Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Mengajar Kalimat Syahadat Kepada Orang Bukan Islam Yang Sedang Nazak

Soalan: Bolehkah kita mengajar mengucap kepada kawan kita yang bukan beragama Islam ketika dia sedang nazak menghadapi sakarât al-maut. Adakah ia dituntut oleh agama kita?

Jawapan: Dalam Kamus Bahasa Melayu Nusantara, perkataan ‘mengucap’ membawa makna ‘mengucap dua kalimat syahadat’. Istilah ‘mengucap’ juga biasa digunakan bagi menunjukkan perbuatan melafazkan kalimat ال إله إال هللا ketika seseorang berada di ambang kematian. Kebiasaan ini tidak jauh bezanya dengan pengertian istilah tersebut di dalam kamus, kerana kalimat tauhid ( ال إله إال هللا ) itu adalah sebahagian daripada dua kalimat syahadat sendiri.

Kalimat tauhid adalah kalimat yang mempunyai keistimewaan-keistimewaan tertentu. Antara keistimewaan-keistimewaan tersebut ialah sebagaimana dikhabarkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bahawa barang siapa mengucapkan kalimat tersebut pada akhir hayat mereka, maka dia dijamin masuk syurga. Perkara ini berdasarkan hadits daripada Mu‘adz Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa mengucapkan ال إله إال هللا pada akhir percakapannya (akhir hayatnya), dia masuk syurga. (Hadits riwayat Abu Daud dan al-Hakim)

Oleh sebab itu, apabila seorang Muslim berada dalam keadaan muhtadhir atau hampir dengan saat-saat kematiannya, maka disunatkan ke atas sesiapa yang datang menziarahinya untuk mentalqînkan atau mengajarkannya kalimat tauhid tersebut. (Fath al-Mu‘în dalam I‘ânah ath- Thâlibîn: 2/230)

Perkataan talqîn dalam hal ini bermaksud mengajarkan kalimat ال إله إال هللا kepada orang Islam yang sedang menghadapi saat-saat kematiannya. Ia berbeza dengan lafaz dua kalimat syahadat yang lengkap kerana lafaz أشهد أن yang mendahului lafaz ال إله إال هللا serta lafaz وأشهد أن ُممدا رسول هللا tidak sunat diajarkan kepada mereka. (Fath al-Mu‘în dalam I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/230)

Selain pengertian di atas, perkataan talqîn juga digunakan dalam istilah syara‘ sebagai perbuatan mengingatkan orang yang sudah meninggal dunia dan baru dikebumikan tentang beberapa perkara yang dapat menyiagakan mereka untuk menghadapi soalan Malaikat Munkar dan Nakir di dalam kubur. (Al-Qâmûs al-Fiqhi Lughatan wa Ishthilâhan: 332)

Anjuran mentalqînkan orang Islam adalah berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu yang menyebutkan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Talqînkan (ajarkanlah) orang yang berada di ambang maut (muhtadhir) daripada kalangan kamu lafaz ال إله إال هللا. (Hadits riwayat Muslim, Abu Daud, at-Tirmidzi, Ibnu Majah dan an-Nasa’i)

Adapun orang bukan Islam (kafir dzimmi) yang menetap di negeri orang Islam, mereka juga sunat diajarkan dua kalimat syahadah ketika mereka sedang berhadapan dengan saat-saat kematian. Sekiranya mereka mempunyai harapan untuk menerima agama Islam, maka hukum mengajarkan dua kalimat syahadah kepada mereka menjadi wajib. Dua kalimat syahadah yang dimaksudkan dalam hal ini ialah dua kalimat syahadah yang lengkap, iaitu bukan lafaz ال إله إال هللا sahaja sebagaimana yang ditalqinkan kepada seorang Muslim ketika dia menghadapi saat kematiannya.

