Mengapa Khinzîr (Babi), Anjing Dan Bangkai Haram?
Soalan: Saya pernah dikemukakan soalan hukum halal/haram berikut oleh rakan bukan Islam saya:
1. Mengapakah binatang babi dan anjing diharamkan dalam Islam?
2. Mengapa binatang mesti disembelih dahulu sebelum halal dimakan oleh orang-orang Islam?
3. Menurut satu fakta yang saya temui, babi haram kerana segala kumuhan terkumpul dalam badannya menyebabkan sesiapa yang memakannya tidak sihat dan lagi babi tidak mempunyai leher untuk disembelih. Bagaimana pula dengan anjing yang sememangnya mempunyai leher?
Selain mengatakan ia hukum Allah, apakah jawapan terbaik yang sepatutnya saya sampaikan kepadanya?
Jawapan: Apa jua hukum yang disyariatkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, wajib kita mematuhinya secara ta‘abbudi (memperhambakan diri kepada Allah) atau kerana tujuan ibadat sebagai mensyukuri ni‘mat yang dikurniakan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kepada kita dan untuk mengagungkanNya, sekalipun tidak semuanya dapat diselami rahsia, hikmat atau sebab pensyariatan tersebut.
Demikian itulah nisbah pensyariatan mengenai pengharaman khinzîr, anjing dan binatang yang tidak disembelih. Walaupun kewajipan kita adalah untuk mematuhi hukum pengharaman itu, namun tidaklah mengapa kalau kita cuba mencari sebab-sebab larangan tersebut, sebab itulah mengapa para ilmuan sesuai dengan bidang kepakaran mereka atau para ulama membuat kajian-kajian tentang hikmat atau rahsia di sebalik sesuatu larangan itu. Akhirnya akan ditemui secara mutlak bahawa Maha Suci Allah itu daripada menjadikan sesuatu dengan sia-sia, maka bertambah-tambah iman dan ketaqwaan kita kepada Allah (bagi yang beriman).
Berikut adalah antara hikmat pengharaman khinzîr, anjing dan binatang yang tidak disembelih secara syara‘:
1. Hikmat pengharaman khinzîr.
Pengharaman khinzîr disebutkan dalam al-Qur’an sebanyak empat kali, iaitu dalam surah al- Baqarah ayat 173, al-Mâi’dah ayat 3, al-An‘âm ayat 145 dan an-Nahl ayat 115. Dalam surah al-An‘âm umpamanya, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging khinzîr – kerana sesungguhnya ia adalah kotor –, atau sesuatu yang dilakukan secara fâsiq, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain daripada Allah. Kemudian sesiapa terpaksa (memakannya kerana dharurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-An‘âm: 145)
Menurut Imam ar-Razi Rahimahullâh, seorang ahli tafsir yang lahir pada tahun 544H dan wafat pada tahun 604H, bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mengharamkan khinzîr kerana keadaannya yang najis. Ini menunjukkan kenajisan adalah ‘illah (sebab) kepada pengharaman memakannya. Oleh yang demikian, setiap najis adalah dihukumkan haram untuk dimakan. (Tafsîr al-Fakhr ar-Razi: 13/231)
Khinzîr didefinisikan dalam kitab al-Mausû‘ah ath-Thibbiyyah al-Fiqhiyyah (Ensiklopedia Perubatan Berdasarkan Fiqh) sebagai binatang yang buruk perangai. Ia mencari makan di tempat pembuangan sampah, sisa dan najis. Ia juga tidak hirau untuk memakan bangkai, malah ia sengaja membiarkan mangsa-mangsanya yang telah mati itu selama beberapa hari sehingga menjadi busuk sebelum melahapnya. Ia adalah binatang yang cepat membiak dan tumbuh membesar. Ini adalah disebabkan oleh banyaknya terkumpul hormon pertumbuhan (growth hormone) dan hormon-hormon yang mendorong pembiakan (gonadotrophins) di dalam badannya. (Al-Mausû‘ah ath-Thibbiyyah al-Fiqhiyyah: 442).
