Hukum Perempuan Dalam ‘Iddah Kematian Suami Belayar Mengerjakan Umrah
Soalan: Sukacita dipohonkan pandangan Pehin mengenai ‘iddah ibu kaola yang berumur 74 tahun kerana kematian suami.
Betulkah isteri-isteri yang kematian suami tidak dibenarkan keluar rumah selama mereka dalam ‘iddah?
Untuk makluman Pehin, ibu kaola juga dilarang untuk memakai perhiasan emas, memakai pakaian yang terang warnanya dan memakai bau-bauan yang harum kerana ditakuti menimbulkan fitnah. Perkara ini telah menimbulkan pelbagai andaian dan keraguan bagi ibu kaola. Selepas dua bulan kematian ayah kaola, ibu bercadang mengerjakan ibadat umrah dengan bermahramkan adik lelakinya (seibu sebapa) dan anak lelakinya. Bolehkah ibu kaola mengerjakan umrah semasa masih dalam ‘iddah?
Selain itu dipohonkan juga do‘a-do‘a yang mustajâb untuk diamalkan ketika berada di tanah suci Makkah dan do‘a bagi ibu kaola menghilangkan dukacita kerana kematian suami.
Jawapan: ‘Iddah merupakan antara hak yang diberikan oleh Islam kepada kaum wanita, khususnya isteri yang berpisah daripada suaminya sama ada disebabkan perceraian hidup seperti thalaq atau fasakh, ataupun perceraian kerana kematian.
Pengertian ‘Iddah
‘Iddah dari segi bahasa bermaksud bilangan kerana ‘iddah ghâlibnya adalah bilangan daripada qurû’ dan bulan. Manakala ‘iddah dari segi syara‘ pula bermaksud satu jangka masa yang ditetapkan bagi seorang wanita yang telah diceraikan suami untuk menunggu bagi memastikan rahimnya bersih daripada kehamilan, atau sebagai menunaikan tuntutan ibadat kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ atau untuk menzahirkan rasa kesedihan bagi isteri yang bercerai kerana kematian suami. (Mughni al-Muhtâj: 3/504)
Bahagian ‘Iddah
‘Iddah yang disyariatkan dalam Islam itu terbahagi kepada dua:
1. ‘Iddah kerana thalaq atau fasakh: Iaitu ‘iddah kerana bercerai hidup daripada suami setelah berlaku jimâ‘ (persetubuhan) di antara suami dan isteri, sama ada disebabkan oleh thalaq atau fasakh. Jika thalaq atau fasakh terjadi sebelum berlaku jimâ‘, maka tidak ada ‘iddah dikenakan ke atas isteri. 2. ‘Iddah kerana kematian suami: Iaitu ‘iddah disebabkan oleh kematian suami sama ada setelah atau sebelum berlaku jimâ‘.
Tempoh ‘Iddah Kerana Kematian Suami Tempoh ‘iddah wanita yang kematian suami terbahagi kepada dua: 1. Jika wanita itu tidak hamil, maka tempoh ‘iddah yang wajib ke atasnya ialah empat bulan sepuluh hari. Ini adalah berpandukan kepada firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (ber‘iddah) selama empat bulan sepuluh hari. (Surah al-Baqarah: 234) 2. Jika wanita itu hamil, maka tempoh ‘iddah yang wajib ke atasnya ialah sehingga dia melahirkan anaknya dengan syarat anak yang dikandungkannya itu adalah keturunan daripada suami yang telah meninggal dunia. Perkara ini adalah berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan perempuan-perempuan mengandung tempoh ‘iddah mereka ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandung. (Surah ath-Thalâq: 4) (Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibn Qasim al-‘Abbadi: 8/305-307 dan Mughni al-Muhtâj: 3/518-519)
Berkabung (Ihdâd)
Wanita yang kematian suami diwajibkan juga ke atasnya untuk berkabung (ihdâd) selama empat bulan sepuluh hari jika dia tidak hamil. Jika dia hamil maka wajib dia berkabung sehingga dia melahirkan anak yang dikandungnya. (Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibnu Qasim al-‘Abbadi: 8/311)
Ihdâd dari segi bahasa bermaksud tegahan atau larangan, kerana wanita berihdâd ditegah daripada berhias dan berharum-haruman. Menurut pengertian syara‘, ihdâd bermaksud meninggalkan berwangi-wangian dan berhias. (Shahîh Muslim bi Syarh al-Imam an-Nawawi: 6/4065-4066)
Kewajipan ihdâd dan larangan yang terdapat di dalamnya ada disebutkan dalam sebuah hadits daripada Ummu ‘Athiyyah Radhiallâhu ‘anhâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tidak boleh seorang perempuan melakukan ihdâd ke atas orang yang meninggal dunia lebih daripada tiga hari kecuali ke atas suaminya, selama empat bulan sepuluh hari, dan dia tidak boleh (dilarang) memakai pakaian yang dicelup warna kecuali pakaian yang sederhana, dan dilarang memakai celak dan memakai wangian kecuali apabila bersuci, iaitu diusap sedikit sahaja daripada haruman atau wangian. (Hadits riwayat Muslim)
Dalam riwayat yang lain daripada Ummu Salamah Radhiallâhu ‘anhâ, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Perempuan yang kematian suami tidak boleh memakai pakaian yang berwarna kekuningan dan juga kemerahan, tidak boleh memakai barang kemas, tidak boleh berinai dan tidak boleh bercelak mata. (Hadits riwayat Abu Daud)
Dengan itu adalah jelas bahawa wanita yang kematian suami itu, semasa dalam tempoh berkabung adalah dilarang daripada melakukan perkara-perkara berikut:
i. Memakai pakaian berwarna yang menarik perhatian seperti merah dan kuning.
