Memindah Wang Zakat Ke Luar Negara
Soalan: Merujuk Mesyuarat Bagi Membincangkan Cadangan Menjadi Ahli Pengasas Lembaga Zakat Antarabangsa yang diadakan pada 3 November 2008 di bilik Dahlia, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
2. Mesyuarat berkenaan antara lain bersetuju supaya Kementerian Hal Ehwal Ugama meminta pandangan/fatwa daripada Mufti Kerajaan mengenai pemindahan wang zakat dari sebuah negara ke sebuah negara.
3. Adalah difahamkan bahawa Malaysia telah menubuhkan Lembaga Zakat Antarabangsa dikenali sebagai International Zakat Organization (IZO).
4. Tujuan utama penubuhannya adalah untuk memertabatkan zakat dalam mengumpul dana dan dijana bagi meningkatkan pembangunan ekonomi, sosial, perpaduan dan kerjasama dalam kalangan masyarakat dan negara Islam seluruh dunia khususnya membasmi kemiskinan di sebahagian negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).
5. Adapun cadangan negara Malaysia bagi penubuhan zakat seperti di para 3 di atas telah dikemukakan semasa berlangsungnya Sidang Kemuncak Luar Biasa Kali Ketiga Negara- Negara Pertubuhan Persidangan Islam (The Third Extraordinary Session Of The Islamic Summit) di Makkah al-Mukarramah pada 7-8 Disember 2005.
6. Termaktub dalam Articles Of Agreement IZO, chapter XV tajuk Funds Article 23 bilangan 2 iaitu Sumber Wang Kutipan adalah mengandungi perkara-perkara berikut:
a. Wang Zakat, b. Yuran keahlian, c. Sedekah, d. Pemberian (grants), e. Sumbangan-sumbangan lain.
Dan Article 24 berbunyi:
IZO akan menubuhkan 3 akaun berasingan yang diperolehi dari sumber seperti berikut:
i. Wang zakat hendaklah dikeluarkan mengikut prinsip syariah.
ii. Yuran keahlian hendaklah digunakan untuk operasi dan pengurusan IZO dan
iii. Sedekah, pemberian dan lain-lain sumbangan boleh digunakan sebagai pelaburan dan tujuan-tujuan yang difikirkan perlu oleh Lembaga Pemegang Amanah.
7. Sukacita memaklumkan bahawa Kerajaan Malaysia dengan penuh hormat dan takzimnya menjemput Kerajaan Brunei Darussalam supaya menjadi ahli pengasas (founding members) penubuhan IZO.
8. Perkara di para ‘7’ di atas masih lagi dalam pertimbangan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam.
9. Dipohonkan penjelasan dari segi hukum atau fatwa yang berkaitan mengenai dengan pemindahan wang zakat ke luar negara khususnya untuk disumbangkan ke dalam dana IZO tersebut atau sebagainya.
