Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الطهارة

Sertu Dengan Menggunakan Sabun

Soalan: Apa yang saya fahami bahawa kalau terkena anjing yang basah kita perlu bertayammum. Ada juga orang mengatakan yang kita boleh mencucinya dengan sabun sahaja. Mohon diberi tunjuk ajar tentang apa yang sepatutnya dilakukan.

Jawapan: Dalam soalan di atas ada disebutkan perkataan tayammum. Tayammum bererti perbuatan menyapukan debu tanah yang suci pada muka dan dua tangan sebagai ganti wudhu atau mandi wajib kerana ketiadaan air atau berlakunya halangan menggunakan air misalnya anggota wudhu yang luka yang tidak boleh terkena air atau anggota wudhu yang berbalut atau bertampal yang menghalang daripada masuk air.

Walaupun demikian dilihat dari konteks soalan, perkataan yang sepatutnya digunakan ialah “sertu” bukan tayammum. Sertu bererti menyucikan mana-mana bahagian badan atau tempat yang terkena najis mughallazhah iaitu anjing dan khinzîr atau mana-mana keturunan atau campuran daripada salah satu daripada binatang anjing atau khinzîr dengan binatang lain, dengan tujuh kali cucian dengan air dan sekali daripadanya dengan air yang bercampur tanah.

Kesalahan penggunaan istilah seperti ini sering terjadi. Ia sering digunakan bagi pembersihan suatu tempat, umpamanya tayammum masjid baru yang hendak digunakan. Begitu juga dengan perkataan “samak” yang digunakan bagi pembersihan tempat yang terkena najis anjing, umpamanya menyamak rumah dan sebagainya. Ini adalah tidak tepat.

Adapun perkataan “samak” bererti merawat dan melembutkan kulit binatang dengan sesuatu yang memeritkan lidah seperti dengan sejenis daun pohon atau yang seumpamanya yang digunakan untuk menanggalkan cairan lendir dan lembab dari kulit tersebut daripada menjadi busuk dan rosak. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/250)

Kekeliruan penggunaan istilah-istilah ini perlu diperbetulkan agar ia bertepatan dengan maksud dan perbuatan. Walaupun ketiga-tiga perkataan tersebut membawa maksud yang sama iaitu penyucian, namun aplikasi cara penyucian pada sesuatu benda dan sebab penyucian tersebut dilakukan adalah berlainan. Umpamanya tayammum, ia dilakukan disebabkan oleh ketiadaan air atau keuzuraan dalam menggunakan air, maka dilakukanlah tayammum bagi membolehkan perlaksanaan sembahyang. Manakala sertu dilakukan disebabkan oleh tersentuh atau menyentuh najis mughallazhah. Adapun perbuatan samak pula adalah bagi tujuan pembersihan kulit binatang dan cara membersihkannya tidak menggunakan tanah. Ini berlainan dengan tayammum dan sertu di mana cara penyuciannya melibatkan tanah.

Dari itu, mengenalpasti dan memahami setiap istilah perkataan itu amatlah perlu kerana apabila istilah bagi setiap perkataan dapat difahami dengan baik, kesilapan dan kekeliruan dalam mengguna-pakai istilah-istilah ini dapat dielakkan.

Najis Mughallazhah

Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh, semua binatang adalah suci kecuali anjing, khinzîr dan apa jua yang lahir daripada keduanya seperti anak keturunan yang lahir hasil daripada keduanya atau hasil daripada percampurannya dengan binatang yang halal dimakan. Binatang-binatang seperti ini termasuk dalam golongan najis mughallazhah iaitu najis yang berat. Oleh itu apabila menyentuhnya sama ada zatnya mahupun peluh, air liur dan sebagainya atau apabila sesuatu menjadi najis disebabkan olehnya wajiblah dicuci dengan air mutlak sebanyak tujuh kali cucian dan salah satunya dicampur dengan tanah yang bersih. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/235,251 & Mughnî al-Muhtâj: 1/226)

Daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Apabila anjing menjilat pada bejana salah seorang di antara kamu, maka cucilah ia dengan tujuh kali cucian, salah satunya yang bercampur dengan tanah. (Hadits riwayat an-Nasa’i)

Kewajipan mencuci sebanyak tujuh kali cucian adalah apabila seseorang tersentuh atau menyentuh mana-mana bahagian anggota anjing dalam keadaan basah, sama ada anggota orang yang menyentuh itu basah dan badan anjing itu kering ataupun sebaliknya ataupun kedua-duanya dalam keadaan basah atau apabila sesuatu yang kering bersentuhan dengan cairan yang keluar daripada anjing.