ii. Memakai wangi-wangian atau haruman sama ada pada pakaian atau tubuh badan.
iii. Menghias diri seperti bercelak mata dan ini termasuk juga mengenakan solekan pada muka dan gincu pada bibir serta memasang kanta mata yang berwarna.
iv. Berhias dengan memakai apa jua jenis barang kemas sama ada cincin atau gelang yang diperbuat dari emas atau perak dan sebagainya.
Adapun keringanan untuk menggunakan wangian yang disebut dalam hadits adalah untuk bersuci atau membersihkan darah haidh, iaitu untuk menghilangkan bau daripada kesan darah haidh dan bukan bagi tujuan berwangi-wangian. (Shahîh Muslim bi Syarh al-Imam an- Nawawi: 6/4071)
Menetap Dan Larangan Keluar Dari Rumah (Tempat Tinggal)
Wanita yang kematian suami diwajibkan juga menetap diam di rumah suaminya yang meninggal dunia atau rumah tempatnya tinggal dan dia tidak boleh meninggalkan rumah itu selama dia masih dalam tempoh ‘iddah.
Perkara ini ada disebutkan dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam surah ath-Thalâq:
Tafsirnya: Tempatkanlah isteri-isteri kamu (yang menjalani ‘iddah) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu. (Surah ath-Thalâq: 6)
Ayat tersebut menerangkan tentang kewajipan suami menempatkan isteri yang ber‘iddah di kediamannya dan juga kewajipan isteri untuk tinggal di rumah suaminya itu. Diterangkan juga dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj bahawa wajib bagi wanita sama ada yang dicerai hidup ataupun yang kematian suami menetap di rumah tempat tinggalnya sewaktu berlakunya perceraian sehinggalah dia selesai menjalani ‘iddahnya. (Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibn qasim al-‘Abbadi: 8/316, 318-320)
Isteri yang dalam ‘iddah juga tidak dibenarkan keluar meninggalkan rumah tersebut walaupun dengan keredhaan suaminya melainkan kerana dharurat, sama ada ditakuti kemudharatan itu menimpa dirinya atau hartanya. Bahkan suami atau sesiapa saja juga tidak boleh mengeluarkannya atau menghalaunya dari rumah tersebut melainkan jika bekas isteri itu melakukan perbuatan yang keji pada pandangan syara‘, maka di sini suami boleh menghalaunya dari rumahnya. (Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibn Qasim al-‘Abbadi: 8/316-320)
Ini berdasarkan perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam surah ath-Thalâq:
Tafsirnya: Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah tempat kediaman mereka sehingga selesai ‘iddah mereka dan janganlah pula dibenarkan mereka keluar dari situ kecuali jika mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. (Surah ath-Thalâq: 1 )
Sungguhpun demikian, bagi wanita yang menjalani ‘iddah kerana kematian suami dan wanita yang ber‘iddah thalaq bâ’in yang tidak hamil, dia dibolehkan keluar dari rumahnya pada siang hari untuk memenuhi keperluannya dan melaksanakan kewajipan dan tanggungjawabnya seperti membeli barang keperluan, berubat, bekerja dan seumpamanya kerana nafkahnya tidak lagi ditanggung oleh suami dan tidak ada orang lain yang dapat menolongnya dalam melaksanakan perkara-perkara tersebut.
