Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳العقيدة

Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ Tidak Bertempat Dan Tidak Menyerupai Makhluk CiptaanNya

Soalan: Istilah ‘Allah Mawjûd Tanpa Bertempat’ adalah aqidah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, para sahabat, para tâbi‘în, ulama muhadditsîn, fiqh dan tashawwuf. Bagaimanakah pula dakwaan yang mengatakan Allah duduk di atas ‘Arasy seperti sifat makhlukNya dan Allah bertempat?

Jawapan: Aqidah yang betul merupakan perkara yang penting dalam kehidupan orang Islam kerana ia menjadi dasar iman kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âla. Jika aqidah seseorang itu salah atau menyeleweng, maka sudah tentu segala amalan yang dilakukannya itu tidak akan diterima Allah Subhânahu wa Ta‘âla bahkan hanya dibalas dengan dosa dan menjadi kufur.

Oleh itu, perkara yang berkaitan dengan aqidah tidaklah boleh dipermain-mainkan atau digurau-sendakan kerana ia penentu arah tuju keimanan yang kita pegang. Di samping itu, hubungan aqidah dengan penerimaan amal ibadat adalah juga saling berkaitan sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan sesiapa yang mengerjakan amalan-amalan salih, sama ada lelaki atau perempuan, sedang dia orang yang beriman, maka mereka itu masuk syurga dan tidak dianiaya walau sedikitpun. (Surah an-Nisâ’: 124)

Daripada ayat tadi dapat difahami bahawa apa sahaja amalan yang dilakukan oleh hamba, dengan aqidah atau iman yang betul merupakan syarat utama penerimaan segala amal ibadat untuk dia masuk syurga.

Aqidah Ahli Sunnah Wal-Jama‘ah

Aqidah Ahli Sunnah Wal-Jama‘ah merupakan aqidah yang telah menjadi pegangan dan kepercayaan umat Islam sejak dahulu lagi. Aqidah ini berlandaskan al-Qur’an, al-Hadits dan ijmâ‘ para ulama. Apa-apa keterangan atau kenyataan yang ada dalam aqidah Ahli Sunnah Wal-Jama‘ah tidak akan berubah sedikitpun walaupun pada masa sekarang sudah ramai cendekiawan mula berhujah berdasarkan kefahaman mereka sendiri.

Ahli Sunnah ittifâq (sepakat) mengatakan bahawasanya Allah Subhânahu wa Ta‘âla tidak sama dengan sesuatupun, tidak pada ZatNya, tidak pada sifatNya dan tidak pada perbuatanNya. (Syarh al-‘Aqîdah ath-Thahawiyyah: 57)

Dakwaan Allah Duduk Dan Bertempat Di ‘Arasy

Golongan yang mendakwa bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âla duduk di atas ‘Arasy seperti sifat makhlukNya dan mendakwa ‘Arasy tersebut adalah tempat Allah Subhânahu wa Ta‘âla berada adalah suatu fahaman yang bâthil dan salah. Fahaman sebegini boleh menyebabkan aqidah seseorang itu rosak dan menjadi kufur.

Perkara ini ada diterangkan oleh imam-imam kaum Muslimin, antaranya Nu‘aim bin Hammad al-Khuza‘i Rahimahullâh, yang merupakan guru kepada Imam al-Bukhari Rahimahullâh. Mereka berkata:

Ertinya: Sesiapa yang menyerupakan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan makhluk ciptaanNya, maka kufurlah dia dan sesiapa yang mengingkari apa-apa sifat yang dijadikan Allah untuk diriNya, maka kufurlah dia. (Tafsîr al-Qur’ân al-‘Azhîm: 6/319)

Berkemungkinan golongan musyabbihah (yang menyerupakan) ini berhujah dengan menggunakan makna zahir perkataan istawâ (  ) yang disebutkan di beberapa tempat dalam al-Qur’an, seperti:

• Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam hari (masa), lalu Dia bersemayam di atas ‘Arasy (yang layak dengan kebesaran dan kesucianNya). (Surah al-A‘râf: 54)

• Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang bersemayam di atas ‘Arasy. (Surah Thâhâ: 5)

Namun menurut Ibnu Katsir Rahimahullâh, tafsiran istawâ (  ) yang diambil ialah dengan mengikut tafsiran atau pendapat ulama salaf ash-shâlih seperti Imam Malik, al- Awza‘i, ats-Tsauri, al-Laits bin Sa‘d, Imam asy-Syafi‘e, Imam Ahmad bin Hanbal, Ishak bin Rahawaih dan imam-imam kaum Muslimin yang lain sama ada yang dahulu ataupun yang sekarang dengan menerima ayat tersebut sepertimana datangnya tanpa menentukan keadaan, mengadakan perbandingan dan juga menafikan fungsinya. (Tafsîr al-Qur’ân al-‘Azhîm: 6/319)

Di samping itu, menurut para ulama, istawâ di atas ‘Arasy ialah sifat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, tanpa ditentukan bagaimana keadaannya. Ini bermakna sesungguhnya Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ istawâ’ di atas ‘Arasy menurut kesesuaianNya yang suci daripada makna menetap dan memiliki tempat. (Tafsîr al-Baidhawi: 1/341)

