Belajar Di Sekolah Misi
Soalan: Alhamdulillâh syukur ke hadhrat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, kerana telah mengurniakan kaola dan arwah suami kaola, sepasang anak lelaki dan perempuan. Anak lelaki kaola sedang belajar di dalam darjah lima dan yang perempuan di dalam darjah satu. Kaola dan arwah suami telah sepakat menyekolahkan mereka di sekolah St. Andrew Bandar Seri Begawan dengan harapan anak-anak akan lebih mahir berbahasa Inggeris, memandangkan keperluan bahasa tersebut di dalam segala bidang pekerjaan pada masa ini. Tambahan lagi di sekolah tersebut terdapat percampuran bangsa seperti bangsa cina, India dan Melayu yang mana telah menjadikan bahasa Inggeris itu sebagai bahasa di dalam pergaulan mereka sehari-hari.
Apa yang menjadi kemusykilan kaola sehingga ke hari ini, adalah: Betulkah tindakan kaola dan arwah suami memilih sekolah tersebut sebagai sekolah tempat anak-anak menuntut ilmu walaupun kaola dan arwah suami tahu dari awal lagi bahawa sekolah tersebut telah mendermakan sebahagian daripada hasil bayaran sekolah penuntut-penuntutnya ke tabung kebajikan gereja Bandar Seri Begawan berdasarkan memo yang telah dikeluarkan oleh sekolah tersebut di awal penggal persekolahan?
Jawapan: Tanggungjawab Ibu Bapa Atau Penjaga Terhadap Anak
Anak merupakan anugerah dan amanah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang wajib dipelihara, diasuh dan dididik dengan seelok-eloknya. Kelahirannya ke dunia ini merupakan satu rahmat yang amat besar kepada kedua ibu bapa dan kepada umat Islam kerana memperbanyakkan lagi umat Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang beriman kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Sesungguhnya setiap anak yang dilahirkan itu adalah dalam keadaan fithrah (Islam). Mereka mirip atau cenderung kepada agama Islam. Tetapi pengaruh didikan yang lain daripada Islam mungkin memesongkan mereka daripada fitrah mereka. Hal ini dinyatakan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tidak (ada) daripada anak yang (baru) dilahirkan kecuali dilahirkan dalam keadaan fithrah (Islam). Maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nashrani atau Majusi sebagaimana seekor binatang ternak dilahirkan dalam keadaan lengkap (sempurna), adakah kamu melihat (dapati) padanya kecacatan? (Hadits riwayat al-Bukhari)
Maka di sini dapat dilihat bahawa peranan dan tanggungjawab ibu bapa atau penjaga amatlah berat terutama dalam memberikan ilmu dan didikan yang betul kepada anak-anak mereka. Buruk dan baik ‘keulahan’ (kelakuan) dan peribadi seorang anak itu adalah bergantung kepada bagaimana cara tunjuk ajar ibu bapa atau penjaganya dalam memberikan ajaran dan didikan kepada mereka.
Dengan kata lain, para ibu bapa atau penjagalah yang pertama sekali dipertanggungjawabkan jika berlaku sebarang masalah kepada mereka kerana tugas mendidik anak-anak adalah tanggungjawab utama ibu bapa atau penjaga sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan-bahan bakarnya manusia dan batu (berhala). (Surah at-Tahrîm: 6)
Berdasarkan ayat di atas, sebahagian ulama berkata bahawa yang dimaksudkan dengan memelihara diri itu termasuklah juga di dalamnya anak-anak kerana anak adalah sebahagian daripadanya. Maka ajarkanlah dia (anak) perkara-perkara halal dan haram, jauhkanlah dia daripada perkara maksiat dan dosa. (Al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân: 18/195)
Oleh itu, memberi didikan atau ajaran yang formal kepada anak-anak dengan menghantar mereka ke sekolah adalah sebahagian daripada kewajipan atau tanggungjawab ibu bapa atau penjaga.
Tetapi yang menjadi persoalannya, sekolah yang bagaimanakah anak-anak itu hendak dipersekolahkan? Adakah kita mementingkan ilmu duniawi atau ilmu ukhrawi semata-mata atau mempelajari kedua-duanya sekali? Inilah yang menjadi dilema para ibu bapa atau penjaga ketika hendak memilih tempat belajar anak-anak.
