Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Hukum Memakai Minyak Wangi Beralkohol

Soalan: Apakah hukum memakai minyak wangi yang mengandungi alkohol sama ada kandungan alkoholnya banyak ataupun sedikit?

Jawapan: Alkohol adalah cecair tanpa warna yang mudah mengewap, mudah terbakar dan mempunyai bau yang sederhana. Ia boleh dihasilkan melalui dua cara iaitu melalui:

1. Penapaian ragi karbohidrat (yeast fermentation of carbohydrates). Ia juga dikenali sebagai etanol atau etil alkohol dan merupakan isi kandungan aktif minuman keras.

2. Sintetik atau tiruan yang dihasilkan melalui penghidratan etilina (hydration of ethylene). Kebiasaannya semua alkohol sintetik yang dihasilkan daripada etilina bersumber daripada petroleum, gas alami dan arang. (The New Webster’s Encyclopedic Dictionary of the English Language: 17 dan The New Encyclopedia Britannica: 4/583).

Adakah Alkohol Najis?

Pada dasarnya, tidak semua alkohol itu najis dan bersumber daripada arak. Kenajisan alkohol adalah bertitik tolak daripada arak itu sendiri yang merupakan minuman memabukkan.

Menurut jumhûr (majoriti) ulama yang terdiri daripada imam-imam mazhab yang empat iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam asy-Syafi‘e, Imam Ahmad bin Hanbal dan lain-lain ulama Rahimahumullâh, arak itu adalah najis berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ: (Al-Majmû‘: 2/581)

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan anak panah itu adalah (perbuatan) keji daripada perbuatan syaitan, maka hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu beroleh kemenangan (dan keberuntungan). (Surah al-Mâ’idah: 90)

Oleh kerana arak itu menurut jumhûr ulama adalah najis, maka alkohol yang terkandung di dalam arak itu dengan sendirinya najis juga. Ini memberi maksud bahawa kenajisan alkohol adalah bertitik tolak daripada sebab kenajisan arak. Dari itu, alkohol semata-mata tidak semestinya najis selama ia tidak bersumber daripada arak atau minuman yang memabukkan, kerana itulah tapai dan jeruk, menurut pakar sains, ada juga mengandungi alkohol, namun ia tidak dihukumkan najis kerana sifatnya tidak memabukkan, atau tidak sampai ke tahap memabukkan.

Begitulah juga kedudukan alkohol sintetik atau tiruan yang dihasilkan melalui penghidratan etilina. Walaupun menurut syara‘ ia tidak boleh dimakan atau diminum kerana sifatnya memudharatkan sama dengan racun, namun ia tidak dihukumkan najis.

Hukum Memakai Minyak Wangi Beralkohol

Hukum memakai minyak wangi atau sesuatu yang mengandungi alkohol adalah tertakluk kepada dari mana sumber alkohol tersebut diperolehi:

i. Alkohol yang bersumber daripada arak.

Minyak wangi atau apa jua produk yang mengandungi alkohol yang bersumber daripada arak atau minuman yang memabukkan adalah najis. Haram menggunakannya dengan tanpa sebarang keperluan syar‘i sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh:

Ertinya: Haram berlumur dengannya (najis) di luar sembahyang pada badan dan pakaian dengan tiada sesuatu hajat (yang syar‘i). (Al-Hawâsyi al-Madaniyyah: 1/270)

Bahkan menurut as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh, menjauhi sesuatu yang najis itu adalah wajib dilakukan.

Ertinya: Maka jika tanpa ada sebarang keperluan, wajiblah ia (najis) dijauhi, kerana sesungguhnya apa yang haram dilakukan, wajiblah ia dijauhi. (Hasyiah I‘ânah ath- Thâlibîn: 1/140)

Ini bererti setiap apa jua yang berupa najis wajib dihindari, tidak kira sama ada ketika hendak melakukan ibadat sembahyang ataupun ketika di luar sembahyang, sama ada najis tersebut basah ataupun kering.

Al-Asnawi Rahimahullâh juga mengatakan bahawa:

Ertinya: Pada pendapat yang azhhar, sesungguhnya tidak boleh menggunakan najis pada pakaian iaitu berlumur najis padanya (pakaian), begitu juga tidak harus pada badan iaitu menggunakan najis padanya (badan) sama ada ia dalam keadaan basah ataupun kering. (Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibnu Qasim: 3/38)

ii. Alkohol sintetik.

Menggunakan minyak harum yang mengandungi alkohol sintetik atau tiruan tidaklah membatalkan sembahyang dan harus digunakan kerana ia tidak dihukumkan najis.

Walau bagaimanapun, persoalan yang timbul ialah adakah boleh dikenal pasti atau dapat dipastikan bahawa alkohol dalam minyak wangi itu bukan bersumber daripada arak? Jika tidak dapat dipastikan, maka ia tentu saja boleh menimbulkan keraguan. Apabila timbul keraguan, menurut ajaran Islam, lebih wajar dan lebih baik ditinggalkan.

Hassan bin ‘Ali Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa dia telah menghafal daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, sabda Baginda:

Maksudnya: Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Meninggalkan sesuatu yang meragukan (syubhah) bererti kita memelihara diri dan agama daripada sebarang kecaman dan bahaya haram, sebagaimana dinyatakan dalam hadits yang diriwayatkan oleh an-Nu‘man bin Basyir Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Maka sesiapa yang menjauhi perkara-perkara yang syubhah, (maka) dia telah melepaskan bagi agamanya dan kehormatannya (daripada kecaman); dan sesiapa yang terjerumus ke dalam perkara-perkara yang syubhah (maka) terjerumuslah dia ke dalam perkara haram. (Hadits riwayat Muslim)

Malah untuk mencapai ke peringkat taqwa, seseorang itu mestilah meninggalkan perkara-perkara yang haram dan meragukan serta beramal dengan perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan meninggalkan apa yang dilarang.

Daripada ‘Athiyyah as-Sa‘diy Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Seorang hamba tidak akan sampai ke peringkat golongan orang-orang bertaqwa, sehinggalah dia meninggalkan perkara yang tidak ada dosa dengannya sebagai langkah berhati-hati daripada (berlakunya) perkara dosa. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Atas dasar itu, penggunaan apa jua bahan najis sama ada sedikit ataupun banyak tanpa sebarang keperluan adalah ditegah, termasuk meninggalkan perkara-perkara syubhah untuk menyampaikan seseorang kepada kebaikan dan kesempurnaan iman.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11641