Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الطهارة

Hukum Menyapu Air Ke Atas Jungle Boots Ketika Berwudhu

Soalan: Saya selaku Ketua Jabatan Agama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (JAMA’AT) dengan rasa rendah hati dan sukacitanya memohon fatwa mengenai masalah menyapu khuffain.

Adakah kasut hutan (jungle boots) yang dibekalkan kepada anggota ABDB boleh dikira sebagai ‘khuff’ sehingga harus bagi mereka menyapu air ke atasnya tatkala membaharui air sembahyang bagi menggantikan membasuh kedua kaki hingga buku lali?

Semoga fatwa Pehin itu nanti akan dapat dijadikan panduan dan bermanfaat bagi memelihara kemashlahatan ibadat sembahyang para anggota ABDB ketika melakukan latihan dan rondaan di dalam hutan.

Jawapan: Maksud Menyapu Khuff

Khuff dalam pengertian syara‘ ialah pakaian yang diperbuat daripada kulit atau seumpamanya yang menutupi bahagian kaki hingga ke buku lali, manakala buku lali ialah dua tulang yang menonjol pada pertemuan kaki dan betis.

Yang dimaksudkan dengan menyapu atau mengusapkan air pada khuff ialah menyapu atau mengusapkan air pada sebahagian daripada khuff sebagai ganti membasuh kedua-dua belah kaki ketika berwudhu.

Hukum Menyapu Khuff

Menyapu air pada khuff ketika berwudhu hukumnya adalah harus dan ia disyari‘atkan bagi lelaki dan perempuan sama ada ketika di dalam pelayaran atau bukan di dalam pelayaran sebagai suatu keringanan (rukhshah). Tujuannya antara lain ialah bagi memudahkan umat Islam untuk mengambil wudhu umpamanya di dalam pelayaran, atau mengambil wudhu pada musim sejuk dan bagi mereka yang sentiasa dalam keadaan bertugas seperti tentera, polis dan sebagainya. (Mughni al-Muhtâj: 1/109 dan al-Fiqh al-Islâmi wa Adillatuh: 1/472)

Sungguhpun perbuatan menyapu air pada khuff ini dibolehkan, akan tetapi membasuh kaki dengan air ketika berwudhu adalah lebih afdhal. Ini kerana membasuh kaki ketika berwudhu merupakan perbuatan asal dan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam sendiri pada kebanyakan waktu Baginda berwudhu lebih kerap (selalu) membasuh kaki berbanding menyapu air pada khuff Baginda.

Dalil Pengharusan Menyapu Khuff

Perbuatan menyapu air pada khuff ini tsabit melalui hadits Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Baginda pernah melakukannya beberapa kali sehinggakan Ibnu al-Mundzir meriwayatkan daripada Hasan al-Bashri, beliau berkata: “Tujuh puluh orang daripada kalangan sahabat telah menceritakan kepadaku bahawa sesungguhnya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah menyapu air pada kedua-dua khuff Baginda”. (Mughni al-Muhtâj: 1/109)

‘Urwah bin al-Mughirah daripada bapanya Radhiallâhu ‘anhumâ meriwayatkan:

Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam keluar untuk menunaikan hajat Baginda, lalu diikuti oleh al-Mughirah dengan membawa kantung kulit yang berisi air. Apabila Baginda selesai menunaikan hajat, al-Mughirah menuangkan air kepada Baginda, lalu Baginda mengambil wudhu dan menyapu kedua-dua khuff Baginda. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hammam Radhiallâhu ‘anhu pula berkata:

Maksudnya: (Pernah terjadi) Jarir telah menunaikan hajat kecil, kemudian dia berwudhu dan menyapu kedua-dua khuffnya, lalu ditanyakan kepadanya: “Engkau melakukan ini?” Maka Jarir menjawab: “Ya! Aku telah melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam (selesai) menunaikan hajat kecil, kemudian Baginda berwudhu dan menyapu kedua-dua khuff Baginda.” (Hadits riwayat Muslim)

Syarat-Syarat Menyapu Khuff

Diharuskan seseorang itu menyapu khuffnya dengan air sebagai ganti membasuh kaki ketika mengambil wudhu dengan lima syarat seperti berikut:

