Menyapu Khuff Di Luar Musim Sejuk
Soalan: Saya belajar di Australia. Bolehkah memakai khuff ketika musim panas disebabkan sukar mengambil wudhu di tandas universiti kerana tandas kering (tidak boleh basahkan lantai)? Bolehkah memakai khuff dan berwudhu dengan menyapu khuff di rumah ketika bukan musim sejuk?
Jawapan: Wudhu adalah salah satu syarat sah mendirikan sembahyang tidak kira sama ada seseorang itu dalam keadaan bermuqîm atau musafir. Namun ada kalanya mengambil wudhu itu sukar untuk dilakukan kerana adanya sebab-sebab tertentu yang menghalang atau menyukarkan untuk melaksanakannya. Sebagai contoh, ketiadaan atau kekurangan air, ketiadaan tempat yang sesuai atau keadaan tempat yang menyukarkan untuk mengambil wudhu, atau keadaan cuaca yang tidak mengizinkan untuk menyentuh air dan sebagainya.
Ini termasuklah situasi yang dihadapi oleh penyoal, yang mana kebiasaan atau peraturan di tempat penyoal berada sekarang tidak membenarkan pengguna bilik air atau tandas untuk membasahi lantai. Hal ini sudah tentu menyukarkan untuk mengambil wudhu terutama sekali dalam membasuh kaki ketika berwudhu.
Dalam perkara membasuh kaki ketika berwudhu ini pula, Islam telah mensyariatkan rukhshah atau kelonggaran yang boleh dilakukan sebagai ganti membasuh kaki ketika berwudhu iaitu dengan menyapu khuff, tetapi dengan beberapa syarat atau ketetapan tertentu.
Maksud Menyapu Khuff
Yang dimaksudkan dengan khuff dalam pengertian syara‘ ialah pakaian yang diperbuat daripada kulit atau seumpamanya yang menutupi bahagian kaki hingga ke buku lali.
Buku lali ialah dua tulang yang menonjol pada pertemuan kaki dan betis.
Yang dimaksudkan dengan menyapu atau mengusapkan air pada khuff ialah menyapu atau mengusapkan air pada sebahagian daripada khuff sebagai ganti membasuh kedua-dua belah kaki ketika berwudhu.
Hukum Menyapu Khuff
Menyapu air pada khuff ketika berwudhu hukumnya adalah harus dan ia disyariatkan bagi lelaki dan perempuan sama ada ketika di dalam pelayaran atau bukan di dalam pelayaran sebagai suatu keringanan (rukhshah). Tujuannya antara lain ialah bagi memudahkan umat Islam untuk mengambil wudhu umpamanya di dalam pelayaran, atau mengambil wudhu pada musim sejuk dan bagi mereka yang sentiasa dalam keadaan bertugas seperti tentera, polis dan sebagainya. (Mughni al-Muhtâj: 1/109 dan al-Fiqh al-Islâmi wa Adillatuh: 1/472)
Sungguhpun perbuatan menyapu air pada khuff ini dibolehkan, akan tetapi membasuh kaki dengan air ketika berwudhu adalah lebih afdhal. Ini kerana membasuh kaki ketika berwudhu merupakan perbuatan asal dan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam sendiri pada kebanyakan waktu Baginda berwudhu lebih kerap (selalu) membasuh kaki berbanding menyapu air pada khuff Baginda.