Antara tabiat khinzîr itu ialah bersifat malas, melampaui batas (seperti makan berlebih-lebihan), sangat gemar mengawan, tidak suka pada sinaran matahari, tidak mempunyai semangat melawan walaupun untuk mempertahankan diri. Semakin meningkat umurnya, semakin bertambah pula malasnya. Ia makan apa sahaja yang dihidangkan sekalipun najisnya sendiri atau najis manusia. Ia lebih suka hidup di tempat-tempat kotor daripada tempat-tempat bersih. Ia hanya makan dan tidur. Ia tidak suka banyak merayau. Ia lebih tamak daripada binatang-binatang jinak yang lain. Ia juga tidak mempunyai sifat cemburu seperti cemburunya binatang lain sehingga membiarkan khinzîr betina bersama khinzîr jantan lain. Sekalipun khinzîr dipelihara dalam persekitaran yang bersih tetapi ia masih tidak dapat lari daripada tabiatnya. Contohnya, walaupun ia diberi makan dengan makanan khas dan bersih, namun pada akhirnya ia didapati memakan najisnya juga. (Hikmah wa Asbâb Tahrîm Lahm al- Khinzîr fi al-‘Ilm wa ad-Dîn: 18-19)
Seperti yang diketahui umum, benda-benda yang kotor atau najis mengandungi bakteria atau kuman yang boleh menyebabkan penyakit.
Berdasarkan kajian perubatan moden, sudah terbukti kini bahawa khinzîr mengandungi pelbagai virus dan parasit yang tidak akan mati sekalipun sesudah ia dimasak. Virus dan parasit tersebut jika berpindah ke badan manusia akan mengakibatkan pelbagai penyakit yang memudharatkan. (Hikmah at-Tasyrî‘ wa Falsafatuh: 285, al-Mausû‘ah ath-Thibbiyyah al- Fiqhiyyah: 442)
Antara penyakit tersebut adalah seperti berikut:
i. Influenza A: Penyakit yang disebabkan oleh jangkitan virus pada sistem pernafasan.
ii. Japanese B Encephalitis: Sejenis penyakit radang otak.
iii. Stomatitis: Penyakit radang mulut.
iv. Myocarditis: Penyakit radang otot jantung.
v. Brucellosis: Penyakit demam yang terdapat pada binatang ternak (seperti khinzîr) disebabkan oleh jangkitan bakteria daripada jenis Brucella dan boleh menjangkiti manusia melalui sentuhan atau dengan meminum susu tercemar yang tidak dibasmi kumannya.
vi. Salmonellosis: Serangan bakteria Salmonella pada sistem penghadaman dan boleh mengakibatkan demam kepialu atau keracunan makanan.
vii. Leptospirosis: Penyakit yang disebabkan oleh jangkitan bakteria Leptospira. Penyakit ini bermula dengan demam tinggi dan sakit kepala. Ia juga boleh menyerang hati (mengakibatkan penyakit kuning) atau ginjal (mengakibatkan kegagalan ginjal).
viii. Anthrax: Penyakit yang terdapat pada binatang ternak (seperti khinzîr) disebabkan oleh jangkitan bakteria Bacillus Anthracis dan boleh menjangkiti manusia melalui sentuhan bulu, kulit dan najis binatang yang dijangkiti. Ia boleh menyerang sama ada paru-paru manusia sehingga mengakibatkan keradangan atau menyerang kulit manusia sehingga mengakibatkan ulser.
ix. Taenea Solium: Sejenis cacing pita dalam usus khinzîr dan boleh berpindah ke usus manusia. Panjangnya boleh mencapai 10 kaki. Ia menghisap makanan yang dicernakan sehingga menyebabkan kekurangan darah dan gangguan pencernaan serta pembuangan. Sebahagian cacing pula boleh berpindah dari perut ke darah dan anggota lain seperti otak, limpa, sumsum tulang belakang dan paru-paru. Kehadirannya di otak malah lebih parah hingga boleh menyebabkan kemerosotan mental, lumpuh, pening dan serangan sawan babi.
