Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الحج والعمرة

Menunaikan Fardhu Haji Atau Terpaksa Mengulang Peperiksaan Tahun Hadapan

Soalan: Seorang penuntut di sebuah sekolah ingin mengerjakan fardhu haji pada tahun ini. Pada masa ini penuntut berkenaan telah pun berada di tahun kedua pengajian, iaitu tahun terakhir. Jika penuntut tersebut menunaikan fardhu haji pada tahun ini, maka dia dikehendaki untuk mengulang semula kursusnya selama setahun kerana dalam tempoh ibadat haji tersebut semua penuntut akan menghadapi peperiksaan penting.

Perkara seumpama ini pernah terjadi di Universiti Brunei Darussalam dan penuntut yang berkenaan tidak dibenarkan untuk bercuti bagi menunaikan ibadat haji tersebut.

Apakah pandangan pehin mengenai perkara ini?

Jawapan: Menunaikan ibadat haji merupakan salah satu rukun Islam. Ia tidak diwajibkan melainkan sekali seumur hidup ke atas orang-orang yang telah memenuhi syarat-syarat wajib haji. Menunaikan kewajipan haji itu pula adalah secara tarâkhi (boleh ditangguhkan) dengan beberapa syarat yang akan diterangkan kemudian. (Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj: 4/8 dan Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/437 & 444)

Dalil Wajib Haji

Dalil wajib menunaikan fardhu haji ialah firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan Allah mewajibkan ke atas manusia mengerjakan ibadat haji ke Baitullah iaitu bagi sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya. (Surah Âli ‘Imran: 97)

Manakala dalil kewajipan menunaikan haji hanya sekali dalam seumur hidup telah disebutkan dalam hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Wahai manusia! Sesungguhnya Allah telah memfardhukan haji ke atas kamu, oleh sebab itu kerjakanlah haji itu. Seorang lelaki bertanya: “Adakah setiap tahun wahai Rasulullah?” Baginda pun diam (tidak menjawab), sehingga lelaki itu mengulang pertanyaannya sebanyak tiga kali. Maka barulah Baginda menjawab: “Jikalau aku jawab “ya” nescaya wajiblah ia (setiap tahun) dan kamu tidak akan berupaya melakukannya.” Seterusnya Baginda bersabda lagi: “Biarkanlah aku (jangan kamu tanya) tentang apa yang aku tinggalkan (yang tidak aku sebutkan) kepada kamu. Sesungguhnya telah binasa orang-orang yang sebelum kamu adalah dengan sebab banyaknya pertanyaan dan perselisihan mereka terhadap nabi-nabi mereka. Maka apabila aku menyuruh kamu dengan sesuatu perintah, kamu laksanakanlah sesuai dengan keupayaan kamu dan apabila aku melarang kamu daripada (melakukan) sesuatu, kamu tinggalkanlah ia.” (Hadits riwayat Muslim)

Syarat-Syarat Wajib Haji

Syarat-syarat wajib haji itu ialah:

1. Islam. 2. Mukallaf iaitu bâligh dan berakal. 3. Merdeka. 4. Istithâ‘ah (إستطاعة) iaitu mampu dan berkuasa menunaikan haji.

Mampu dan berkuasa menunaikan haji itu terbahagi kepada dua iaitu:

1. Mampu dan berkuasa menunaikan haji dengan diri sendiri. Dikatakan juga dia adalah mampu dan berkuasa dari segi tubuh badan dan harta.

2. Mampu menunaikan haji melalui perantaraan orang lain iaitu bagi orang yang telah meninggal dunia dan orang yang lemah kerana sakit. Dikatakan juga dia adalah mampu dari segi harta sahaja.

Disyaratkan pula bagi orang yang mampu dan berkuasa menunaikan haji dengan diri sendiri itu seperti berikut:

1. Mempunyai kenderaan seperti kapal terbang, kapal laut, bas dan seumpamanya sama ada dibeli atau disewa dengan harga berpatutan menurut keadaan dan tempat. Disyaratkan ada kenderaan bagi orang yang hendak menunaikan haji itu, adalah bagi orang yang jarak tempat tinggalnya dengan Makkah itu dua marhalah (89.04 kilometer) atau lebih.

2. Mempunyai bekalan yang mencukupi semasa pergi dan balik haji. Di samping bekalan yang cukup untuk dirinya mengerjakan haji, bekalan itu juga mencukupi untuk orang yang ditinggalkannya semasa pergi dan balik haji iaitu orang yang wajib diberi nafkah. Bekalan untuk orang yang ditinggalkannya itu termasuk nafkah, pakaian, khidmat pembantu, tempat tinggal, bayaran perubatan dan upah doktor.

