Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الجنائز

Membangun Rumah Atas Tanah Yang Dipercayai Pernah Digunakan Sebagai Tanah Perkuburan Orang-Orang Islam

Soalan: Saya merancang untuk meruntuh tanah bagi tujuan membangun rumah, baru-baru ini, saya mendapat tahu bahawa tanah tersebut digunakan sebagai tanah perkuburan orang-orang Islam dahulu dalam 80 ke 90 tahun yang lalu. Daripada cerita yang saya perolehi cuma sebahagian daripada tanah tersebut sahaja yang dimaksudkan. Jumlah kubur tidak diketahui, batu tanda atau nisan tidak ada. Soalan saya apakah yang harus saya buat mengenai hal ini? Jika proses memindah dijalankan tanpa mengetahui jumlah sebenar jenazah yang tertinggal sekiranya ada, apakah hukumnya saya membangun rumah di tapak tanah itu?

Jawapan: Pertanyaan yang diajukan di atas pada dasarnya berkisar tentang dua permasalahan berikut:

1. Haruskah suatu binaan didirikan atas tanah perkuburan?

2. Apakah hukum menggali semula tanah perkuburan dan memindahkan mayat ke tempat lain?

Sebelum mengetahui kedudukan perkara ini, terlebih dahulu perlulah difahami bahawa tanah perkuburan orang Islam itu ada beberapa jenis, iaitu:

1. Tanah yang diwaqafkan (mauqûf) untuk tujuan pengebumian mayat.

2. Tanah perkuburan yang dinamakan musabbalah, iaitu tanah yang digunakan secara kebiasaan oleh penduduk di kawasan tanah tersebut untuk mengebumikan mayat, sama ada diketahui asal-usul tanah itu dan diketahui siapa yang mensabîlkannya ataupun sebaliknya.

Diketahui asal-usul tanah musabbalah itu umpamanya apabila tanah tersebut pada asalnya merupakan tanah milik seseorang (mamlûkah), kemudian ia diwaqafkan oleh pemiliknya sebagai tanah perkuburan. Manakala tanah musabbalah yang tidak diketahui asal-usulnya itu umpamanya ialah tanah mawât yang digunakan secara kebiasaan oleh penduduk di sekitar tanah tersebut untuk mengebumikan mayat. (Hasyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/200-201)

Tanah musabbalah pada dasarnya merupakan suatu istilah umum merangkumi makna tanah yang diwaqafkan untuk tujuan tanah perkuburan dan juga tanah mawât yang dijadikan kebiasaan untuk mengebumikan mayat.

3. Tanah mawât, iaitu tanah yang tidak dimiliki sesiapa atau tanah terbiar yang tidak di‘imârahkan (dibangunkan). (Mughni al-Muhtâj: 3/495 dan I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/425)

Dalam konteks tanah perkuburan, tanah mawât bererti tanah terbiar yang pernah dijadikan tempat pengebumian mayat walaupun tidak menjadi kebiasaan penduduk-penduduk di sekitar kawasan tanah tersebut untuk mengebumikan mayat di situ. Juga termasuk dalam pengertian tanah mawât ialah tanah yang suatu ketika dahulu menjadi tempat yang digunakan secara kebiasaan untuk mengebumikan mayat, tetapi tidak lagi digunakan untuk tujuan tersebut pada masa sekarang dan akan datang.

Sebagaimana dijelaskan di atas, sekiranya tanah mawât digunakan secara kebiasaan sebagai tempat pengebumian mayat, maka tanah tersebut dinamakan sebagai tanah perkuburan musabbalah.

4. Tanah persendirian yang terdapat di dalamnya tapak perkuburan, tetapi tidak diwaqafkan untuk tujuan tanah perkuburan.

Tanah persendirian juga boleh menjadi tanah perkuburan musabbalah sekiranya orang ramai menjadikan tanah itu sebagai kebiasaan dan atas izin pemilik tanah untuk mengebumikan mayat, sekalipun dia tidak berniat mewaqafkannya menjadi tanah perkuburan.

