Hukum Nikah Pasangan Zina Yang Hamil Luar Nikah
Soalan: Saya ingin meminta penjelasan rasmi dan shahîh mengenai persoalan yang disebarkan melalui e-mail seperti di bawah ini:
“Sesungguhnya permasalahan ini berat. Perhatikan soalan 1-5. Perkahwinan seumpama ini hari ini memang tersangat biasa kerana keluarga biasanya memilih jalan ini untuk menutup malu. Bila dapat tahu anak pregnant (hamil) luar nikah, cepat-cepat kahwinkan. Berdasarkan kenyataan ini, nikah itu TIDAK SAH, maka pasangan itu kelak hidup dalam zina sampai bila-bila…Persoalan ini telah diajukan kepada seorang imam, di mana banyak persoalan lain timbul dari persoalan pokok tersebut. Saya kongsikan bersama anda di sini kerana ia amat penting:
Soalan 1: Apakah langkah yang sewajarnya sekiranya seorang gadis belum berkahwin didapati hamil anak luar nikah? Jawapan 1: Gadis itu tidak boleh berkahwin sehingga bayi itu dilahirkan.
Soalan 2: Sekiranya lelaki yang bertanggungjawab itu bersedia mengahwini gadis itu, bolehkah mereka bernikah?
Jawapan 2: Tidak. Mereka tidak boleh bernikah sehingga bayi itu dilahirkan.
Soalan 3: Adakah pernikahan itu sah sekiranya mereka berkahwin? Jawapan 3: Tidak. Pernikahan itu Tidak Sah. Seorang lelaki tidak boleh mengahwini seorang wanita hamil, walaupun lelaki itu merupakan ayah kepada bayi yang dikandung itu.
Soalan 4: Sekiranya mereka bernikah, apakah tindakan mereka untuk memperbetulkan keadaan? Jawapan 4: Mereka mesti berpisah. Perempuan itu mestilah menunggu sehingga melahirkan atau sehingga sah dia tidak mengandung, barulah mereka boleh bernikah sekali lagi, secara sah.
Soalan 5: Bagaimana sekiranya keadaan itu tidak diperbetulkan? Jawapan 5: Maka mereka akan hidup di dalam zina kerana pernikahan itu tidak sah.
Soalan 6: Apakah hak seorang anak luar nikah? Jawapan 6: Kebanyakan pendapat mengatakan bahawa anak itu tiada hak untuk menuntut apa-apa daripada ayahnya.
Soalan 7: Sekiranya hukum mengatakan lelaki itu bukan ayah kepada anak tersebut, adakah itu bermakna dia bukan mahram kepada anak perempuannya sendiri? Jawapan 7: Ya. Dia tidak boleh menjadi mahram.
Soalan 8: Sekiranya seorang lelaki Muslim dan seorang wanita Muslim (atau bukan Muslim) ingin bernikah setelah bersekedudukan, apakah tindakan yang sewajarnya? Jawapan 8: Mereka mesti tinggal berasingan segera dan menunggu sehingga perempuan itu haidh satu kali sebelum mereka boleh bernikah.
Soalan 9: Sekiranya saya kenal/tahu seseorang di dalam keadaan ini, apakah saya perlu memberitahu kepadanya, atau lebih baik menjaga tepi kain sendiri? Jawapan 9: Anda wajib memberitahu, kerana itu sebahagian tanggungjawab anda sebagai saudaranya, kalau tidak semua keturunan yang lahir dari pernikahan tidak sah itu adalah anak-anak yang tidak sah taraf.”
Jawapan: Antara syarat-syarat sah bagi seorang perempuan yang akan dinikahi ialah hendaklah dia tidak ada ikatan pernikahan (bukan isteri orang) dan tidak dalam tempoh ‘iddah daripada orang lain. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/441)
Jika perempuan tersebut masih lagi isteri orang atau masih dalam tempoh ‘iddah sama ada ‘iddah cerai atau kematian suami, maka lelaki lain haram bernikah dengan perempuan berkenaan.
Dalam perkara ‘iddah, seorang isteri yang dithalaq atau kematian suami hendaklah memastikan bahawa tempoh ‘iddahnya telah selesai sebelum bernikah dengan lelaki lain.
