Hukum Melewatkan Sembahyang
Soalan: Persoalan yang timbul ketika kami mendengar ceramah daripada salah seorang penceramah dari Pusat Dakwah Islamiah ialah mengenai hukum seorang pensyarah/guru yang meneruskan pembelajaran ketika sudah masuk waktu mengerjakan sembahyang (azan). Beliau mengatakan hukumnya adalah haram dan pensyarah/guru tersebut yang akan menanggung dosa kerana melengahkan masa untuk mengerjakan sembahyang tepat pada masanya.
Ingin sekali saya mengetahui penjelasan mengenai hal ini. Jika haram meneruskan pembelajaran ketika azan/sudah masuk waktu, apakah perlu bersegera meninggalkan kelas/pembelajaran dan segera menunaikan sembahyang? Atau memadaikah berhenti sekejap (menjawab azan) kemudian menyambung pembelajaran sebaik sahaja selesai azan dan selesai pembelajaran barulah mengerjakan sembahyang?
Waktu Zhuhur pada lazimnya tidak mendatangkan masalah kerana pelajar/penuntut sudah tamat sesi pembelajaran sebelah pagi. Masalah ini timbul ketika masuk waktu ‘Ashar terutama sekali di institusi-institusi pengajian tinggi.
Jawapan: Hukum Mendengar Azan
Sunat bagi orang yang mendengar seruan azan untuk menjawab azan sama seperti apa yang dilaungkan oleh al-mu’adzdzin (orang yang melaungkan azan). Ini disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu mengatakan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Apabila kamu mendengar seruan azan, maka kamu ucapkanlah (jawablah) seperti apa yang diucapkan oleh al-mu’adzdzin (orang yang melaungkan azan) itu. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh menjelaskan bahawa jika seseorang itu mendengar azan ketika dia sedang membaca atau berzikir, sunat baginya berhenti (membaca atau berzikir) dan menjawab azan tersebut. (Mughni al-Muhtâj: 1/328)
Menurut Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh bahawa disunatkan bagi setiap orang yang azan dan iqâmah serta orang-orang yang mendengar kedua-duanya (azan dan iqâmah) berselawat dan mengucapkan salam ke atas Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam setelah selesai daripada azan dan iqâmah, jika jarak masa antara azan dan iqâmah adalah lama. Akan tetapi jika masa selang azan dan iqâmah itu tidak lama, maka memadailah dengan berselawat dan mengucapkan salam (do‘a) sekali sahaja selepas iqâmah. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/387-388)
Setelah membaca selawat dan salam kepada Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam, disunatkan menadah kedua-dua tangan dengan membaca do‘a selepas azan dan iqâmah seperti berikut:
Ertinya: Ya Allah, Tuhan kepada seruan yang sempurna ini dan sembahyang yang didirikan, anugerahkan olehMu ke atas Nabi Muhammad wasîlah (suatu tempat di dalam syurga) dan kelebihan dan bangkitkan olehMu akan Baginda di tempat yang terpuji yang telah Engkau janjikan. (Hasyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/388)
Diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Ash Radhiallâhu ‘anhumâ, bahawasanya beliau pernah mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Apabila kamu mendengar orang melaungkan azan, maka kamu ucapkan sepertimana mu’adzdzin itu ucapkan. Kemudian berselawatlah ke atasku, kerana barang siapa berselawat ke atasku satu selawat nescaya Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh selawat. Kemudian berdo‘alah kepada Allah bagiku “wasîlah”, kerana “wasîlah” itu suatu tempat di syurga yang tidak layak bagi seseorang melainkan bagi seorang hamba daripada hamba-hamba Allah. Aku berharap, akulah hamba itu. Barang siapa memohon “wasîlah” untukku, wajib baginya syafaat. (Hadits riwayat Muslim)
Memelihara Waktu Sembahyang
Setiap orang Islam wajib memelihara sembahyang dengan menunaikannya pada waktunya. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Peliharalah oleh kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardhu, khasnya sembahyang wusthâ (sembahyang ‘Ashar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyû‘. (Surah al-Baqarah: 238)
Imam al-Hafizh ‘Imaduddin Ibnu Katsir mengatakan ayat di atas menerangkan bahawasanya Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memerintahkan (kepada orang beriman) untuk memelihara segala sembahyang fardhu pada waktunya dan menjaga segala batasan waktu sembahyang dan menunaikannya pada waktunya. (Tafsîr Ibnu Katsir: 2/391)
Sembahyang Pada Awal Waktu
Menunaikan sembahyang fardhu lebih afdhal dilakukan pada awal waktu dan ia adalah amalan yang digemari oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Ummu Farwah Radhiallâhu ‘anhâ katanya:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah ditanya: “Apakah di antara amalan-amalan yang lebih utama?” Baginda bersabda: “Sembahyang pada awal waktunya.” (Hadits riwayat Abu Daud)
Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh pula berkata:
Ertinya: Bahawasanya orang-orang yang menunaikan sembahyang di awal waktunya lebih utama (daripada orang-orang yang) memeliharanya dengan melewatkannya (dari awal waktunya). (Al-Umm: 1/92)
Oleh itu, bagi mengelakkan daripada berlaku kelalaian sehingga luput waktu sembahyang, maka adalah afdhal (lebih utama) ditunaikan sembahyang pada awal waktu.
Bilakah Haram Hukumnya Melewatkan Sembahyang?
Haram hukumnya melewatkan sembahyang dalam keadaan berikut:
1. Melewatkan sembahyang tanpa berazam untuk menunaikannya dalam waktunya.
Jika seseorang itu ingin melewatkan sembahyangnya kerana sesuatu sebab, maka hendaklah dia berniat dan berazam untuk menunaikannya dalam waktunya. Untuk jelasnya, apabila masuk waktu sembahyang fardhu, wajiblah dia melakukan salah satu dari dua perkara:
i. Terus menunaikannya, atau ii. Berazam dalam hati untuk menunaikannya dalam waktunya.