Hukum Mendirikan Binaan Atas Tanah Perkuburan

Jabir Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menegah perbuatan melapis kubur dengan kapur, duduk di atas kubur dan mendirikan binaan di atasnya. (Hadits riwayat Muslim)

Berdasarkan hadits ini, para ulama menjelaskan kedudukan mendirikan binaan di atas tanah perkuburan sebagaimana berikut:

i. Tanah yang diwaqafkan sebagai tanah perkuburan dan juga tanah musabbalah, kedua-duanya tidak boleh digunakan untuk tujuan-tujuan lain kecuali semata-mata untuk mengebumikan mayat. Kedua-dua jenis tanah perkuburan ini tidak boleh diganggu umpamanya dengan mendirikan apa-apa binaan di dalamnya atau dengan bercucuk-tanam dalam kawasan tanah tersebut, sekalipun mayat-mayat yang terdapat di dalam tanah itu telah hancur menjadi tanah. Sekiranya apa-apa binaan didirikan dalam kawasan tanah tersebut, maka binaan tersebut wajib dirobohkan.

Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Tidak harus (haram) menanam sesuatu di atas tanah perkuburan musabbalah sekalipun diyakini mayat yang berada di dalamnya telah hancur kerana tidak harus memanfaatkan tanah tersebut selain untuk mengebumikan mayat. (Hawâsyi asy- Syarwani: 3/218)

Imam an-Nawawi Rahimahullâh pula berkata:

Ertinya: Sekiranya apa-apa binaan dibangunkan atas tanah perkuburan musabbalah, maka ia wajib dirobohkan. (Hawâsyi asy-Syarwani: 3/217-218)

Syeikh Ibrahim al-Bajuri Rahimahullâh menerangkan bahawa tegahan membina binaan atas kubur musabbalah itu bermaksud haram membina apa-apa binaan sama ada di sebelah atas kubur ataupun di sebelah bawahnya. Beliau juga menjelaskan bahawa:

Ertinya: Dan tidak ada perbezaan binaan itu (sama ada ia berbentuk) qubbah, rumah, masjid atau selainnya, dan termasuklah juga batu-batu yang dikenali sebagai at-tarkîbah (tembok atau tambak). (Hâsyiah al-Bajuri ‘alâ Ibn Qasim: 1/257)

ii. Jika tapak perkuburan berada atas tanah mawât atau tanah persendirian, hukum mendirikan binaan atas tapak perkuburan tersebut adalah makruh. Demikian juga, makruh mendirikan apa-apa binaan atas tanah yang berada dalam kawasan harîm kubur dan juga kawasan di luarnya. Bagaimanapun, sekiranya sesuatu binaan didirikan kerana keperluan-keperluan tertentu umpamanya jika ditakuti tapak perkuburan akan digali oleh binatang atau ditakuti ia akan runtuh disebabkan banjir, maka tidaklah makruh mendirikan binaan seperti tembok bagi tujuan memelihara tapak perkuburan tersebut.

Ertinya: (Dan makruh membina sesuatu padanya) iaitu di dalam tanah perkuburan itu, (atau di atasnya) iaitu makruh membina sesuatu atas tanah perkuburan (atas kubur). Ini bererti (makruh membina sesuatu) dalam kawasan harîm kubur dan juga di luarnya.

