Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Tawaran Biasiswa Confucious Institute

Soalan: Pihak Universiti Brunei Darussalam termasuk Akademi Pengajian Brunei (APB) telah menerima tawaran biasiswa dari South China University of Technology (SCUT) bagi pelajar-pelajar UBD untuk mengikuti program akademik dari jangka masa pendek sehinggalah ke tahap kedoktoran. Dana ini di bawah nama Confucious Institute Scholarship. Pelajar yang berjaya diterima akan mempelajari pelbagai disiplin tentang China seperti bahasa, budaya, sejarah dan sebagainya.

Pihak APB merasa musykil tentang sensitiviti nama biasiswa itu, iaitu Confucious Institute Scholarship. Sehubungan itu pihak APB memohon pandangan dan ulasan Pehin Mufti mengenainya.

Jawapan: Biasiswa ialah bantuan kewangan yang diberikan kepada seseorang untuk membiayai persekolahan atau pengajiannya di maktab, universiti atau sebagainya. Jika bantuan kewangan ini diberikan secara percuma tanpa dikenakan bayaran balik kepada yang menerima, menurut istilah ilmu fiqh ia dikategorikan sebagai ‘aqd tabarru‘.

Islam amat menggalakkan untuk kita sentiasa membuat amal kebajikan dan menghulurkan bantuan kepada orang lain. Amalan tabarru‘ pula merupakan salah satu daripada amalan yang berkebajikan itu.

Persoalannya, adakah dibolehkan orang Islam menerima sumbangan, bantuan atau pemberian daripada orang bukan Islam?

Prinsip agama Islam tentang hubungan berbaik-baik dengan orang-orang bukan Islam sangat jelas. Perkara ini ditegaskan melalui beberapa ayat al-Qur’an, bahkan kehidupan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah mencerminkan perkara yang sedemikian.

Sebilangan ayat al-Qur’an yang tidak melarang untuk berbuat baik kepada orang-orang bukan Islam termaktub dalam firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (Surah al-Mumtahanah: 8)

Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan para sahabat Baginda pernah hidup bersama-sama dengan orang-orang musyrik Makkah. Mereka berurus niaga dan lain-lain urusan hidup seperti berjual beli, mengambil upah dan lain-lain tanpa memandang sumber pendapatan orang-orang musyrik itu sama ada halal atau haram.

Demikian juga Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan sahabat-sahabat Baginda sewaktu di Madinah pernah hidup bersama- sama dengan orang-orang bukan Islam, khasnya orang-orang Yahudi yang tinggal di Kota Madinah dan sekitarnya pada masa itu. Orang-orang Islam juga berurusan dengan orang-orang bukan Islam dalam banyak hal seperti memberi dan menerima barang-barang, hutang piutang, jual beli bahkan menerima hadiah tanpa melihat sumber kemasukan dan pendapatan orang-orang bukan Islam itu, padahal diketahui umum sejak sekian lama lagi bahawa orang-orang Yahudi itu ahli riba.

Telah tsabit daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bahawa Baginda pernah menerima makanan yang diberikan orang Yahudi, lalu Baginda memakannya.

Demikian juga Baginda pernah menerima hadiah-hadiah daripada orang bukan Islam sebagaimana diriwayatkan dalam hadits. Telah tsabit daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bahawa Baginda menerima hadiah baghal (keldai) putih dan burdan (kain bergaris untuk dibuat selimut) daripada Raja Ailah.

Telah tsabit juga bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ada menerima hadiah daripada Muqawqis Raja Mesir bagi pihak Qaisar berupa dua orang jâriyah, beberapa helai pakaian dan seekor baghal.

Inilah antara dalil-dalil yang menunjukkan bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah menerima hadiah daripada kalangan yang bukan Islam.

Memang tidak dinafikan bahawa ada pengecualian-pengecualian dalam urusan-urusan tertentu yang terlarang dalam Islam seperti larangan dalam jual beli khinzîr, arak dan lain-lain sebagaimana perkara itu disebut dengan terperinci dalam kitab-kitab fiqh.

