Menamakan Syarikat Perniagaan Dengan Nama ‘Sai-Baba’
Soalan: Orang ramai telah membuat aduan bahawa sebuah syarikat telah menggunakan nama SAI- BABA yang membawa makna ‘tuhan’ kepada agama hindu. Sementara menurut satu artikel yang termuat dalam internet telah dikatakan bahawa SAI-BABA merupakan antara 30 Dajjal- Dajjal kecil.
Maka sehubungan dengan itu, Pusat Da‘wah Islamiah ingin mendapatkan fatwa mengenai perkara tersebut.
Jawapan: Nama ‘SAI-BABA’ jika ia adalah betul merujuk kepada Tuhan agama Hindu sebagaimana yang didakwa, maka adalah haram menamakan syarikat perniagaan berkenaan dengan nama tersebut, kerana menggunakan dan meninggikan nama yang ada kaitan dengan perkara kufur. Jika seseorang Islam redha dan bersetuju dengannya boleh membawa kufur dan rosak aqidahnya.
Selain daripada itu, menggunakan dan mempamerkan dengan meletak atau menggantung nama yang ada kaitan dengan perkara kufur, secara tidak langsung menolong menyebar dan mengenalkan nama atau lambang kufur itu. Ini adalah suatu dosa yang wajib dihindari. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. (Surah al-Mâ’idah: 2)
Menggunakan nama yang ada kaitan dengan perkara kufur tidak jauh berbeza dengan persoalan menggunakan lambang kufur seperti salib dan lain-lain cogan agama lain.
Paling tidak, jika seseorang itu cenderung hatinya kepada ‘SAI-BABA’ itu, sekalipun tanpa qashd kepada menduakan atau menyekutukan Allah sebagaimana kepercayaan orang-orang yang mempercayai ‘SAI-BABA’, maka dia tetap melakukan perkara yang haram dan melakukan perkara yang haram itu adalah satu dosa.
Oleh yang demikian, jika dakwaan itu betul, adalah wajib bagi si pemilik sebagai seorang yang beragama Islam mengubah atau menukar nama ‘SAI-BABA’ tersebut dengan nama lain yang elok makna atau maksudnya yang tidak menyalahi agama atau aqidah.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11537