Dan tiada beza dalam perkara ini sama ada binaan itu berbentuk qubbah, rumah, masjid atau sebagainya. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/200)

Hukum Menggali Kubur

Berkenaan kedudukan menggali kubur mayat, fuqahâ’ menerangkan hukumnya menurut dua keadaan berikut:

1. Mayat yang belum hancur.

Menurut ulama, kubur mayat yang belum hancur haram diganggu atau digali kecuali dalam keadaan-keadaan dharurat tertentu. Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata:

Ertinya: (Hukum) menggali kubur untuk memindahkan mayat ke tempat lain setelah mayat tersebut (sempurna) dikebumikan atau kerana tujuan-tujuan yang lain adalah haram kecuali disebabkan dharurat, umpamanya apabila didapati mayat telah dikebumikan sebelum ia dimandikan atau mayat dikebumikan dalam kawasan tanah yang dirampas, atau dikapankan dengan kain kapan yang dirampas atau apabila terjatuh harta orang lain dalam kubur itu atau mayat telah dikebumikan tanpa menghadap qiblat. (Mughni al-Muhtâj: 2/58-59)

Imam as-Suyuthi Rahimahullâh menjelaskan bahawa pengharusan yang diberikan oleh syara‘ untuk menggali kubur dalam hal ini adalah termasuk dalam ruang lingkup keringanan-keringanan yang disimpulkan oleh kaedah fiqhiyyah:

Ertinya: Dharurat mengharuskan perkara-perkara yang ditegah. (Al-Asybâh wa an- Nazhâ’ir: 1/212)

2. Apabila mayat telah hancur.

Apabila mayat telah hancur luluh menjadi tanah, tapak perkuburan mayat berkenaan harus dibongkar atau digali semula. Tapak tanah tersebut kemudiannya harus digunakan untuk mengebumikan mayat lain atau digunakan untuk tujuan-tujuan lain. Bagaimanapun, perlu diingat bahawa tanah yang diwaqafkan sebagai tanah perkuburan dan juga tanah musabbalah tetap tidak boleh digunakan untuk apa-apa tujuan kecuali hanya untuk mengebumikan mayat sekalipun mayat yang mula-mula dikebumikan dalam tapak perkuburan itu telah hancur menjadi tanah. Kubur tersebut dalam hal ini tidak boleh dibangunkan (‘imârah) dan ditimbus sekali lagi dengan tanah (taswiah) kerana perbuatan itu akan menyebabkan ia kelihatan seperti kubur baharu yang boleh menghalang orang lain untuk mengebumikan mayat di situ. (Raudhah ath-Thâlibîn: 2/58)

Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Bahawasanya harus menggali kubur apabila mayat (di dalamnya) telah hancur dan menjadi tanah. Pada ketika itu harus mayat lain dikebumikan di situ, dan harus bercucuk tanam dalam kawasan tanah itu, membina binaan, menggunakannya untuk pelbagai tujuan dan urusan dengan sepakat kata ulama. Jika tanah itu merupakan tanah pinjam, maka ia kembali semula kepada yang meminjamkannya. Semua ini adalah bergantung (kepada keadaan) apabila mayat itu tidak meninggalkan apa-apa kesan seperti tulang dan seumpamanya. Ulama-ulama ashhâb daripada kalangan kita (mazhab Syafi‘e) Rahimahumullâh berkata: “Hal ini berbeza-beza menurut negeri dan tempat, dan dalam perkara ini yang dii‘timâdkan ialah perkataan (pendapat) ahli yang pakar.” (Kitab al-Majmû‘: 5/273)

Walau bagaimanapun, tanah perkuburan musabbalah yang asalnya merupakan tanah mawât, apabila ia tidak lagi digunakan sebagai tempat pengebumian mayat dan penduduk-penduduk di sekitar tanah tersebut tidak berazam untuk menggunakannya bagi tujuan itu pada masa akan datang, maka tanah perkuburan tersebut akan kembali semula kepada keadaannya yang asal sebagai tanah mawât. Menurut asy-Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani Rahimahullâh, tanah tersebut dalam hal ini harus digunakan untuk tujuan-tujuan lain apabila mayat yang terdapat di dalamnya telah hancur menjadi tanah. (Hawâsyi asy-Syarwani: 3/218)