Di samping lain-lain penyakit selain yang disebutkan di atas. Demikian juga, di antara penemuan terbaru yang ditemukan oleh pakar genetik bahawa terdapat virus penyakit yang bercampur dengan DNA khinzîr jika berpindah kepada manusia boleh menyebabkannya menghidapi penyakit berbahaya. (Al-Mausû‘ah ath-Thibbiyyah al-Fiqhiyyah: 442, Hikmah wa Asbâb Tahrîm Lahm al-Khinzîr fi al-‘Ilm wa ad-Dîn: 28, Oxford Concise Medical Dictionary)
2. Hikmat pengharaman anjing.
Berdasarkan ayat 145, surah al-An‘âm yang telah disebutkan sebelum ini, ‘illah khinzîr diharamkan adalah kerana kenajisannya. Demikian juga ‘illah pengharaman anjing sama seperti khinzîr iaitu kerana kenajisannya. (At-Tafsîr al-Munîr: 8/80-81)
Kenajisan anjing dan khinzîr termasuk dalam kategori najis mughallazhah (najis yang berat) kerana cara penyucian setiap apa yang terkena kedua-dua binatang tersebut; termasuk apa sahaja yang berasal daripadanya seperti bulunya yang basah, air liur, tahi dan air kencing, ialah dengan air sebanyak tujuh kali dan salah satunya dicampur dengan tanah. (Nihâyah al- Muhtâj: 1/251, 252 & 254)
Kenajisan anjing disebutkan dalam hadits daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, sabda Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Jika anjing menjilat pada bejana seseorang kamu, maka hendaklah membasuhnya sebanyak tujuh kali; salah satunya dengan (air bercampur) tanah. (Hadits riwayat an-Nasa’i)
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam juga enggan memasuki rumah yang terdapat anjing di dalamnya kerana kenajisan anjing itu.
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah datang ke sebuah rumah daripada kalangan orang-orang Anshar sedangkan rumah-rumah mereka yang lain tidak didatanginya. Ini menimbulkan keresahan di kalangan mereka. Lalu mereka bertanya kepada Nabi: “Wahai Rasulullah! Tuan telah datang ke rumah si polan dan tidak datang ke rumah kami?” Maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya dalam rumah kamu itu ada anjing”. Mereka berkata: “Sesungguhnya dalam rumah mereka itu ada kucing hutan”. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menjawab: “Kucing hutan itu adalah binatang liar (bukanlah najis).” (Hadits riwayat al-Hakim)
Menurut kajian para ilmuwan sains perubatan terkini, pelbagai penyakit boleh diperolehi dengan menyentuh anjing. Ia boleh jadi disebabkan oleh virus, bakteria, fungus, protozoa, cacing, serangga atau hama yang terdapat di dalam atau pada badan anjing. Parasit yang ada pada anjing boleh sahaja berpindah kepada manusia yang mengusap bulu anjing atau tersentuh najis anjing. Kutu-kutu anjing pula hinggap pada tempat-tempat anjing biasa berehat di dalam sesebuah rumah. Jadi, jika anjing tersebut tiada, kutu-kutu itu akan melompat ke badan manusia untuk mencari makan. Di kawasan tropika, berjalan kaki tanpa kasut di atas pasir atau tanah yang pernah dicemari oleh najis anjing boleh membawa kepada jangkitan cacing kerawit anjing. (A-Z Family Health Encyclopedia: 368)
Selain kenajisannya, anjing juga haram untuk dimakan kerana tergolong dalam kategori binatang buas yang mempunyai taring. Telah terbukti bahawa air liur, lelehan dan darah binatang buas yang mempunyai taring mengandungi virus seperti rabies yang boleh membunuh manusia. (Hikmah wa Asbâb Tahrîm Lahm al-Khinzîr fi al-‘Ilm wa ad-Dîn: 17)
Hadits daripada Abu Tsa‘labah Radhiallâhu ‘anhu menyebutkan:
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melarang untuk memakan setiap binatang yang bertaring daripada binatang buas. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Menurut kajian para ilmuwan sains perubatan, antara penyakit yang boleh disebabkan oleh anjing ialah:
i. Rabies: Antaranya penyakit anjing gila yang disebabkan oleh virus yang menjangkiti sistem saraf. Ia terdapat pada air liur anjing dan boleh berjangkit melalui gigitan atau jilatan pada rekahan kulit manusia. Virus itu pula akan merebak dari luka melalui saluran saraf hingga ke otak. Ini menyebabkan radangan, kekejangan otot dalam kerongkong dan pelbagai gejala lain. Ia adalah penyakit yang boleh membunuh dengan nisbah peratus iaitu 100%.