Perkara ini ada dijelaskan oleh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitab Mughnî al-Muhtâj:

Ertinya: (Dan apa jua yang terkena najis) daripada pepejal (bukan cecair) walaupun pada tempat gigitan binatang buruan atau yang selainnya, (dengan persentuhan sesuatu daripada anjing) sama ada air liurnya, air kencingnya dan semua cairan (yang dikeluarkannya), dan semua bahagian anggotanya yang kering jika terkena sesuatu yang basah, (hendaklah dicuci dengan tujuh kali cucian salah satunya) bukan pada tanah yang berpasir (hendaklah dengan tanah). (Mughnî al-Muhtâj: 1/239)

Berdasarkan keterangan ini, jika seseorang atau sesuatu disentuh atau tersentuh oleh mana-mana anggota anjing atau cairan yang dikeluarkannya yang kedua-duanya dalam keadaan kering, tidaklah wajib dicuci dengan cara sepertimana yang disyariatkan, kecuali jika salah satu daripada keduanya dalam keadaan basah.

Adapun tuntutan mencuci dengan tanah sebagaimana yang disebutkan dalam hadits merupakan syarat penyucian di mana tanah tersebut hendaklah tanah yang bersih yang dicampurkan dengan air mutlak sehingga air tersebut menjadi keruh. Penyucian tersebut tidaklah memadai dengan apa jua benda seperti tepung, dedak atau sebagainya. Begitu juga tidak memadai dengan sabun, ia tidak dapat menggantikan tanah sepertimana juga dalam hal tayammum. Penyucian tersebut hanya akan terhasil dengan menggunakan tanah sekalipun dengan tanah liat atau lumpur atau debu pasir jika tidak terdapat tanah kerana tujuan daripada penggunaan tanah itu adalah untuk menggabungkan kedua-dua cara bersuci iaitu wudhu dengan air dan tayammum dengan tanah. Ketiadaan tanah tidak bererti ia boleh diganti dengan sesuatu selainnya sekalipun berada di tempat yang tidak terdapat tanah sama sekali. (Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibnu Qasim: 1/368 & Nihâyah al-Muhtâj: 1/253)

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh:

Ertinya: Dan sabun dan sesuatu yang digunakan untuk mencuci pakaian dan apa yang seumpama dengan keduanya tidaklah dapat menggantikan kedudukan tanah (dalam mencuci sesuatu yang terkena anjing) menurut pendapat al-ashah (yang lebih shahih). Dan tidak ada beza di antara wujudnya tanah dan ketiadaannya menurut pendapat al-ashah (dalam perkara tidak boleh menggantikannya dengan sabun atau sebagainya). (Shahîh Muslim bi Syarh Imam an-Nawawi: 2/1280)

Oleh itu, apabila menghadapi situasi seperti ini iaitu jika tidak terdapat tanah, bolehlah menggunakan satu lagi kaedah penyucian. Namun tanah masih lagi memainkan peranan penting dalam penyucian sesuatu yang terkena najis mughallazhah, iaitu dengan mencelupkannya ke dalam air yang banyak dengan syarat air tersebut hendaklah keruh atau ke dalam air yang mengalir yang bercampur dengan tanah. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/254, Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/170 & Hâsyiah al-Baijuri: 1/159)

Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam nashnya:

Ertinya: Dan menggantikan kedudukan tatrîb (percampuran air dengan tanah) ialah air yang keruh seperti air sungai Nil pada hari-hari airnya pasang dan seperti air yang mengalir yang telah bercampur dengan tanah. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/255)

Adapun kaifiyyah pencelupan tersebut ialah jika air tersebut merupakan air yang tenang dan tidak mengalir, maka hendaklah digerakkan sebanyak tujuh kali. Manakala jika ia dicelupkan ke dalam air yang mengalir, maka memadailah dengan air itu mengalir padanya sebanyak tujuh kali.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11567