1. Kedua-dua khuff hendaklah dipakai setelah sempurna suci daripada hadas kecil dan hadas besar.

Ini adalah berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh al-Mughirah bin Syu’bah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Aku pernah bersama Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam dalam satu pelayaran. Aku membongkok untuk menanggalkan kedua-dua khuff Baginda maka Baginda bersabda: “Biarkanlah kerana saya telah memakainya ketika dalam keadaan suci”. Lalu Baginda menyapu air pada kedua-dua khuff Baginda itu. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan syarat ini, apabila orang yang mengambil wudhu memakai khuff pada kakinya sebelah kanan sebelum dia membasuh kakinya sebelah kiri, kemudian setelah selesai membasuh kaki sebelah kirinya pula dia memakaikan khuff pada kakinya itu, maka tidak diharuskan baginya berwudhu dengan hanya menyapu air pada khuff tersebut apabila dia hendak berwudhu lagi selepas itu. Ini kerana dia memakai khuff sebelum lagi sempurna suci daripada hadas iaitu dia telah memakai khuff sebelah kanan sebelum kedua-dua kakinya itu sempurna dibasuh ketika berwudhu.

2. Khuff hendaklah menutupi seluruh anggota kaki yang wajib dibasuh ketika berwudhu dari semua sudut.

Jika khuff itu tidak menutupi seluruh tempat yang wajib dibasuh ketika berwudhu atau terdapat lubang pada khuff di sekitar tempat yang wajib dibasuh tidak sah berwudhu dengan hanya menyapu air pada khuff seperti itu.

Yang dimaksudkan dengan menutupi itu ialah menghalang air daripada terkena bahagian kaki yang wajib dibasuh dari semua sudut kecuali dari atas. Bukannya bererti menutupi daripada penglihatan seperti yang disyaratkan dalam perkara menutup aurat. (Tuhfah al- Muhtâj: 1/294, Nihâyah al-Muhtâj: 1/203 dan al-Majmû‘: 1/561)

3. Khuff hendaklah dapat menahan air daripada menembusi ke bahagian kaki kecuali melalui tempat jahitan.

Tidak memadai menyapu khuff yang ditenun daripada bahan yang tidak menghalang air daripada sampai ke anggota yang wajib dibasuh. Tetapi jika khuff itu ditenun daripada bahan yang boleh menghalang air, maka ia adalah memadai. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/205 dan Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibn Qasim al-‘Abbadi: 1/297-298)

4. Khuff hendaklah kuat dan tahan untuk dipakai berjalan.

Sukat-sukat (anggaran) ketahanan khuff itu boleh dipakai berjalan dengannya untuk melaksanakan keperluan atau hajat yang biasa dalam tempoh sehari semalam bagi orang bermuqîm dan tiga hari tiga malam bagi musafir, tidak kira sama ada khuff itu diperbuat daripada kulit atau selainnya.

5) Khuff hendaklah suci daripada najis.

Khuff hendaklah diperbuat daripada bahan yang suci, bukan daripada bahan yang najis seperti kulit bangkai yang belum disamak, kulit anjing atau babi. Khuff juga hendaklah dibersihkan terlebih dahulu daripada najis sebelum memakainya jika terkena najis.

Maka tidak sah menyapu khuff yang diperbuat daripada bahan najis seperti kulit anjing, babi dan kulit bangkai binatang yang belum disamak. Ini kerana menyapu khuff adalah ganti bagi membasuh kaki ketika berwudhu dan tidak terangkat hadas jika najis masih kekal padanya, apatah lagi jika khuff itu sendiri diperbuat daripada bahan najis. (Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibn Qasim al-‘Abbadi: 1/295, al-Majmû‘: 1/576, Raudhah ath-Thâlibîn: 1/239 dan Mughni al-Muhtâj: 1/111-112)

Hukum Menyapu Jungle Boots

Berdasarkan syarat menyapu khuff yang kedua, yang mensyaratkan bahawa khuff hendaklah menutupi seluruh anggota kaki yang wajib dibasuh ketika berwudhu dari semua sudut, maka tidak harus hukumnya menyapu jungle boots atau kasut hutan yang ditanyakan kerana jungle boots atau kasut hutan tersebut mempunyai dua lubang udara yang terletak pada bahagian anggota wudhu yang wajib dibasuh. Kewujudan dua lubang udara itu menjadikan jungle boots atau kasut hutan itu tidak menutupi seluruh anggota kaki yang wajib dibasuh ketika berwudhu dan sekaligus tidak dapat menghalang air daripada terkena anggota kaki yang wajib dibasuh ketika berwudhu.

Oleh yang demikian, anggota tentera yang memakai jungle boots atau kasut hutan berkenaan hendaklah mengambil wudhu seperti biasa iaitu dengan membasuh kaki setiap kali berwudhu.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11649