Al-Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Adapun ke atas orang kafir maka mereka hendaklah diajarkan dua kalimat syahadat (yang lengkap) berserta ucapan “aku naik saksi,” kerana ia juga merupakan perkara yang wajib sebagaimana yang akan disebutkan kemudian (dalam bab ar-riddah), kerana seseorang itu tidak akan menjadi penganut agama Islam kecuali (setelah dia melafazkan) dua kalimat syahadat. (Fath al-Mu‘în dalam Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/232)

Al-Imam al-Khathib asy-Syirbini Rahimahullâh pula telah menukil kata-kata al-Isnawi Rahimahullâh berikut dalam kitab beliau:

Ertinya: Bahawasanya jika (orang sakit yang diziarahi itu) seorang kafir maka dia wajib diajarkan lafaz dua kalimat syahadat dan wajib dia disuruh untuk mengucapkannya bersandarkan kepada perkhabaran daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam tentang (khadam) Yahudi yang telah dinyatakan sebelum ini sepertimana yang telah disebutkan oleh Syeikh saya (asy-Syihab Ahmad bin Hamzah ar-Ramli al-Kabir Rahimahullâh), iaitu sekiranya dia diharapkan untuk menerima agama Islam. Jika sebaliknya (dia tidak diharapkan untuk menerima agama Islam) maka hukum (mengajarkan lafaz dua kalimat syahadat itu) adalah sunat. (Mughnî al-Muhtâj: 2/5)

Dua kalimat syahadat yang dimaksudkan itu ialah:

Ertinya: Aku naik saksi bahawasanya tiada tuhan yang disembah melainkan Allah, dan aku naik saksi bahawasanya Nabi Muhammad adalah Pesuruh Allah.

Dalil yang menjadi sandaran dalam perkara ini ialah hadits shahîh yang telah diriwayatkan oleh Anas Radhiallâhu ‘anhu. Beliau berkata:

Maksudnya: Seorang budak Yahudi yang menjadi khadam kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah jatuh sakit. Baginda datang menziarahinya dan duduk di sisi kepalanya. Kemudian Baginda bersabda: “Masuklah ke dalam agama Islam”. Dia (khadam) melihat ayahnya yang berada di sisinya. Maka ayahnya berkata: “Patuhlah kepada Abu al-Qasim (iaitu Nabi) Shallallâhu ‘alaihi wasallam”. Maka dia pun masuk Islam. Nabi keluar lalu bersabda: “Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkannya dari api neraka.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Ahmad)

Kedudukan Agama Orang Bukan Islam Yang Mengucapkan Syahadat Ketika Menghadapi Saat Kematian

Apabila orang bukan Islam mengucapkan dua kalimat syahadat ketika dia hampir mati, maka akan timbul persoalan tentang kedudukan agamanya. Adakah dia sah dianggap seorang yang beragama Islam atau sebaliknya? Dalam hal ini, dua keadaan berikut perlu diselidiki:

1. Jika dia mengucapkan dua kalimat syahadat sebelum tiba saat ghargharah, maka dia dihukumkan sebagai seorang yang mati dalam agama Islam.

2. Manakala jika dia mengucapkan dua kalimat syahadat dalam keadaan ghargharah, dia tidak dihukumkan sebagai orang Islam.

Maksud ghargharah dapat difahami sebagai keadaan air yang bergelegak di rongga leher apabila dimasukkan ke dalam mulut seseorang dan tidak ditelan ke dalam perut. Para ulama menjelaskan bahawa ghargharah itu bererti satu tahap di mana roh telah sampai ke pertengahan leher (halqûm). Apabila tahap tersebut telah tiba maka kematian itu menjadi satu perkara yang pasti berlaku. (Tuhfah al-Ahwazi: 9/415, Targhîb wa Tarhîb: 4/9, al-Qâmûs al- Muhîth: 578 & al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah: 31/179)

Menurut ulama, taubat tidak diterima apabila seseorang itu sudah berada pada saat ghargharah. Al-Khathib asy-Syirbini Rahimahullâh menyatakan bahawa antara syarat taubat itu ialah ia hendaklah dilakukan sebelum tiba saat tersebut.

