Fadhilat Surah Al-Balad
Soalan: ‘Surah al-Balad’ selain dibaca sesudah sembahyang sunnah qabliah Shubuh, waktu bilakah lagi mustajâbnya surah ini diamalkan dan apakah khasiat-khasiat lain yang boleh didapati daripadanya?
Jawapan: Tidak Disebut Sunat Qabliyyah Bagi Sembahyang Shubuh
Daripada perkataan qabliah yang terkandung dalam soalan penyoal, dapat difahami bahawa sembahyang sunnah atau sunat yang dimaksudkan ialah sembahyang sunat rawâtib iaitu sembahyang sunat yang dikerjakan mengiringi sembahyang fardhu lima waktu. Perkataan qabliah atau qabliyyah juga bererti ia adalah sembahyang sunat rawâtib yang dikerjakan sebelum sembahyang fardhu. Bagaimanapun, penggunaan perkataan qabliyyah Shubuh dalam hal ini adalah tidak tepat kerana dalam sembahyang sunat rawâtib Shubuh dan juga ‘Ashar, tiada anjuran untuk mengerjakan sembahyang sunat rawâtib ba‘diyyah. Oleh sebab itu, lafaz qabliyyah tidak disebutkan untuk menyatakan sembahyang sunat rawâtib Shubuh dan ‘Ashar. Lafaz qabliyyah juga tidak perlu dilafazkan ketika berniat mengerjakan sembahyang tersebut. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/418 dan Fath al-‘Allâm: 2/33)
Huraian Umum Surah Al-Balad
Surah al-Balad ini mengandungi 20 ayat dan ia diturunkan di Makkah sesudah surah Qâf. Surah ini menceritakan bagaimana manusia telah diciptakan untuk sentiasa berjuang menghadapi kesusahan dan kesukaran, dan mereka yang berkeadaan demikian tidak patut terpedaya dengan kuasa dan harta benda yang mereka miliki serta bertanggapan tiada siapa yang dapat mengatasi kuasa yang ada pada diri mereka itu. Dalam surah ini diterangkan bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah menunjukkan kepada manusia dua jalan; kebaikan untuk mereka lalui dan kejahatan untuk mereka jauhi. Jalan kebaikan itu ialah jalan yang sukar dan kebanyakan manusia tidak memilih untuk melalui jalan tersebut. Orang-orang yang mengerjakan amalan-amalan yang dapat mendekatkan diri mereka kepada Allah ialah golongan yang digelar sebagai ashhâb al-maimanah iaitu orang-orang beriman lagi bertaqwa. Orang-orang yang menyangkal keterangan-keterangan daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang dibawa oleh RasulNya pula digelar sebagai golongan ashhâb al-masy’amah iaitu golongan orang kafir yang akan dibelenggu dalam api neraka. (Tafsîr al-Maraghi: 30/155- 164)
Fadhilat Membaca Al-Qur’an Secara Umum
Sejauh penelitian yang dilakukan ke atas kitab-kitab tafsir yang mu‘tabar, hadits-hadits atau sunan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam serta kitab-kitab ‘ulûm al-Qur’an yang berkaitan, tidak ditemui dalil yang benar-benar tsabit menerangkan fadhilat yang bakal diperolehi secara khusus apabila membaca surah al-Balad. Ini bagaimanapun tidak bererti surah tersebut tidak mengandungi apa-apa kelebihan kerana setiap ayat bahkan setiap huruf dalam al-Qur’an pasti memberikan faedah dan ganjaran yang besar ke atas sesiapa yang membacanya. Ini dapat difahami menerusi dalil-dalil daripada al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sebagaimana berikut:
i. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terang-terangan, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian. (Surah Fâthir: 29)
ii. Daripada Abu Umamah Radhiallâhu ‘anhu, beliau mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Bacalah oleh kamu al-Qur’an, sesungguhnya ia (al-Qur’an) datang pada Hari Kiamat menjadi syafaat kepada pembacanya. (Hadits riwayat Muslim)
iii. Daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu, beliau mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Siapa membaca satu huruf daripada Kitab Allah (al-Qur’an), maka baginya satu kebaikan, dan satu kebaikan dilipatgandakan menjadi sepuluh kebaikan. Aku tidak menghitung ( ال ) sebagai satu huruf, tetapi ( ا ) satu huruf, ( ل ) satu huruf dan ( م ) satu huruf. (Hadits riwayat at-Tirmidzi dan beliau mengatakan hadits ini hasan shahîh)
Berhati-hati Mengambil Sandaran
Tidak dinafikan bahawa dalam sebilangan kitab-kitab agama termasuklah sebahagian kitab-kitab tafsir terdapat fadhilat-fadhilat tertentu yang disebutkan berkenaan surah al-Balad. Sebahagian fadhilat-fadhilat tersebut telah dinisbahkan sebagai perkhabaran daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Al-Qur’an dan hadits tidak diragukan lagi adalah rujukan utama umat Islam serta sumber dan dalil paling penting untuk berhujjah dalam perkara agama. Begitu juga, al-Qur’an dan hadits perlu dijadikan sandaran untuk mengetahui fadhilat-fadhilat yang terdapat dalam surah-surah al-Qur’an termasuklah surah al-Balad.
