Mewarnakan Rambut Dan Kesannya Terhadap Mandi Hadas Besar
Soalan: Dalam satu artikel yang dikeluarkan oleh JAKIM bahawa mewarnakan rambut dengan pewarna rambut atau dye, jika seseorang itu hendak mandi wajib, mandi wajibnya tidak sah. JAKIM juga tidak menafikan pewarna rambut itu memang halal untuk dipakai tetapi dari segi mandi wajibnya masih tidak sah.
Saya amat berharap pihak Mufti Kerajaan akan dapat memberikan fatwa atau sebagainya untuk memastikan kehalalan pemakaian pewarna rambut.
Jawapan: Hukum Mewarnakan Rambut
Mewarna rambut dan juga janggut yang beruban adalah sunat. Manakala warna yang dibenarkan ialah kekuningan atau kemerahan. Inilah pendapat yang disepakati oleh para ashhâb (asy-Syafi‘e). (Al-Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab: 1/360-362)
Perkara sunat ini berdasarkan hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu yang meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Bahawasanya orang-orang Yahudi dan Nashrani tidak mewarnai uban (pada rambut atau janggut mereka), kerana itu buatlah kelainan daripada mereka. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Ini diperkuatkan lagi dengan peristiwa ketika Abu Quhafah (ayah kepada Sayyidina Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhu) dibawa ke hadapan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam pada hari pembukaan Makkah. Ketika itu rambut dan janggutnya dipenuhi dengan uban, lalu Baginda bersabda:
Maksudnya: Tukarkan (warna uban) itu dengan sesuatu dan jauhilah daripada (menggunakan) pewarna hitam. (Hadits riwayat Muslim)
Sementara itu pula rambut yang tidak beruban adalah sayugianya dikekalkan atau dibiarkan sepertimana aslinya. Ia tidak perlu diwarnakan kecuali jika ada sesuatu yang memerlukan ia diwarnakan umpamanya untuk tujuan perubatan.
Larangan Mewarnai Rambut Dengan Warna Hitam
Para fuqahâ’ sepakat mencela perbuatan mewarnai rambut dengan warna hitam. Pendapat yang shahîh mengatakan bahawa ia haram digunakan melainkan ke atas orang-orang yang berjihâd. (Al-Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab: 1/360-362)
Dalil haram mewarna rambut dengan warna hitam berdasarkan riwayat daripada Jabir Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Pada hari penaklukkan Makkah, dibawa Abu Quhafah ke hadapan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dengan rambut dan janggutnya berwarna putih seperti tsaghâmah (sejenis tumbuhan yang bunga dan buahnya berwarna putih). Maka Baginda bersabda: “Tukarlah ini dengan sesuatu (yang lain), dan jauhilah (daripada menggunakan) warna hitam.” (Hadits riwayat Muslim)
Sementara hadits daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Pada akhir zaman akan banyak kaum yang mewarnai rambut dengan warna hitam seperti dada burung merpati, mereka itu tidak dapat mencium harumnya bau syurga.” (Hadits riwayat Abu Daud)
Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitabnya Syarh Shahîh Muslim menyatakan tentang kedudukan hukum mewarnakan rambut atau janggut yang beruban dengan warna hitam, katanya:
Ertinya: Dan haram mewarnainya (rambut atau janggut yang beruban) dengan warna hitam menurut pendapat yang ashah.” (Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi: 4/812)
Sungguhpun mewarnakan uban dengan warna hitam ini dihukumkan haram, namun terdapat beberapa pengecualian. Sebagaimana yang dinyatakan oleh para ulama, pewarna hitam itu harus digunakan andainya dengan tujuan untuk menakutkan musuh dalam masa berjihâd. Begitu juga orang perempuan diberi kelonggaran menggunakan warna hitam untuk tujuan berhias bagi suaminya, sebagaimana disebutkan oleh Ishaq bin Rahawiyah Rahimahullâh. (Al-Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab: 1/360-362)
Menurut Syihab ar-Ramli Rahimahullâhu Ta‘âlâ, harus bagi perempuan yang bersuami mewarna uban rambutnya dengan warna hitam jika mendapat keizinan suami. (Bughyah al- Mustarsyidîn: 78)
Dye Rambut Yang Dijual Di Pasaran
Apabila diperhatikan, sememangnya banyak pewarna rambut yang dijual di kedai-kedai dilabel dengan logo halal dan ini termasuklah produk yang disahkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagaimana yang ditanyakan penanya di sini. Tetapi apakah penggunaannya itu tidak akan menghalangi air untuk sampai ke rambut atau kulit rambut ketika mengangkat hadas kecil dan besar? Kerana mungkin saja apa yang dimaksudkan dengan label HALAL itu ialah bahan-bahan yang digunakan untuk membuat pewarna atau dye tersebut adalah bersih atau suci daripada benda-benda yang diharamkan oleh Islam. Maka pewarna rambut tersebut adalah ‘halal’ dari segi bahan-bahannya.