Misalnya, jika isteri yang dithalaq atau kematian suami itu hamil, maka tempoh ‘iddahnya adalah setelah dia melahirkan anak yang dikandungnya. Apabila dia telah selesai melahirkan, maka barulah halal perempuan tersebut bernikah dengan lelaki lain. Tetapi, jika perempuan itu masih lagi hamil, maka haram dia bernikah dengan lelaki lain kerana masih lagi dalam tempoh ‘iddah.
Hukum Nikah Perempuan Yang Hamil Akibat Zina
Menurut Syeikh al-Islam Zakariyya al-Anshari Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab Asnâ al- Mathâlib Syarh Raudh ath-Thâlib:
Ertinya: Harus menikahi perempuan yang hamil daripada zina, dan begitu juga menjimâ‘nya seperti (harusnya menikahi) perempuan yang tidak hamil, kerana tidak ada kehormatan hukum bagi kelakuan zina (dalam Islam). (Asnâ al-Mathâlib Syarh Raudh ath-Thâlib: 3/393)
Hal ini ada diterangkan juga oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitabnya al-Fatâwa al-Kubrâ al-Fiqhiyyah yang mengatakan bahawa hukum nikah perempuan yang hamil daripada zina itu adalah sah dan inilah juga yang disepakati oleh Imam Abu Hanifah Radhiallâhu ‘anhu kerana perempuan tersebut tidak ada sebarang ikatan pernikahan dan bukan juga dalam tempoh ‘iddah daripada orang lain. Sah berjimâ‘ dengan perempuan tersebut setelah bernikah dengannya walaupun sebelum dia melahirkan kandungannya kerana menurut Imam ar-Rafi‘e Rahimahullâhu Ta‘âlâ, tidak ada kehormatan hukum bagi kandungan zina dan jikalau ditegah berjimâ‘, maka tertegahlah juga bernikah. (Kitab al-Fatâwâ al-Kubrâ al-Fiqhiyyah: 4/19 )
Daripada keterangan di atas, dapat difahami bahawa perbuatan zina dan hasil daripada perbuatan tersebut tidak memberi apa-apa kesan terhadap pernikahan pasangan yang telah melakukan zina selama mana segala rukun dan syarat nikah dipenuhi. Antaranya ialah perempuan yang hamil akibat zina itu bukannya isteri orang dan bukan juga dalam tempoh ‘iddah daripada bekas suaminya.
Hak Anak Yang Dikandung Luar Nikah
Mengenai dengan hak anak yang dikandung di luar nikah, jika pasangan yang berzina itu tidak bernikah sehinggalah perempuan yang hamil daripada zina itu melahirkan, maka anak yang lahir itu hanya sah dinasabkan kepada perempuan berkenaan bukannya kepada lelaki yang berzina dengan ibunya itu. Anak tersebut tidak menjadi mahram kepada lelaki yang berzina dengan ibunya itu.
Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ:
Ertinya: Anak perempuan hasil daripada perbuatan zinanya adalah halal kepadanya (lelaki yang berzina dengan ibunya). (Kitab Minhâj ath-Thâlibîn: 2/445)
Dalam mensyarahkan perkataan Imam an-Nawawi ini, Imam asy-Syarbini Rahimahullâhu Ta‘âlâ berkata:
Ertinya: Anak perempuan hasil daripada air mani (perbuatan) zinanya, sama ada perempuan yang dizina itu rela atau sebaliknya, sama ada anak perempuan itu jelas berasal daripada air maninya atau tidak, adalah halal kepadanya (kepada lelaki yang menzina itu)
kerana anak perempuan itu dianggap orang asing kepadanya, sebab air mani menerusi zina tidak mempunyai kehormatan hukum berdasarkan penafian segala hukum nasab seumpama warisan dan selainnya daripada anak perempuan itu. (Mughni al-Muhtâj: 3/225)
Berlainan pula keadaanya, jika pasangan yang berzina itu bernikah dan perempuan tersebut melahirkan kandungannya selepas enam bulan dari tarikh mereka bersatu dalam akad nikah yang sah, maka anak tersebut ditsabitkan nasabnya kepada lelaki yang berzina dengan ibunya itu. Tetapi jika anak itu dilahirkan kurang daripada tempoh enam bulan dari tarikh mereka bersatu dalam akad nikah yang sah, maka anak itu hanya dinasabkan kepada ibunya sahaja bukan kepada lelaki yang menikahi ibunya. Maka jika hendak dibinkan atau dibintikan, bolehlah kepada ibunya atau kepada nama ‘Abdullah atau salah satu daripada Asmâ’ullâh al- Husnâ.