Begitu juga, hendaklah ada lebihan harta untuk membayar hutangnya, sama ada hutang yang perlu dibayar dengan segera ataupun bertangguh.

3. Hendaklah aman dan selamat dalam perjalanan daripada bahaya ke atas dirinya, hartanya dan barang-barang keperluannya di dalam pelayaran serta orang-orang yang bersama-samanya.

Oleh itu, jika keadaan tidak aman untuk belayar bersendirian, maka hendaklah ada teman. Bagi orang perempuan hendaklah ditemani oleh suami atau mahramnya atau perempuan-perempuan lain yang dipercayai.

4. Mempunyai air dan bekalan di tempat-tempat perhentian dengan harga yang berpatutan menurut keadaan tempat dan masa.

5. Berkuasa menghadapi sebarang kesukaran dalam perjalanan seperti sihat tubuh badan dan tidak menghadapi kepayahan yang keterlaluan. Oleh itu, orang buta hendaklah membawa pembantunya yang menunjukkan jalan ketika dalam perjalanan.

6. Hendaklah syarat-syarat yang telah disebutkan di atas seperti bekalan dan selainnya itu, ada ketika rombongan haji mula belayar untuk menunaikan haji.

7. Hendaklah ada waktu yang mencukupi untuk sampai ke Makkah bagi mengerjakan haji mengikut kadar perjalanan biasa setelah mencukupi kesemua syarat mampu dan berkuasa menunaikan haji yang telah disebutkan. (Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj: 4/16-35 dan Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/437-442)

Kewajipan Haji Dilakukan Dengan Bersegera Atau Bertangguh

Menurut mazhab Maliki dan Hanbali, apabila syarat-syarat wajib haji sudah sempurna pada diri seseorang, maka dia wajib terus pergi melaksanakan haji tanpa melengah-lengahkannya atau tanpa bertangguh-tangguh. Manakala mazhab Hanafi pula ada dua pendapat mengenainya iaitu dilaksanakan dengan bersegera atau bertangguh.

Namun menurut mazhab kita asy-Syafi‘e, kewajipan haji boleh dilakukan secara tarâkhi (ditangguhkan) dan tidak segera. Jika ditangguhkan dari tahun yang dia mampu menunaikannya ke tahun yang lain, maka dia tidak derhaka (berdosa) dengan sebab penangguhan itu, akan tetapi tertakluk kepada dua syarat:

1. Hendaklah berazam akan menunaikan fardhu haji itu di masa akan datang. Azam itu pula wajib dipasang setelah masuk musim haji pada tahun-tahun dia mula mampu menunaikan haji. Sekiranya tidak ada azam ini, maka haram dia membuat penangguhan itu.

2. Keluasan masa untuk menunaikan fardhu haji itu tidak disempitkan oleh salah satu daripada sebab-sebab berikut:

i. Nazar haji; umpamanya dia bernazar untuk menunaikan haji pada tahun sekian, maka wajib ke atasnya menunaikan haji pada tahun tersebut tanpa bertangguh.

ii. Qadha’ haji; umpamanya hajinya pada tahun yang lalu telah rosak, maka dia wajib mengqadha hajinya dengan segera.

iii. Takut lemah badan; umpamanya tidak dapat bergerak dengan sempurna atau takut mati, dengan ada tanda-tanda sedemikian itu sekalipun tanda-tanda itu lemah; umpamanya ada pengesahan doktor atau dia mengetahuinya sendiri kerana sering mengalami sakit, maka haram dia menangguhkan fardhu haji jika takut akan lemah badan di kemudian hari.

iv. Takut binasa harta dengan ada tanda-tanda sedemikian itu sekalipun tanda-tanda itu lemah; umpamanya takut wang perbelanjaan untuk menunaikan fardhu haji yang sudah sedia itu akan habis atau hilang sekiranya ditangguhkan, maka menangguhkan dalam keadaan yang demikian adalah berdosa.

(Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj: 4/8, Nihâyah al-Muhtâj: 3/252 dan Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/444-5)

Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Apabila sudah diperolehi syarat-syarat wajib haji, maka wajiblah dia secara tarâkhi (boleh ditangguhkan). Maka dia boleh menangguhkannya selama dia tidak takut lemah badan (sebelum sempat melaksanakannya), tetapi sekiranya dia takut (akan lemah badan atau mati sebelum sempat melaksanakannya atau peruntukan perbelanjaan untuk haji akan habis atau ada nazar haji atau qadha’ haji), maka haramlah ke atasnya menangguhkannya mengikut pendapat yang ashah. Inilah mazhab kita. (Hâsyiah Ibnu Hajar ‘ala al-Îdhâh: 56-58)

Oleh itu, tidak harus bertangguh dalam menunaikan kewajipan haji itu melainkan setelah ada kedua-kedua syarat yang telah disebutkan sebelum ini.

Jika seseorang itu mampu menunaikan haji, tetapi dia menangguhkan untuk menunaikannya tanpa syarat-syarat tersebut; umpamanya ada sangkaan bahawa dia tidak akan mampu menunaikannya di kemudian hari tetapi ditangguhkannya juga, sehingga tubuh badannya menjadi lemah atau dia meninggal dunia, maka telah nyata dia menjadi fâsiq (berdosa besar) sejak tahun terakhir dia mampu untuk menunaikan fardhu haji itu; iaitu pada masa rombongan haji di negerinya mula berangkat untuk menunaikan haji. Dalam tempoh tersebut, apa sahaja urusan yang mensyaratkan dia untuk bersifat ‘adâlah (عدالة) (lawan bagi sifat fâsiq); seperti menjadi wali nikah, saksi nikah dan seumpamanya, adalah tertolak dan terbatal. Oleh yang demikian, adalah wajib ke atas ahli warisnya dengan segera menunaikan fardhu haji bagi pihak si mati. Demikian juga halnya bagi orang yang lemah badan, adalah wajib dia mencari orang lain dengan segera untuk menunaikan fardhu haji bagi pihaknya. (Hawâsyi Tuhfah al- Muhtâj: 4/8, Nihâyah al-Muhtâj: 3/252 dan Mughni al-Muhtâj: 1/631)

Oleh itu, syarat boleh menangguhkan haji bagi orang yang sudah cukup syarat-syarat wajib haji itu, adalah berkisar pada beberapa faktor berpandukan tanda-tanda yang zahir, seperti badannya masih sihat, umur belum lanjut dan tidak sering sakit-sakit serta kuat sangkaan apabila ditangguhkannya dia masih akan hidup pada tahun berikutnya, atau perbelanjaan yang sudah cukup itu akan masih tetap ada mencukupi, tidak habis atau hilang. Demikian juga tiada nazar atau qadha’ haji untuk dilaksanakan dengan segera. Di samping itu, disyaratkan mesti ada azam untuk menunaikan fardhu haji itu di kemudian hari.

Mengenai kedudukan azam ini, Imam al-Ghazali Rahimahullâh menjelaskan:

Ertinya: Melaksanakan perintah tidak boleh dilambat-lambatkan melainkan dengan syarat ada azam (akan melakukannya dalam waktunya). Dan tidak boleh pula berazam untuk menangguhkan kewajipan itu melainkan ke satu masa yang dia bersangka kuat bahawa dia masih akan hidup seperti dia melambatkan sembahyang dari satu saat ke saat lain, menangguhkan puasa (ganti) dari satu hari ke hari lain dengan azam akan melakukannya pada bila-bila masa saja, dan begitu juga menangguhkan haji dari satu tahun ke tahun lain. (Al-Mustashfâ: 1/85)

Merujuk kembali kepada persoalan yang dikemukakan, maka berdasarkan pendapat ulama yang telah diterangkan, penuntut sekolah tersebut boleh menangguhkan pemergiannya untuk menunaikan fardhu haji kerana menghadapi peperiksaan penting di tahun akhir pengajiannya. Namun jika penuntut berkenaan berhasrat juga untuk menunaikan fardhu haji, maka risikonya sebagaimana menurut pendaftar, penuntut berkenaan dikehendaki untuk mengulang semula kursusnya selama setahun. Ini peraturan. Peraturan yang baik wajar dihormati.

Walau bagaimanapun dalam keadaan tertentu, sekiranya penuntut tersebut takut akan lemah badan, takut mati atau takut habis atau tiada wang peruntukan untuk menunaikan fardhu haji itu di masa akan datang, maka pendaftar wajar membenarkan penuntut tersebut menunaikan fardhu haji atas dasar pertimbangan khas, kerana fardhu haji itu wajib dengan segera jika timbul tanda-tanda sebagaimana yang telah diterangkan di atas.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11693