Adakah Kedatangan Lailatul-Qadr Boleh Diketahui?
Soalan: Apakah ada seorang manusia itu tahu bila datangnya Lailatul-Qadr?
Jawapan: Lailatul-Qadr adalah malam yang paling utama antara malam-malam yang lain. Malam tersebut telah dikhususkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ke atas umat Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan ia adalah kekal sehingga ke Hari Kiamat. (Raudhah ath- Thâlibîn: 2/255)
Keistimewaan Lailatul-Qadr antara lain telah dijelaskan dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang berbunyi:
Tafsirnya: Lailatul-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan. (Surah al-Qadr: 3)
Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu pula telah meriwayatkan daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bahawasanya Baginda bersabda:
Maksudnya: Dan sesiapa mengerjakan ibadat pada Malam al-Qadr kerana imannya kepada Allah dan kerana mengharapkan keredhaanNya nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Bagaimanapun, bila Malam al-Qadr itu berlaku tidaklah dapat diketahui secara pasti. Ini berdasarkan kepada banyaknya pendapat yang diberikan ulama berkenaan perkara tersebut. Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyatakan:
Ertinya: Dan menurut pendapat mazhab Syafi‘e dan jumhûr ulama bahawasanya (Malam al-Qadr) itu berlegar pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan, kita tidak dapat memastikannya (bila ia betul-betul berlaku). (Al-Majmû‘: 6/489)
Menurut jumhûr ulama, Lailatul-Qadr berlaku pada salah satu malam daripada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Daripada malam-malam yang sepuluh itu, kemungkinan besar ia akan berlaku pada malam-malam ganjil seperti malam ke-21, 23, 25 dan seterusnya. (Raudhah ath-Thâlibîn: 2/256 dan I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/428)
Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu telah meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Maka kamu carilah Lailatul-Qadr itu pada sepuluh malam terakhir (bulan Ramadhan) yang ganjil. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam akan menghidupkan malam-malamnya dengan berjaga, melakukan berbagai-bagai amal ibadat melebihi apa yang biasa Baginda lakukan pada malam-malam yang lain. Di samping itu, Baginda juga membangunkan ahli keluarganya daripada tidur untuk melakukan ibadat. ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ berkata:
Maksudnya: Adalah Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam apabila masuk sahaja sepuluh (yang terakhir bulan Ramadhan), Baginda mengikat pinggangnya (bersungguh-sungguh untuk melakukan amal ibadat), menghidupkan malamnya dan membangunkan keluarganya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh berpendapat bahawa Lailatul-Qadr akan berlaku pada malam ke-21 atau malam ke-23 iaitu daripada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. (Raudhah ath-Thâlibîn: 2/256 dan I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/428)
Sebahagian besar para sahabat menjangkakan Lailatul-Qadr itu berlaku pada malam ke-23. (Al-Majmû‘: 6/494)
Imam al-Ghazali Rahimahullâh dan beberapa ulama lain pula menyatakan bahawa Lailatul- Qadr boleh diketahui menerusi hari pertama bulan Ramadhan. Sekiranya hari pertama bulan Ramadhan jatuh pada hari Ahad atau Rabu, maka Lailatul-Qadr akan berlaku pada malam ke-29. Sekiranya ia jatuh pada hari Isnin, maka Lailatul-Qadr akan berlaku pada malam ke- 21. Jika bulan Ramadhan bermula pada hari Selasa atau Jumaat, maka Lailatul-Qadr akan berlaku pada malam ke-27. Jika pada hari Khamis, maka ia akan berlaku pada malam ke-25, dan jika pada hari Sabtu, maka ia berlaku pada malam ke-23. Asy-Syeikh Abu al-Hasan telah dinukil berkata: “Semenjak aku mencapai umur dewasa, aku tidak pernah luput daripada mendapatkan Lailatul-Qadr berdasarkan kaedah (yang diajarkan oleh Imam al-Ghazali Rahimahullâh) ini.” (I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/428)
Syihabuddin as-Sayyid Mahmud al-Alusi al-Baghdadi Rahimahullâh bagaimanapun menegaskan bahawa: “Kaedah ini tidak dijadikan sandaran oleh ulama-ulama yang lain.” Beliau sebaliknya turut menyatakan bahawa malam tersebut tidak dapat diketahui secara pasti sebagaimana pendapat kebanyakan ulama. (Rûh al-Ma‘âni: 30/191)
Imam an-Nawawi Rahimahullâh pula menyatakan bahawa Lailatul-Qadr itu berlaku secara berpindah-pindah. Jika pada tahun ini ia berlaku pada malam ke-21, maka pada tahun yang lain ia akan berlaku pada malam yang lain pula iaitu pada malam ganjil antara sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan selain daripada malam ke-21. (Raudhah ath-Thâlibîn: 2/256 dan al-Majmû‘: 6/489)
Hikmah Kenapa Waktu Kedatangan Lailatul-Qadr Tidak Ditentukan
Menurut ulama, antara hikmah kedatangan Lailatul-Qadr itu tidak ditentukan secara pasti ialah agar sepuluh malam terakhir dan bahkan keseluruhan bulan Ramadhan itu dapat dihidupkan dengan amalan-amalan ibadat dan perkara-perkara kebajikan. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/429 dan Rûh al-Ma‘âni: 30/191) Sekiranya tarikh sebenar malam yang diberkati itu dapat diketahui, maka mungkin saja ramai orang yang tidak akan melakukan ibadat pada malam-malam yang lain.
Tanda-Tanda Menunjukkan Lailatul-Qadr Telah Berlaku
Terdapat beberapa tanda menunjukkan malam itu ialah Malam al-Qadr. Menurut ulama, antara tanda-tanda tersebut ialah pada malam itu suasana berkeadaan sunyi sepi, bercahaya dan penuh dengan ketenangan. Cuaca pada malam itu segar, tidak panas dan tidak pula sejuk, tetapi sederhana. Keadaan ini berterusan sehingga terbit fajar. Pada waktu pagi matahari akan naik berwarna putih, memancarkan cahaya atau sinar yang tidak terik. (Mughni al-Muhtâj: 2/149 dan Rûh al-Ma‘âni: 30/191)
Secara kesimpulan, tidak ada seorang pun yang mengetahui dengan tepat bilakah Lailatul- Qadr akan berlaku. Hatta Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sendiri juga tidak mengetahui bila waktu kedatangannya. Diriwayatkan dalam sebuah hadits daripada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Barang siapa yang telah beri‘tikâf bersamaku (pada pertengahan bulan Ramadhan) maka hendaklah dia (terus) beri‘tikâf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan. Sesungguhnya aku telah diberitahu tentang waktu kedatangan Malam al-Qadr, kemudian aku dilupakan (tentang waktu tersebut). Sesungguhnya pada pagi hari datangnya Lailatul-Qadr itu aku melihat diriku sedang sujud atas air dan lumpur. Maka kamu carilah Lailatul-Qadr itu pada sepuluh hari terakhir (bulan Ramadhan), dan carilah ia pada malam-malam yang ganjil. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Jalan yang selamat, apabila tiba sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan, maka adalah lebih baik ditingkatkan dan dilipat-gandakan amal ibadat pada malam-malam tersebut khasnya pada malam-malam yang ganjil, mudah-mudahan dapat memperolehi kelebihan Lailatul- Qadr yang penuh keberkatan itu sekalipun tidak ditemukan tanda-tanda ‘fizikal’ mengenai Lailatul-Qadr itu.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11608
