Panduan Untuk Menghafal Do‘a Qunut
Soalan: Saya benar-benar berazam untuk berubah daripada cara hidup lama kepada cara hidup yang lebih baik. Terus terang saya katakan bahawa saya bukanlah seorang Muslimah yang baik, masa lalu saya penuh dengan peristiwa hitam dan meninggalkan sembahyang. Saya mohon bantuan Pehin untuk membimbing saya menenangkan jiwa saya yang resah gelisah apabila mengingati mati demi menuju ke arah keredhaan Allah. Saya juga ingin menghafal do‘a qunut dan berharap agar perubahan diri saya ini semata-mata kerana Allah tiada seorang pun yang tahu demi mengelakkan penghinaan mereka.
Jawapan: Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ di atas keinsafan saudari dan azam saudari untuk menghayati dan melaksanakan tuntutan dan ajaran agama Islam yang maha suci.
Mudah-mudahan cahaya keinsafan saudari itu akan menjadi pembuka jalan supaya saudari mudah melakukan amal ibadat kepada Allah Rabbul-‘izzah sebagai bekalan saudari untuk persiapan menghadapi kematian yang saudari takuti. Benar saudari, untuk menuju alam akhirat, alam yang kekal abadi dan tempat dihisâb segala amal perbuatan manusia semasa hidup mereka di dunia yang fana ini, kita mesti ada bekal. Segala amal ibadat yang dilakukan di dunia inilah bekalan kita.
Saudari tidak perlu takut atas apa yang telah berlaku pada diri saudari. Apa yang penting saudari telah berubah dan bertaubat atas peristiwa hitam tersebut. Apa yang penting keyakinan dan kekuatan saudari untuk mengharungi dan menempuhi kehidupan yang mendatang. Perbanyakkanlah amal ibadat dengan keyakinan atas limpah rahmat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ bahawa Allah akan menerima segala amalan saudari dan mengampunkan segala dosa saudari.
Saya juga berdo‘a agar dipelihara iman saudari dan semoga saudari tabah dalam menghadapi suasana yang boleh menggugat dan mencabar keimanan saudari.
Do‘a Qunut Subuh
Do‘a qunut sembahyang fardhu Subuh boleh dibaca dengan lafaz-lafaz do‘a berikut:
1. Do‘a qunut ringkas/pendek.
Ertinya: Ya Allah! Ampunilah aku wahai Tuhan Yang Maha Pengampun dan rahmatilah aku wahai Tuhan Yang Maha Penyayang, ya Allah! Limpahkanlah selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad, (dan limpahkanlah juga) selawat dan salam ke atas keluarga Nabi Muhammad.
Lafaz do‘a ini adalah memadai dibaca sebagai do‘a qunut yang menjadi tuntutan sunat di dalam sembahyang Subuh sebagaimana yang dijelaskan oleh pengarang Nihâyah az- Zain:
Ertinya: Dan terhasil do‘a qunut itu dengan seumpama lafaz ( َِنَ َي محَححِلَ َيَ غَفُور ُ وَار حه اغحفَرُ اَللههُم رَحَيم) ertinya: (Ya Allah! Ampunilah aku wahai Tuhan Yang Maha Pengampun dan rahmatilah aku wahai Tuhan Yang Maha Penyayang) daripada setiap yang mengandungi do‘a dan pujian. Maka do‘a terhasil dengan lafaz “ حَمح وَارحاَغحفَرِ ”. Manakala pujian terhasil dengan lafaz “ ٌ غَفُور ٌ وَرَحَيم”. (Nihâyah az-Zain: 60-61)
2. Do‘a daripada al-Qur’an.
Tafsirnya: Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir. (Surah al-Baqarah: 286)
Do‘a qunut juga memadai dengan membaca suatu ayat daripada al-Qur’an yang mengandungi do‘a dan pujian seperti ayat di atas, tetapi dengan tujuan membaca do‘a qunut.