Memilih Sekolah Misi
Dapat difahami kebanyakan ibu bapa atau penjaga dalam menilai sesebuah sekolah itu, mereka akan lebih mementingkan reputasi akademik sekolah berkenaan, seperti dengan memilih sekolah misi. Jika dilihat daripada segi keputusan akademik, memang diakui kejayaan sering memihak kepada sekolah-sekolah misi itu, ditambah lagi dengan kelebihan penggunaan bahasa Inggeris yang dianggap satu keperluan asasi sebagaimana pendapat penanya sendiri. Pencapaian akademik yang cemerlang dan peratusan lulus peperiksaan penuntut-penuntut sekolah berkenaan amat mempengaruhi ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah misi, dengan anggapan bahawa sekolah berkenaan adalah yang terbaik.
Tetapi perlu diingat, di sebalik kehebatan prestasi sekolah ini, kita perlu mengetahui apakah sebenarnya fungsi sekolah-sekolah itu? Kenapakah ia dipanggil dengan misi (mission) itu? Dan yang paling penting, adakah pengajaran di sekolah ini tidak bertentangan dengan aqidah Islam?
Pengertian Dan Fungsi Misi
Misi atau “mission” bererti aktiviti sebuah badan agama yang dihantar untuk mengajar agama Kristian. (Kamus Inggeris Melayu Dewan: 976)
Maka apa jua jenis sekolah yang berorientasikan kepada keagamaan atau fahaman seperti sekolah misi ini semestinyalah ia mempunyai satu daripada tujuannya ialah untuk memperkenal dan menanamkan fahaman keagamaan itu.
Mana-mana jua sekolah misi dengan sifat tradisinya adalah tidak sunyi daripada matlamat untuk mengembangkan ajaran agama Kristian, sama ada secara terang-terangan atau sebaliknya. Tetapi kaedah pengembangan secara terang-terangan mungkin saja tidak lagi begitu ketara kerana ia telah disedari menimbulkan bermacam-macam reaksi masyarakat terutama masyarakat Islam. Sebagai ganti mereka mungkin mengubahnya dengan cara menyeludup ajaran-ajaran Kristian itu di dalam buku-buku pelajaran dan juga aktiviti-aktiviti sekolah.
Ini bererti kewujudan sekolah misi antara lain, memang bertujuan untuk mengembangkan agama Kristian, sama ada pengembangan itu secara terang-terangan atau sebaliknya, secara langsung ataupun tidak langsung. Ini dapat dibuktikan daripada fakta, bahawa rata-rata sekolah misi itu mempunyai gerejanya sendiri. Buat apa gereja kalau bukan untuk menjinakkan penuntut-penuntut dengan agama Kristian, atau untuk mendedah dan membiasakan penuntut-penuntut itu dengan persekitaran agama Kristian.
Strategi Pihak Kristian
Menurut para pengkaji, bahawa di antara strategi-strategi pihak Kristian untuk mengembangkan agama mereka serta mencari simpati dan sokongan terutama daripada orang-orang Islam ialah menerusi gerakan at-tabsyîr.