Sebagaimana yang diketahui rambut merupakan bahagian yang wajib dibasuh ketika mandi hadas besar dan kecil (berwudhu). Ini bererti air yang bersih wajib sampai ke semua bahagian rambut termasuk kulit kepala ketika mandi hadas atau ke sebahagian rambut ketika berwudhu. Jika terdapat sesuatu yang boleh menghalangi air daripada sampai ke rambut, maka tidaklah sah mandi dan wudhu berkenaan. Sehubungan dengan ini juga, ibadat-ibadat yang dilakukan seperti sembahyang menjadi tidak sah kerana hadas tidak terangkat.
Dari itu sekiranya pewarna rambut itu sifatnya melekat boleh melapisi rambut, walaupun ia suci, maka ia tidak harus digunakan bahkan berdosa menggunakannya kerana penggunaannya itu akan menyebabkan terhalang air untuk sampai ke rambut, yang menjadikan mandi junub dan wudhu tidak sah.
Berbeza jika pewarna rambut itu tidak melekat seperti inai, yang boleh meresap pada kulit, kuku atau rambut, maka ia tidak akan menghalangi air daripada sampai kepada bahagian-bahagian yang wajib dibasuh.
Meniru Gaya Dan Fesyen Orang Kafir
Perbuatan mewarnakan rambut dengan bahan, bentuk atau gaya yang tidak ada dalam akhlak Islam, adalah dilarang dan hukumnya haram, sekalipun pewarna itu suci. Ini dapat dianggap sebagai menyerupai perbuatan orang bukan Islam, sedangkan perbuatan menyerupai itu dilarang oleh Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam, sebagaimana dinyatakan dalam hadits daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia adalah daripada golongan mereka. (Hadits riwayat Abu Daud)
Menurut Ibnu al-Qaiyim Rahimahullâhu Ta‘âlâ menyerupai mereka dari sudut penampilan zhahiriyyah (secara zahir) merupakan suatu jalan ke arah menyetujui maksud dan perbuatan mereka serta menganggap perkara itu perkara baik.
Perbuatan menyerupai itu amatlah ditegah, demi menjaga iman dan aqidah umat Islam daripada terjebak kepada perkara yang boleh membawa kufur. Wal-‘iyâdzubillâh. Kesimpulannya mewarna uban rambut atau janggut dengan warna hitam adalah haram, melainkan bagi orang-orang yang akan berjihâd untuk tujuan menakutkan musuh atau perempuan yang bersuami bagi tujuan berhias untuk suaminya itu setelah mendapat keizinan suaminya.
Adapun men‘dye’ rambut dengan bahan-bahan apapun warnanya, yang boleh menghalangi air sampai kepada kulit rambut sekalipun bahan itu suci adalah ditegah kerana ia boleh menghalangi air ketika mengangkat wudhu atau ketika mandi hadas besar. Jika ini berlaku maka ibadat yang dilakukannya seperti sembahyang sama ada fardhu atau sunat adalah tidak sah kerana masih dalam keadaan berhadas.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11550
