Menikahi Perempuan Yang Sedang Mengandung Anak Luar Nikah
Soalan: Dengan segala penuh hormatnya, kaola memohon fatwa bagi perkara berikut:
1. Apakah sah pernikahan bagi pasangan yang telah mengandung? Jika tidak sah, adakah mereka perlu dinikahkan semula?
2. Setelah menikah selama lebih dari 7 bulan barulah anak yang dikandung itu lahir, dan kebetulan anak yang dilahirkan itu perempuan. Adakah bapanya boleh menjadi wali semasa anak tersebut nikah? Jika bapanya tidak boleh menjadi wali, adakah anak perempuannya itu yang kini telahpun mempunyai 4 orang anak, perlu dinikahkan semula dengan menggunakan wali hakim?
Jawapan: Antara syarat-syarat sah bagi seorang perempuan yang hendak dinikahi ialah hendaklah dia tidak ada ikatan pernikahan (bukan isteri orang) dan tidak dalam tempoh ‘iddah daripada orang lain. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/441)
Jika perempuan tersebut masih lagi isteri orang atau masih dalam tempoh ‘iddah sama ada ‘iddah cerai atau kematian suami, maka lelaki lain haram bernikah dengan perempuan berkenaan.
Dalam perkara ‘iddah, seorang isteri yang dithalaq atau kematian suami hendaklah memastikan bahawa tempoh ‘iddahnya telah selesai sebelum bernikah dengan lelaki lain.
Misalnya, jika isteri yang dithalaq atau kematian suami itu hamil, maka tempoh ‘iddahnya adalah setelah dia melahirkan anak yang dikandungnya. Apabila dia telah selasai melahirkan, maka barulah halal perempuan tersebut bernikah dengan lelaki lain. Tetapi, jika perempuan itu masih lagi hamil, maka haram dia bernikah dengan lelaki lain kerana masih lagi dalam tempoh ‘iddah.
Hukum Nikah Perempuan Yang Hamil Akibat Zina
Menurut Syeikh al-Islam Zakaria al-Anshari Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab Asnâ al- Mathâlib Syarh Raudh ath-Thâlib:
Ertinya: Harus menikahi perempuan yang hamil daripada zina, dan begitu juga menjimâ‘nya seperti (harusnya menikahi) perempuan yang tidak hamil, kerana tidak ada kehormatan hukum bagi kelakuan zina (dalam Islam). (Kitab Asnâ al-Mathâlib Syarh Raudh ath-Thâlib: 3/393)
Hal ini ada diterangkan juga oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitabnya al-Fatâwâ al-Kubrâ al-Fiqhiyyah yang mengatakan bahawa hukum nikah perempuan hamil daripada zina itu adalah sah dan inilah juga yang disepakati oleh Imam Abu Hanifah Radhiallâhu ‘anhu kerana perempuan tersebut tidak ada sebarang ikatan pernikahan dan bukan juga dalam tempoh ‘iddah daripada orang lain. Sah berjimâ‘ dengan perempuan tersebut setelah bernikah dengannya walaupun sebelum dia melahirkan kandungannya kerana menurut Imam ar-Rafi‘e Rahimahullâhu Ta‘âlâ, tidak ada kehormatan hukum bagi kandungan zina dan jikalau ditegah berjimâ‘ maka tertegahlah juga bernikah. (Kitab al- Fatâwâ al-Kubrâ al-Fiqhiyyah: 4/19 )
Maka berdasarkan kepada pendapat-pendapat ulama di atas, hukum bernikah dengan seorang perempuan yang sedang mengandung anak di luar nikah adalah harus dan sah nikah selama mana segala rukun dan syarat-syarat nikah dipenuhi. Antara syarat sah nikah itu hendaklah bakal isteri tersebut tidak ada ikatan pernikahan dan tidak di dalam tempoh ‘iddah daripada bekas suaminya.
Kedudukan Nasab Anak Yang Dikandung Luar Nikah
Apabila pasangan yang hamil di luar nikah ini bernikah, maka kedudukan nasab anak yang dikandung itu adalah tertakluk kepada salah satu daripada dua keadaan di bawah ini.
1. Jika anak tersebut dilahirkan selepas enam bulan dari tarikh suami isteri itu bersatu dalam akad nikah yang sah, maka anak tersebut ditsabitkan nasabnya kepada lelaki yang berzina dengan ibunya (suami ibunya). Dengan demikian berjalanlah semua hukum-hakam nasab seperti pembahagian harta waris dan wali nikah.
2. Jika anak itu dilahirkan kurang daripada tempoh enam bulan dari tarikh suami isteri itu bersatu dalam akad nikah yang sah, maka anak itu hanya dinasabkan kepada ibunya sahaja bukan kepada lelaki yang berzina dengan ibunya (suami ibunya). Anak berkenaan hanya berhak dinasabkan kepada ibunya sahaja dan tidak bersambung nasabnya kepada suami ibunya. Maka jika hendak dibinkan atau dibintikan, bolehlah kepada ibunya atau kepada nama ‘Abdullah atau salah satu daripada Asmâ’ullâh al-Husnâ.
Perkiraan tempoh enam bulan itu adalah berdasarkan ijmâ‘ para ulama yang mengatakan bahawa tempoh minimum seseorang wanita itu hamil dan melahirkan anak ialah enam bulan qamariah. Penentuan enam bulan itu berdasarkan maksud dua ayat al-Qur’an yang menerangkan tentang masa hamil (tempoh mengandung) dan penyusuan.
Tafsirnya: Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. (Surah al-Ahqâf: 15)
Tafsirnya: Dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. (Surah Luqman: 14)
Berdasarkan kepada kedua-dua ayat di atas, jika ditolak tempoh masa penyusuan anak iaitu dua tahun atau 24 bulan daripada tempoh tiga puluh bulan (masa keseluruhan iaitu tempoh hamil dan menyusukan anak) bererti baki masanya ialah enam bulan iaitu tempoh minimum bagi hamil.
Bagi penetapan nasab, hendaklah anak tersebut lahir tidak kurang daripada enam bulan qamariah (180 hari) dan dua lahzhah (satu lahzhah untuk jimâ‘ dan satu lahzhah lagi untuk melahirkan). Pengiraan enam bulan qamariah dan dua lahzhah hendaklah bermula dari waktu suami isteri itu boleh bersatu (jimâ‘) setelah menjalani akad nikah yang sah sehinggalah anak tersebut dilahirkan. (Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibnu Qasim ‘ala Tuhfah al-Muhtâj bi Syarh al-Minhâj: 8/184-185 dan Mughni al-Muhtâj: 3/429-430)
Jika dirujuk kepada persoalan yang diajukan, bahawa anak lahir setelah pasangan tersebut bernikah selama lebih daripada 7 bulan, maka dalam hal ini, tsabitlah nasab anak berkenaan kepada kedua-dua mereka dan berjalanlah segala hukum-hakam nasab seperti pembahagian harta waris dan menjadi wali dalam akad nikah jika dia anak perempuan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11689
