Waktu Diwajibkan Sertu
Soalan: Bagaimanakah yang dikatakan seseorang itu perlu samak apabila bersentuh dengan anjing atau khinzîr? Jika yang bersentuh adalah kenderaan (contohnya kereta terlanggar anjing atau khinzîr) adakah perlu menyamak kereta?
Adakah sama tanah liat di negara kita dengan tanah liat di negara Eropah untuk kegunaan samak? Jika kita berada di kutub utara (kawasan yang tidak mempunyai tanah) bagaimana caranya untuk kita melakukan samak?
Jawapan: Kesilapan dan kekeliruan dalam memahami istilah–istilah perkataan seperti samak, sertu dan tayammum sering terjadi. Ketiga-tiga perkataan ini sebenarnya mempunyai maksud yang berlainan walaupun tujuannya adalah sama iaitu menghendaki kesucian.
Kekeliruan yang digunakan dalam perkataan samak umpamanya boleh menjejaskan keshahîhan maksud dan perbuatannya. Perkataan samak yang ditimbulkan penyoal tidak bertepatan dengan masalah yang dikemukakan. Perkataan tepat yang berkaitan dengan masalah penyucian sesuatu yang bersentuhan dengan najis mughallazhah itu ialah sertu. Elok kami huraikan maksud samak, sertu dan tayammum.
Samak bererti menanggalkan lendiran yang membusukkan kulit dengan menggunakan kelat (sejenis tumbuhan yang kulitnya digunakan untuk menyamak) sehingga kulit tidak menjadi busuk sekalipun direndam ke dalam air. (Tuhfah al-Muhtâj: 1/107 dan Nihâyah al-Muhtâj: 1/250)
Sertu membawa maksud menyucikan mana-mana bahagian badan atau tempat yang terkena najis mughallazhah iaitu anjing dan khinzîr atau mana-mana keturunan atau campuran salah satu daripada binatang anjing atau khinzîr dengan binatang lain, dengan air sebanyak tujuh kali cucian yang salah satu daripadanya ialah air yang bercampur dengan tanah.
Tayammum pula ialah perbuatan menyapukan debu tanah yang suci pada muka dan dua tangan sebagai ganti wudhu atau mandi wajib kerana ketiadaan air atau berlakunya halangan menggunakan air misalnya anggota wudhu yang luka yang tidak boleh terkena air atau anggota wudhu yang berbalut atau bertampal yang menghalang daripada masuk air.
Bersentuhan Dengan Najis Mughallazhah Anjing, khinzîr dan apa jua yang lahir daripada kedua-duanya sama ada hasil daripada kedua-duanya atau hasil daripada percantuman kedua-duanya dengan binatang yang halal dimakan adalah dikategorikan sebagai najis mughallazhah iaitu najis berat. Apabila sesuatu bersentuh dengan najis mughallazhah dan salah satu daripadanya atau kedua-duanya dalam keadaan basah, maka apa yang bersentuh dengan najis mughallazhah itu dihukumkan mutanajjis (bernajis kerana terkena najis). Cara membersihkannya ialah mencucinya dengan tujuh kali air cucian yang salah satu daripadanya air yang dicampur dengan tanah.
Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Suci bejana salah seorang di antara kamu, jika anjing menjilat padanya, adalah membasuhnya dengan tujuh kali cucian yang salah satunya (cucian yang bercampur) dengan tanah. (Hadits riwayat Muslim)
Dalam mensyarahkan hadits tersebut, Imam an-Nawawi Rahimahullâh mengatakan:
Ertinya: Apabila kencingnya, tahinya, darahnya, peluhnya, bulunya, air liurnya atau salah satu anggota daripada anggota-anggotanya (anjing) - mengenai sesuatu yang suci dalam keadaan salah satu daripadanya basah – wajib mencucinya dengan tujuh kali air cucian yang salah satu daripadanya (air yang bercampur) dengan tanah.” (Shahîh Muslim bi Syarh Imam an-Nawawi: 2/1281)
Ini bererti sertu diwajibkan apabila salah satu daripadanya iaitu yang menyentuh dan yang disentuh dalam keadaan basah. Namun jika kedua-duanya dalam keadaan kering, maka sertu tidaklah diwajibkan.