At-tabsyîr adalah gerakan atau kegiatan menyeru dan meyakinkan orang lain supaya masuk ke dalam agama Kristian atau usaha pihak Kristian membawa orang lain masuk ke dalam agama Kristian menerusi pelbagai cara, sama ada cara rasmi atau sebaliknya. (Ihdzarû!! Al- Asâlib al-Hadîtsah fi Muwâjahah al-Islâm: 41)
Pembahagian Aktiviti Gerakan At-Tabsyîr Pelaksanaan aktiviti gerakan at-tabsyîr terbahagi kepada tiga bahagian: 1. At-tabsyîr secara kumpulan. Ini berlaku di dalam sekolah-sekolah, universiti-universiti, hospital-hospital, kelab-kelab umum dan penyiaran radio dan televisyen. 2. At-tabsyîr secara individu. Pendakwah yang dipilih mestilah bersifat sabar dan pandai berkata-kata supaya orang yang didakwahnya akan menjadi mangsa pujukannya. 3. At-tabsyîr secara senyap. Iaitu menerusi pembahagian buku-buku suci Kristian, penyebaran agama Kristian, gambar, pembahagian buku-buku yang mencemar agama Islam dan mencela Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam. (Ihdzarû!! Al-Asâlib al-Hadîtsah fi Muwâjahah al-Islâm: 55)
Tindakan Gerakan At-Tabsyîr Berdasarkan ketetapan dalam persidangan yang pernah mereka adakan, ada beberapa tindakan yang mereka aturkan bagi merealisasikan tujuan gerakan at-tabsyîr dalam mendakwah orang-orang Islam supaya cenderung kepada agama Kristian, antaranya: 1. Menumpukan usaha gerakan at-tabsyîr kepada kanak-kanak umat Islam dalam bidang pendidikan di sekolah. Usaha ini perlu sebelum akal fikiran kanak-kanak umat Islam cenderung sepenuhnya kepada Islam. Oleh itu, pihak gerakan at-tabsyîr hendaklah memperbanyak penubuhan sekolah-sekolah Kristian di bandar-bandar yang penduduknya ramai orang Islam. 2. Usaha gerakan at-tabsyîr hendaklah turut juga ditangani oleh orang-orang Islam sendiri. 3. Menyebarkan buku-buku agama Kristian dalam bahasa-bahasa orang-orang Islam. 4. Pendakwah Kristian hendaklah mempelajari bahasa Arab dan loghatnya, al-Qur’an dan Injil. 5. Merangka perancangan mengkristiankan seluruh dunia dalam tempoh 25 tahun. 6. Menubuhkan kelab-kelab umum sebagai tempat untuk mengumpulkan lelaki dan perempuan bagi mengadakan pelbagai pertandingan sukan dan hiburan. (Ihdzarû!! Al-Asâlib al-Hadîtsah fi Muwâjahah al-Islâm: 51-52)
Menuntut Di Sekolah Misi Tidak diragui lagi, sekolah misi merupakan salah satu strategi pihak Kristian untuk menyebarkan dakwahnya dalam usaha mengembangkan lagi agama mereka atau sekurang-kurangnya menarik perhatian orang Islam supaya mengamalkan budaya dan cara hidup mereka walaupun tidak menganut agama mereka.
Dalam perkara ini, elok kita amat-amati fatwa Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz, Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam yang pertama, dalam fatwa beliau bilangan: 27/1986, beliau berkata:
“Hadir di dalam sekolah-sekolah misi adalah haram, kerana dalam sekolah-sekolah misi ada perkara mungkar dari perkara agama Kristian, suasana Kristian, upacara Kristian, hidup cara Kristian, pandangan-pandangan agama Kristian. Maka mendedahkan kanak-kanak damit yang mentah dari didikan Islam dan hidup cara Islam, mereka berumur dari 5 tahun ke atas Kristian, hidup cara Kristian, dan membiasakan dengan pandangan Kristian sepanjang hari dan sepanjang tahun, adalah ditegah dan haram, dan jika redhakan anak-anak damit bakal hidup dan berfalsafah dan bersemangat Kristian adalah kufur dan riddah, kerana redha dan suka hati dan berkenan hati akan perkara-perkara kufur adalah kufur dan riddah. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah meruntuhkan berhala-berhala yang banyak di sisi Ka‘bah ketika menawan dan membuka Makkah dan menjadikan sebagai negeri Islam, dan Rasulullah telah memerintahkan supaya dihapuskan berhala di keliling Makkah dan Tanah ‘Arab, dan ulama Islam telah menegah daripada berada di tempat maksiat dan dosa dan derhaka dan daripada masuk ke dalam gereja dan tempat-tempat kufur, kerana semuanya itu dosa dan haram, dan ibu bapa dan penjaga kanak-kanak adalah menanggung dan menghantar anak-anak ke tempat maksiat dan dosa itu.”
