Nazar Membawa Kedua Ibu Bapa Menunaikan Fardhu Haji
Soalan: Hampir 10 tahun yang lalu, semasa saya masih menuntut di Universiti, saya ada bernazar dengan mengatakan, “Jika saya lulus peperiksaan saya dan menerima ijazah, saya akan membawa kedua ibu bapa saya menunaikan fardhu haji”, dengan menanggung perbelanjaan untuk pergi menunaikannya.
Walau bagaimanapun, bapa saya yang telah menunaikan fardhu hají sebelum ini juga ingin menghajikan nenek saya yang telah meninggal dunia dan belum menunaikan fardhu haji.
Bolehkah bapa saya menghajikan nenek saya yang telah meninggal dunia, sedangkan haji bapa saya itu adalah untuk membayar nazar saya? Adakah niat khusus digunakan untuk menunaikan ibadat-ibadat haji dan umrah, misalnya perlukah dinyatakan perkataan ‘nazar’ untuk setiap perbuatan?
Jawapan: Bernazar pernah dilakukan oleh umat sebelum umat Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam lagi. Ia pernah dilakukan oleh isteri ‘Imran, ibu kepada Maryam, sewaktu beliau mengharapkan kandungannya seorang anak lelaki. Peristiwa ini disebutkan melalui firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Ingatlah ketika isteri ‘Imran berkata: “Tuhanku sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (daripada segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku. Sesungguhnya Engkaulah yang amat mendengar lagi amat mengetahui.” (Surah Âli ‘Imran: 35)
Amalan ini juga pernah dilakukan oleh Maryam ketika beliau bernazar untuk mendiamkan diri dengan tidak berkata-kata kepada sesiapa pun. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati daripada segala yang merunsingkan. Kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: “Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) ar-Rahman, (setelah aku menyatakan yang demikian), maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapa pun daripada kalangan manusia pada hari ini.” (Surah Maryam: 26)
Amalan bernazar terdapat di dalam syariat Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Ia adalah sebagai salah satu cara untuk mendapatkan syafaat dan keredhaan serta mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Dengan bernazar seseorang itu telah menjadikan suatu ibadat yang pada mulanya tidak wajib kepada wajib ke atas dirinya sama ada dikaitkan kerana memperolehi sesuatu ni‘mat atau terhindar daripada apa jua bencana yang akan menimpa ataupun tidak dikaitkan dengan sesuatu perkara.
Pelaksanaan Nazar
Bernazar untuk melakukan sesuatu perkara yang berupa ketaatan yang tidak wajib dilakukan seperti bersedekah, sembahyang sunat, puasa sunat, berwaqaf dan sebagainya adalah wajib ditunaikan apabila perkara yang disyaratkan kepada nazar itu tercapai.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka (nazar-nazar yang baik). (Surah al-Hajj: 29)
Begitu juga disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa bernazar untuk melakukan ketaatan kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, maka taatlah kepadaNya (tunaikanlah nazar itu), dan sesiapa bernazar untuk melakukan maksiat kepadaNya, maka janganlah dia melakukan maksiat itu (janganlah dia menunaikan nazarnya itu). (Hadits riwayat al-Bukhari)
Dari itu, jika seseorang bernazar untuk menunaikan haji sekiranya dia lulus dalam peperiksaan, maka wajiblah ke atasnya melaksanakan nazarnya itu iaitu menunaikan haji nazar apabila dia lulus peperiksaan tersebut. Perlu diketahui bahawa menunaikan haji fardhu tidak akan menggugurkan kewajipan haji nazar. Ini bermakna jika dia belum menunaikan haji fardhu, maka dia akan menanggung dua kewajipan haji iaitu haji fardhu dan haji nazar. (Mughnî al-Muhtâj: 6/247)
Manakala bernazar untuk membawa kedua ibu bapa menunaikan fardhu haji dengan maksud menanggung segala perbelanjaan kepergian haji mereka, maka kewajipannya dalam melaksanakan nazarnya itu hanyalah sekitar itu sahaja iaitu membawa kedua ibu bapanya menunaikan fardhu haji dengan menanggung segala perbelanjaan kepergian haji mereka. Adapun jenis haji yang dikerjakan oleh kedua ibu bapanya itu tidak menjadi syarat di dalam nazar anaknya itu. Oleh yang demikian, tidak ada halangan dari segi syara‘ bagi bapanya menggunakan pemergian hajinya itu untuk menghajikan ibunya yang telah meninggal dunia, dengan syarat dia telah mengerjakan haji fardhu dan tidak tertanggung ke atasnya haji wajib seperti haji nazar. Ini kerana yang wajib dalam nazar anaknya itu ialah membawa kedua ibu bapanya menunaikan fardhu haji sahaja tanpa melihat kepada jenis haji yang mereka hendak kerjakan.
