Mengapa Aurat Wanita Tidak Sama Dengan Lelaki?
Soalan: Saya pernah dikemukakan soalan hukum halal/haram berikut oleh rakan bukan Islam saya semasa menghadiri persidangan perbankan di luar negeri: Mengapakah aurat wanita tidak sama dengan lelaki? Maksudnya, mengapa wanita dihukumkan menutup dari rambut hingga ke kaki sedangkan lelaki lebih diberi kelonggaran? Terus terang, saya tidak mampu menjawab selain mengatakan ia hukum Allah. Apakah jawapan terbaik yang sepatutnya saya sampaikan kepada rakan bukan Islam yang bertanya soalan-soalan tadi?
Jawapan: Khusus mengenai persoalan yang dikemukakan iaitu mengapa aurat perempuan tidak sama dengan lelaki, di sini akan diterangkan mengenai pengertian aurat, perintah menutupnya, batas aurat perempuan dan lelaki, ciri-ciri pakaian menurut syara‘ dan hikmah perbezaan batas aurat perempuan dan lelaki yang wajib ditutup.
Pengertian Aurat dan Perintah Menutupnya Perkataan ‘aurat’ adalah daripada bahasa Arab. Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh:
Ertinya: Berkata ahli bahasa: “Dinamakan sebagai aurat kerana jelek menampakkannya dan kerana tunduk pandangan mata daripada (melihatnya). (Perkataan aurat (العورة adalah berasal daripada perkataan العور yang bererti kekurangan, keaiban dan jelek. (Al-Majmû‘: 3/171) Ini bererti menutup aurat adalah bermaksud untuk menutup kekurangan, keaiban dan apa yang jelek dipandang. Dari segi syara‘ pula, aurat adalah anggota badan yang wajib ditutup ketika sembahyang. Disebut juga aurat bagi anggota badan yang haram dipandang. (Nihâyah al-Muhtâj: 2/7) Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Katakanlah kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menahan pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka (daripada perkara yang haram). Demikian itu lebih suci (lebih baik) bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan (melalui penglihatan dan kemaluan mereka). Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman supaya menahan pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka (daripada perkara yang haram). Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya (wajah dan kedua-dua tapak tangan); dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka yang mereka miliki, atau orang gaji daripada orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, agar kamu berjaya. (Surah an-Nûr: 30-31)
Ayat ini menunjukkan perintah untuk memelihara pandangan dan kehormatan daripada perkara haram serta larangan mendedahkan aurat agar manusia terhindar daripada melakukan perbuatan yang boleh menjatuhkan maruah dan mencemarkan kesucian.
Berkata al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh, pandangan mata adalah punca timbulnya fitnah dan penggerak syahwat. Oleh itu, perintah memelihara pandangan itu bertepatan dengan hikmah perundangan hukum-hukum Islam iaitu untuk menutup peluang yang mendorong kepada perbuatan haram dan menghindari daripada berlakunya satu kejadian demi satu kejadian seperti berkhalwat dengan perempuan bukan mahram dan kegiatan seterusnya. (Mughni al-Muhtâj: 3/167)
Hadits daripada Hudzaifah Radhiallâhu ‘anhu menyebutkan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Pandangan (terhadap kecantikan perempuan) merupakan satu anak panah di antara anak-anak panah Iblis yang beracun. Sesiapa yang meninggalkannya (pandangan terhadap kecantikan perempuan) kerana takut kepada Allah, nescaya Allah Jallâ wa ‘Azza ganti pandangan tersebut dengan iman, yang dengannya dia mendapatkan kelazatan di dalam hatinya. (Hadits riwayat al-Hakim)
Oleh itu, antara hikmah orang yang menahan pandangan mata daripada perkara yang diharamkan seperti aurat, akan merasa manisnya iman di hati.
Perbezaan Batas Aurat Lelaki dan Perempuan
Berdasarkan ayat 31 dalam surah an-Nûr yang telah disebutkan, batas-batas aurat adalah berbeza menurut perbezaan jantina dan hubungan dengan orang yang dilihat. Contohnya batas aurat perempuan adalah berbeza jika berhadapan dengan mahram berbanding dengan lelaki bukan mahram.
Batas aurat perempuan terbahagi kepada empat keadaan:
1. Seluruh anggota badan kecuali muka dan kedua tapak tangan yang zahir dan batin apabila berhadapan dengan lelaki asing (bukan mahram). Namun dalam keadaan yang boleh mendatangkan fitnah, wajib menutup seluruh anggota badan perempuan itu.