Menurutnya lagi dalam fatwa bilangan: 13/1997, beliau berkata:
Apa Jua Perbuatan Sekolah Mission Hanya Tujuan Mengembangkan Kristian
“Pihak sekolah mission itu dan dengan apa jua ia bernama dan menggelarkan dirinya adalah suatu badan bertujuan mengembangkan agama Kristian dan kebudayaan Kristian di negeri-negeri sebelah timur ini sama ada dengan jalan pelajaran atau ceramah atau risalah atau majalah atau buku atau melalui sekolah-sekolah, atau persatuan-persatuan, atau rumah-rumah orang tua, rumah-rumah orang cacat, atau klinik, atau hospital-hospital, atau asrama-asrama dan lain-lain macam cara lagi yang mereka fikir sesuai bagi menarik orang-orang jinak ke pihak ajaran Kristian dan kebudayaan Kristian itu menurut keadaan sesuatu tempat dan suasana dan masa. Apa jua rumah atau bangunan didirikan oleh mereka ialah bertujuan mengembangkan agama Kristian.”
Manakala dalam fatwa Mufti Kerajaan Johor bilangan 125/11 yang difatwakan oleh al- ‘Allâmah as-Sayyid ‘Alwi bin Thahir al-Haddad sewaktu menjawab pertanyaan Pejabat Ugama Brunei dalam surat bilangan 26 dalam 11/54 bertarikh 13hb. Mac 1958, antara lain beliau berkata:
“Adapun perubahan-perubahan cara setengah-setengah mission pengembang Kristian itu kepada cara-cara pelajaran ilmu pengetahuan dan kebudayaan telah saya dapati rahsia-rahsianya dan keterangan-keterangannya yang sangat mustahak di dalam sebuah buku yang disalin daripada seratus buah buku yang ditulis oleh pakar-pakar pengembang Kristian itu sendiri dan penolong-penolongnya. Setelah diadakan beberapa kongres dan perundingan, semuanya sepakat mengatakan bahawa mengembangkan Kristian dengan cara berterang-terang itu tidak mendatangkan natijah melainkan sangat kecil dalam golongan orang-orang Islam. Dari sebab itu mereka telah menetapkan perubahan cara menyeludupkan ajaran-ajaran Kristian itu dalam buku-buku pelajaran dan ilmu pengetahuan dan didikan hingga dalam buku-buku kedoktoran dan keinjiniaran (engineering) apatah lagi di dalam buku-buku kebudayaan, kesusasteraan dan lain-lain siaran di masa sekarang.
Dalam buku yang telah saya sebutkan itu didapati fikiran-fikiran, syarahan-syarahan, pidato-pidato pengembang Kristian. Mereka sepakat mengubah cara-cara mengembangkan Kristian itu daripada cara berterang-terang dengan cara didikan menyeludupkan ajaran-ajaran itu ke dalam buku-buku pelajaran dan lainnya. Buku yang disebarkan itu saya boleh tunjukkan nama buku itu kepada siapa yang hendak tahu bila-bila masa juga.
Tempat-tempat yang mustahak pengembang-pengembang Kristian itu menaruh racun-racun Kristian itu ialah dalam buku-buku tarikh. Mereka tidak sebutkan dalam buku-buku tarikh itu orang-orang Islam yang masyhur di Timur Jauh dan Tenggara Asia dan begitu juga orang-orang Islam yang masyhur di Timur Tengah, tetapi mereka hanya menyebutkan orang-orang masyhur Barat. Kalau pun mereka sebutkan junjungan kita Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam, maka mereka sebutkan tohmah-tohmah dan bidasan-bidasan karut atas Baginda, al-Qur’an dan agama Islam.”
Berdasarkan kata-kata atau penjelasan ulama di atas, menunjukkan antara tujuan sekolah misi itu diwujudkan ialah untuk menyebarkan agama Kristian. Ini dikuatkan lagi dengan keterangan penanya yang menyatakan memang ada memo yang telah dikeluarkan oleh sekolah berkenaan memberitahu bahawa sekolah tersebut akan mendermakan sebahagian daripada hasil bayaran sekolah penuntut-penuntutnya ke tabung kebajikan gereja, Bandar Seri Begawan. Maka dengan ini, sahlah bahawa kegiatan sekolah misi itu memang ada kaitannya dengan agama Kristian.
Perkara ini sejak berdekad-dekad lagi telahpun dibincang dan ditetapkan hukumnya oleh para ulama, antara mereka termasuklah dua bekas mufti, seperti yang dinukilkan di atas. Rasa-rasanya tidak ada lagi alasan bagi kita orang Islam untuk mengatakannya tidak tahu perkara ini, ibarat peribahasa: Sudah terang lagi bersuluh.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11617
