Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Memberikan Pinjaman Al-Qardh Al-Hasan Daripada Hasil Kutipan Zakat

Soalan: Apakah hukum memberikan pinjaman al-qardh al-hasan daripada hasil kutipan zakat kepada bukan ashnâf yang berhak menerima zakat oleh institusi yang bertanggungjawab mengutip zakat daripada orang Islam?

Jawapan: Pelaksanaan zakat bukan hanya setakat tuntutan syara‘ yang antara hikmah di sebalik pensyariatannya untuk menyucikan diri individu yang berzakat dan harta yang diperolehinya, sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk). (Surah at-Taubah: 103)

Bahkan, hikmahnya juga menjadi sumber dana bagi masyarakat semua peringkat, terutama sekali dalam menangani masalah kemiskinan. Dari itu, hasil daripada pungutan harta zakat itu wajib diberikan kepada ashnâf-ashnâf yang berhak menerimanya.

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir dan orang-orang miskin dan ‘âmil-‘âmil yang mengurusnya dan orang-orang mu’allaf yang dijinakkan hati mereka dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan diri dan orang-orang yang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Amat Mengetahui lagi Amat Bijaksana.

(Surah at-Taubah: 60)

Pinjaman Al-Qardh Al-Hasan Daripada Hasil Kutipan Zakat

Adapun memberi pinjaman atau menghutangkan seseorang yang memerlukan adalah satu perbuatan yang amat digalakkan dalam Islam. Hukumnya sunat. Ia merupakan amalan yang mulia kerana peminjaman itu dilakukan atas dasar hajat dan keperluan seseorang. Ia lebih afdhal daripada sedekah kerana sedekah dilakukan secara sukarela tanpa sebarang permintaan. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Aku telah melihat pada malam aku diisrâ’kan, pada pintu syurga ditulis (perkataan) sedekah dengan sepuluh kebajikan dan hutang dengan lapan belas (kebajikan). Maka aku berkata: “Wahai Jibril apakah yang membuatkan hutang (menghutangkan) itu lebih afdhal daripada sedekah?” Dia (Jibril ‘Alaihissalâm) berkata: “Kerana sesungguhnya as-sâ’il itu (orang yang meminta) meminta-minta (sedekah) padanya, manakala orang yang berhutang itu tidak meminta hutang kecuali atas hajat keperluan.” (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Terdapat beberapa hadits yang menyatakan tentang kelebihan memberi pertolongan kepada orang lain umpamanya dengan memberi pinjaman. Antaranya hadits yang bersumber daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Barang siapa yang menghilangkan suatu kesusahan seorang mu’min daripada kesusahan-kesusahan dunia, maka Allah akan menghilangkan suatu kesusahan daripadanya kesusahan-kesusahan Hari Kiamat. Barang siapa yang memberikan kemudahan kepada orang yang dalam kesulitan, maka Allah akan memberinya kemudahan di dunia dan akhirat. Dan barang siapa yang menutupi (aib) seorang Muslim, maka Allah akan menutupi (aib)nya di dunia dan akhirat. Allah akan selalu menolong seorang hamba selama seorang hamba itu mahu menolong saudaranya. (Hadits riwayat Muslim)

Menyentuh tentang persoalan memberikan pinjaman al-qardh al-hasan daripada hasil kutipan zakat, sekalipun memberi pinjaman itu sangat dituntut, namun dalam hal ini harta zakat yang terkumpul hanyalah khusus untuk diagihkan dan diberikan kepada lapan ashnâf sahaja. Ini adalah berdasarkan daripada kalimat إَِنهَا dalam ayat tersebut yang membawa maksud pengkhususan kepada golongan tertentu. Oleh itu harta pungutan zakat hanya diagihkan kepada lapan ashnâf ini sahaja dan bukan kepada yang lain. (Nihâyah al-Muhtâj: 6/151, Mughni al-Muhtâj: 4/173 dan Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/311)

Perkara ini juga ada disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Ziyad bin al-Harits ash- Shuda’i Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata: “Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam lalu berkata: “Berikanlah saya sedekah (zakat).” Maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksdunya: Sesungguhnya Allah tidak redha (menyenangi) dengan hukum seorang nabi dan tidak juga selainnya dalam perkara sedekah (zakat), sehinggalah Allah sendiri yang menentukan hukumnya. Dia membahagikannya kepada lapan bahagian (yang berhak menerima). Maka jika engkau tergolong dalam bahagian-bahagian itu, nescaya aku berikan kepadamu hakmu. (Hadits riwayat Abu Daud)

Maka dari sini, harta zakat hanya diagihkan kepada lapan ashnâf yang dinyatakan dalam al- Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sebagai hak yang telah ditentukan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kepada mereka. Ia tidak boleh diagih atau disalurkan dalam bentuk apa sekalipun kepada selain daripada ashnâf-ashnâf tersebut sekalipun dengan tujuan yang mulia seperti memberi pinjaman al-qardh al-hasan dengannya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11681