Al-‘Allâmah as-Sayyid Muhammad Abdullah al-Jurdani Rahimahullâhu Ta‘âlâ berkata:
“Sebaik saja masuk waktu (sembahyang fardhu), wajiblah dilakukan salah satu daripada dua perkara: Sama ada melakukannya terus ataupun berazam melakukannya dalam waktunya. Jika kewajipan ini tidak dilakukan dan tidak berazam akan melakukannya dalam waktunya, maka dia dikira berdosa sekalipun dia melakukan sembahyang selepas itu di dalam waktunya.” (Fath al-‘Allâm: 2/89).
Jika perkara pertama dilakukan, bermakna kewajipan telah selesai dan pahala sudah menanti. Sekiranya setelah itu dia meninggal dunia, tidak ada lagi dosa mengenainya.
Jika perkara kedua yang dilakukan (berazam), bermakna kewajipan belum tertunai dan pahalanya belum diperolehi. Sekiranya dia meninggal atau ada halangan yang menghalangnya daripada melakukannya, seperti datang haidh, beranak, pengsan, hilang akal dan lain-lain uzur syar‘i sehinggalah habis waktunya, maka dia tidak dikira berdosa kerana adanya azam.
Al-‘Allâmah as-Sayyid Muhammad ‘Abdullah al-Jurdani Rahimahullâhu Ta‘âlâ berkata:
“Jika seseorang itu bermaksud melewatkan sembahyang daripada awal waktu dan melakukannya dalam waktunya, adalah harus, tetapi dengan syarat pada saat itu dia wajib berazam melakukannya sebelum habis waktunya mengikut qaul yang ashah, supaya jika dia mati dalam waktu itu setelah berazam tetapi belum sempat melakukannya dan waktunya masih cukup untuk melakukannya, maka dia tidak dikira berdosa. Berbeza jika dia tidak melakukan azam tersebut. Sekiranya dia mati dalam waktu kewajipan itu sebelum sempat dilakukannya, dia dikira berdosa.” (Fath al-‘Allâm: 2/88).
Jelas di sini bahawa berazam untuk menunaikan sembahyang dalam waktunya adalah wajib bagi siapa yang melewatkan sembahyang dari awal waktunya.
2. Melewatkan sembahyang sehingga keluar waktunya. Ini adalah suatu perbuatan yang dicela oleh agama Islam. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: (Kalau orang yang demikian dikira daripada bilangan orang-orang yang mendustakan agama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang ahli sembahyang. (Iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya.
(Surah al-Mâ‘ûn: 4-5)
Meninggalkan sembahyang tanpa sebarang keuzuran kerana malas atau melalai-lalaikan dan mempermudah-mudahkannya sehingga habis waktunya adalah berdosa besar dan dimasukkan dalam api neraka sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: (Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam Neraka (Saqar)?” Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang.” (Surah al-Muddatstsir: 42-43)
3. Melewatkan sembahyang sehingga waktu yang berbaki tidak dapat dikerjakan di dalamnya semua rukun atau fardhu sembahyang.
Al-‘Allâmah as-Sayyid Muhammad ‘Abdullah al-Jurdani Rahimahullâhu Ta‘âlâ berkata:
“Dan adalah haram melewatkan sembahyang sehingga (waktu yang berbaki) tidak cukup untuk melakukan semua yang fardhu dalam sembahyang. Dan jika seseorang itu mengerjakan sembahyang pada ketika itu, maka tidak boleh baginya melakukan tuntutan-tuntutan sunat dalam sembahyang, bahkan dia wajib meringkaskan sembahyangnya dengan mengerjakan perkara-perkara yang wajib sahaja. Dan dia berniat sembahyang tunai jika baki waktu yang tinggal hanya cukup satu rakaat sahaja.”
“Manakala jika seseorang itu mengerjakan sembahyang, sedangkan waktu sembahyang yang tinggal hanya cukup untuk melakukan semua yang fardhu sahaja, maka boleh baginya melakukan tuntutan-tuntutan sunat dalam sembahyang, bahkan itulah yang lebih afdhal (utama) menurut qaul mu‘tamad sebagaimana dalam kitab an-Nihâyah, sekalipun sedemikian itu akan membuatkan sembahyang atau sebahagiannnya terkeluar dari waktunya.” (Fath al-‘Allâm: 2/89)
Berdasarkan penjelasan di atas dapatlah disimpulkan bahawa apabila seseorang itu mendengar seruan azan dalam mana-mana waktu sembahyang fardhu ketika dia sedang menuntut ilmu, maka disunatkan dia berhenti seketika untuk menjawab azan tersebut dan jika dia meneruskan pembelajarannya setelah selesai azan dan ingin melewatkan sembahyangnya itu, maka wajiblah dia berazam untuk menunaikan sembahyang tersebut dalam waktunya.
Oleh itu, peliharalah sembahyang dengan menunaikannya tepat pada waktu yang ditetapkan tanpa melengah-lengahkannya sehingga habis waktunya. Orang yang meninggalkan sembahyang tanpa sebarang keuzuran kerana malas atau melalai-lalaikan sehingga habis waktunya adalah berdosa besar dan dia akan terlepas daripada pemeliharaan Allah dan RasulNya. Maka adalah wajib dia segera mengqadha’ setiap sembahyang yang luput dan wajib bertaubat kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kerana meninggalkan sembahyang fardhu dengan sengaja.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11637
