Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Lelaki Memakai Gelang Dan Rantai Atas Alasan Kesihatan

Soalan: Dipohonkan pandangan Pehin mengenai pemakaian gelang atau rantai bagi lelaki yang dikatakan mempunyai unsur-unsur kesihatan yang sedang berleluasa pada masa ini. Adakah perkara ini dibolehkan di dalam Islam kerana apa yang diketahui adalah haram bagi lelaki menyerupai perempuan?

Jawapan: Lelaki Memakai Perhiasan Perempuan

Kaum lelaki haram memakai perhiasan-perhiasan yang khusus bagi perempuan seperti gelang, rantai atau subang sama ada perhiasan-perhiasan tersebut diperbuat daripada emas, perak, besi, tembaga, kayu atau sebagainya. Kaum lelaki yang menyerupai atau meniru perempuan adalah haram dan berdosa besar sebagaimana disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, katanya:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melaknat orang-orang lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Sesungguhnya haram (orang lelaki) menyerupai mereka (orang perempuan antaranya ialah) dengan memakai perhiasan yang khusus untuk mereka lagi yang lazim menjadi hak mereka seperti memakai gelang tangan, gelang kaki dan seumpama kedua-duanya. (al-Fatâwâ al-Kubrâ al-Fiqhiyyah: 1/261)

Manakala Syeikh al-Islam Zakariyya al-Anshari Rahimahullâh pula berkata:

Ertinya: Dan bagi kaum lelaki (dibolehkan) memakai cincin perak kerana mengikut sunnah dan ijma‘ (keharusannya), bahkan disunatkan bagi kaum lelaki (memakai cincin perak), bukan memakai gelang dan yang seumpamanya seperti dumluj (gelang yang dipakai di antara siku dengan bahu) dan kalung (rantai). Tidak halal bagi kaum lelaki (memakainya) sekalipun daripada perak, kerana padanya ciri kewanitaan yang tidak layak dengan keperkasaan (kelakian) orang-orang lelaki. (Asnâ al-Mathâlib Syarh Raudh ath-Thâlib: 1/379)

Lelaki Memakai Gelang Atau Rantai Atas Alasan Kesihatan

Pada dasarnya kaum lelaki diharamkan memakai gelang atau rantai. Walau bagaimanapun dalam keadaan tertentu kaum lelaki diharuskan memakai gelang atau rantai jika terdapat keuzuran yang mengharuskannya sebagaimana diharuskan orang lelaki berinai apabila terdapat keuzuran yang mengharuskannya.

Dalam hal ini, Imam ar-Ramli Rahimahullâh ada berkata:

Ertinya: Maka haram berinai ke atas kedua-duanya (orang lelaki dan khuntsâ (orang yang mempunyai dua jantina) kecuali kerana ada keuzuran. (Nihâyah al-Muhtâj: 2/25)

Keuzuran yang mengharuskan lelaki berinai itu pula menurut asy-Syabramallisi Rahimahullâh katanya:

Ertinya: (Katanya kecuali) iaitu bilamana tidak ada yang selainnya (inai) yang dapat mengganti tempat inai untuk mengubat lukanya. (Hâsyiah asy-Syabramallisi ‘ala an-Nihâyah al-Muhtâj: 2/25)

Ini bermakna keuzuran yang mengharuskan orang lelaki memakai inai tertakluk kepada dua persyaratan:

1. Keuzuran kerana tujuan berubat.

2. Keuzuran kerana tidak terdapat cara lain untuk mengubat penyakitnya kecuali dengan jalan berinai.

Jika dua persyaratan tersebut juga menjadi sebab seseorang lelaki itu terpaksa memakai gelang atau rantai iaitu untuk tujuan berubat dan tidak ada cara lain untuk mengubat penyakitnya melainkan dengan jalan memakai gelang atau rantai itu sahaja, maka diharuskan lelaki itu memakai gelang atau rantai atas dasar keuzuran.

Memakai gelang atau rantai bukan kerana tujuan berubat ataupun kerana tujuan berubat, tetapi dalam waktu yang sama ada cara atau alternatif lain untuk mengubat penyakitnya selain daripada memakai gelang atau rantai itu, adalah sama sekali tidak diharuskan oleh syara‘. Begitulah juga kedudukannya jika seorang lelaki itu memakai gelang atau rantai hanya semata-mata atas alasan kesihatan atau untuk menambah kesihatan padahal tanpa memakai gelang pun dia akan tetap sihat atau tidak mendapat apa-apa kesulitan, maka tidaklah harus dia memakainya.

Dengan itu tidak ada kelonggaran hukum ke atas orang lelaki memakai gelang atau rantai kecuali apabila tidak ada cara atau alternatif lain untuk mengubat penyakitnya melainkan hanya dengan memakai gelang atau rantai sahaja. Kebenaran perkara itu juga hendaklah disahkan oleh seorang ahli perubatan Islam yang boleh dipertanggungjawabkan (bersifat ‘âdil).

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11673