Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الأطعمة والأشربة

Kemasukan Arak Dan Daging Khinzîr Ke Negara Brunei Darussalam Untuk Transit/ Punggah Edar

Soalan: Negara Brunei Darussalam telah menandatangani beberapa persetujuan iaitu ASEAN Framework Agreement on Multimodal Transport; ASEAN Framework Agreement on the facilitation of Goods in Transit; dan Memorandum of Understanding on Cross Border Transports of Goods. Persetujuan ini adalah bertujuan bagi membuka pasaran dan fasiliti yang terdapat di negara ini kepada bukan sahaja pengusaha-pengusaha tempatan malah jua pengusaha-pengusaha dari luar negara.

Apa yang menjadi persoalan sekarang ialah mengenai pertanyaan dan permohonan daripada pengusaha-pengusaha luar negara yang berkeinginan untuk menggunakan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah ‘hub’ memproses barang-barang secara ‘transit’ (tidak keluar daripada fasiliti) termasuk juga benda-benda haram sebelum ia dieksport ke negara lain.

Antara yang dimaksudkan itu berkisar dengan memproses daging khinzîr dan minuman keras. Barang-barang ini akan dibawa masuk ke Negara Brunei Darussalam melalui Pelabuhan Muara, dipunggah dan dibahagi-bahagikan dan dieksport semula sama ada melalui kapal atau jalan darat keluar dari Negara Brunei Darussalam.

Sehubungan itu, sebelum menetapkan sebarang dasar, dipohonkan sebarang pandangan Pehin Mufti mengenai perkara ini dari segi hukum syara‘.

Jawapan: Sebelum kita menghuraikan dengan lanjut tentang arak dan khinzîr, elok kita fahamkan terlebih dahulu beberapa isitilah dan tujuan yang berkaitan dengan kemasukan arak dan daging khinzîr ke Negara Brunei Darussalam untuk transit/punggah edar.

Merujuk kepada kertas kerja Dasar Mengenai Kemasukan Barang-Barang Terlarang Dan Terkawal Ke Negara Brunei Darussalam Untuk Transit/Punggah Edar, Jabatan Pelabuhan, Julai 2009, ‘hub’ bermaksud pusat kegiatan. Pelabuhan ‘hub’ bermaksud Pelabuhan Pusat Kegiatan berbagai perkhidmatan pengedaran barangan sama ada perkhidmatan pengedaran untuk dalam negara, perkhidmatan pengedaran barangan secara transit untuk serantau dan antarabangsa. Kemudahan asas dan aktiviti bagi Pelabuhan ‘hub’ hendaklah mempunyai prasarana kemudahan seperti perairan tempat kapal berlabuh, dermaga tempat kapal bertambat, gudang tempat penyimpanan barang dan lain-lain lagi.

‘Transit’ adalah apabila barangan kargo yang didatangkan dari negara/pelabuhan yang dipunggah (port of loading) ke pelabuhan negara yang mengeluarkan (port of discharge) dihantar melalui wilayah satu atau lebih negara sama ada dengan cara punggah edar (transhipment by sea or by land) atau tidak (direct delivery).

Dalam konteks “transit/punggah edar” bermaksud barangan tersebut bukanlah untuk diedarkan di dalam Negara Brunei Darussalam. Ia bersifat sementara sahaja, persinggahan sementara di Pelabuhan Muara dan akan dimasukkan ke kawasan terhad, transit warehouses/license warehouses sebelum ia dipindahkan ke kapal seterusnya bagi tujuan destinasi selanjutnya.

Difahamkan aktiviti transit/punggah edar adalah bertujuan untuk memajukan lagi Pelabuhan Muara sebagai satu pusat komersial di samping meningkatkan ekonomi Negara Brunei Darussalam. Barang-barang transit/punggah edar ini akan dibawa masuk ke Negara Brunei Darussalam melalui Pelabuhan Muara, dipunggah, dibahagi-bahagikan dan diekspot semula sama ada melalui kapal atau jalan darat dari Negara Brunei Darussalam. Difahamkan juga, sebahagian besar barang-barang transit/punggah edar tersebut adalah arak dan daging khinzîr di mana kedua-dua barang ini, transit dalam kargo yang besar kemudian dibungkus semula di Pelabuhan Muara dalam paket yang kecil untuk diekspot semula ke luar negara.

Kedudukan Arak Dan Khinzîr Dalam Islam

Arak dan khinzîr adalah antara ciptaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang wajib dihindari oleh semua umat Islam. Pengharamannya telah jelas termaktub di dalam al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Bermula dengan memakan, meminum dan berjual beli dengan kedua-duanya, semua perbuatan tersebut adalah haram dilakukan oleh orang-orang Islam. Kedua-duanya dikategorikan sebagai najis di dalam Islam.