ii. Hydatidosis: Serangan parasit yang terdiri daripada anak-anak cacing pita, digelar sebagai Echinococcus Granulosus, yang ada pada anjing. Ia biasa menyerang hati, paru-paru, otot atau otak yang perlahan-lahan menumbuhkan lebaman-lebaman cecair (cysts). Kehadirannya pada otak boleh mengakibatkan buta dan lumpuh. Lebaman cecair yang pecah pula boleh mengakibatkan tindak balas alergi seperti demam dan Urticaria (ruam gatal).
iii. Toxocariasis: Serangan cacing yang digelar Toxocara Canis, yang tinggal di dalam usus anjing. Cacing-cacing tersebut akan mengeluarkan sejumlah besar telur pada najis anjing. Tempat laluan anak-anak cacing masuk ke badan manusia boleh menyebabkan tanda-tanda alergi seperti asma, dan jika ia melekat di mata pula, boleh menyebabkan buta.
(Oxford Concise Medical Dictionary, al-Mausû‘ah ath-Thibbiyyah al-Fiqhiyyah: 803, A-Z Family Health Encyclopedia)
3. Hikmat pengharaman bangkai.
Imam ar-Ramli Rahimahullâh menerangkan bangkai ialah binatang yang mati tanpa melalui proses penyembelihan yang disyariatkan Islam. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/238) Pengharaman memakan bangkai sering beriringan dengan pengharaman khinzîr. Umpamanya dalam ayat 145, surah al-An‘âm yang telah disebutkan sebelum ini. ‘Illah pengharaman adalah sama iaitu kerana kenajisannya dan juga ia adalah perbuatan fâsiq kerana disembelih bukan kerana Allah. (Tafsîr al-Fakhr ar-Râzi: 13/231, at-Tafsîr al-Munîr: 8/80-81)
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam ayat lain:
Tafsirnya: Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging khinzîr (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain daripada Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan (diharamkan juga) yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu mengundi nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fâsiq. (Surah al-Mâi’dah: 3)
Dalil pengharaman khinzîr dan bangkai juga disebut dalam hadits daripada Jabir bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhumâ, sabda Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah dan RasulNya telah mengharamkan urus niaga arak, bangkai, khinzîr dan berhala. Kemudian Baginda ditanya: “Wahai Rasulullah! Bagaimana pula dengan lemak bangkai yang digunakan untuk mengecat perahu, untuk dilumurkan di kulit supaya berminyak dan manusia menggunakannya untuk menyalakan lampu?” Baginda menjawab: “Tidak boleh! Ia tetap haram!” Lalu Baginda meneruskan sabda ketika itu: “Semoga Allah membinasakan orang-orang Yahudi. Sesungguhnya tatkala Allah mengharamkan lemak bangkai kepada mereka, mereka cairkan lemak itu (menjadi minyak) lalu menjualnya dan memakan hasil penjualan tersebut. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Antara hikmat pengharaman binatang yang mati tanpa melalui proses penyembelihan yang disyariatkan oleh Islam ialah kerana kemudharatannya; iaitu darah yang tersekat di dalamnya akan menyebabkan dagingnya tercemar dan menjadi rosak sehingga boleh memberi penyakit kepada sesiapa yang memakannya. (At-Tafsîr al-Munîr: 8/80)
Menurut Imam al-Qurthubi Rahimahullâh, binatang yang dialirkan darahnya akan menjadi lebih baik kerana ia akan cepat kering. Oleh itu, proses penyembelihan yang mengikut syariat Islam adalah bertujuan untuk membersihkan atau menyucikan binatang tersebut daripada najis. (Al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’an: 6/52-53)
Fakta-fakta ini telah terbukti melalui projek kajian yang diketuai oleh Professor Dr.rer.nat. Abd-ElAziem Farouk Gad, seorang pensyarah Universiti Brunei Darussalam, mengenai perbezaan antara penyembelihan menurut kaedah Islam, penyembelihan yang tidak menurut kaedah Islam dan penyembelihan yang terlebih dahulu melalui proses ‘stunning’.