Dalil Pengharusan Menyapu Khuff
Perbuatan menyapu air pada khuff ini tsabit melalui hadits Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Baginda pernah melakukannya beberapa kali sehinggakan Ibnu al-Mundzir meriwayatkan daripada Hasan al-Bashri, beliau berkata: “Tujuh puluh orang daripada kalangan sahabat telah menceritakan kepadaku bahawa sesungguhnya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah menyapu air pada kedua-dua khuff Baginda”. (Mughni al-Muhtâj: 1/109)
‘Urwah bin al-Mughirah daripada bapanya Radhiallâhu ‘anhumâ meriwayatkan:
Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam keluar untuk menunaikan hajat Baginda, lalu diikuti oleh al-Mughirah dengan membawa kantung kulit yang berisi air. Apabila Baginda selesai menunaikan hajat, al-Mughirah menuangkan air kepada Baginda, lalu Baginda mengambil wudhu dan menyapu kedua-dua khuff Baginda. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hammam Radhiallâhu ‘anhu pula berkata:
Maksudnya: (Pernah terjadi) Jarir telah menunaikan hajat kecil, kemudian dia berwudhu dan menyapu kedua-dua khuffnya, lalu ditanyakan kepadanya: “Engkau melakukan ini?” Maka Jarir menjawab: “Ya! Aku telah melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam (selesai) menunaikan hajat kecil, kemudian Baginda berwudhu dan menyapu kedua-dua khuff Baginda. (Hadits riwayat Muslim)
Syarat-Syarat Menyapu Khuff
Diharuskan seseorang itu menyapu khuffnya dengan air sebagai ganti membasuh kaki ketika mengambil wudhu dengan lima syarat seperti berikut:
1. Kedua-dua khuff hendaklah dipakai setelah sempurna suci daripada hadas kecil dan hadas besar.
Ini adalah berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh al-Mughirah bin Syu’bah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Aku pernah bersama Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam dalam satu pelayaran. Aku membongkok untuk menanggalkan kedua-dua khuff Baginda maka Baginda bersabda: “Biarkanlah kerana saya telah memakainya ketika dalam keadaan suci”. Lalu Baginda menyapu air pada kedua-dua khuff Baginda itu. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan syarat ini, apabila orang yang mengambil wudhu memakai khuff pada kakinya sebelah kanan sebelum dia membasuh kakinya sebelah kiri, kemudian setelah selesai membasuh kaki sebelah kirinya pula dia memakaikan khuff pada kakinya itu, maka tidak diharuskan baginya berwudhu dengan hanya menyapu air pada khuff tersebut apabila dia hendak berwudhu lagi selepas itu. Ini kerana dia memakai khuff sebelum lagi sempurna suci daripada hadas iaitu dia telah memakai khuff sebelah kanan sebelum kedua-dua kakinya itu sempurna dibasuh ketika berwudhu.
2. Khuff hendaklah menutupi seluruh anggota kaki yang wajib dibasuh ketika berwudhu dari semua sudut.
Jika khuff itu tidak menutupi seluruh tempat yang wajib dibasuh ketika berwudhu atau terdapat lubang pada khuff di sekitar tempat yang wajib dibasuh tidak sah berwudhu dengan hanya menyapu air pada khuff seperti itu.
Yang dimaksudkan dengan menutupi itu ialah menghalang air daripada terkena bahagian kaki yang wajib dibasuh dari semua sudut kecuali dari atas. Bukannya bererti menutupi daripada penglihatan seperti yang disyaratkan dalam perkara menutup aurat. (Tuhfah al- Muhtâj: 1/294, Nihâyah al-Muhtâj: 1/203 dan al-Majmû‘: 1/561)
3. Khuff hendaklah dapat menahan air daripada menembusi ke bahagian kaki kecuali melalui tempat jahitan.
Tidak memadai menyapu khuff yang ditenun daripada bahan yang tidak menghalang air daripada sampai ke anggota yang wajib dibasuh. Tetapi jika khuff itu ditenun daripada bahan yang boleh menghalang air, maka ia adalah memadai. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/205 dan Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibn Qasim al-‘Abbadi: 1/297-298)
4. Khuff hendaklah kuat dan tahan untuk dipakai berjalan.
Sukat-sukat (anggaran) ketahanan khuff itu boleh dipakai berjalan dengannya untuk melaksanakan keperluan atau hajat yang biasa dalam tempoh sehari semalam bagi orang bermuqîm dan tiga hari tiga malam bagi musafir, tidak kira sama ada khuff itu diperbuat daripada kulit atau selainnya.
5) Khuff hendaklah suci daripada najis.
Khuff hendaklah diperbuat daripada bahan yang suci, bukan daripada bahan yang najis seperti kulit bangkai yang belum disamak, kulit anjing atau babi. Khuff juga hendaklah dibersihkan terlebih dahulu daripada najis sebelum memakainya jika terkena najis.