Perlu juga difahami bahawa apabila tanah mawat dan juga tanah persendirian yang dijadikan tempat pengebumian mayat atas izin pemilik tanah tersebut, maka tapak tanah yang dijadikan tempat pengebumian mayat itu menjadi hak yang dipinjamkan kepada mayat yang dikebumikan di situ. Dalam tempoh masa tersebut, orang yang hidup termasuklah pemilik tanah itu sendiri tidak boleh mencabuli hak mayat terhadap tapak tanah itu dengan menggali semula tapak perkuburan mayat itu dan memindahkannya ke tempat lain. Hak tersebut adalah berterusan sehinggalah keseluruhan anggota dan suku-suku mayat berkenaan telah hancur dan luluh. Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Apabila seseorang meminjamkan (tanah) untuk mengebumikan mayat, maka tanah itu tidak kembali (kepada orang yang meminjamkannya) sehinggalah segala suku-suku mayat yang dikebumikan itu telah hancur. (Mughni al-Muhtâj: 3/324)

Imam asy-Syarwani Rahimahullâh menyatakan bahawa keadaan mayat itu diketahui berdasarkan kepada suatu tempoh masa pada ghâlib sangkaan mayat telah hancur menjadi tanah atau sebaliknya. (Hawâsyi asy-Syarwani: 5/427) Sesetengah ulama bagaimanapun menyatakan bahawa terdapat mayat-mayat tertentu yang selamanya tidak hancur menjadi tanah seperti kubur para nabi, syuhadâ’, orang alim dan juga qâri’ (penghafal) al-Qur’an. Kerana itu, menurut as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh tapak tanah yang sedemikian itu tidak dikembalikan semula kepada pemiliknya buat selama-lamanya. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/229)

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, untuk memastikan sama ada keseluruhan anggota mayat telah hancur atau sebaliknya, maka perkara ini hendaklah dirujuk kepada ahli ataupun pakar-pakar yang tertentu. (Raudhah ath-Thâlibîn: 2/58)

Kedudukan Tanah Yang Ditanyakan

Berdasarkan keterangan-keterangan yang dinyatakan di atas, dapatlah difahami bahawa kedudukan menggali tapak perkuburan dan membina binaan seperti rumah dalam kawasan tanah perkuburan pada dasarnya tertakluk kepada jenis-jenis tanah perkuburan sebagaimana yang telah dijelaskan. Oleh itu, berkenaan kedudukan tanah yang ditanyakan oleh penanya, hendaklah terlebih dahulu dipastikan apakah jenis tanah terbabit.

Secara asasnya tanah tersebut adalah tanah milik persendirian. Namun disebabkan pada suatu ketika dahulu ia pernah dijadikan tempat pengebumian mayat, sebagaimana dinyatakan oleh penanya, maka status tanah tersebut hendaklah dipastikan dengan jelas. Adakah sebelum ini ia merupakan tanah perkuburan musabbalah yang sekarang tidak lagi digunakan untuk mengebumikan mayat? Bagaimana jika pemilik tanah yang terdahulu telah mewaqafkannya sebagai tanah perkuburan?

Sebagaimana diterangkan, apabila sebidang tanah diwaqafkan sebagai tanah perkuburan, maka ia tidak harus lagi digunakan untuk apa-apa tujuan kecuali semata-mata untuk tujuan tersebut sekalipun mayat-mayat yang terdapat dalam tanah itu telah hancur menjadi tanah. Ia hanya boleh digali semula untuk tujuan pengebumian mayat yang lain. Demikian juga, tidak harus mendirikan apa-apa binaan seperti rumah kediaman atas kawasan tanah tersebut.

Manakala tanah persendirian yang terdapat di dalamnya tapak atau tapak-tapak perkuburan, hukum mendirikan apa-apa binaan termasuk rumah atas tanah tersebut adalah makruh. Sekalipun demikian, perlu difahami bahawa tapak perkuburan yang berada dalam kawasan tanah itu tidak harus dicerobohi dengan perbuatan-perbuatan seperti menggali dan membongkar tanah tersebut atau dengan perbuatan-perbuatan yang seumpamanya, sehinggalah dipastikan mayat-mayat yang berada dalam tapak perkuburan itu telah hancur menjadi tanah.