Manakala di waktu malam, mereka dilarang keluar melainkan ada sesuatu hajat atau keperluan yang tidak dapat dilaksanakan ketika siang, Dalam hal ini dibolehkan dia keluar pada waktu malam dengan syarat hendaklah keadaan aman iaitu tidak mendatangkan kerosakan atau fitnah kepadanya.
Perintah untuk menetap di rumah juga bermaksud bahawa wanita yang dalam tempoh ‘iddah itu tidak boleh keluar belayar sekalipun untuk menunaikan haji atau umrah kecuali dalam beberapa keadaan yang tertentu.
Dalam kitab Mughni al-Muhtâj, Imam al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâhu Ta‘âlâ menyatakan:
Ertinya:... atau suami mengizinkan kepadanya (si isteri) untuk belayar mengerjakan haji atau) umrah dan berniaga atau untuk melepaskan diri daripada kezaliman atau (belayar bagi tujuan) yang seumpamanya seperti menuntut kembali hamba yang melarikan diri dan belayar kerana keperluannya. Kemudian wajib ke atasnya ‘iddah ketika dia masih dalam perjalanan(nya), maka baginya boleh kembali semula ke tempat pertama (tempat tinggalnya) dan (baginya juga) boleh meneruskan perjalanannya, kerana memutuskan perjalanannya (untuk balik semula ke tempat tinggalnya) boleh mendatangkan kesukaran terutama apabila dia berada jauh dari negerinya dan dia takut bercerai daripada rombongan(nya). Tetapi yang lebih afdhal ialah (dia) berpatah balik dan kembali ke rumah (tempat tinggalnya). (Mughni al-Muhtâj: 3/530)
Ini bermakna jika seorang wanita sedang dalam musafir untuk melakukan haji atau umrah (dengan izin suaminya) kemudian di tengah perjalanannya itu diwajibkan ke atasnya ber‘iddah kerana dia dithalaq atau suaminya meninggal dunia, maka dia diberi dua pilihan sama ada untuk kembali semula ke tempat tinggalnya atau untuk meneruskan perjalanannya.
Ini kerana memutuskan perjalanan atau pelayarannya itu akan mendatangkan kesukaran, terutama sekali apabila dia berada jauh dari bandarnya dan takut terpisah daripada rombongannya. Sungguhpun begitu, adalah lebih afdhal dia kembali dan pulang ke rumahnya dan dalam hal ini, wanita tersebut akan berada dalam keadaan ber‘iddah sepanjang perjalanannya. Kedudukan perkara ini ialah jika kewajipan ber‘iddah itu terjadi semasa wanita itu dalam musafir (dalam pelayaran).
Tetapi jika kewajipan ber‘iddah ke atas wanita itu terjadi sebelum dia keluar belayar dari rumahnya, maka dia sama sekali tidak dibolehkan keluar untuk membuat pelayaran. Begitu juga sekiranya diwajibkan ‘iddah ke atasnya ketika dalam perjalanan (setelah keluar dari rumah), asalkan dia belum lagi meninggalkan sempadan bandarnya, maka wajib dia kembali ke rumah kerana wanita yang menjalani ‘iddah itu tidak dibenarkan meninggalkan rumah untuk membuat pelayaran. (Mughni al-Muhtâj: 3/530)
Manakala dalam situasi yang lain, sekiranya wanita itu telah berihram haji dengan izin suaminya, ataupun tanpa izin suaminya, kemudian dia dithalaq atau suaminya meninggal dunia, maka jika dia khuatir akan luput haji apabila dia menghabiskan ‘iddahnya dahulu, kerana masa yang singkat, maka wajib dia keluar untuk mengerjakan haji dalam keadaan ber‘iddah kerana dia telah berihram lebih awal. Sekiranya masa masih panjang dan dia tidak khuatir akan luput haji, maka harus baginya keluar untuk mengerjakan haji. (Mughni al-Muhtâj: 3/531)
Tetapi berbeza pula kedudukannya jika dia berihram untuk mengerjakan haji atau umrah atau kedua-duanya setelah dia dithalaq atau setelah kematian suaminya, dengan keizinan yang diberikan oleh suaminya sebelum itu ataupun tanpa izin suaminya, maka dalam keadaan ini dia ditegah untuk keluar, sama ada dia khuatir akan luput haji atau tidak. Ini kerana keizinan yang diberikan sebelum dia melakukan ihram itu telah terbatal kerana berlakunya thalaq atau kematian suaminya, ataupun dia sememangnya tidak mendapat izin daripada suaminya. Maka apabila telah selesai ‘iddahnya, barulah dia menyempurnakan umrahnya atau hajinya jika masih ada waktu haji. Sekiranya waktu haji telah luput, hendaklah dia bertahallul dengan umrah, dan wajib ke atasnya qadha dan membayar dam kerana luput haji. (Mughni al-Muhtâj: 1/531)
Maka berdasarkan penerangan ini, jelas bahawa seorang isteri yang kematian suami yang masih lagi menjalani ‘iddah dilarang keluar belayar untuk mengerjakan haji atau umrah, sekalipun dia telah mendapat izin daripada suaminya sebelum suaminya itu meninggal dunia.
