Hukum Nikah Perempuan Yang Hamil
Soalan: Saya pada masa ini sangat keliru apabila terbaca di dalam internet tentang perkara orang yang hamil tidak boleh dinikahi selagi ia belum melahirkan anak. Jika mereka menikah jua, maka nikahnya tidak sah. Jika benar, mengapa perkara tersebut masih berlaku di negara ini. Di mana terdapat segelintir masyarakat di negara ini menikahkan anak-anak mereka di dalam keadaan hamil malah dibuat secara besar-besaran. Dalam hal ini, siapakah yang harus dipertanggungjawabkan, adakah ibu bapa ataupun juru nikah dan bagaimana kedudukan anak-anak yang seterusnya, di mana saya terbaca pasangan tersebut mestilah dipisahkan dan dinikahkan secara sah?
Jawapan: Antara salah satu syarat sah perempuan yang hendak dinikahi ialah dia tidak terikat dengan sebarang pernikahan (sebagai isteri orang) dan dia tidak juga dalam tempoh ‘iddah. Jika perempuan yang hendak dinikahi itu masih lagi dalam ikatan pernikahan (masih isteri orang) atau masih menjalani tempoh ‘iddah, maka dia sama sekali haram bernikah dengan lelaki lain.
Menurut syara‘, tempoh ‘iddah perempuan yang hamil ialah setelah dia melahirkan anak yang dikandungnya. Apabila dia telah melahirkan, maka barulah dia boleh bernikah dengan lelaki lain. Selagi dia belum melahirkan anak yang sedang dikandungnya, maka haram dia bernikah dengan lelaki lain kerana dia masih lagi dikira dalam tempoh ‘iddah sama ada ‘iddahnya itu kerana dithalaq suami, difasakh pernikahannya atau wath’i syubhah.
Hukum Menikahi Perempuan Yang Hamil Akibat Zina
Adapun perempuan yang tidak mempunyai sebarang ikatan pernikahan atau tidak dalam tempoh ‘iddah sama ada janda atau anak dara, apabila dia hamil akibat daripada perbuatan zina, maka tidak ada ‘iddah baginya. Oleh itu menurut Syeikh al-Islam Zakariyya al-Anshari Rahimahullâhu Ta‘âlâ, salah seorang daripada ulama asy-Syafi‘iyyah, dalam kitab Asnâ al- Mathâlib Syarh Raudh ath-Thâlib, berkata:
Ertinya: Harus menikahi perempuan yang hamil daripada zina, dan begitu juga menjimâ‘nya seperti (harusnya menikahi) perempuan yang tidak hamil, kerana tidak ada kehormatan hukum bagi kelakuan zina (dalam Islam). (Asnâ al-Mathâlib Syarh Raudh ath-Thalib: 3/393)
Hal ini ada diterangkan juga oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâhu Ta‘âlâ, salah seorang daripada ulama asy-Syafi‘iyyah dalam kitabnya al-Fatâwâ al-Kubrâ al-Fiqhiyyah yang mengatakan bahawa hukum nikah perempuan yang hamil daripada zina itu adalah sah dan inilah juga pendapat Imam Abu Hanifah Radhiallâhu ‘anhu kerana perempuan tersebut tidak ada sebarang ikatan pernikahan dan bukan juga dalam tempoh ‘iddah daripada orang lain. Boleh berjimâ‘ dengan perempuan tersebut setelah bernikah dengannya walaupun sebelum dia melahirkan kandungannya kerana menurut Imam ar-Rafi‘i Rahimahullâhu Ta‘âlâ, salah seorang daripada ulama asy-Syafi‘iyyah, tidak ada kehormatan hukum bagi kandungan zina dan jikalau ditegah berjimâ‘, nescaya ditegah juga bernikah seperti kedudukan wath’i syubhah. (Al-Fatâwâ al-Kubrâ al-Fiqhiyyah: 4/19)
Berdasarkan kepada pendapat-pendapat ulama di atas, hukum bernikah dengan seorang perempuan yang sedang mengandung anak di luar nikah adalah harus dan sah nikah selama mana segala rukun dan syarat-syarat nikah dipenuhi yang antaranya ialah hendaklah bakal isteri tersebut tidak ada ikatan pernikahan dan tidak di dalam tempoh ‘iddah daripada bekas suaminya.
Mengenai dengan persoalan yang diajukan, Alhamdulillâh, penyoal berinisiatif merujuk kekeliruan kepada saluran yang tepat kerana pada masa sekarang memang banyak maklumat atau rujukan yang mudah didapati terutamanya melalui internet, tetapi kita perlu berhati-hati menilai sejauh mana ketepatan dan keshahîhan maklumat yang disalurkan oleh pihak-pihak berkenaan.
Dengan penjelasan ini, diharap penyoal tidak lagi keliru tentang hukum pernikahan perempuan yang hamil sebagaimana yang dinyatakan di dalam persoalan.
Secara praktikalnya di Brunei Darussalam, setiap pasangan yang hendak bernikah hendaklah menghadapkan permohonan nikah mereka kepada Pejabat Perkahwinan, Perceraian, Rujuk Dan Pembatalan Perkahwinan Orang Islam, di Mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdana Menteri untuk memperolehi kebenaran bernikah. Jabatan berkenaan bertanggungjawab memastikan pasangan yang hendak berkahwin itu memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syara‘. Maka dalam hal ini, tidak timbul persoalan isteri orang atau perempuan yang dalam tempoh ‘iddah yang akan bernikah, kerana kalau ada pun yang memohon, memang tidak dibenarkan kerana tidak memenuhi syarat.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11657