Jawapan: Maksud Memindah Zakat
Memindah zakat bermaksud sebagaimana yang disebutkan oleh asy-Syeikh al-Qalyubi Rahimahullâh ialah:
Ertinya: Memberi zakat kepada orang (ashnâf) yang tidak berada di tempat zakat ketika zakat wajib dikeluarkan, sama ada dia (penerima) daripada kalangan penduduk tempat zakat (yang dikeluarkan) itu atau bukan daripada kalangan mereka, dan sama ada pengeluar zakat mengeluarkannya (memindahkannya) dari tempat (zakat wajib dikeluarkan) atau penerima-penerima zakat datang ke tempat zakat setelah masuknya waktu wajib mengeluarkannya. (Hâsyiah Qalyubi ‘ala al-Minhâj: 3/202)
Hukum Memindahkan Zakat
Menurut pendapat al-azhhar dalam mazhab asy-Syafi‘e bahawa zakat ditegah untuk dipindahkan dari tempat zakat wajib dikeluarkan ke tempat lain. Bahkan ia wajib dikeluarkan dan diagihkan kepada ashnâf yang berhak menerimanya di tempat zakat itu diwajibkan. Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Dan menurut pendapat al-azhhar ditegah memindah zakat. (Mughnî al-Muhtâj: 3/118)
Ini adalah berdasarkan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sebagaimana sabda Baginda kepada Mu‘adz bin Jabal Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Maka apabila mereka (penduduk Yaman) telah patuh dalam hal yang demikian (tentang kewajipan menunaikan sembahyang lima waktu), maka engkau beritakanlah kepada mereka bahawa Allah telah memfardhukan ke atas mereka sedekah (zakat) di dalam harta-harta mereka yang diambil daripada orang-orang kaya daripada kalangan mereka dan diagihkan kepada orang fakir daripada kalangan mereka. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Orang-orang fakir yang disebut di dalam hadits tersebut merujuk kepada orang-orang fakir yang berada di tempat zakat wajib dikeluarkan. Oleh itu, zakat hendaklah diagihkan di tempat ia diwajibkan. Kemudian zakat yang wajib dikeluarkan di suatu tempat, para ashnâf di tempat itu menaruh harapan besar untuk mendapat habuan daripadanya, dan memindahkannya untuk diagihkan ke tempat lain nescaya akan mengecewakan harapan mereka. (Mughnî al-Muhtâj: 3/118)
Tegahan memindahkan zakat ke tempat lain khusus hanya kepada pemilik harta atau pengeluar zakat sahaja apabila terdapat orang yang berhak menerimanya di tempat zakat wajib dikeluarkan. Asy-Syeikh al-Baijuri Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Dan haram ke atas pemilik harta memindahkan zakat dari tempat zakat itu wajib dikeluarkan sedangkan ada orang-orang yang berhak menerimanya (di tempat itu). (Hâsyiah al-Baijuri: 1/293)
Asy-Syeikh al-Jardani Rahimahullâh pula berkata:
Ertinya: Dan haram ke atas pemilik harta (tetapi) tidak ke atas imam (ketua negara), memindahkannya iaitu zakat, sama ada zakat harta atau zakat fitrah dari tempat wajibnya (ia dikeluarkan) ke tempat lain sedangkan ada orang-orang yang berhak menerimanya di tempat itu. (Fath al-‘Allâm: 3/501)
Tetapi jika kesemua ashnâf zakat tidak ada di negeri tempat zakat itu wajib dikeluarkan atau zakat berbaki setelah semua ashnâf yang ada menerima keperluan mereka dengan secukupnya, maka dalam hal ini zakat wajib dipindahkan ke tempat lain yang lebih hampir dengannya.
Dalam hal ini, Ibnu Hajar Rahimahullâh menjelaskan perkataan Imam an-Nawawi Rahimahullâh:
Ertinya: (Jika ashnâf-ashnâf zakat tidak ada dalam sebuah negeri), yakni negeri tempat zakat wajib dikeluarkan, atau zakat berbaki daripada mereka, (maka wajib memindahkannya) atau baki itu kepada ashnâf yang seperti mereka itu di tempat yang lebih hampir dari tempat zakat wajib dikeluarkan. (Tuhfâh al-Muhtâj: 7/174)