Ertinya: Perhatian yang kelapan: Bahawasanya antara syarat-syarat taubat itu sebagai tambahan kepada (syarat-syarat) yang telah disebutkan sebelum ini ialah (tujuan) taubat itu hendaklah semata-mata kerana Allah Ta‘ala. Sekiranya seseorang itu bertaubat daripada maksiat yang berkaitan dengan harta kerana kemiskinan atau ketidakcukupan keperluan dirinya atau sebagainya, maka taubatnya itu adalah tidak sah. (Demikian juga) taubat itu mestilah dilakukan sebelum hayat seseorang itu sampai ke tahap ghargharah atau sampai ke suatu masa kecemasan disebabkan telah tiba tanda-tanda Hari Kiamat seperti matahari terbit di sebelah barat. (Mughnî al-Muhtâj: 6/366)

Perkara ini adalah bersandarkan kepada hadits yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ yang menyebutkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah menerima taubat seseorang itu selama mana (rohnya) belum sampai saat ghargharah. (Hadits riwayat at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Berdasarkan keterangan ini, maka jelas bahawa seseorang yang asalnya bukan beragama Islam, apabila dia sempat mengucapkan dua kalimat syahadat dengan penuh kesedaran sebelum rohnya sampai ke halqûmnya, maka dia dihukumkan sebagai seorang Muslim. Maka, hukum-hakam yang berkaitan dengan dirinya sebagai seorang Muslim perlu dilaksanakan setelah kematiannya seperti penyempurnaan jenazahnya dan juga pengurusan harta-harta peninggalannya.

Para ulama juga telah menerangkan bahawa dalam soal mentsabitkan seseorang sama ada dia telah memeluk agama Islam atau sebaliknya, bilangan saksi yang harus diadakan ialah sebanyak dua orang lelaki yang ‘âdil. Asy-Syeikh Zakaria al-Anshari Rahimahullâh pengarang kitab Asnâ al-Mathâlib berkata:

Ertinya: Maka begitulah halnya (yakni tidak akan tsabit melainkan dengan dua orang saksi lelaki), dan yang demikian itu ialah seperti akad nikah, rujuk, thalaq, memerdekakan hamba sahaya, masuk Islam dan murtad... (Asnâ al-Mathâlib: 4/360)

Penyaksian bukanlah syarat dalam perkara memeluk agama Islam. Bagaimanapun, ia menjadi satu keperluan dalam keadaan-keadaan tertentu khususnya apabila sesuatu urusan memerlukan penyelesaian dalam mahkamah. Penyaksian dalam hal ini dapat menjadi bahan bukti untuk mengesahkan seseorang itu sama ada telah memeluk agama Islam atau sebaliknya. Sesuatu pertikaian apabila ia berlaku tidak akan dapat diputuskan atau ditsabitkan apa-apa hukuman mengenainya kecuali setelah bukti-bukti yang diperlukan dapat dikemukakan. Undang-undang Negara Brunei Darussalam telah menetapkan bahawa apabila seseorang itu telah mengucapkan dua kalimat syahadat, dia “hendaklah hadir di hadapan qadhi daerah di mana dia biasanya tinggal” untuk urusan-urusan pendaftaran dan sebagainya. (Akta Majlis Ugama Islam Dan Mahkamah-Mahkamah Kadi, Penggal 77)

Oleh itu, sayugia diingatkan bahawa apabila orang bukan Islam ingin mengucapkan lafaz dua kalimat syahadat, ada baiknya majlis tersebut dihadiri oleh beberapa orang saksi. Saksi-saksi yang memenuhi ciri-ciri yang telah diterangkan oleh ulama, apabila dapat diadakan, boleh membantu menyelesaikan masalah-masalah yang mungkin timbul pada kemudian hari.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11541