Berkongsi Peti Ais Dengan Orang Bukan Islam
Soalan: Adakah boleh seseorang Islam berkongsi peti ais dengan non-Muslim sedangkan kita mengetahui dia menyimpan ‘pork’ (daging khinzîr) di dalam peti ais itu? Walau bagaimanapun kita telah mengambil langkah berhati-hati iaitu menyimpan barang-barang makanan di tempat paling atas dalam peti ais untuk mengelak daripada menitiknya air daripada bahan-bahan simpanannya.
Jawapan: Kewajipan Memakan Makanan Yang Halal
Soal pemakanan adalah antara perkara yang penting dan sangat dititik-beratkan dalam Islam, kerana ia bukan sahaja berhubung kait dengan penerimaan ibadat seseorang tetapi ia juga berkaitan dengan pembentukan keperibadian dan ketaatan seorang Muslim terhadap perintah dan larangan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Telah menjadi kewajipan seorang Muslim untuk memastikan bahawa setiap apa yang dimakan dan diminumnya bersumber daripada yang halal dan yang baik. Kewajipan ini telah banyak dinyatakan dalam ayat-ayat al-Qur’an, antaranya:
Tafsirnya: Oleh itu, makanlah (wahai orang-orang yang beriman) daripada apa yang telah dikurniakan oleh Allah Ta‘ala kepada kamu daripada benda-benda yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan ni‘mat Allah Ta‘ala, jika benar kamu hanya menyembah kepadaNya semata-mata. l: 114)hNa-(Surah an
Perkara yang sama juga disebutkan dalam hadits-hadits. Antaranya ialah sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Wahai manusia! Sesungguhnya Allah itu Baik (Suci daripada segala kekurangan). Allah tidak menerima kecuali yang baik, dan Allah telah memerintahkan kepada orang-orang yang beriman dengan apa yang diperintahkanNya kepada para rasul. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman: “Wahai para rasul! Makanlah daripada makanan yang baik-baik dan kerjakanlah amal salih. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” Dan Allah berfirman lagi: “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada sumber rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepada kamu.” (Hadits riwayat Muslim dan at-Tirmidzi)
Al-Imam an-Nawawi Rahimahullâh Ta‘âlâ ketika menghuraikan hadits ini, telah menjelaskan bahawa maksud طيب (baik) dalam hadits ini, bukan sahaja bermaksud benda yang halal, bahkan juga suci daripada unsur-unsur syubhah. (Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi: 4/2796)
Makanan syubhah pula ialah makanan yang diragui sama ada ia bersumber daripada yang halal atau haram. Maka berdasarkan pendapat ini, umat Islam bukan sahaja diperintahkan untuk meninggalkan benda-benda yang tidak halal, bahkan juga menjauhkan diri daripada makanan yang syubhah.
Kedudukan makanan syubhah ini juga telah dijelaskan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Nu‘man bin Basyir Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara musyabbahât (tidak jelas status halal atau haramnya) yang tidak diketahui (hukumnya) oleh kebanyakan manusia. Maka barang siapa yang menjauhi perkara-perkara musyabbahât, dia telah menjaga kesucian agamanya dan kehormatannya. Barang siapa yang terjerumus ke dalam syubuhât, (maka dia) adalah seperti penggembala di sekitar tanah larangan, hampir-hampir sahaja dia terjatuh ke dalamnya. Ketahuilah setiap raja itu mempunyai kawasan larangan. Ketahuilah sesungguhnya larangan Allah di bumiNya ialah perkara-perkara yang diharamkanNya. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Oleh itu umat Islam diperintahkan untuk meninggalkan perkara-perkara yang meragukan atau syubhah, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dalam hadits:
Maksudnya: Tinggalkan apa-apa yang meragukanmu kepada yang tidak meragukanmu. (Hadits riwayat at-Tirmidzi dan an-Nasa’i)
Berdasarkan kedua-dua hadits ini, umat Islam dituntut untuk memelihara diri mereka daripada memakan makanan yang diragui halal dan haramnya iaitu syubhah agar tidak terjerumus kepada perkara-perkara yang haram. Maka sebagai umat Islam kita hendaklah sentiasa berhati-hati, berwaspada dan tidak bersikap sambil lewa dalam mengambil makanan sehingga tidak memperdulikan apa yang halal, haram dan syubhah.