Begitu juga, zakat boleh dipindahkan ke tempat lain jika yang memindahkan itu ialah ketua negara atau pemerintah.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata sebagaimana yang dinaqal oleh al-Khathib asy- Syarbini Rahimahullâh:
Ertinya: Pendapat al-ashah berdasarkan hadits-hadits (mengenai pengagihan zakat) imam (ketua negara) dan pemungut zakat (‘âmil) harus memindahkan zakat. (Mughnî al-Muhtâj: 3/118)
Al-Imam al-Adzra‘i Rahimahullâh (salah seorang ulama asy-Syafi‘iyyah) pula menyokong pendapat ini dengan berkata:
Ertinya: Sesungguhnya pendapat itulah (ketua negara dan ‘âmil boleh memindahkan zakat) yang betul berdasarkan yang ditunjukkan oleh khabar-khabar dan sîrah al-Khulafâ’ ar- Râsyidîn Radhiallâhu Ta‘âlâ ‘anhum. (Mughnî al-Muhtâj: 3/118)
Malah bagi ketua negara atau pemerintah boleh memindahkan zakat secara mutlak iaitu sama ada wujud atau tidak orang-orang yang berhak menerimanya di tempat zakat wajib dikeluarkan, atau zakat itu daripada hartanya atau harta orang lain. (Hawâsyi asy-Syarwani wa al-‘Abbadi: 7/173 dan Hâsyiah al-Bujairimi ‘ala al-Manhaj: 3/317-318)
Ibnu Hajar Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Adapun imam (ketua negara atau pemerintah) baginya kuasa memindah zakat secara mutlak. (Tuhfah al-Muhtâj: 7/173)
Asy-Syeikh al-Baijuri Rahimahullâh pula berkata:
Ertinya: Adapun imam (ketua negara) tidak haram memindahkan zakat walaupun ada orang-orang yang berhak di tempat zakat itu wajib dikeluarkan. (Hâsyiah al-Baijuri: 1/293)
Walau bagaimanapun kami berpendapat perlu ditekankan bahawa kuasa imam (ketua negara) untuk memindah zakat hendaklah tertakluk kepada mashlahat berdasarkan kaedah fiqhiyyah yang menggariskan:
Ertinya: Tindak-tanduk imam (ketua negara) ke atas rakyat hendaklah bersesuaian dengan kemashlahatan. (Al-Asybâh wa an-Nazhâ’ir: 1/269)
Dari kaedah fiqhiyyah ini, Imam as-Suyuthi Rahimahullâh memperincikan beberapa cabang hukum daripadanya, antaranya ialah:
Ertinya: Sesungguhnya tidak boleh bagi imam (ketua negara) dalam (mengurus) harta Baitul-Mal mendahulukan orang yang kurang memerlukan ke atas orang yang sangat memerlukan. (Al-Asybâh wa an-Nazhâ’ir: 1/270)
Jika dalam pengurusan harta Baitul-Mal, imam (ketua negara) tidak boleh mendahulukan orang yang kurang memerlukan daripada orang yang sangat memerlukan, maka begitulah juga secara khusus dalam pengurusan harta zakat.
Ini bermakna bahawa berdasarkan kemashlahatan, imam (ketua negara) tidak akan memindahkan zakat ke luar negara selama mana ia lebih diperlukan oleh ashnâf zakat yang berada di dalam negara daripada ashnâf yang berada di luar negara.
Irsyâd
Sehubungan dengan persoalan yang dikemukakan sebagaimana di para 9 dan dengan mengambil kira para 6 Article 23 bilangan 2 (b, c, d dan e), dan Article 24 (ii dan iii) serta para 7 yang disebutkan dalam surat tuan dan hukum memindah zakat yang disebutkan di atas, maka menurut hemat saya adalah lebih bijak dari sudut siyâsah syar‘iyyah tidak melibatkan wang zakat yang dikutip di Negara Brunei Darussalam dengan IZO, sama ada zakat yang belum dibahagi ataupun yang berbentuk baki, tetapi bolehlah dikaitkan dengan wang Baitul- Mal sahaja.
Ini kerana menurut pandangan saya, berdasarkan para 6 (iii) IZO berkemungkinan besar akan melibatkan wang yang diperolehinya termasuk zakat dengan penyimpanan dan mungkin juga pelaburan. Sedangkan menyimpan dan melaburkan zakat tidak selari dengan hukum selama mana ashnâf yang berhak dan memerlukan masih wujud.
Itulah sebabnya saya sebutkan lebih bijak tidak melibatkan wang zakat kita, tetapi tiada halangan melibatkan wang Baitul-Mal jika difikirkan perlu dan bersesuaian.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11529
