Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳النكاح والطلاق

Hukum Berpegang Tangan Kekasih Yang Belum Berkahwin

Soalan: Sepasang kekasih berumur antara 18-24 tahun yang belum berkahwin, hanya pasangan cinta. Mereka berpegangan tangan ketika bersama seperti di pusat membeli-belah serta bercumbu-cumbuan dan berpelukan di tempat tersembunyi seperti tangga belakang bangunan atau di dalam bilik tetapi tidak sampai ke tahap melakukan perzinaan. Apakah makruh iaitu tidak digalakkan melakukannya ataupun haram sama sekali?

Jawapan: Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ melarang manusia daripada menghampiri apa-apa jua jalan yang membawa kepada zina, apatah lagi perbuatan zina itu sendiri, kerana yang demikian itu adalah terang kejinya dan malah membawa kerosakan. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah salah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). (Surah al-Isrâ’: 32)

Berdua-duaan (berkhalwat) di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram adalah diharamkan oleh syariat Islam. Ini jelas disebut oleh hadits riwayat Jabir bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhumâ, bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Barang siapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka jangan sekali-kali dia bersendirian dengan seorang perempuan yang tidak ada bersamanya mahramnya, kerana yang ketiganya itu adalah syaitan. (Hadits riwayat Ahmad)

Perlu diketahui bahawa mahram yang ada bersama perempuan itu syaratnya ialah seorang yang diseganinya. Jika mahramnya itu seorang yang belum layak disegani seperti kanak-kanak kecil yang berumur dua atau tiga tahun, maka dia tetap dianggap seperti belum bersama dengan mahramnya.

Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ:

Ertinya: Bahawasanya syarat mahram perempuan ajnabiyyah yang membolehkan (seseorang lelaki) duduk bersamanya ialah hendaklah dia seorang yang disegani (orang merasa malu dengannya). Jika mahram itu kecil, seperti kanak-kanak yang berumur dua atau tiga tahun dan seumpamanya, maka kewujudan mahram seumpama itu seperti juga tiada, tanpa khilâf. (Al-Majmû‘: 4/242).

Hukum Berpegangan Tangan Antara Lelaki Dengan Perempuan Ajnabiyyah

Para ulama telah sepakat mengatakan bahawa lelaki yang bersentuhan atau berjabat tangan dengan perempuan ajnabiyyah adalah haram. Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam tidak pernah menyentuh perempuan walau hanya sekadar tangannya melainkan isteri-isteri Baginda sahaja, sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ katanya:

Maksudnya: Dan tangan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam itu tidak pernah menyentuh tangan seorang perempuan kecuali perempuan yang Baginda miliki. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Menyentuh perempuan yang tidak halal, bukan sahaja berdosa, bahkan digambarkan akan menerima azab yang pedih sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Ma‘qil bin Yasar Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Dicucuk kepala seorang kamu dengan jarum daripada besi adalah lebih baik baginya daripada menyentuh perempuan yang tidak halal baginya. (Hadits riwayat ath-Thabarani)

Oleh itu, agama Islam melarang pasangan lelaki dan perempuan yang bukan mahram bersendirian atau berdua-duaan. Begitu juga diharamkan berpegangan tangan, bercumbu-cumbuan apatah lagi berpelukan sama ada di tempat awam ataupun di tempat tersembunyi kerana semua itu perkara yang menghampiri perbuatan zina yang diharamkan oleh Islam.

Apa jua perkara yang boleh mendorong atau merangsang kepada perzinaan adalah termasuk dalam ayat 32, surah al-Isrâ’ di atas. Oleh kerana itu berdua-duaan atau berkhalwat antara seorang lelaki dengan seorang perempuan yang halal bernikah adalah dilarang, lebih-lebih lagi jika mereka berada di tempat yang mengizinkan untuk mendekati zina itu. Pada ketika itu ditakuti budi bicara hanyalah nafsu dan syahwat.

Apabila perzinaan terjadi, mungkin saja akibatnya akan lahir anak di luar nikah. Jika sifat kemanusiaan tidak ada lagi dalam diri manusia, maka anak yang di luar nikah itu akan menjadi korban dibuang di mana-mana.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11633