Oleh itu sebagaimana yang diterangkan oleh penyoal di sini, ibunya masih lagi dalam tempoh ‘iddah kerana kematian suami dan segala hukum dan larangan yang berkaitan dengannya juga berjalan ke atas ibu penyoal di sini.
Seorang wanita yang berihram setelah dithalaq suaminya atau setelah kematian suaminya, tidak kira sama ada dia telah diberi izin sebelum itu ataupun tidak, dan tidak kira sama ada ihram itu bagi tujuan haji atau umrah atau kedua-duanya, dia tetap dilarang keluar dari rumahnya bagi melaksanakannya selagi dia masih dalam tempoh ‘iddah. Keharusan untuk keluar menunaikan haji atau umrah bagi wanita yang dalam ‘iddah hanyalah dalam dua keadaan:
1. Apabila dia dithalaq atau suaminya meninggal dunia, sedang dia pada ketika itu berada dalam musafir (dalam pelayaran).
2. Apabila dia telah berihram haji atau umrah sebelum dithalaq atau sebelum kematian suaminya.
Oleh yang demikian, ibu penyoal hendaklah menangguhkan perjalanan untuk mengerjakan umrah tersebut sehingga dia selesai menjalani tempoh ‘iddah yang wajib ke atasnya.
Menjalani ‘iddah bagi wanita yang berpisah daripada suami sama ada disebabkan thalaq atau kematian suami adalah ketetapan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan melaksanakannya adalah wajib, manakala meninggalkannya pula adalah satu dosa.
Do‘a Dan Zikir Untuk Menghilangkan Dukacita
Orang yang dilanda dukacita adalah dianjurkan supaya banyak berdo‘a dengan do‘a yang selalu dibaca oleh Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam iaitu:
Maksudnya: Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada kerisauan dan kesedihan, dan aku berlindung denganMu daripada kelemahan dan sifat malas, dan aku berlindung denganMu daripada sifat pengecut dan bakhil, dan aku berlindung denganMu daripada dibebani hutang dan dikuasai orang.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dalam merawat dukacita dan kesusahan, mengajak manusia untuk menumpukan perhatian dan ingatan kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan membaca do‘a dan zikir.
Dalam sebuah hadits daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sama sekali tidak ditimpakan seseorang kegelisahan dan kesedihan, lalu dia berkata: “Ya Allah! Sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak dari hambaMu dan anak daripada hamba perempuanMu. Ubun-ubunku di dalam genggamanMu, hukumanMu berjalan ke atas diriku, ketentuanMu adil terhadapku, aku memohon kepadaMu dengan setiap nama bagiMu yang telah Engkau namakan dengannya ke atas diriMu, atau yang telah Engkau ajarkannya kepada seorang daripada makhlukMu, atau yang telah Engkau turunkannya di dalam kitabMu, atau yang hanya Engkau sahaja yang mengetahuinya di dalam ilmu ghaibMu, (maka aku memohon dengan berkat nama-nama semua itu) supaya Engkau menjadikan al-Qur’an penyubur hatiku, cahaya hatiku, penghapus kesedihanku dan penghilang kegelisahanku”, melainkan Allah akan menghilangkan kegelisahannya dan kesedihannya dan menggantikan di tempatnya kegembiraan. Berkata ‘Abdullah: “Lalu dikatakan: “Ya Rasulullah, adakah tidak perlu kami mempelajarinya?” Lalu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bahkan hendaklah bagi sesiapa yang mendengarnya untuk mempelajarinya.” (Hadits riwayat Ahmad)
Melazimkan membaca istighfâr juga mempunyai fadhilat untuk menghilangkan kegelisahan dan dukacita. Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Barang siapa yang melazimi istighfâr, nescaya Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ akan menjadikan baginya setiap kesulitan jalan keluar, setiap kegelisahan kelegaan dan mengurniakan kepadanya rezeki yang tidak disangka-sangkanya. (Hadits riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)
Contoh lafaz istighfâr itu ialah:
Ertinya: Aku mohon keampunan Allah Yang Maha Agung.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11664
