Tetamu Menapau (Membungkus Untuk Dibawa Pulang) Hidangan
Soalan: Dipohonkan pandangan dan nasihat Pehin Mufti mengenai perbuatan menapau (membungkus untuk dibawa pulang) hidangan yang tersaji (dalam kem) sedang para jemputan lain baru pun hendak menikmati hidangan atau jamuan tersebut.
Jawapan: Agama Islam ada menggariskan beberapa perkara mengenai adab dalam menghadiri sesuatu majlis. Antara yang menjadi asas di dalamnya ialah:
1. Tetamu wajib mengikut petanda-petanda yang kuat yang menunjukkan keredhaan orang yang empunya majlis dan wajib mengikut adat kebiasaan yang diamalkan.
2. Tetamu wajib memelihara kesaksamaan serta hubungan yang baik dengan tetamu yang lain. (Tuhfah al-Muhtâj: 3/304)
Berdasarkan dua asas tersebut, para ulama menghuraikan dengan terperinci perkara-perkara yang menjadi adab dalam menghadiri sesuatu majlis. Antaranya yang berkaitan dengan hidangan makanan yang disediakan ialah:
i. Tetamu tidak boleh memakan hidangan jamuan melebihi daripada kadar yang biasa dimakan oleh seorang tetamu. Oleh itu, jika seseorang tetamu itu kadar makannya menyamai sepuluh orang makan dan perkara itu tidak diketahui oleh tuan yang empunya majlis, maka dia tidak boleh makan melebihi kadar yang biasa dimakan oleh seorang tetamu kerana tidak ada izin yang berbentuk lafaz dan tidak ada juga adat kebiasaan yang mengizinkannya.
ii. Tetamu tidak boleh membesarkan suapan makanan dengan keadaan tergesa-gesa agar dapat makan lebih banyak dan agar tetamu lain terhalang daripada menikmatinya, lebih-lebih lagi jika makanan yang dihidangkan itu sedikit.
iii. Tetamu tidak boleh memberikan hidangan makanan yang disediakan kepada orang yang meminta (yang bukan menjadi tetamu) atau kucing ataupun membawa balik makanan (tapau) ke rumah, kerana menurut adat kebiasaannya tetamu hanya diizinkan makan untuk dirinya sahaja. Ia haram dilakukan kecuali jika tetamu mengetahui bahawa tuan yang empunya majlis meredhainya. (Tuhfah al-Muhtâj: 3/304, Mughnî al-Muhtâj: 3/317-318, I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/576-577)
Menapau Hidangan Semasa Tetamu Baru Hendak Menikmati Jamuan
Menapau (membungkus) hidangan semasa tetamu lain baru hendak menikmati jamuan adalah jelas sekali tidak boleh dilakukan oleh tetamu kerana ia bertentangan dengan adab menghadiri sesuatu majlis yang digariskan oleh Islam.
Perbuatan yang demikian sama sekali tidak menjadi adat kebiasaan yang diamalkan dalam masyarakat, bahkan tidak menjaga kesaksamaan serta hubungan yang baik dengan tetamu yang lain. Ia wajib dijauhi dan haram dilakukan kerana tidak ada sama sekali petanda-petanda yang kuat mengatakan bahawa amalan tersebut diizinkan oleh tuan yang empunya majlis.
Maka bagi membendung amalan yang tidak sihat ini, semua pihak terutama ibu bapa dan masyarakat mempunyai peranan dalam hal ini, kerana perbuatan tersebut kebanyakannya dilakukan oleh kanak-kanak. Ibu bapa hendaklah menerangkan kepada anak-anak bahawa amalan yang sedemikian bukan hanya salah dari sudut kebiasaan masyarakat Melayu kita tetapi ia juga merupakan perkara yang berdosa dilakukan dari sudut pandangan agama. Manakala masyarakat pula hendaklah menegur dan memberi nasihat dengan bijaksana apabila amalan tersebut berlaku didepan mata.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11579
