Cuti Tidak Bergaji Kerana Menemani Isteri Yang Sedang Belajar Di Luar Negeri
Soalan: Dipohonkan pandangan dan fatwa Pehin Mufti bagi meyakinkan pihak pentadbiran jabatan, adakah wajib seorang suami menemani isterinya yang sedang belajar di luar negeri bagi mengelakkan fitnah dan menjaga keselamatan keluarganya?
Jawapan: Melanjutkan pelajaran ke luar negeri adalah satu cabaran, memerlukan pengorbanan, terutama dari segi kewangan, tenaga, masa dan emosi, lebih-lebih lagi jika yang melanjutkan pelajaran itu seorang isteri dan ibu. Perpisahan dengan suami dan anak-anak merupakan perkara amat mencabar yang memerlukan pengorbanan dan menjadi pertimbangan utama bagi seorang isteri dan ibu.
Oleh yang demikian, jika ada seorang suami yang sanggup mengambil cuti tanpa bergaji demi untuk menemani isterinya yang melanjutkan pelajaran di luar negeri, maka ini wajarlah pihak majikan memberikan kebenaran kepadanya bersesuaian dengan peraturan Perkhidmatan Awam mengenainya.
Membuat keputusan untuk mengambil cuti tanpa bergaji lebih-lebih lagi dalam satu jangka masa yang panjang bukanlah keputusan yang mudah, kerana ia melibatkan kehilangan sumber pendapatan utama.
Orang biasanya tidak akan sanggup kehilangan sumber pendapatan utama kecuali jika benar-benar terpaksa. Oleh itu, jika ada peraturan yang boleh membenarkan, maka wajarlah ia disokong dan dibenarkan.
Lagipun keputusan membenarkan itu selari dengan kehendak syara‘, iaitu seorang isteri yang belayar akan ditemani oleh suami atau mahram lain. Jika isteri itu membawa juga bersama-samanya anak-anaknya, maka akan turut menyangkut ialah tanggungjawab ayah dan ibu terhadap anak-anak secara langsung. Lain lagi perkara keselamatan dan murû’ah isteri di tempat orang memerlukan tanggungjawab suami atau mahram. Jika tidak siapa lagi? Siapa juga yang akan membantu isteri sekiranya berbangkit, seperti sakit demam dan urus mengurus perkara-perkara penting termasuk perkara-perkara harian di dalam rumah tangga yang memerlukan khidmat lelaki (suami)?
Maka berdasarkan ini, adalah tepat sekali langkah yang diambil oleh kerajaan memperuntukkan peraturan yang membenarkan cuti tidak bergaji kepada warga perkhidmatan awam apabila terdapat alasan-alasan yang munasabah. Salah satu alasan munasabah itu ialah menemani isteri yang sedang belajar di luar negeri.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11625