Berwakil dan Mewakilkan Untuk Melaksanakan Ibadat Haji
Salah satu daripada syarat wajib haji itu ialah berkemampuan untuk melaksanakannya sama ada dia mampu mengerjakannya sendiri atau melalui orang lain. (Nihâyah al-Muhtâj: 3/242 & Mughnî al-Muhtâj: 2/210)
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu siapa yang mampu sampai kepadanya. (Surah Âli ‘Imran: 97)
Adapun yang dimaksudkan dengan mampu melaksanakannya melalui orang lain itu ialah mampu mengupah orang lain sebagai wakil untuk melaksanakan haji bagi pihak dirinya jika dia tidak berdaya melakukannya sendiri seperti kerana telah meninggal dunia, sakit dan terlalu tua atau lemah. Walau bagaimanapun, orang yang diupah atau orang yang menjadi wakil itu hendaklah seseorang yang sudah menunaikan fardhu haji.
Dari itu, orang yang telah meninggal dunia dan belum sempat melaksanakan fardhu haji, begitu juga jika dia menanggung haji nazar atau qadha’, sedangkan dia berkemampuan untuk melaksanakannya semasa hayatnya, maka adalah menjadi kewajipan ke atas ahli waris untuk mengerjakan haji bagi pihak si mati jika si mati ada meninggalkan harta peninggalan.
Manakala jika si mati tidak meninggalkan harta, ahli waris tidaklah lagi berkewajipan untuk melaksanakannya sekalipun si mati berwasiat, namun sunat bagi warisnya menunaikannya sama ada dengan melakukannya sendiri atau mengupah orang lain. Begitu juga bagi orang lain selain warisnya, harus melakukan haji untuk si mati walaupun tanpa keizinan waris.
Dengan demikian, tanggungan haji si mati akan terlaksana. (Nihâyah al-Muhtâj: 3/252 & Mughnî al-Muhtâj: 2/218)
Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ:
Maksudnya: Seorang lelaki telah datang kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam, lalu beliau berkata kepada Baginda: “Sesungguhnya saudara perempuanku telah bernazar untuk menunaikan ibadat haji, dan beliau telah meninggal dunia”. Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Jika dia mempunyai hutang adakah engkau akan melunaskannya (membayarkannya)?” Lelaki itu berkata: “Ya”, Baginda bersabda: “Engkau lunaskanlah (bayarlah) hutang kepada Allah. Sesungguhnya (hutang kepada) Allah lebih berhak dilunaskan (pembayarannya).” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Oleh itu, berdasarkan keterangan ini, adalah harus seseorang itu mengerjakan haji bagi pihak orang yang telah meninggal dunia sekalipun perbelanjaan hajinya itu ditanggung oleh orang lain yang bernazar untuk menanggung perbelanjaan hajinya. Namun begitu, perbuatan hajinya tidak ada kaitan dengan nazar tersebut dan seperti yang diterangkan, perbuatan hajinya bukanlah bayaran ke atas nazar seseorang itu.
