih simpati agar para undangan akan hadir ke majlisnya itu kerana hukum menghadiri undangan adalah wajib.

Walau bagaimanapun saya tidak dapat hadir pada tarikh undangan tersebut kerana menghadiri undangan majlis perkahwinan di tempat lain. Namun, saya berkunjung ke rumahnya sehari sebelum tarikh perkahwinan untuk memberikan sumbangan sepertimana kelaziman berlaku dalam masyarakat kita. Adakah ini diiktiraf dalam hukum sebagai telah menghadiri undangan tersebut?

Jawapan: Hukum Menghadiri Jemputan Perkahwinan

Menerima jemputan ke majlis perkahwinan adalah wajib kepada sesiapa yang dijemput atau diundang. Kewajipan menghadiri jemputan perkahwinan ini jelas disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Apabila salah seorang di antara kamu diundang untuk menghadiri walîmah (perkahwinan), maka hendaklah dia datang menghadiri jemputan itu. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh menjelaskan bahawa kewajipan untuk menghadiri jemputan sempena perkahwinan itu bergantung kepada syarat-syarat yang tertentu, antaranya:

i. Jemputan itu tidak dikhususkan kepada orang-orang kaya sahaja tetapi hendaklah secara umum, seperti menjemput semua ahli keluarga orang yang menjemput, semua jirannya, semua rakan sekerjanya atau para pekerjanya dengan tidak membeza-bezakan di antara yang miskin dengan yang kaya. Ini jelas sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, katanya:

Maksudnya: Seburuk-buruk makanan (hidangan) ialah hidangan walîmah yang diundang hanya orang-orang kaya sahaja dan meninggalkan orang-orang fakir, dan sesiapa tidak memenuhi undangan maka dia telah derhaka kepada Allah dan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. (Hadits riwayat al-Bukhari)

ii. Orang yang menjemput atau mengundang itu orang Islam.

iii. Hendaklah jemputan itu untuk hari yang pertama. Jika walîmah atau undangan diadakan selama tiga hari atau lebih, maka tidak wajib hadir setiap hari namun sunat menghadirinya pada hari kedua, tetapi makruh menghadirinya pada hari yang ketiga atau hari-hari lain selebihnya. Sekiranya jemputan pada hari yang pertama itu berkemungkinan dia tidak dapat hadir disebabkan ramainya jemputan atau rumah tuan rumah terlalu sempit, maka wajib dia hadir pada hari yang kedua.

iv. Hendaklah kehadiran orang yang dijemput itu dengan niat untuk merapatkan lagi hubungan yang sedia ada dan menambahkan kemesraan. Dalam makna yang lain untuk menghubungkan silaturrahim, bukan kerana takutkan kejahatan orang yang dijemput jika tidak dijemput atau kerana mencari atau mengharapkan faedah daripada kedudukannya atau untuk menolongnya ke arah kebatilan.

v. Hendaklah orang yang menjemput itu menentukan orang yang dijemputnya sama ada dengan cara menemuinya, melalui kad jemputan atau dia mengutus seseorang untuk menjemputnya bukan secara terbuka, sekiranya orang yang menjemput itu membuka pintu rumahnya, lalu dia berkata: “Datanglah sesiapa saja yang mahu datang”, maka tidak wajib menghadiri jemputan itu.

vi. Tidak ada jemputan lain mendahului jemputan orang itu. Jika seseorang diundang oleh dua orang yang berlainan, maka dia hendaklah memenuhi undangan orang yang terlebih dahulu menjemputnya. Jika kedua-duanya menjemputnya hadir ke majlisnya pada masa yang sama, maka dia hendaklah memenuhi undangan orang yang paling dekat hubungan kerabatnya. Dan (jika kedua-duanya sama-sama dekat hubungan kerabatnya), maka dia hendaklah memenuhi undangan yang paling dekat dengan rumahnya di antara kedua-duanya.

vii. Hendaklah orang yang menjemput itu kebanyakan hartanya adalah bukan daripada harta yang haram.

viii. Orang yang dijemput itu tiada keuzuran yang menghalangnya hadir iaitu keuzuran yang membolehkannya untuk tidak hadir sembahyang berjemaah di masjid seperti sakit dan sebagainya.

ix. Tidak terdapat di tempat jemputan itu sesuatu perkara mungkar seperti arak, alat bunyi-bunyian yang haram dan sebagainya. (Mughnî al-Muhtâj: 4/405-406)

Oleh itu, jika terdapat salah satu perkara yang bercanggah dengan syarat-syarat di atas, maka gugurlah hukum wajib seseorang itu untuk menghadiri undangan majlis perkahwinan pada hari tersebut.

Sebagaimana penjelasan di atas bahawa jika seseorang itu menerima dua jemputan majlis perkahwinan pada waktu yang sama, dia hanya wajib menghadiri jemputan majlis perkahwinan yang lebih awal diterimanya dahulu. Tidak diwajibkan ke atasnya untuk menghadiri jemputan majlis perkahwinan yang diterimanya kemudian.

Adapun berkunjung ke rumah orang yang menjemput sehari atau beberapa hari sebelum tarikh majlis perkahwinan disebabkan tidak dapat menghadiri undangan pada tarikh yang ditetapkan oleh orang yang menjemputnya sama ada bagi tujuan menghantar sedekah atau seumpamanya adalah perkara yang sudah menjadi adat dan budaya. Ini kerana ia telah lumrah diamalkan oleh masyarakat kita dan perkara ini tidaklah ada larangan syara‘ kerana tidak ada pertentangannya dengan ajaran agama Islam. Maka adat sebegini boleh diamalkan dan wajar diteruskan kerana dengan demikian akan mengeratkan lagi tali silaturrahim. Akan tetapi dengan melakukan perkara tersebut tidaklah dikira sebagai memenuhi tuntutan menghadiri jemputan majlis perkahwinan itu kerana yang dituntut ialah menghadiri atau datang ke tempat majlis itu diadakan.

Walau bagaimanapun dengan berbuat demikian untuk menyatakan atau memaklumkan kepada orang yang mengundang bahawa dia tidak dapat hadir ke majlisnya atas sebab-sebab tertentu dan dia (orang yang mengundang) redha atas ketidakhadiran orang yang diundang itu, maka di sini gugurlah kewajipan orang yang diundang untuk menghadirinya dan terlepaslah dia daripada dosa kerana tidak menunaikan tuntutan menghadiri majlis tersebut. Adapun ketidakhadiran kerana keuzuran yang membolehkan seseorang itu tidak hadir bersembahyang berjemaah di masjid seperti sakit dan sebagainya, maka dia tidaklah perlu memaklumkan atau meminta maaf daripada orang yang mengundang disebabkan tidak dapat menghadirinya kerana orang yang ada keuzuran sedemikian tidak diwajibkan hadir sebagaimana penjelasan di atas.

Adapun persoalan kad jemputan yang dilampirkan bersamanya mutiara kata mengenai hukum menghadiri undangan majlis perkahwinan, perkara tersebut harus jua kerana ia sebagai salah satu cara menyebarkan maklumat ilmu kepada orang lain.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11517