2. Anggota antara pusat hingga lutut apabila berhadapan dengan mahram; iaitu dalam keadaan aman daripada fitnah (melihat dengan tiada syahwat), atau ketika bersendirian.
3. Seluruh anggota badan kecuali anggota yang biasa nampak ketika membuat pekerjaan apabila berhadapan dengan perempuan bukan Islam.
4. Seluruh anggota badan kecuali muka dan kedua tapak tangan yang zahir dan batin ketika bersembahyang.
Manakala batas aurat lelaki di hadapan mahram, bukan mahram atau ketika sembahyang adalah anggota antara pusat hingga ke lutut. (Mughni al-Muhtâj: 3/166-168 dan Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/184-5)
Ciri-ciri Pakaian Menurut Syara‘
Bagi menyempurnakan lagi penutupan aurat menurut tuntutan syara‘, para ulama memberikan garis pandu ciri-ciri pakaian lelaki dan perempuan berpandukan al-Qur’an dan hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam seperti berikut:
1. Pakaian itu hendaklah menutup aurat daripada kelihatan, walaupun ketika bersendirian, kerana Allah lebih berhak untuk kita merasa segan kepadaNya, dan kerana Allah memandang hambaNya yang menutup aurat lebih bersopan berbanding yang tidak menutup aurat. Oleh itu, hendaklah lelaki dan perempuan menutup aurat masing-masing sebagaimana yang telah diterangkan di atas.
Walau bagaimanapun, adalah disunatkan memakai pakaian yang sebaik-baiknya dan memelihara penampilan yang elok dipandang menurut adat, baik bagi lelaki mahupun perempuan, terutama sekali ketika hendak ke masjid untuk sembahyang. Umpamanya bagi lelaki, bukan hanya setakat menutup anggota antara pusat ke lutut, tetapi lebih baik juga menutup anggota yang lebih daripada batas aurat, kerana perkara itu termasuk dalam bab berhias diri; misalnya dengan memakai baju, sarung atau seluar dan menutup kepala dengan memakai serban.
2. Pakaian itu hendaklah tebal, tidak nipis atau tidak jarang sehingga warna kulit aurat yang sepatutnya ditutup ternampak dari celah sulaman benang.
3. Pakaian itu hendaklah longgar, tidak sempit atau tidak ketat sehingga boleh menampakkan bentuk atau susuk tubuh badan.
4. Pakaian perempuan hendaklah bukan pakaian yang khusus dipakai oleh kaum lelaki. Demikian juga sebaliknya, pakaian lelaki hendaklah bukan pakaian yang khusus dipakai oleh kaum perempuan.
(Mughni al-Muhtâj: 1/396-400, Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/185-187, al-Majmû‘: 3/171- 181 dan Fatâwa Mu‘âsharah: 1/463-4)
Hikmah Perbezaan Aurat Lelaki dan Perempuan
1. Hukum-hukum Allah adalah bertujuan untuk memelihara kemashlahatan hamba-hambaNya, khususnya dalam enam perkara iaitu memelihara agama, nyawa, harta, keturunan, akal dan kehormatan. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 4/216)
Oleh itu, kita dianjurkan berwaspada daripada mendekati perkara-perkara yang mendorong ke arah merosakkan enam perkara tersebut. Kaedah fiqhiyyah ada menyebutkan:
Ertinya: Menutup segala jalan yang membawa kepada kerosakan.