Kajian dijalankan ke atas 38 ekor ayam yang kesemuanya mempunyai berat yang sama. Hasil daripada kajian tersebut menunjukkan, pada 90 saat yang pertama setelah penyembelihan, darah yang keluar dari ayam yang disembelih menurut kaedah Islam adalah 1.5 hingga 2 kali lipat ganda lebih banyak berbanding ayam yang disembelih tidak menurut kaedah Islam dan ayam yang disembelih dengan terlebih dahulu melalui proses ‘stunning’. Catatan masa darah yang keluar dari ayam yang disembelih menurut kaedah Islam juga menunjukkan 2 hingga 3 kali lipat ganda lebih lama berbanding ayam yang disembelih tidak menurut kaedah Islam dan ayam yang disembelih dengan terlebih dahulu melalui proses ‘stunning’.
Ayam yang disembelih menurut kaedah Islam itu juga tidak menunjukkan apa-apa tanda tekanan fizikal (physiological stress), perubahan kerana penyakit (pathological changes) atau penyakit-penyakit yang berhubung darah. Berlainan dengan ayam yang disembelih dengan terlebih dahulu melalui proses ‘stunning’ dan ayam yang disembelih tidak menurut kaedah Islam, kesemuanya menunjukkan perkumpulan darah pada hati, paru-paru, jantung, buah pinggang dan pada kebanyakan tisu otot seperti dada, paha, leher dan kawasan muka. Paru-paru didapati bengkak dan daging yang dilapah berwarna kebiru-biruan. Kesemua ayam yang disembelih dengan terlebih dahulu melalui proses ‘stunning’, mempunyai bau yang sangat busuk, lembap dan berlendir setelah pengeraman selama dua hari pada suhu bilik (23C). Manakala ayam yang disembelih menurut kaedah Islam, tidak didapati berbau busuk, lembap dan berlendir.
Demikian juga didapati 10 spesis bakteria pada daging segar yang disembelih melalui proses ‘stunning’, 5 spesis bakteria pada daging yang disembelih tidak menurut kaedah Islam dan hanya 3 spesis bakteria pada daging yang disembelih menurut kaedah Islam. Penelitian secara mikroskop ke atas darah dan tisu binatang yang disembelih menurut kaedah Islam jelas menunjukkan bahawa ia adalah lebih sihat dan selamat untuk pemakanan manusia dan proses perindustrian selanjutnya.
Menurut kajian para ilmuwan sains perubatan juga, hikmat Ilahi di sebalik pengharaman bangkai telah terbukti dengan tersingkapnya penyakit-penyakit berbahaya yang diakibatkan olehnya. Antaranya ialah seperti penyakit Lembu Gila (Mad Cow) yang pernah tersebar di Eropah pada pertengahan tahun 90an dan tahun-tahun selepasnya. Hasil kajian dan penyelidikan ilmiah tersebut menunjukkan bahawa penyakit tersebut adalah berpunca daripada memakan daging bangkai lembu ternakan. (Al-Mausû‘ah ath-Thibbiyyah al-Fiqhiyyah: 667)
Hikmat dan ‘illah pengharaman khinzîr, anjing dan bangkai yang telah disebutkan di atas hanya merupakan sebahagian sahaja yang dapat diterokai oleh ilmu manusia. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ jua yang lebih mengetahui segala-galanya. Namun apa yang telah diungkapkan sudah mencukupi bagi kita untuk mengelakkan diri daripada memakan binatang-binatang tersebut.
Ini kerana makanan bukan hanya masuk ke dalam sistem penghadaman dan keluar melalui saluran najis, tetapi ia juga menyerap ke dalam badan melalui darah dan mengalir ke seluruh bahagian tubuh manusia termasuk otak.
Oleh sebab itu, Allah memerintahkan kita untuk memakan benda-benda yang halal lagi baik sebagaimana perkara ini disebut dalam surah al-Baqarah, ayat 168. Makanan yang halal lagi baik akan memberi kesan kepada tubuh badan, bahkan sikap dan pemikiran. Selain itu, ia juga adalah pra syarat agar do‘a mudah diterima oleh Allah.
Hikmat daripada semua yang ada di alam ini ialah sebagai bukti kewujudan Penciptanya Yang Maha Bijaksana yang mempunyai segala sifat kesempurnaan. Maka, penciptaan khinzîr dan mudharatnya bangkai merupakan satu lagi bukti tentang kebenaran al-Qur’an.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11545