Berkongsi Peti Ais Dengan Orang Bukan Islam
Menyimpan makanan yang halal bersama dengan makanan yang haram dalam satu tempat yang sama adalah antara perkara yang akan menimbulkan keraguan dan syubhah.
Ini kerana terdapat kemungkinan besar bahawa makanan halal itu akan terkena atau tercampur dengan makanan yang haram dan menyebabkan makanan yang halal itu tercemar dan menjadi tidak halal untuk dimakan.
Berkongsi peti ais dengan orang yang bukan Islam tidak menjadi halangan jika makanan atau minuman yang disimpan di dalam peti ais itu yang halal belaka. Tetapi jika terdapat makanan haram yang disimpan di dalamnya, lebih-lebih lagi daging khinzîr, maka ini membawa keraguan yang terang nyata atau syubhah. Ini kerana sekalipun seseorang itu telah mengambil langkah berhati-hati seperti meletak simpanan barang halal di tempat yang paling atas dalam peti ais untuk mengelak daripada menitiknya air daging khinzîr daripada simpanan orang bukan Islam, tetapi tidak ada jaminan daripada orang yang empunya daging khinzîr untuk mengambil sikap berhati-hati dalam menyimpan daging khinzîrnya ke dalam peti ais tersebut agar peti ais dan barang-barang lain yang ada di dalam peti ais itu terpelihara daripada terkena sentuhan atau lelehan air daging khinzîrnya.
Perlu diketahui bahawa khinzîr merupakan najis berat (mughallazhah). Apa-apa sahaja yang bersentuhan dengannya dalam keadaan salah satu daripadanya basah, maka benda yang bersentuhan dengannya itu dihukumkan mutanajjis (bernajis). Sebelum benda yang terkena najis itu dapat digunakan, ia perlu dibersihkan terlebih dahulu dengan membasuhnya sebanyak tujuh kali cucian, salah satu daripadanya dicampur dengan tanah. (Mughni al- Muhtâj: 1/136-137)
Oleh itu sekiranya berkongsi peti ais itu dapat dan mampu dielakkan, maka hendaklah ia dielakkan misalnya dengan memiliki peti ais berasingan yang khusus untuk menyimpan makanan orang Islam, ataupun dengan menerangkan kepada orang yang bukan Islam itu tentang kesan sentuhan daging khinzîr terhadap makanan atau benda-benda lain. Tetapi ini bukanlah jaminan, memandangkan orang bukan Islam tidak memahami semua ini di samping menyangkut juga persoalan ‘amanah’, sedang amanah itu hanya boleh diharapkan daripada orang beraqidah sahaja kerana aqidahlah yang mengajarnya supaya takutkan dosa jika dia melanggar amanah.
Tetapi sekiranya tidak dapat dielakkan daripada berkongsi peti ais dengan orang bukan Islam yang menyimpan daging khinzîr di dalamnya, maka makanan orang Islam yang disimpan di dalam peti ais tersebut hendaklah dibersihkan menurut cara membersihkan benda-benda yang terkena najis mughallazhah sebelum ia digunakan demi untuk menjauhi keraguan atau syubhah memakan makanan yang bernajis (mutanajjis).
Adalah penting menjadi perhatian bahawa dalam perkara yang berkaitan dengan halal, haram dan syubhah ini Islam menggalakkan umatnya agar berlaku wara‘ iaitu menjauhi segala yang syubhah kerana takut akan terjerumus kepada perkara yang haram. Maka dengan berlaku wara‘ itu seseorang akan dapat menghindarkan diri daripada perkara-perkara yang haram, dan juga jiwa akan merasa tenteram kerana yakin bahawa setiap makanan yang masuk ke dalam tubuh badan itu diyakini kehalalannya dan jauh daripada sebarang unsur syubhah.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11621