Seterusnya berkata Imam al-Asy‘ari Rahimahullâh, sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla istawâ di atas ‘ArasyNya menurut kesesuaianNya tanpa menetap dan tanpa ditentukan bagaimana keadaannya. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan sifat keMahaEsaanNya, istawâ di atas ‘ArasyNya yang suci adalah sunyi daripada makna menyerupai dan bergabung dengan makhlukNya. (Al-Ibânah ‘an Ushûl ad-Diyânah: 97,100 &102)

Dapat difahami bahawa perkataan istawâ yang disebutkan di dalam al-Qur’an itu tidak dapat kita ertikan secara zahirnya kerana ia berkaitan dengan sifat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Dalam hal ini, kita tidak mampu membayangkan atau menggambarkan dengan akal apakah atau bagaimanakah istawâ yang dikehendakiNya. Apa-apa yang berkaitan dengan sifat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan ilmuNya hanyalah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ jua yang Maha Mengetahuinya. Kita hanya wajib beriman sahaja tanpa menggambarkan apakah atau bagaimanakah bentuk atau rupa keadaannya.

Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ Tidak Serupa Dengan Makhluk

Apabila ada golongan mendakwa yang Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu duduk dan bertempat di atas ‘Arasy, maka jelaslah mereka mentasybîhkan (menyerupakan) sifat makhluk sama dengan sifat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Sedangkan kita beriman dan percaya bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu tidak serupa dengan makhluk ciptaanNya.

Buktinya ada disebutkan dalam salah satu sifat 20 bagi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, iaitu: َعَال َلِ لححَ وَ ادِ ث مَُالَ فَتُه ُت (menyalahi atau berlainan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu dengan suatu yang baru atau tiada serupa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan segala ciptaanNya). Maka, adalah mustahil secara akal dan syara‘ sifat Allah yang tiada bandinganNya itu menyamai sifat makhlukNya iaitu duduk dan bertempat, kerana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu tidak sama dengan segala apa yang diciptakanNya walaupun semuanya itu datang daripada hasil kehendakNya. Perkara ini jelas diterangkan dalam al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.

1. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Tiada sesuatupun yang sebanding denganNya (dengan zatNya, sifatNya dan pentadbiranNya). (Surah asy-Syûrâ: 11)

Ayat ini menerangkan dengan jelas bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ tidak sama atau sebanding dengan sesuatupun, apatah lagi dengan makhluk ciptaanNya. Sifat-sifat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ tidak serupa dengan sifat makhluk. Segala perlakuan atau sifat makhluk ciptaanNya seperti duduk dan bertempat sememangnya tidak ada pada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Sifat duduk dan bertempat hanya ada pada makhluk ciptaanNya sahaja, sedangkan Allah Ta‘ala itu Maha Pencipta dan Dia tidak memerlukan tempat. Bahkan wujudNya tanpa berada di sesuatu tempat. Dalam makna lain, tiada sesuatu pun yang setaraf dan setanding dengan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Tiada suatu pun yang sama darjat denganNya dan seluruh makhluk tidak akan mampu mengetahui hakikat diri dan zat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

2. Hadits yang diriwayatkan daripada ‘Imran bin Hushain Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Allah telah ada dan tidak ada sesuatupun sebelum Allah. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Menurut Ibnu Hajar Rahimahullâhu Ta‘âlâ, hadits ini menunjukkan bahawasanya tidak ada sesuatupun yang wujud sebelum kewujudan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, tidak air, tidak ‘Arasy dan tidak juga selain kedua-duanya. (Fath al-Bâri: 6/429)

Dapat difahami bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah wujud sebelum ada sesuatupun. Yakni sebelum ada ‘Arasy, langit, bumi, manusia dan sebagainya. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa kewujudan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memang tidak bertempat kerana tempat pada asalnya adalah tidak ada sebelum ia diciptakan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Maka, kita selaku hambaNya hanya perlu beri‘tiqâd bahawa adalah mustahil bagi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ bersifat seperti sifat makhluk ciptaanNya seperti duduk dan bertempat, sama ada pada zatNya, sifatNya atau perbuatanNya. Dalam pada itu, ilmu kita juga terhad untuk mentafsirkan atau membayangkan bagaimanakah rupa atau keadaan sifat-sifat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Perkara ini sememangnya tidak dapat dicapai oleh akal fikiran kita.

Oleh itu, kita hendaklah sentiasa berhati-hati ketika menuntut ilmu, jangan sampai kita tergolong dalam aqidah golongan yang mentasybîhkan (menyerupakan) Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan makhluk. Perkara aqidah adalah suatu perkara yang sangat penting. Seseorang itu boleh menjadi kufur, jika aqidahnya tidak dijaga dengan baik. Pelajarilah ilmu daripada para ulama yang betul-betul memahami dan berpegang dengan ajaran ahli Sunnah wal- Jama‘ah.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11612