Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳النكاح والطلاق

Perkahwinan Sejenis (Homosexual Marriage)

Soalan: Bahagian Perhubungan Awam Dan Antarabangsa, Kementerian Hal Ehwal Ugama merupakan salah sebuah Ahli Jawatankuasa Penyediaan National Report To Human Rights Council – Periodic Review dan satu sesi penilaian (review) laporan akan diadakan di Geneva, Switzerland. Antara isu-isu hak asasi manusia yang dijangka akan dibangkitkan ialah berkaitan perkahwinan sejenis (homosexual marriage).

Sehubungan dengan itu, dipohonkan fatwa-fatwa yang berkaitan dengan isu perkahwinan sejenis (homosexual marriage) yang boleh dijadikan sebagai pendirian negara.

Jawapan: Hukum Melakukan Hubungan Seks Sejenis

Dalam Islam, hubungan seks sejenis (homoseksual) di antara lelaki dengan lelaki (gay) dalam bahasa Arab disebut sebagai al-liwâth. Manakala jika dilakukan di antara perempuan dengan perempuan (lesbian) dalam bahasa Arab disebut sebagai as-sihâq.

Sememangnya perkara ini bukanlah suatu perkara baru malahan ia pernah berlaku pada zaman Nabi Luth ‘Alaihissalâm. Celaan terhadap perlakuan keji yang diamalkan oleh kaum Nabi Luth ini ada disebutkan dalam kitab suci al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.

Tafsirnya: Dan (Kami telah mengutus) Nabi Luth (kepada kaumnya). (Ingatlah) ketika dia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun daripada penduduk alam ini sebelum kamu?” “Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu (kepada mereka) bukan kepada perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.” (Surah al-A‘râf: 80-81)

Berdasarkan ayat tadi, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ amat menghina dan mengeji perbuatan kaum lelaki pada zaman Nabi Luth ‘Alaihissalâm yang gemar memuaskan nafsu mereka dengan melakukan hubungan sejenis atau liwâth. Mereka tidak menghiraukan larangan yang diberikan oleh Nabi Luth ‘Alaihissalâm sehingga perbuatan mereka ini menjadikan mereka suatu kaum yang melampaui batas dan menerima azab yang dahsyat daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ lagi:

Tafsirnya: Dan yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu, maka carilah empat orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka. (Surah an-Nisâ’: 15) Menurut Imam al-Qurthubi Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân (7/243 & 5/83), perkataan al-fâhisyah (الفاحشة) yang disebutkan di dalam kedua-dua ayat itu tadi menerangkan bahawasanya perbuatan tersebut adalah perbuatan zina sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). (Surah al-Isrâ’: 32)

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ lagi:

Tafsirnya: Dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan keji (zina) yang terang daripadanya dan yang tersembunyi….” (Surah al-An‘âm: 151)

Perkara ini disebutkan lagi dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Watsilah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Perbuatan as-sihâq (hubungan seks sejenis) di antara perempuan adalah zina di antara mereka. (Hadits riwayat ath-Thabarani)

Berdasarkan kepada keterangan di atas, melakukan hubungan seks sejenis sama ada liwâth atau sihâq merupakan perbuatan yang keji dan hukumnya adalah haram sebagaimana Islam mengharamkan perbuatan zina yang keji itu. Maka tidak syak lagi melakukan liwâth dan sihâq adalah berdosa besar dan kedua-dua perbuatan ini amat dilaknat oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Allah Ta‘ala melaknat sesiapa yang melakukan perbuatan kaum Luth (hubungan seks sejenis), Allah Ta‘ala melaknat sesiapa yang melakukan perbuatan kaum Luth (hubungan seks sejenis) dan Allah Ta‘ala melaknat sesiapa yang melakukan perbuatan kaum Luth (hubungan seks sejenis). (Hadits riwayat Ahmad)

Hukuman Melakukan Liwâth Dan Sihâq

Menurut pendapat masyhur dalam mazhab asy-Syafi‘e, hukuman bagi kedua-dua pelaku liwâth adalah sama dengan hukuman bagi orang yang berzina. Sesiapa yang melakukan liwâth, maka diwajibkan ke atas mereka hadd seperti hadd yang dikenakan ke atas penzina. Maka hukuman hadd zina bagi pelaku liwâth yang muhshan (yang sudah bernikah) adalah rejam manakala hukuman hadd zina bagi pelaku liwâth yang bukan muhshan pula adalah sebatan dan pemulauan. (Al-Muhadzdzab: 5/383)

Berlainan pula dengan hukuman sihâq. Kedua-dua pelaku sihâq tidak dikenakan hadd zina sepertimana yang kenakan ke atas kedua-dua pelaku liwâth kerana perbuatan sihâq berlainan dengan perbuatan liwâth walaupun kedua-dua perbuatan tersebut dikategorikan sebagai zina. Ini adalah kerana hadd zina hanya dikenakan bagi pasangan yang melakukan jimâ‘ sama ada melalui faraj atau dubur sedangkan hubungan seks bagi pelaku sihâq tidak melibatkan sebarang jimâ‘.