Menurut Imam ar-Razi Rahimahullâhu Ta‘âlâ, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mengharamkan khinzîr kerana keadaannya yang najis. (Tafsîr al-Fakhr ar-Razi: 13/231)

Kenajisan Arak

Menurut jumhûr (majoriti) ulama yang terdiri daripada imam-imam mazhab yang empat iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam asy-Syafi‘e, Imam Ahmad dan lain-lain ulama Rahimahumullâhu Ta‘âlâ, arak dihukumkan najis seperti darah berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengadu nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Surah al-Mâ’idah: 90)

Dalam ayat yang lain pula, Allah Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada kedua-duanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya.” (Surah al-Baqarah: 219)

Manakala dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ:

Maksudnya: Tiap-tiap yang memabukkan itu arak, dan tiap-tiap arak itu haram. (Hadits riwayat Muslim)

Bermuamalat Dengan Arak

Arak dan segala macam perbuatan yang berkaitan dengannya adalah dilaknat (dikutuk) oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Perkara ini ada diterangkan dalam hadits-hadits Rasulullah Shallâllahu ‘alaihi wasallam.

Daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Allah melaknat arak, peminumnya, penghidangnya (pelayan arak), penjualnya, pembelinya, pemerahnya, orang yang minta perahkan arak, pembawanya dan orang yang dibawakan kepadanya arak. (Hadits riwayat Abu Daud)

Dalam hadits yang lain, daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, dia berkata:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melaknat dalam (perkara) arak sepuluh (orang): Pemerahnya, orang yang minta diperahkan arak, peminumnya, pembawanya, orang yang dibawakan kepadanya arak, penghidangnya (pelayan arak), penjualnya, orang yang makan harga arak (duit hasil pendapatan arak), orang yang membeli arak dan orang yang membelikan arak bagi orang lain. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Erti laknat itu ialah jauh dari rahmat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ atau dikutuk Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan orang yang dikutuk atau dilaknat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu sentiasa dalam dosa besar dan menjadi fâsiq. (Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz, bekas Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam: 30/1980)

Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâhu Ta‘âlâ, adalah termasuk dalam kategori dosa-dosa besar:

i. Minum arak sama ada banyak atau sedikit. ii. Minum air yang memabukkan sekalipun satu titik. iii. Pemerah arak dan air yang memabukkan. iv. Minta perahkan arak dan air yang memabukkan. v. Membawa arak. vi. Minta bawakan arak untuk diminum. vii. Menghidangkan arak untuk orang lain minum. Viii. Minta hidangkan arak untuk diminum. ix. Menjual dan membeli arak. x. Minta jualkan dan minta belikan arak. xi. Makan harga (hasil pendapatan) arak. xii. Memegang (menyimpan) arak dan air yang memabukkan. (Az-Zawâjir ‘an Iqtirâf al- Kabâ’ir: 2/242)

Berdasarkan kepada dalil-dalil al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam serta keterangan ulama, maka orang-orang Islam adalah haram dan berdosa besar meminum dan berurusan dengan semua hal yang berkaitan dengan arak dan seumpamanya yang memabukkan selain arak.

Oleh itu, pengharaman bermuamalat dengan segala yang berkaitan dengan arak adalah sesuatu yang mutlak. Bukan hanya memerah, memegang, meminum, menghidangkan malahan berurus niaga dan memakan hasil pendapatan arak juga adalah haram dan berdosa besar.

Dapat diertikan bahawa umat Islam adalah ditegah sama sekali terlibat menguruskan hal ehwal arak sama ada secara langsung atau tidak, walaupun ia membawa keuntungan dan kemajuan hidup di dunia. Yang pasti, keuntungan dan kemajuan tersebut tidak akan memberi keberkatan hidup malahan akan sentiasa dalam laknat dan kemurkaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Kenajisan Khinzîr

Khinzîr didefinisikan dalam kitab al-Mausû‘ah ath-Thibbiyyah al-Fiqhiyyah sebagai binatang yang buruk perangai. Ia mencari makan di tempat pembuangan sampah, sisa dan najis. Ia juga tidak hirau untuk memakan bangkai, malah ia senghaja membiarkan mangsa-mangsanya yang telah mati itu selama beberapa hari sehingga menjadi busuk sebelum melahapnya. Ia adalah binatang yang cepat membiak dan tumbuh membesar. Ini adalah disebabkan oleh banyaknya terkumpul hormon pertumbuhan (growth hormone) dan hormon-hormon yang mendorong pembiakan (gonadotrophins) di dalam badannya. (Al-Mausû‘ah ath-Thibbiyyah al- Fiqhiyyah: 442)

Berniaga Khinzîr

Seperti yang diketahui, khinzîr adalah najis mughallazah (berat). Setiap benda najis adalah haram diperjual-belikan dalam Islam dan ini termasuklah juga khinzîr. Perkara ini ada dijelaskan dalam hadits yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah Radhiallâhu ‘anhu, bahawasanya dia mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah dan RasulNya mengharamkan penjualan arak, bangkai, khinzîr dan patung-patung. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadits di atas, haram ke atas orang Islam menjual daging khinzîr sama ada secara langsung atau tidak, yakni sama ada dia sendiri yang menjualnya atau orang lain bagi pihaknya, atau orang Islam itu berkongsi dengan orang bukan Islam.