Bagaimanapun, berbeza dengan al-Qur’an, penggunaan hadits sebagai sumber dan dalil perlu dilakukan dengan berhati-hati. Ini kerana sebagaimana diterangkan oleh para ulama hadits, di samping hadits-hadits yang maqbûl iaitu hadits-hadits yang boleh diterima pakai untuk berhujjah, terdapat juga hadits-hadits yang mardûd iaitu hadits-hadits yang tidak diterima pakai. Mengikut disiplin ilmu mushthalah hadits, sesebuah hadits itu dinilai bukan setakat pada matn (teks) dan maksud kandungannya sahaja, tetapi sanad (rentetan atau pertalian periwayat-periwayat) juga hendaklah diperhatikan dan diteliti. Pengetahuan tentang kedudukan periwayat-periwayat hadits itu akan membawa kepada pengetahuan sama ada hadits tersebut boleh diterima pakai ataupun sebaliknya. Al-‘Allâmah ‘Abdul ‘Ali Muhammad al-Anshari al-Laknawi Rahimahullâh seorang ulama ushul fiqh berkata:
Ertinya: Kemudian ketahuilah bahawasanya kedudukan sunnah sebagai hujjah bagi diri kita (iaitu bagi golongan selain daripada para sahabat Radhiallâhu ‘anhum) adalah bergantung kepada sanadnya. (Fawâtîh ar-Rahamût bi Syarh Musallami ats-Tsubût: 2/121)
Hadits yang diterima pakai adalah bergantung kepada periwayat-periwayatnya yang tsiqah (boleh dipercayai) dan dhâbith (kuat ingatan) serta mampu memenuhi beberapa kriteria lain yang dapat mengangkat martabat sesebuah hadits kepada shahîh atau hasan. Periwayat-periwayat yang fâsiq pula merupakan periwayat-periwayat yang tidak boleh dipercayai kata-kata mereka. Demikian juga, periwayat-periwayat yang mempunyai daya ingatan yang lemah boleh menyebabkan sesebuah hadits itu jatuh ke dalam kategori hadits-hadits yang dha‘îf atau lemah. Pengetahuan tentang kedudukan periwayat-periwayat hadits juga membolehkan kita mengenal pasti dan membezakan di antara hadits-hadits yang direka-reka atau dipalsukan (maudhû‘) dengan hadits-hadits yang tsabit datangnya daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
Dalam beberapa buah kitab tafsir, sebagai contoh, disebutkan perkhabaran sebagaimana di bawah ini:
Maksudnya: Daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam: Barang siapa membaca surah ال أقسم ِبذا البلد (surah al-Balad) Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memberikannya keamanan daripada kemurkaanNya pada Hari Kiamat.
Hadits di atas disebutkan dalam kitab-kitab tersebut tanpa dinyatakan siapa periwayat-periwayatnya. Hadits ini juga tidak ditemui dalam kitab-kitab hadits atau sunan yang mu‘tabar. Bagaimanapun, Jamaluddin az-Zaila‘i Rahimahullâh mentakhrîjkan bahawa hadits ini telah diriwayatkan oleh ats-Tsa‘labi daripada Abu ‘Ashmah Nuh bin Abu Maryam daripada ‘Ali bin Zaid daripada Zur daripada sahabat Ubay bin Ka‘ab Radhiallâhu ‘anhu. (Takhrîj al-Ahâdîts wa al-Âtsâr: 4/215)
Dalam sanad ini terdapat ‘Ali bin Zaid dan Abu ‘Ashmah Nuh bin Abu Maryam. Al-Hafizh Nuruddin ‘Ali bin Abu Bakar al-Haitsami Rahimahullâh menyebutkan bahawa ‘Ali bin Zaid adalah seorang yang dha‘îf (lemah) dalam meriwayatkan hadits dan ulama berbeza pendapat dalam mengambil hadits-haditsnya sebagai hujjah. Imam adz-Dzahabi Rahimahullâh pula menyatakan antara lain, bahawa ‘Ali bin Zaid adalah seorang yang tidak diambil hadits-haditsnya sebagai hujjah kerana daya ingatannya yang lemah. Di samping itu, beliau juga dikatakan seorang yang telah memutarbelitkan hadits dan hadits-hadits yang diriwayatkan daripadanya perlu diawasi. (Majma‘ az-Zawâ’id: 1/339 dan Siyar A‘lâm an-Nubalâ’: 6/42- 43)
