Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Tafsiran Fî Sabîlillâh Dalam Ashnâf Zakat

Soalan: Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Mengeluarkan Wang Zakat Kali Ke-2 Tahun 1428/2007M telah membincangkan mengenai cadangan bagi kerja-kerja mencat semula dinding bahagian luar dan dalam bangunan Masjid Jublee Perak Sultan Haji Hassanil Bolkiah Kampong Jangsak, di antara pandangan ahli jawatankuasa mengenai perkara ini adalah seperti berikut:

i. Wang Zakat tidak boleh digunakan untuk masjid kecuali melalui ashnâf fî sabîlillâh sahaja.

ii. Kerja-kerja mencat Masjid Jublee Perak Sultan Haji Hassanil Bolkiah, Kampong Jangsak bukanlah perkara “dharûriyyât” tetapi ia adalah “tahsîniyyât” sahaja dan tidak bersesuaian menggunakan wang zakat.

iii. Dalam hal-hal masjid hanya boleh digunakan daripada wang zakat fî sabîlillâh sahaja.

Sukacita memaklumkan kepada Pehin bahawa pembinaan sebahagian masjid di Negara ini adalah pembiayaannya menggunakan wang zakat ashnâf al-ghârimin. Di samping itu, kerja-kerja penambahan bangunan masjid, pembaikan dan pengubahsuaian bahagian-bahagian masjid seperti tandas dan tempat berwudhu adalah juga menggunakan wang zakat ashnâf al-ghârimîn.

Jawatankuasa Petugas Bagi Membincangkan Isu-Isu Mengenai Hukum Syara‘ Terhadap Dua Ashnâf Zakat Yang Tidak Wujud Di Negara Brunei Darussalam iaitu “fî ar-riqâb” dan “fî sabîlillâh” yang ditubuhkan di bawah Jawatankuasa Meneliti Rancangan Penggunaan Kumpulan Wang Zakat Majlis Ugama Islam; dalam mesyuarat-mesyuaratnya telah mencadangakan supaya ashnâf zakat fî sabîlillâh diguna pakai di negara ini dan kemasukkan ashnâf ini bukanlah mengenepikan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz, bekas Mufti Kerajaan.

Sehubungan dengan itu, sukacita dipohonkan sebarang pandangan dan fatwa mengenainya.

Jawapan: Daripada ‘Atha’ bin Yasar Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda;

Maksudnya: Tidak halal zakat bagi orang kaya kecuali lima golongan (iaitu) bagi orang yang berperang pada jalan Allah, ‘âmil, orang yang berhutang, orang yang membeli zakat dengan hartanya (daripada fakir/miskin yang mendapat zakat) atau orang yang mempunyai jiran yang miskin lalu dia berzakat ke atas orang miskin itu dan orang miskin itu pula menghadiahkan zakat itu kepada si kaya. (Hadits riwayat Abu Daud, Ibnu Majah, Ahmad dan Malik)

Di dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj karangan Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh, menyebutkan:

Ertinya: (Ashnâf Sabîlillah Ta‘âlâ itu ialah orang-orang yang berperang yang tiada habuan bagi mereka) iaitu: Mereka yang tidak mendapat bahagian dalam senarai penerima bayaran (tidak menerima gaji), bahkan mereka adalah secara sukarela berperang jika mereka rajin, jika tidak (jika mereka tidak rajin) maka mereka kekal dalam bidang-bidang dan pekerjaan-pekerjaan mereka. (Tuhfah al-Muhtâj: 9/159)

Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz di dalam fatwa beliau bilangan 69/84 menyatakan:

“Sabîlillâh itu orang yang pergi berperang atau menjaga sempadan dan dia tiada ada habuan dari fai’ Baitul-Mal sekalipun ia kaya, seperti orang Palestin melawan Yahudi dan orang Aritiria melawan Habsyah dan lain-lain seumpamanya.”

