Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳النكاح والطلاق

Mem‘bin’kan Anak Susuan Kepada Nama Bapa Susuan

Soalan: Saya berumur 24 tahun. Sejak kecil lagi saya telah diasuh dan disusui oleh ibu angkat (ibu susuan). Walaupun begitu, saya masih berbinkan Abdullah dan tidak kepada bapa angkat saya (suami ibu susuan). Perkara ini menyebabkan timbulnya tekanan perasaan dalam diri saya kerana terasa dihina dilabel sebagai anak zina atau anak haram.

Bolehkah saya menukar bin kepada bapa angkat (suami ibu susuan) memandangkan saya telah menjadi mahram kepada keluarganya dengan sebab penyusuan itu?

Jawapan: Pada zaman jahiliah, menasabkan anak angkat kepada bapa angkat sudah menjadi lumrah. Anak angkat akan dianggap sebagai anak kandung malah mereka turut mendapat harta warisan daripada bapa angkatnya. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah pada satu ketika menasabkan anak angkatnya Zaid kepada nama Baginda iaitu Zaid bin Muhammad. Namun setelah turunnya wahyu tentang larangan penasaban tersebut, Baginda menukarkannya dan menasabkan Zaid kepada bapa kandungnya iaitu Haritsah dan dikenali hingga sekarang dengan Zaid bin Haritsah.

Larangan penasaban anak kepada bukan bapa kandung ada dijelaskan dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan Dia juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu sebagai anak kamu sendiri. (Segala yang kamu dakwakan mengenai perkara-perkara) yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja. Dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dialah jua yang memimpin ke jalan yang betul. Panggillah anak-anak angkat itu dengan berbinkan kepada bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggillah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seagama sebagai maulâ-maulâ kamu. (Surah al-Ahzâb: 4-5)

Menurut Imam al-Qurthubi Rahimahullâh, jika seseorang itu dengan senghaja menasabkan dirinya kepada selain bapa kandungnya, maka hukumnya adalah berdosa sepertimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ: (Tafsir al-Qurthubi:14/120)

Tafsirnya: Tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. (Surah al-Ahzâb: 5)

Perbuatan menasabkan anak angkat kepada bapa angkat itu adalah haram di sisi agama dan mendapat ancaman yang keras daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan RasulNya. ‘Ali bin Abu Thalib Karramallâhu wajhah meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang bernasabkan kepada selain bapanya atau menghubungkan (dirinya) kepada bukan maulânya, maka dia mendapat kutukan Allah, kutukan para malaikat dan kutukan manusia seluruhnya, Allah tidak menerima daripadanya amalan fardhu dan tidak juga amalan sunat pada Hari Kiamat.

Malah dengan senghaja berbuat demikian, seseorang itu akan diharamkan baginya syurga dan ini ada dijelaskan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Sa‘d Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang bernasabkan kepada selain bapanya padahal dia mengetahui sesungguhnya dia bukan bapanya, maka haramlah syurga ke atasnya. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat yang lain pula, daripada Abu Dzarr Radhiallâhu ‘anhu, beliau mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Tiada sesiapa yang bernasabkan dengan selain bapanya padahal dia mengetahuinya (orang itu bukan bapanya) melainkan dia menjadi kufur (kufur daripada ni‘mat dan ihsan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ).