Sehubungan dengan itu, jika kereta terlanggar anjing atau khinzîr, maka adalah wajib disertu bahagian-bahagian kereta yang diyakini telah dicemari oleh najis mughallazhah, jika kereta itu hendak dipakai atau digunakan lagi, kerana menjauhi najis adalah wajib sekalipun di luar sembahyang.
Dalam hal ini, as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh mengatakan:
Ertinya: (Di luar sembahyang) jika tanpa sebarang keperluan, menjauhinya (najis) adalah wajib, kerana apa-apa yang haram (hukum) melakukannya, menjauhinya (juga) adalah wajib. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/140)
Membersihkan Najis Mughallazhah Tanpa Menggunakan Tanah.
Syarat dalam penyucian sesuatu yang terkena najis mughallazhah hendaklah dengan menggunakan air dan juga tanah. Semua jenis tanah sama ada debu tanah, tanah liat atau tanah lumpur dan dari mana sekalipun ia didapati sama ada dari negara kita atau negara Eropah, boleh digunakan dalam sertu dengan syarat tanah tersebut hendaklah bersih daripada najis dan belum digunakan untuk membersihkan najis. Tanah tidak boleh ditukar ganti dengan yang lain seperti sabun, tepung dan sebagainya sekalipun tanah tidak didapati di sesebuah tempat seperti di Kutub Utara. (Tuhfah al-Muhtâj: 1/108 & Nihâyah al-Muhtâj: 1/253-255)
Oleh yang demikian, jika tidak didapati air mahupun tanah sama ada untuk membersihkan najis mughallazhah atau untuk bertayammum, menurut qaul jadîd sembahyang fardhu tetap wajib dilakukan sebagai menghormati waktu dan diwajibkan mengulangi sembahyang fardhu itu apabila didapati air dan tanah kerana keuzuran yang seumpama ini jarang berlaku dan tidak berlaku secara berkekalan. (Kitab al-Majmû‘: 1/452, Nihâyah al-Muhtâj: 1/317 dan Mughnî al-Muhtâj: 1/273)
Ini bererti apa jua benda sekalipun jika ia bukan berupa tanah, ia masih tidak dapat menggantikan kedudukan tanah dalam sertu dan tayammum.
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh:
Ertinya: Sabun, usynân (bahan pembersih) dan apa yang seumpama kedua-duanya tidaklah dapat menggantikan tempat tanah (dalam sertu) menurut pendapat al-ashah. Dan tidak ada perbezaan (hukum) di antara adanya tanah dan ketiadaannya menurut pendapat al-ashah.” (Shahîh Muslim bi Syarh Imam an-Nawawi: 2/1281)
Asy-Syabramallisi Rahimahullâh pula mengatakan:
Ertinya: Maka tidaklah dengan ketiadaannya (tanah) atau penambahan dalam (bilangan) penyucian (lebih daripada tujuh kali) dapat menggugurkan (penggunaan) tanah. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/253)
Berdasarkan keterangan ini, penyucian sesuatu yang terkena najis mughallazhah tidaklah memadai dengan apa jua benda melainkan dengan tanah, sekalipun tidak terdapat tanah.
Penyucian tanah hendaklah dengan cara tatrîb iaitu mencampur air dengan tanah. Namun tatrîb boleh digantikan dengan air yang keruh seperti sungai Nil dan air mengalir yang telah bercampur dengan tanah.
Adapun kaifiyyah (cara) penyucian tersebut ialah jika air tersebut merupakan air yang tenang (tidak mengalir) dan banyak, maka memadailah dengan merendam dan menggerakkannya sebanyak tujuh kali. Manakala jika ianya air yang mengalir, maka memadailah dengan cara mengalirkan air padanya sebanyak tujuh kali. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/254, Hâsyiah I‘ânah ath- Thâlibîn: 1/170 dan Hâsyiah al-Baijuri: 1/159)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11583