Salah satu perbuatan yang diharamkan kerana menimbulkan berbagai kerosakan itu ialah zina. Di antara kerosakan yang ditimbulkannya ialah merosakkan nasab keturunan, mengembangkan penyakit yang merbahaya, menimbulkan pergaduhan dan pembunuhan. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu menghampiri zina! Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk (yang membawa kerosakan). (Surah al-Isrâ’: 32)
Jadi, apabila diharamkan menghampiri perbuatan zina, dilarang juga segala sebab yang membawa kepadanya seperti mendedahkan aurat, memandang kepada aurat yang diharamkan, bersunyi-sunyian dengan bukan mahram dan lain-lain yang boleh menimbulkan fitnah. Oleh yang demikian, aurat wajib ditutup mengikut batas-batas yang telah digarispandukan oleh syara‘. (Sadd adz-Dzarâ’i‘ fi asy-Syarî‘ah al- Islâmiyyah: 147, 364, 444 & 447)
2. Syariat Islam bertindak menutup jalan-jalan yang membawa ke arah kerosakan dan menutup pintu-pintu yang membawa kepada fitnah seperti berkhalwat dan menampakkan perhiasan tubuh (aurat). Walau bagaimanapun Islam juga memberi kemudahan dan melonggarkan kepayahan dengan mengharuskan perkara-perkara yang merupakan keperluan dalam hidup dan pergaulan antara manusia, umpamanya kaum perempuan diharuskan memperlihatkan perhiasan zahir iaitu muka dan kedua tapak tangan, di samping perintah untuk lelaki dan perempuan agar menjaga pandangan dan memelihara kemaluan. (Fatâwâ Mu‘âsharah: 1/454) Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullâh, muka dan kedua tapak tangan perempuan tidak termasuk aurat kerana keperluan untuk menzahirkan muka ketika jual beli dan tangan ketika memberi dan mengambil. (Al-Majmû‘: 3/173)
Berkata al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh pula, hikmah dibataskan aurat perempuan sedemikian kerana muka sudah memadai untuk menunjukkan kecantikan dan kedua tangan sudah memadai untuk menunjukkan kesuburan badan, bagi sesiapa yang bertujuan untuk melihat perempuan yang bakal dijadikan isteri. (Mughni al- Muhtâj: 3/166)
3. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mencipta lelaki dan perempuan serta membezakan setiap mereka dengan anggota badan dan tugas yang berlainan di dalam kehidupan. Perbezaan ini tidak sia-sia tetapi ada hikmah. Maka kita tidak harus berpaling daripada hikmah dan fitrah yang Allah jadikan untuk manusia serta mengubahnya kepada sesuatu yang tidak selari dengan tabiat dan fitrahnya. Oleh itu, adalah tidak harus kaum perempuan menyerupai kaum lelaki dan demikian juga, tidak harus kaum lelaki menyerupai kaum perempuan, kerana perkara ini berlawanan dengan fitrah. Yang lebih utama ialah setiap lelaki dan perempuan itu tetap bertahan sebagaimana tabiat dan tugas yang dijadikan oleh Allah untuknya. Seandainya manusia memikirkan, menyedari dan beriltizâm (komited) dengan batas-batas syara‘, nescaya mereka akan merasa tenang dan tenteram. (Fatâwa Mu‘âsharah: 1/464-5)
Berkata Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh, adalah haram dan termasuk dalam kategori dosa besar perbuatan perempuan yang menyerupai lelaki dan begitu juga sebaliknya lelaki menyerupai perempuan dari segi pakaian, percakapan, pergerakan dan seumpamanya. (Az-Zawâjir ‘an Iqtirâf al-Kabâir: 203)
Hal ini dijelaskan dalam sebuah hadits daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah melaknat lelaki-lelaki yang menyerupai perempuan-perempuan, dan perempuan-perempuan yang menyerupai lelaki-lelaki. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Oleh kerana terdapat perbezaan pada batas aurat, maka pakaian lelaki dan perempuan juga berbeza hatta dari sudut tekstil atau bahan pakaian. Perempuan dibenarkan memakai emas dan sutera, manakala lelaki diharamkan memakainya bagi mengelakkan penyerupaan.
4. Antara hikmah perempuan disuruh untuk menutup seluruh badan juga merupakan perlindungan kepada mereka. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaian mereka bagi menutup seluruh tubuh mereka (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Ahzâb: 59)
Ayat di atas membuktikan kepada kita bahawa dengan melabuhkan pakaian bagi menutup seluruh anggota tubuh perempuan akan membuat mereka dikenali sebagai perempuan yang beriman, baik, dihormati, disegani dan berbeza daripada perempuan yang berhias dengan perhiasan jahiliah iaitu dengan menampakkan tubuh badan mereka sehingga mendekatkan mereka kepada gangguan. Ini semata-mata bertujuan untuk mengangkat martabat dan memelihara maruah dan kesucian kaum perempuan yang beriman. Ia tidak bertujuan untuk menyakiti mereka bahkan merupakan suatu penghormatan dan perlindungan bagi mereka.