Perkiraan tempoh enam bulan itu adalah berdasarkan ijmâ‘ para ulama yang mengatakan bahawa tempoh minimum seseorang wanita itu hamil dan melahirkan anak ialah enam bulan qamariah. Penentuan enam bulan itu berdasarkan maksud dua ayat al-Qur’an yang menerangkan tentang masa hamil (tempoh mengandung) dan penyusuan.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. (Surah al-Ahqâf:15)
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. (Surah Luqman: 14)
Berdasarkan kepada kedua-dua ayat tadi, jika ditolak tempoh masa penyusuan anak iaitu dua tahun atau 24 bulan daripada tempoh tiga puluh bulan (masa keseluruhan iaitu tempoh hamil dan menyusukan anak) bererti baki masanya ialah enam bulan (180 hari) iaitu tempoh minimum bagi hamil.
Bagi penetapan nasab, hendaklah anak tersebut lahir tidak kurang daripada enam bulan qamariah dan dua lahzhah (satu lahzhah untuk jimâ‘ dan satu lahzhah lagi untuk melahirkan). Pengiraan enam bulan qamariah dan dua lahzhah hendaklah bermula dari waktu suami isteri itu boleh bersatu (jimâ‘) setelah mempunyai aqad nikah yang sah sehinggalah anak tersebut dilahirkan. (Hawâsyi asy-Syarwani wa ‘Ibnu Qasim ‘ala Tuhfah al-Muhtâj bi Syarh al-Minhâj: 8/184-185 dan Mughni al-Muhtâj: 3/429-430).
Kesimpulan
Merujuk kepada persoalan-persoalan yang diajukan, maka berdasarkan huraian di atas, jelas menunjukkan bahawa nikah pasangan berzina yang sedang hamil luar nikah adalah sah selama mana perempuan hamil itu tidak terikat dengan sebarang pernikahan dan tidak dalam tempoh ‘iddah daripada orang lain.
Adapun kedudukan hak nasab anak yang dilahirkan itu ada dua keadaan:
1. Jika anak yang dikandung luar nikah itu lahir selepas enam bulan dan dua lahzhah dari tarikh mereka bersatu setelah akad nikah yang sah, maka anak tersebut bersambung nasab kepada kedua-dua mereka dan berjalanlah segala hukum-hakam nasab ke atasnya seperti, wali nikah dan pembahagian waris.
2. Jika anak tersebut lahir kurang daripada enam bulan dan dua lahzhah dari tarikh mereka bersatu setelah aqad nikah yang sah, maka nasab anak tersebut hanya bersambung kepada ibu yang melahirkannya sahaja. Dalam hal ini, adalah haram anak berkenaan dinasabkan kepada lelaki yang menjadi suami kepada ibu yang melahirkannya, haram anak tersebut mewarisi daripadanya, haram menjadi wali nikah kepada anak itu, tidak sah nikah anak tersebut jika berwalikan lelaki tersebut dan lain-lain.
Walau bagaimanapun, dalam kedua-dua keadaan tadi, anak yang dilahirkan itu tetap menjadi mahram kepada suami ibunya kerana mereka bernikah menjadi suami isteri dan melakukan jimâ‘ sebagaimana yang diterangkan dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): Ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemeliharaan kamu daripada isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tidaklah salah kamu (berkahwin dengannya)... (Surah an-Nisâ’: 23)
Dengan ini, soalan-soalan dan jawapan-jawapan daripada penyoal sendiri seperti di atas banyak yang tidak betul.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11653