Di samping itu, orang Islam harus ingat bahawa apabila seseorang itu berniaga, dia sebenarnya mengharapkan keberkatan rezeki daripada kurniaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Mereka mencari rezeki daripada limpah kurnia Allah. (Surah al-Muzzammil: 20)

Antara etika perniagaan dalam Islam ialah barang-barang yang diperniagakan itu hendaklah halal dan bukan yang diharamkan oleh syara‘ sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadits daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Allah telah melaknat orang-orang Yahudi tiga perkara, sesungguhnya Allah telah mengharamkan lemak ke atas mereka, lalu mereka menjualnya, kemudian memakan hasil harga jualannya. Dan sesungguhnya apabila Allah telah mengharamkan memakan sesuatu ke atas satu kaum, maka Dia juga mengharamkan harganya ke atas mereka. (Hadits riwayat Abu Daud)

Menjadikan Negara Brunei Darussalam Hub Transit/Punggah Edar Arak dan Daging Khinzîr

Negara Brunei Darussalam wajar mengambil pendirian berkecuali dalam perjanjian persefahaman dengan negara-negara Asean untuk tidak terlibat dalam apa jua perjanjian perniagaan atau perusahaan yang melibatkan perkara-perkara haram terutama arak dan khinzîr.

Khusus mengenai arak, pengharamannya bukan hanya setakat meminumnya bahkan merangkumi segala kegiatan yang berkaitan dengannya sebagaimana tersebut dalam hadits-hadits yang telah kita bawakan. Sebagai penegasan, kita bawakan semula salah satu hadits tersebut yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, katanya:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melaknat dalam (perkara) arak sepuluh (orang): Pemerahnya, orang yang minta diperahkan arak, peminumnya, pembawanya, orang yang dibawakan kepadanya arak, penghidangnya (pelayan arak), penjualnya, orang yang makan harga arak (duit hasil pendapatan arak), orang yang membeli arak dan orang yang membelikan arak bagi orang lain. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Membenarkan pelabuhan Negara Brunei Darussalam menjadi hub memproses transit/punggah edar arak walaupun bukan untuk kegunaan di Negara Brunei Darussalam, bukan saja mencabul dasar ketetapan negara selama ini yang mengharamkan arak, malah tindakan itu sama sekali adalah haram dan bertentangan dengan hukum syara‘ berdasarkan hadits yang tersebut di atas. Malah ia juga secara terang-terangan menentang perintah Allah yang melarang tolong-menolong dalam perkara dosa dan maksiat. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. (Surah al-Mâ’idah: 2)

Imam Ibnu Hajar Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab az-Zawâjir menyatakan bahawa dosa besar yang keenam puluh dua dan enam puluh tiga ialah redha terhadap maksiat dan membantu dalam maksiat dengan apa jua cara. (Az-Zawâjir: 195)

Ekonomi yang diandaikan turut meningkat kerana adanya hub transit/punggah edar arak itu, tidakkah ini menyangkut ‘dua’ di antara sepuluh perkara yang dilaknat, iaitu menjual dan memakan atau mendapat hasil daripada arak? Tidakkah pendapatan negara dan orang Islam (kalau ada orang Islam) yang turut terlibat mengendalikan hub transit/punggah edar arak itu dinamakan juga menerima dan memakan hasil daripada perusahaan arak?

Manakala membenarkan pelabuhan Negara Brunei Darussalam menjadi hub memproses transit/punggah edar daging khinzîr pula, walaupun potensi kemajuan ekonomi negara akan meningkat daripadanya, tetapi ia tidak syak lagi akan banyak mendatangkan masalah dalam perkara agama, orang Islam, bangsa Melayu dan negara ini sendiri. Jadi, pada hemat kita, tidak mengapa dan malah wajar jika Negara Brunei melepaskan sedikit peluang peningkatan ekonominya daripada daging khinzîr dan arak, asalkan maruah agama, orang Islam, orang Melayu dan negara terus terpelihara sebagai sebuah Negara Melayu Islam Beraja. Kita tidak mahu negara kita ini yang kita sebut-sebut sebagai sebuah Negara Melayu Islam Beraja dan Negara Zikir, dikenali juga sebagai sebuah negara hub transit/punggah edar daging khinzîr dan arak.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11668