Hukum Memakan Ketam Kaluk
Soalan: Pada masa ini terdapat beberapa pengusaha di negara ini telah berkecimpung untuk memelihara ketam kaluk dengan menggunakan bermacam-macam sistem dan teknologi terkini. Salah satu daripada sistem ini ialah dengan menggunakan air yang ditapis secara berulang-ulang (Recirculation Culture System) dan telah dapat menghasilkan ketam-ketam tersebut dan dijual di pasaran setempat.
Memandangkan terdapat beberapa percanggahan pendapat mengenai hukum memakan ketam kaluk di kalangan orang-orang Islam di negara ini, maka Jabatan Perikanan memohon fatwa dan ketetapan agar keraguan memakannya dapat diatasi. Di samping itu, ia juga dapat membantu dalam meningkatkan penghasilan perikanan di negara ini.
Jawapan: Mengetahui apa yang halal dan haram dalam perkara makanan itu adalah antara perkara yang sangat penting dalam agama. Ini kerana mengetahui perkara halal dan haram dalam perkara makanan merupakan fardhu ‘ain kerana terdapat hadits yang menjanjikan ancaman buruk memakan makanan haram. (Nihâyah al-Muhtâj: 8/150)
Daripada Sayyidina Abu Bakr ash-Shiddiq Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang tumbuh dagingnya daripada benda haram, maka neraka adalah lebih utama baginya. (Hadits riwayat al-Hakim)
Binatang Laut Yang Halal Dimakan
Menurut as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh, termasuk dalam maksud binatang laut itu setiap yang ada di laut, sama ada:
i. Ia tidak boleh hidup melainkan di dalam laut, atau ii. Ia boleh hidup di dalam laut dan juga di darat seperti katak. (Hâsyiah I‘ânah ath- Thâlibîn: 2/551)
Imam an-Nawawi Rahimahullâh menukilkan pendapat Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh bahawa buruan laut yang diharuskan itu ialah setiap binatang yang lebih banyak hidupnya berada di dalam air. Termasuk di dalam maksud laut itu ialah sungai, perigi, lembah, air paya atau seumpamanya. (Al-Umm: 2/230 dan al-Majmû‘: 7/263)
Binatang laut yang diharuskan atau halal dimakan ini diperincikan lagi cirinya oleh Imam Ibnu Hajar dan ar-Ramli Rahimahumallâh iaitu binatang yang hidup di dalam air yang jika ia keluar daripada air, keadaannya akan menjadi:
i. Seperti binatang hidup yang disembelih (‘aisy madzbûh), atau
ii. Seperti binatang hidup (hayâh mustaqirrah) tetapi tidak boleh berterusan hidup. (Nihâyah al-Muhtâj: 8/150 dan Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj: 9/467)
Apa yang dimaksudkan dengan ‘aisy madzbûh itu ialah keadaan hidup yang tidak lagi dapat melihat, bersuara dan bergerak atas pilihannya sendiri, bahkan ia melihat, bersuara dan bergerak atas desakan. Ada juga yang memberikan penjelasan bahawa ia adalah keadaan hidup jika binatang itu dibiarkan ia akan mati serta-merta.
Manakala hayâh mustaqirrah ialah keadaan masih boleh hidup, iaitu masih ada nyawa di dalam jasad, dapat melihat, bersuara dan bergerak dengan pilihannya sendiri, bukan atas desakan. Ada juga yang memberikan penjelasan bahawa ia adalah keadaan hidup jika binatang itu dibiarkan ia boleh untuk bertahan hidup selama satu atau dua hari. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/537)
Binatang laut yang halal dimakan walau dalam apa cara sekalipun ia mati, sama ada ia mati dengan sebab yang nyata; umpamanya terhempas batu, ditusuk alat buruan atau kekeringan air, atau ia mati tanpa sebab, sama ada dalam keadaan tenggelam atau timbul, ia tetap halal dimakan. Tetapi jika ia timbul dan keadaannya kembung dan memudharatkan, maka ia haram dimakan kerana kemudharatannya sekalipun ia masih suci. (Nihâyah al-Muhtâj: 8/150-1 dan Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj: 9/467)
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut dan makanan (yang berasal) dari laut sebagai makanan yang lazat bagi kamu dan juga bagi orang-orang yang dalam perjalanan. (Surah al-Mâ’idah: 96)
Daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Ia (air laut) itu suci lagi menyucikan, serta halal bangkainya (binatang laut). (Hadits riwayat Abu Daud)
Binatang Laut Yang Haram Dimakan
Binatang laut yang haram dimakan ialah binatang laut yang boleh hidup berterusan di darat dan di laut seperti katak, ketam batu, buaya, penyu, kura-kura atau binatang laut yang beracun seperti ular air. Kesemua itu adalah haram dimakan. (Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj: 9/468 dan Furû‘ al-Masâ’il: 1/268)
Ketam Kaluk
Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz, bekas Mufti Kerajaan ada menukil fatwa asy-Syeikh Daud bin ‘Abdullah Fathani Rahimahullâh berkenaan ketam kaluk:
“Yang haram dimakan itu binatang laut yang hidup di dalam negeri iaitu seperti katak dan ular air dan ketam batu atau ketam angin dan belangkas dan penyu dan labi-labi dan buaya dan barang-barang segala yang hidup dua negeri atau yang mempunyai racunnya, maka ia itu haram. Adapun ketam ragi dan rajan angin ia itu halal kerana tiada hidup melainkan di dalam air.” (Furû‘ al-Masâ’il: 1/268)
Setelah menukilkan fatwa tersebut, beliau mengulas: “Oleh yang demikian, bahawa ketam kaluk itu jika tiada ia hidup di darat seperti hidup katak, buaya, labi-labi, penyu dan ketam batu, maka ketam kaluk itu halal dimakan.” (Fatwa Mufti Kerajaan: 12/1989)
Dalam fatwa beliau yang lain, beliau menyatakan: “Ketam kaluk kalau ia hidup di darat dan di dalam air seperti buaya dan ketam batu, maka haram dimakan. Kalau ia hidup di laut kemudian ia mati apabila ada di darat, maka hukumnya halal dimakan seperti ikan yang mati di darat dan hidup di laut.” (Fatwa Mufti Kerajaan: 08/1989)
Dalam fatwa lain lagi, beliau menyimpulkan: “Maka dari kata-kata ulama ini bahawa ketam kaluk itu halal kiranya ia tiada hidup melainkan hidup ‘aisy madzbûhah. Kiranya ketam kaluk itu tahan lama hidup di darat kemudian ia mati maka ulama tidak mengatakan makruh dimakan seperti ketam kaluk itu dengan sebab ia tahan lama hidup di darat itu.” (Fatwa Mufti Kerajaan: 31/1985)
Oleh kerana itu, ketam kaluk yang biasa difahami sifatnya oleh masyarakat Brunei, ia adalah halal dimakan kerana ia tidak termasuk dalam kategori binatang laut yang boleh hidup berterusan di darat dan di laut seperti ketam batu. Bahkan ia termasuk kategori binatang laut yang hidup di dalam air yang jika ia keluar dari air, keadaannya akan menjadi seperti binatang yang masih boleh hidup (hayâh mustaqirrah) tetapi tidak boleh hidup berterusan di luar air.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11645