Do‘a Qunut Yang Afdhal
Ertinya: Ya Allah! Berilah petunjuk kepadaku bersama orang-orang yang telah Engkau berikan petunjuk, dan berilah afiat kepadaku bersama orang-orang yang telah Engkau afiatkan, dan pimpinlah aku bersama orang-orang yang telah Engkau pimpin dan berkatilah aku pada apa yang telah Engkau kurniakan, dan peliharalah aku daripada keburukan yang telah Engkau tetapkan, maka sesungguhnya Engkaulah yang menentukan dan tiada siapa yang boleh menentukan sesuatu ke atasMu, dan sesungguhnya tidak akan menjadi hina siapa yang Engkau kasihi, dan tidak akan menjadi mulia siapa yang Engkau musuhi, Wahai Tuhan kami! Engkaulah Maha Mulia lagi Maha Tinggi, maka bagiMu segala puji-pujian terhadap apa yang telah Engkau tetapkan. Aku memohon keampunanMu dan aku bertaubat kepadaMu.”
Lafaz do‘a qunut ini adalah lafaz do‘a qunut yang masyhur dan afdhal dibaca di dalam sembahyang Subuh kerana do‘a tersebut wârid daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
Hukum Membaca Do‘a Qunut
Membaca do‘a qunut dalam sembahyang Subuh hukumnya sunat mu’akkadah (yang sangat dituntut), kerana ia termasuk di antara perkara-perkara sunat ab‘adh. Jika ditinggalkan, tidaklah membatalkan sembahyang, tetapi disunatkan melakukan sujud sahwi sama ada ia ditinggalkan dengan senghaja ataupun terlupa.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Dan disunatkan membaca qunut pada i‘tidâl rakaat kedua sembahyang Subuh. (Minhâj ath-Thâlibîn: 1/171)
Apa Dia Sujud Sahwi?
Sujud sahwi ialah sujud yang dikerjakan setelah selesai membaca tahiyyat akhir sebelum memberi salam. Sujud sahwi wajib diniatkan di dalam hati ketika mengerjakannya.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh menjelaskan bahawa cara sujud sahwi itu ialah sama seperti sujud yang biasa kita lakukan dalam sembahyang iaitu sebanyak dua kali sujud dan di antara keduanya duduk di antara dua sujud. Kemudian selepas selesai dua kali sujud barulah memberi salam. (Raudhah ath-Thâlibîn:1/317) Menurut Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh bahawa zikir sujud sahwi itu dibaca sebanyak tiga kali sama seperti bacaan zikir sujud dalam sembahyang iaitu:
Ertinya: Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dan dengan segala kepujianNya. Sesetengah ulama pula berpendapat bahawa zikir yang sunat dibaca di dalam sujud sahwi itu ialah:
Ertinya: Maha Suci Allah yang tidak tidur dan tidak lalai. (Mughnî al-Muhtâj: 438-439) Maka dibolehkan memilih salah satu zikir tersebut di atas untuk dibaca ketika sujud sahwi.
Panduan Menghafal Do‘a Qunut Untuk menghafal do‘a qunut yang masyhur atau mana-mana amalan yang memerlukan hafalan dengan baik, terdapat beberapa teknik atau panduan yang dipraktikkan. Antaranya: i. Memahami maksud lafaz-lafaz do‘a yang akan dihafal dengan baik. ii. Sentiasa mendengar lafaz-lafaz do‘a itu dengan baik dan berulang-ulang. iii. Sentiasa mengulangi bacaan itu dan mengamalkannya setiap hari. iv. Sentiasa menjauhi segala maksiat dan larangan-larangan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, baik yang dilakukan oleh telinga, mata, lidah, tangan atau hati. v. Sentiasa menghindari daripada makan benda-benda syubhah dan yang diharamkan oleh syara‘ dan makanan-makanan lain yang dipercayai boleh melemahkan daya ingatan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11559