Abu ‘Ashmah Nuh bin Abu Maryam pula sebagaimana dinukil oleh Imam al-Bukhari Rahimahullâh daripada kata-kata Ibnu al-Mubarak Rahimahullâh bahawa dia ini adalah seorang yang telah mengada-adakan hadits. Begitu juga, al-‘Allâmah al-Munawi Rahimahullâh menyebutkan bahawa hadits-hadits beliau tidak diambil sebagai hujjah dan tidak dituliskan di samping beliau telah mereka-reka hadits tentang fadhilat-fadhilat al- Qur’an. (Kitab at-Târîkh al-Kabîr: 4/396 & Faidh al-Qadîr: 3/154)
Daripada keterangan-keterangan yang diberikan oleh ulama ini, ternyata hadits yang dikemukakan di atas tidak selamat untuk dijadikan sandaran. Hadits-hadits yang sangat lemah atau palsu tidak boleh diambil sama sekali sebagai dalil sekalipun hanya untuk menunjukkan fadhâ’il atau kelebihan-kelebihan sesuatu amalan. (Al-Adzkâr: 38)
Oleh sebab itu, langkah berhati-hati perlu diambil apabila menerima dan mengguna pakai sebarang perkhabaran sekalipun ia dinisbahkan kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Elakkan mengambil sandaran yang tidak diketahui susur galurnya sehinggalah dipastikan ia daripada al-Qur’an atau tsabit datangnya daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sendiri.
Berkata ‘Abdullah al-Mubarak Rahimahullâh:
Ertinya: Isnâd itu adalah daripada perkara agama, sekiranya tiada isnâd nescaya setiap orang akan mengatakan apa yang dia mahu. (Hadits riwayat Muslim)
Muhammad bin Sirin Rahimahullâh pula berkata:
Ertinya: Sesungguhnya ilmu itu adalah agama, maka lihatlah lebih dahulu daripada siapa kamu mengambil agamamu. (Hadits riwayat Muslim)
Surah Al-Balad Dan Al-Mufashshal (املفصل)
Dalam al-Qur’an, terdapat surah-surah yang dinamakan sebagai al-mufashshal. Ia terdiri daripada surah-surah yang pendek dan dinamakan demikian kerana banyaknya bilangan surah yang difashal atau dibahagikan di antara satu dengan lain oleh bacaan basmalah. (Al-Burhân fî ‘Ulûm al-Qur’ân: 1/244-245)
Menurut qaul yang ashah dalam mazhab Syafi‘e, al-mufashshal bermula daripada surah al- Hujurât. Surahnya yang terakhir pula tanpa pertikaian ulama ialah surah an-Nâs. (Mughni al- Muhtâj: 1/364 & al-Itqân fî ‘Ulûm al-Qur’ân: 1/63)
Al-Mufashshal terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu thiwal (surah-surah yang panjang), awsath (sederhana) dan qishar (pendek). Surah-surah thiwal al-mufashshal bermula dari surah al-Hujurât hingga surah an-Naba’. Surah-surah al-awsath pula bermula dari surah an- Nâzi‘ât hingga surah ad-Dhuhâ. Manakala surah-surah al-qishar ialah dari surah al-Insyirâh hingga surah an-Nâs. (Al-Itqân fî ‘Ulûm al-Qur’ân: 1/63-64)
Daripada keterangan ini dapat difahami bahawa surah al-Balad terletak dalam lingkungan surah-surah al-mufashshal yang panjang (at-thiwal).
Dalam mazhab Syafi‘e, surah-surah al-mufashshal yang panjang sunat dibaca ketika sembahyang fardhu Shubuh dan Zhuhur. Surah-surah al-mufashshal yang sederhana sunat dibaca ketika sembahyang fardhu ‘Ashar dan ‘Isya’. Manakala surah-surah al-mufashshal yang pendek sunat dibaca ketika mengerjakan sembahyang fardhu Maghrib.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Disunatkan dalam sembahyang fardhu Shubuh dan Zhuhur (membaca) surah-surah al-mufashshal yang panjang, dalam sembahyang fardhu ‘Ashar dan ‘Isya’ (disunatkan membaca) surah-surah al-mufashshal yang sederhana dan dalam sembahyang Maghrib (disunatkan membaca) surah-surah al-mufashshal yang pendek. (Minhâj ath-Thâlibîn dalam Mughni al-Muhtâj: 1/363)
Berdasarkan anjuran yang diajarkan ulama ini, dapat difahami bahawa surah al-Balad sunat dibaca ketika mengerjakan sembahyang fardhu Shubuh dan Zhuhur, sebagaimana anjuran membaca surah-surah thiwal al-mufashshal yang lain dalam kedua-dua sembahyang berkenaan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11629