Dalam mazhab Syafi‘e wasiat dan waqaf itu termasuk dalam kategori ‘aqd tabarru‘ sepertimana derma atau pemberian, dan hubungan sesama manusia adalah harus hukumnya selama ia bukan kerana tujuan maksiat.

Nash al-Imam asy-Syafi‘e Radhiallâhu ‘anhu dengan terang menyatakan adalah harus orang bukan Islam berwasiat membina masjid untuk orang-orang Islam. Beliau juga mengharuskan orang bukan Islam berwaqaf sekalipun untuk masjid.

Al-Imam an-Nawawi Rahimahullâh Ta‘âlâ berkata dalam Raudhah ath-Thâlibîn:

Ertinya: Sah wasiat orang kafir dengan sesuatu yang boleh dijadikan harta atau boleh dimiliki, dan tidak sah wasiat dengan arak dan khinzîr sama ada wasiat itu untuk orang Islam atau orang dzimmi, dan tidak juga bagi tujuan maksiat seperti menta‘mîr gereja atau membangunnya atau kitab-kitab Taurat dan Injil atau membaca kedua-kedua kitab itu dan lain-lain seumpamanya. (An-Nawawi, Raudhah ath-Thâlibîn: 6/98)

Katanya lagi:

Ertinya: Harus bagi orang Islam dan orang (kafir) dzimmi berwasiat untuk menta‘mîr Masjid al-Aqsha dan lain-lain masjid, menta‘mîr perkuburan para nabi, para ulama dan orang-orang salih, kerana dengan penta‘miran ini tujuannya bagi menghidupkan amalan berziarah dan untuk memperolehi tabarruk. (An-Nawawi, Raudhah ath-Thâlibîn: 6/98)

Dengan ini jelas bahawa orang-orang Islam boleh bermuamalat dengan orang-orang bukan Islam, institusi-institusi atau pertubuhan-pertubuhan bukan Islam seperti menerima hadiah, derma, wasiat dan seumpamanya dengan syarat ia bukan dalam perkara maksiat dan diketahui dengan jelas bahawa tidak terdapat sebarang agenda tersembunyi untuk merobohkan agama Islam, orang-orang Islam dan umat Islam seperti pertubuhan Freemason, kelab rotary, Lions dan seumpamanya.

Oleh kerana biasiswa atau bantuan kewangan untuk membiayai pelajaran bukan merupakan sesuatu yang dilarang oleh Islam malahan ia suatu yang diharuskan, maka orang Islam boleh menerimanya sebagai pemberian, walaupun pihak yang memberi itu bukan orang Islam.

Walau bagaimanapun perlu diambil perhatian berkenaan dengan siapa yang akan dihantar belajar dengan biasiswa berkenaan supaya dipastikan tidak diwajibkan atau memilih kursus-kursus yang berbentuk keagamaan terutama bagi pelajar Islam.

Disamping itu, secara umum, memerlukan juga perhatian dalam perkara-perkara lain berkaitan dengan: Apa tujuannya satu-satu disiplin ilmu itu diajar di universiti, dan apa relevannya kepada Brunei? Daripada yang bertanya: “Pelajar akan mempelajari pelbagai disiplin tentang China, seperti bahasanya, budayanya, sejarahnya dan sebagainya.”

Kita tentu pula ingin tahu apa-apa lagi yang ada di dalam “sebagainya” itu. Adakah pada detailnya termasuk juga Sains Politik dan Ideologi China? Kita timbulkan ini, kerana huraian atau tafsiran mengenai budaya dan sejarah itu tidaklah lengkap jika tidak turut merangkumi politik dan ideologi yang dianut. Dan jika ini betul, apakah perlunya semua itu kepada Brunei?

Sedarkah kita, bukan semua negara di dunia dengan sewenang-wenang membenarkan rakyatnya mendekati, apatah lagi menganut dan membawa ideologi orang lain ke dalam negeri sendiri. Ia ditegah sungguh-sungguh, malah dianggap satu jenayah paling berat oleh negara-negara, terutama negara-negara besar dan kuat di dunia. Mentelah pula kita negara kecil dan lemah tidakkah perlu lebih berhati-hati?

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11575