Niat Ketika Membayar Nazar
Perlukah melafazkan niat nazar ketika membayar nazar?
Niat haji akan terlaksana sebagai haji fardhu iaitu haji Islam atau haji nazar dengan niat haji semata-mata tanpa menentukan jenisnya. Menurut al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh, menentukan niat fardhu ketika berihram adalah tidak wajib dan jika berniat haji sunat sekalipun, niatnya tetap akan jatuh sebagai haji fardhu. (Mughnî al-Muhtâj: 2/233)
Oleh sebab itu, apabila seseorang berniat melakukan haji sunat sedangkan dia masih menanggung haji Islam atau haji nazar, menurut Imam asy-Syafi‘e Radhiallâhu ‘anhu, hajinya jatuh sebagai haji fardhu atau nazar. Maka sebab itulah, tidak wajib menyebutkan kalimat fardhu dalam niat hajinya kerana tidak ada faedah pada mewajibkan menyebut kalimat fardhu itu.
Adapun jika terkumpul dua haji yang wajib dikerjakan iaitu haji Islam dan nazar, maka yang didahulukan ialah haji Islam dan hajinya tetap jatuh sebagai haji Islam sekalipun dia telah berniat untuk melakukan haji nazar. Menurut asy-Syirazi Rahimahullâh dalam kitabnya al- Muhadzdzab:
Ertinya: Dan tidak boleh mengerjakan haji sunat dan umrah sunat sedangkan ke atasnya kewajipan (menunaikan) haji fardhu dan umrah fardhu. Dan tidak boleh mengerjakan haji atau umrah nazar sedangkan ke atasnya kewajipan (menunaikan) haji fardhu iaitu haji Islam, kerana ibadat sunat dan nazar lebih lemah (kedudukannya) daripada haji Islam (fardhu) dan kedua-duanya tidak boleh mendahului ke atasnya (haji fardhu). (Al-Muhadzdzab: 1/366)
Berdasarkan penjelasan ini, adalah tidak perlu menyebutkan jenis haji sama ada haji nazar atau haji Islam atau haji sunat apabila berihram. Ini kerana hajinya akan tetap jatuh sebagai haji Islam jika dia belum pernah mengerjakan haji dan sebaliknya jika dia telah mengerjakan haji Islam, hajinya tetap akan jatuh sebagai haji nazar sekalipun dia telah berniat untuk melakukan haji sunat. (Hâsyiah Ibn Hajar ‘ala al-Îdhâh: 60)
Ertinya: Maka jika (seseorang) berihram (haji) sunat sedangkan ke atasnya berihram untuk (haji) fardhu, ihramnya dianggap sebagai ihram (untuk haji) fardhu. Dan jika (seseorang) berihram kerana nazar sedangkan ke atasnya ihram (haji) fardhu (haji Islam), ihramnya dianggap sebagai ihram (haji) fardhu (haji Islam) berqiyâskan kepada (hukum) seseorang yang berihram untuk orang lain sedangkan ke atasnya kewajipan ihram untuk (haji) fardhu (ihramnya dianggap sebagai ihram fardhu dan ihram yang dilakukannya untuk orang lain itu tidak akan terlaksana). (Al-Muhadzdzab: 1/366)
Apabila penentuan jenis haji sama ada fardhu, nazar atau sunat tidak diperlukan, maka menyebutkan nazar pada setiap kali hendak melakukan manâsik haji iaitu rukun dan wajib haji adalah juga tidak perlu. Ini kerana haji itu membawa maksud melakukan manâsik atau ibadat-ibadat yang khusus seperti wuquf di ‘Arafah, tawaf di Baitullah dan Sa‘i pada waktu yang khusus dan dengan syarat-syarat yang khusus. Niat haji itu sendiri sudah memadai dan ia merangkumi semua manâsik haji. (Mughnî al-Muhtâj: 2/205 & Mausû‘ah al-Fiqhiyyah: 17/23)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11555