5. Kitab al-Mufashshal fî Ahkâm al-Mar’ah wa al-Bait al-Muslim fî asy-Syarî‘ah al- Islâmmiyyah (penerangan mengenai hukum-hukum wanita dan rumah Muslim dalam syariat Islam) ada menimbulkan persoalan: Mengapa Islam mensyariatkan hukum-hukum berpakaian bagi lelaki dan perempuan, dan lebih berat lagi dalam perkara berkaitan pakaian perempuan? Mengapa Islam tidak membiarkan sahaja urusan berpakaian diserahkan kepada kehendak manusia? Dalam hal ini ada dua jawapan:
i. Sesungguhnya Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ Yang Maha Mengetahui segala perkara yang telah, sedang dan bakal berlaku, mengetahui fitrah manusia tidak akan kekal sejahtera bahkan boleh rosak dan terseleweng oleh perbuatan dan waswas syaitan serta godaannya yang menghiaskan perkara buruk itu indah sehingga manusia cenderung kepada perkara buruk itu, antaranya ialah dalam perkara berpakaian. Maka syaitan menghasut terutama sekali kaum perempuan agar tidak menutup anggota badan yang wajib ditutup dengan pakaian, sehingga dia membuka aurat dan boleh sampai menyerupai bertelanjang.
Perkara ini ada dikhabarkan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Sayyidina ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau pernah mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Akan ada di akhir masa umatku ini wanita-wanita yang berpakaian tetapi mereka (sebenarnya) bertelanjang (pakaian menampakkan segala kejelitaan badan dan tidak menutup aurat sebagaimana yang diperintahkan oleh syara‘), atas kepala mereka seperti bonggol unta, laknatlah mereka kerana mereka dilaknat. (Hadits riwayat ath-Thabarani)
Oleh itu, antara ni‘mat dan kelebihan yang dianugerahkan oleh Allah kepada manusia ialah pensyariatan hukum dalam berpakaian, khususnya berkaitan pakaian perempuan. Pensyariatan ini jelas menutup lorong-lorong syaitan bagi membisikkan waswas, pembohongan dan hasutan untuk membuka aurat. Pensyariatan ini merupakan perlindungan bagi lelaki dan perempuan Islam daripada godaan syaitan dan apa yang diingini oleh fitrah yang menyeleweng.
ii. Syariat Islam adalah bersifat menyeluruh dan meliputi. Ia menyeluruh untuk semua manusia, sama ada lelaki dan perempuan, pada setiap zaman. Ia meliputi segenap aspek kehidupan. Firman Allah:
Tafsirnya:...nasihat pengajaran dan penjelasan bagi tiap-tiap sesuatu (dasar syariat dan hukum-hukumnya). (Surah al-A‘râf: 145)
Oleh itu, hukum-hukum Islam tidak lari daripada setiap tingkah-laku manusia. Maka pensyariatan hukum berkaitan pakaian di dalam syariat Islam bukan sesuatu yang menyalahi.
(Al-Mufashshal fî Ahkâm al-Mar’ah wa al-Bait al-Muslim fî asy-Syarî‘ah al- Islâmmiyyah: 3/301-2)
Berdasarkan penerangan di atas, perbezaan batas aurat antara lelaki dan perempuan mempunyai hikmah yang tersendiri. Islam adalah agama adil yang menempatkan perempuan sesuai dengan keadaannya. Islam memelihara fitrah, ciri dan peranan perempuan selaku isteri kepada suaminya, ibu kepada anak-anaknya serta ahli kepada masyarakatnya.
Oleh itu, perempuan Islam diseru agar menjalani cara hidup serta penampilan diri yang selaras dengan kehendak Islam, dan tidak terikut-ikut dengan paradigma orang bukan Islam yang menyeru kepada penuntutan hak sama rata antara lelaki dan perempuan dengan mempamerkan tubuh badan dan mendedahkan diri kepada rangsangan-rangsangan maksiat, penghinaan dan keresahan jiwa.
Dengan itu, nampaklah perbezaan maruah dan kesucian antara perempuan Islam dan perempuan bukan Islam yang membuktikan perempuan-perempuan Islam adalah jauh lebih unggul berbanding perempuan-perempuan bukan Islam.
Hukum-hukum Allah menunjukkan keadilanNya. Seandainya aurat lelaki dan perempuan sama, sudah tentu akan terjadi kerosakan pada muka bumi dengan terjadinya maksiat, jenayah dan pelbagai perkara yang tidak diingini.
Oleh itu, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana tidak menghalalkan sesuatu untuk hamba-hambaNya melainkan adalah untuk kebaikan mereka. Demikian juga, Allah tidak mengharamkan sesuatu kecuali untuk menolak segala kebinasaan daripada menimpa hamba-hambaNya. (Hijâb al-Muslimah Baina Intihâl al-Mubthilîn wa Ta’wîl al-Jâhilîn: 1/115)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11685