Kerja-kerja membangun rumah bagaimanapun pada kebiasaannya memerlukan tanah untuk digali, sebagai contoh, bagi membolehkan tiang-tiang dan batang-batang pailing ditanam dan saluran-saluran parit atau longkang dibina. Soalnya, bolehkah lokasi tapak atau tapak-tapak kubur itu dikenal pasti dengan tepat bagi memastikan kubur-kubur tidak tergali secara sengaja atau tidak disengajakan? Jangka masa 80 ke 90 tahun bukanlah suatu tempoh masa yang menjamin mayat pasti telah hancur menjadi tanah, bahkan perkara ini hendaklah dipastikan oleh ahli-ahli dalam bidang-bidang yang berkenaan.

Realitinya, keadaan ini akan menyebabkan kesusahan kepada pemilik tanah untuk membangunkan sebuah rumah kediaman dalam kawasan tanahnya itu. Fuqahâ’ menerangkan apabila seseorang membeli tanah seumpama itu tanpa mengetahui kewujudan tapak perkuburan dalam kawasan tanah tersebut, maka pembeli mempunyai hak khiyâr untuk memulangkan semula tanah tersebut kepada penjualnya. (Mughni al-Muhtâj: 2/52)

Sekiranya rumah tetap dibangunkan atas kawasan tanah tersebut (dengan syarat tapak perkuburan tidak diganggu), penghuni rumah akan terpaksa menghadapi kesulitan-kesulitan berbangkit yang lain. Ini kerana selain hak mayat ke atas tanah itu yang menyebabkannya tidak boleh diganggu, tapak perkuburan juga mempunyai adab-adab lain yang perlu dipelihara. Umpamanya, perbuatan-perbuatan seperti memijak, berjalan, duduk di atas kubur sesuka hati atau tanpa keperluan, dan mengerjakan sembahyang menghadap kubur adalah dilarang kerana hukumnya makruh. (Mughni al-Muhtâj: 1/425 dan 2/40-41)

Tidak kira sama ada tapak perkuburan berada di luar ataupun di dalam rumah, keadaan-keadaan seumpama ini memerlukan reka bentuk rumah yang akan dibina disesuaikan dengan mengambil kira kedudukan tapak perkuburan. Keadaan ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi keselesaan penghuni rumah dan seisi keluarganya. Bergantung kepada reka bentuk rumah yang akan dibangunkan dan kedudukan tapak perkuburan, bersediakah penghuni rumah menerima kemungkinan wujudnya tapak perkuburan di dalam rumah sendiri? Atau bersediakah pemilik rumah menyediakan ruang di dalam rumah bagi menempatkan tapak perkuburan yang tidak diganggu oleh sesiapa? Bagaimana jika tapak perkuburan berada di merata tempat dalam kawasan tanah yang terbabit?

Tegasnya, tanah persendirian yang di dalamnya terdapat tapak perkuburan bukanlah merupakan suatu tempat yang sesuai dibangunkan rumah kediaman di dalamnya. Hanya apabila diketahui mayat-mayat yang berada dalam tapak perkuburan itu telah hancur, baharulah tanah tersebut sesuai diusahakan semula dengan kerja-kerja membangun rumah atau yang seumpamanya. Sekiranya keadaan mayat tidak diketahui, maka lebih baik mencari ikhtiar untuk mendapatkan tanah lain sebagai ganti. Kecuali apabila benar-benar terdesak untuk mempunyai sebuah rumah dan tiada ikhtiar lain yang boleh diusahakan, barulah dipilih tanah tersebut sebagai jalan terakhir untuk mendirikan rumah. Itupun dengan syarat hak-hak tapak perkuburan hendaklah dijaga dan tidak dicabuli.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11677