Mengenai dengan anak susuan pula, apabila seorang anak yang belum mencapai umur dua tahun yang disusukan oleh seorang perempuan yang bukan ibunya sebanyak lima kali susuan yang mengenyangkan, dia dianggap sebagai anak susuan kepada perempuan yang menyusukan. Dengan sebab penyusuan ini terhasillah ikatan mahram di antara kedua-duanya dan juga di antaranya dengan ushûl (nenek, datuk, moyang hingga ke atas) ibu susuan, suami kepada ibu susuan yang menjadi bapa susuannya dan ushûl bapa susuan serta anak-anak kepada ibu dan bapa susuan. Malah ia juga melibatkan persamaan sebahagian hukum-hakam terhadap anak kandung dengan sebab nasab keturunan. Umpamanya dalam perkara tidak membatalkan wudhu dengan bersentuhan, batasan aurat, tidak dinamakan khalwat di antara sesama mereka dan haram nikah sesama mereka sepertimana dalam sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Haram dengan sebab susuan sama seperti apa yang haram dengan sebab nasab keturunan. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Namun, ini bukanlah alasan untuk membolehkan penasaban anak susuan kepada bapa susuan sekalipun yang menyusukan itu adalah mahramnya seperti nenek ataupun ibu saudaranya. Ini kerana apabila penasaban anak susuan kepada bapa susuan berlaku, ia akan menimbulkan kekeliruan yang melibatkan beberapa hukum lain seperti perwarisan dan perwalian nikah sedangkan tidak semua hukum-hakam terhadap anak kandung itu tsabit ke atas anak susuan. Ini kerana masih terdapat beberapa hukum yang berbeza di mana dalam beberapa hukum ini kedua-duanya dianggap sebagai orang asing. Umpamanya kedua-duanya iaitu anak susuan dan ibu bapa susuan saling tidak mewarisi, ibu bapa susuan tidak wajib memberikan nafkah kepada anak susuan, persaksian anak susuan terhadap ibu bapa susuan atau sebaliknya tidak ditolak, hukuman qishâsh tetap dikenakan jika ibu atau bapa susuan membunuhnya dan sebagainya. (Syarh Muslim: 6/3896, Mughnî al-Muhtâj: 5/123 & Raudhah ath-Thâlibîn: 6/418)

Penasaban anak tidak boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya kerana Islam telah menetapkan pentsabitan nasab anak-anak itu mengikut kaedah yang telah ditetapkan syara‘ sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Anak itu bagi siapa yang menggauli ibunya (dalam nikah yang sah). (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, hadits tersebut membawa maksud bahawa apabila seorang lelaki mempunyai seorang isteri atau seorang hamba, maka mereka ini akan menjadi sebagai hamparan tidur baginya iaitu yang halal disetubuhi. Kemudian apabila perempuan tersebut melahirkan seorang anak dalam tempoh waktu yang tertentu, maka anak tersebut ditsabitkan menjadi anak dan hak bagi lelaki berkenaan. Dari itu berjalanlah hukum perwarisan dan hukum-hakam yang lain di antara mereka berdua.

Adapun penasaban seorang anak haram atau anak luar nikah, ia hendaklah kepada nama ibu atau nama ‘Abdullah atau dengan nama Asmâ’ al-Husnâ yang lain dan tidak boleh kepada nama bapa angkat atau bapa susuan apatah lagi kepada nama orang yang telah menyetubuhi ibunya secara haram. Tidak dinafikan penasaban seperti ini boleh menimbulkan tanggapan yang negatif dan masyarakat akan mula memandang hina terhadap anak tersebut. Namun kenyataan ini tidak boleh diubah dan perkara yang haram dilakukan tidak akan bertukar menjadi harus hanya semata-mata kerana menghindari daripada malu dan dihina.

Apa yang perlu dilakukan hanyalah bersabar kerana semua itu merupakan ujian dan setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu daripada mereka dengan cara yang baik. (Surah al-Muzammil: 10)

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan kalau kamu sabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikitpun. Sesungguhnya Allah Maha meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan.” (Surah Âli ‘Imran: 120)

Berdasarkan kepada keterangan ini, walau apa pun alasan atau kedudukan bapa itu sama ada dia sebagai bapa angkat, bapa tiri atau bapa susuan, orang yang hanya berhak dinasab atau di‘bin’kan kepada nama seseorang ialah bapa kandungnya sahaja.

Kepada saudara yang bertanya, saya dengan ikhlas dan mudah-mudahan jua ia adalah petunjuk daripada Allah, ingin menasihati agar membulatkan hati saudara hanya kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, yakin dan beriman sepenuhnya kepada ‘hukum ketentuan’Nya di dalam al-Qur’an, khasnya dalam perkara ini. Kita hanyalah hamba yang lemah serta serba kekurangan, sedang Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, Dialah yang empunya hukum, siapa yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Sila perhatikan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ini:

Tafsirnya: Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik untuk kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk (tidak baik) untuk kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang lebih mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (Surah al-Baqarah: 216)

Saya turut menolak sekeras-kerasnya anggapan bahawa nama ‘Abdullah’ adalah negatif dan boleh membawa ‘aib atau malu. Tidak, sekali-kali tidak! Malah nama ‘Abdullah’ adalah nama indah, suci dan sangat disukai oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kerana ia disandarkan kepadaNya sendiri secara langsung.

Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya (antara) nama-nama kamu yang paling disukai oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ialah ‘Abdullah’ dan ‘Abdur Rahman’.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11525