Oleh itu, jika seorang perempuan mendatangi seorang perempuan dengan menjalinkan hubungan sejenis atau sihâq, maka wajib ke atas mereka hukuman ta‘zîr (hukuman bagi maksiat yang tidak dikenakan hadd dan kaffârah). (Hâwasyi asy-Syarwani wa Ibn Qasim al- ‘Abbadi: 9/130-131 & Muhadzdzab: 5/385)

Hukuman ta‘zîr dijatuhkan sebagai satu pengajaran kepada pelaku maksiat supaya menegahnya daripada melakukan semula perbuatan maksiat berkenaan. (Al-Majmû‘: 22/304)

Perkahwinan Homoseksual Perkahwinan merupakan suatu ni‘mat dan rahmat yang dikurniakan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kepada hamba-hambaNya. Allah Ta‘ala menciptakan hamba-hambaNya secara berpasang-pasangan iaitu lelaki dengan perempuan supaya dapat hidup berkasih sayang dan apa yang lebih penting lagi ialah supaya dapat melahirkan zuriat bagi memelihara nasab dan memperbanyakkan umat Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam.

Tafsirnya: Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya. (Surah ar-Rum: 21

Namun semua ni‘mat dan rahmat perkahwinan tersebut tidak akan dapat diperolehi, jika kecenderungan manusia telah berubah dan menyalahi fitrah. Ini kerana kesan gejala sosial dan pergaulan bebas dalam masyarakat kita hari ini banyak mempengaruhi minda dan kelakuan manusia sehingga kadang-kadang merosakkan aqidah, akhlak dan fitrah mereka.

Amalan atau budaya hubungan seks sejenis adalah satu perkara yang bertentangan dengan syara‘. Perkara ini bukan sahaja diharamkan dalam Islam, malahan juga dianggap berdosa dan keji dalam agama-agama lain. Perkara ini ada disebutkan dalam buku The New Encyclopedia Britannica:

“Judeo-Christian culture has generally perceived it as sinful, and thus homosexuality was traditionally viewed as socially unacceptable through most of Western culture.”

Ertinya: Pada umumnya, budaya Yahudi-Kristian menganggap homoseksual sebagai satu dosa dan secara tradisi, homoseksual dilihat sebagai suatu yang tidak boleh diterima dalam sebahagian besar budaya Barat. (The New Encyclopedia Britannica, 15th Edition: 6/31)

Di samping itu, amalan ini juga menyalahi fitrah manusia. Hakikatnya, fitrah seorang lelaki ialah mempunyai kecenderungan kepada wanita dan begitu juga wanita mempunyai kecenderungan terhadap lelaki. Apabila ia menyalahi fitrah manusia, maka sudah pasti ia akan membinasakan atau menghancurkan tamadun dan kehidupan manusia itu sendiri.

Padahal sudah jelas diterangkan dalam al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam tentang pengharaman hubungan seks sejenis ini dan jika diimbas kembali, azab yang diturunkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kepada kaum Nabi Luth begitu dahsyat sekali dan kejadian tersebut tidak pernah disaksikan oleh sesiapapun sebelum itu. Itulah realiti yang pernah terjadi, sebagai petanda atau peringatan bahawa perbuatan hubungan homoseksual adalah haram dan ketetapan ini sememangnya tidak dapat dipertikaikan dan dipersoalkan lagi oleh sesiapapun jua.

Lebih-lebih lagi, apabila ia dikaitkan dengan perkahwinan atau pernikahan, ia sama sekali bertentangan dengan hukum syara‘. Pernikahan yang sah dalam Islam hanya diiktiraf jika pernikahan tersebut memenuhi rukun-rukun nikah seperti yang telah digariskan oleh syara‘. Rukun-rukun nikah ada lima perkara, iaitu:

1. Suami (seorang lelaki). 2. Isteri (seorang perempuan). 3. Wali. 4. Dua orang saksi. 5. Shîghah iaitu îjâb (ucapan wali) dan qabûl (ucapan suami).

Maka dalam hal ini, jika pasangan tersebut terdiri daripada dua lelaki atau dua perempuan, maka sudah nyata tidak memenuhi rukun-rukun nikah. Oleh itu, pernikahan yang dilakukan oleh pasangan homoseksual adalah tidak sah dan hukum melakukannya pula adalah haram kerana bertentangan dengan hukum syara‘ dan fitrah manusia. Malah tidak ada satu agama samâwi pun yang mengiktiraf perkahwinan sejenis itu.

Apa Pendirian Kita?

Negara Brunei Darusalam sebagai sebuah negara Islam hendaklah berpendirian tegas mengikut ketetapan hukum Islam yang suci. Apa yang haram dalam syara‘ adalah haram diaplikasikan dalam negara ini kerana hak menentukan segala yang halal dan haram itu ialah hak Allah Ta‘ala semata-mata bukannya hak manusia. Kita selaku hambaNya hendaklah akur terhadap ketetapan-ketetapan yang telah digariskan oleh syara‘ jika kita mahu selamat di dunia dan di akhirat.

Tafsirnya: Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: “Ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah itu tidak akan berjaya. (Surah an-Nahl: 116)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11563