Beliau juga ada menyebut di dalam tulisannya berhubung dengan Orang Yang Menerima Zakat Darihal Orang-Orang Yang Berhak Menerima Shadaqah Atau Zakat, di dalam Kursus Pegawai-Pegawai Dan Guru-Guru Agama Dan Arab Senegeri Brunei Kali Kelapan 1970:

“(7) Fî sabîlillâh ertinya bagaimana kata ulama dan imam-imam yang empat iaitu orang yang berperang kerana sabîlillâh, yang tiada mengambil gaji daripada raja, bahkan ia rajin kerana Allah jua. Jika ia rajin ia pergi berperang dan jika ia tiada rajin ia tinggal di rumahnya, maka orang yang berperang fî sabîlillâh dengan tiada mendapat gaji atau bayaran dari raja, maka diberi ia dari bahagian fî sabîlillâh sekalipun ia kaya, kerana menolong ia di atas jihâdnya fî sabîlillâh.

Perkataan fî sabîlillâh dalam ayat Shadaqât (ayat 60 surah at-Taubah) ini ertinya orang berperang fî sabîlillâh dengan tiada mendapat bayaran daripada raja menurut perlarian susunan ibarat ayat Qur’an yang di atas tadi.

Dan fî sabîlillâh pada lain-lain ayat biasanya digunakan pada orang perang sabîlillâh dan adakalanya pada segala kebajikan kerana Allah.”

Ulama menyebutkan bahawa alasan cukup kuat untuk mentarjîh maksud fî sabîlillâh pada ayat zakat (surah at-Taubah ayat 60) adalah jihâd dengan berperang sebagaimana yang ditekankan oleh jumhûr ulama, dan bukan makna asal menurut bahasanya iaitu “segala kebajikan kepada Allah”. Pendapat ini diperkuat lagi oleh hadits riwayat Malik, Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah yang disebutkan di atas yang jelas menyebut al-ghâzi (orang yang berperang) pada jalan Allah.

Kerana itu adalah jitu dan tepat tidak meluaskan maksud fî sabîlillâh untuk segala perbuatan yang bertujuan taqarrub kepada Allah.

Sebagai irsyâd jua, bagi mengatasi permasalahan perbelanjaan kerja-kerja mengecat bangunan masjid, saya melihat ada dua cara yang boleh dilakukan dan kedua-dua cara ini tidak ada yang mempertikaikannya. Yang pertama melalui waqaf orang ramai dan yang kedua melalui al-ghârimin.

Kita patut menjadikan orang ramai mempunyai saham akhirat dalam meng‘imârahkan bangunan masjid, sama ada menerusi waqaf seperti cat atau menerusi bantuan seperti wang. Kita percaya mereka bukan tidak mahu berwaqaf atau menderma untuk maksud ini, tetapi kerana berkemungkinan mereka tidak diberitahu atau tidak diajak serta digalakkan untuk berbuat demikian.

Menurut apa yang berlaku selama ini, suka bersedekah dan berwaqaf telah menjadi amalan tradisi dalam masyarakat Brunei. Amalan ini berlaku kerana didorong oleh adanya pulangan dan ganjaran pahala yang besar. Di dunia, boleh memberi keberkatan kepada harta orang yang melakukan waqaf atau sedekah itu, dan malah sebagai perisai atau senjata untuk menolak bencana. Manakala di akhirat, pahalanya akan terus mengalir kepada pelakunya.

Di dalam sebuah hadits, Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Apabila manusia meninggal dunia, terputuslah amal kebajikan daripadanya melainkan dari tiga perkara (iaitu) sedekah yang pahalanya terus mengalir, ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang salih yang mendo‘akannya. (Hadits riwayat Muslim)

Berdasarkan keterangan-keterangan di atas, maka jelas tafsiran ashnâf fî sabîlillâh itu adalah merujuk kepada orang yang berperang pada jalan Allah. Oleh itu, wang zakat tidaklah digunakan untuk hal-hal masjid melalui ashnâf fî sabîlillâh, kerana tafsiran fî sabîlillâh menurut jumhûr ulama ialah orang yang berperang pada jalan Allah.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11571