Maka tidak sah menyapu khuff yang diperbuat daripada bahan najis seperti kulit anjing, babi dan kulit bangkai binatang yang belum disamak. Ini kerana menyapu khuff adalah ganti bagi membasuh kaki ketika berwudhu dan tidak terangkat hadas jika najis masih kekal padanya, apatah lagi jika khuff itu sendiri diperbuat daripada bahan najis. (Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibn Qasim al-‘Abbadi: 1/295, al-Majmû‘: 1/576, Raudhah ath-Thâlibîn: 1/239 dan Mughni al-Muhtâj: 1/111-112)
Tempoh Yang Dibenarkan Untuk Menyapu Khuff
Setelah cukup segala syarat-syarat menyapu khuff ini, maka apabila seseorang itu hendak mengambil wudhu semula tidaklah perlu dia membuka khuff yang telah dipakai ketika dalam keadaan suci daripada hadas besar dan kecil, dan tidaklah perlu juga dibasuh kedua-dua kaki ketika mengambil wudhu. Tetapi cukup dengan menyapu atau mengusapkan air pada khuff yang dipakai iaitu sebagai ganti membasuh kaki.
Manakala tempoh yang dibenarkan untuk menyapu atau mengusapkan air pada khuff sebagai ganti membasuh kaki ialah:
i. Sehari semalam bagi orang bermuqîm (bukan dalam pelayaran).
ii. Tiga hari tiga malam bagi orang yang dalam pelayaran (musafir). (Hawâsyi asy- Syarwani wa Ibn Qasim al-‘Abbadi: 1/289-290, Nihâyah al-Muhtâj: 1/200-201 dan Mughni al-Muhtâj: 1/109-110)
Ini adalah berdasarkan kepada sebuah riwayat bahawa Sayyidina ‘Ali Karramallâhu wajhah berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menentukan (tempoh menyapukan air pada khuff ketika berwudhu) tiga hari tiga malam bagi orang musafir dan sehari semalam bagi orang yang bermuqîm. (Hadits riwayat Muslim)
Oleh itu selama mana tempoh yang dibenarkan belum tamat, maka orang yang memakai khuff itu masih dibenarkan mengambil wudhu dengan tidak payah membasuh kakinya tetapi cukup dengan hanya menyapu pada khuff yang dipakainya.
Jika orang yang memakai khuff itu merasa ragu atau syak adakah tempoh yang dibenarkan kepadanya masih ada atau sudah tamat, maka dalam hal ini tidak boleh baginya menyapu khuff ketika mengambil wudhu sebagai ganti membasuh kaki, akan tetapi hendaklah dia membasuh kakinya sebagaimana biasa dia mengambil wudhunya. Jika syaknya itu hilang dan dia kembali yakin tempoh yang dibenarkan kepadanya masih ada, pada ketika itu diharuskan baginya menyapu khuffnya. (Mughni al-Muhtâj: 1/114)
Permulaan Kiraan Tempoh Menyapu Khuff
Kiraan tempoh menyapu khuff bermula dari berakhir hadasnya selepas memakai khuff, bukannya dari mula berhadas atau dari mula menyapu khuff. (Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibn Qasim al-‘Abbadi: 1/290, Fath al-‘Allâm: 1/324 dan Mughni al-Muhtâj: 1/110)
Sebagai contoh, pada pukul 12.00 tengah hari seorang itu mengambil wudhu, kemudian dia memakai khuffnya. Selepas itu dia mendirikan sembahyang Zhuhur. Kira-kira pada pukul 2.00 petang wudhunya terbatal. Kemudian oleh kerana dia hendak mendirikan sembahyang ‘Ashar, dia mengambil wudhu lagi. Pada pukul 3.00 petang dia selesai mengambil wudhu dan menyapu khuffnya dengan air sebagai ganti membasuh kaki.
Dalam contoh di atas, tempoh menyapu khuff bermula dari jam 3.00 petang bukannya dari jam 12.00 tengah hari atau 2.00 petang.
Dengan demikian, jika seseorang itu bukan dalam pelayaran, dia boleh menyapu khuffnya ketika mengambil wudhu sehingga jam 2.59 petang keesokan harinya. Jika dia dalam pelayaran pula, dia boleh menyapu khuffnya ketika mengambil wudhu sehingga jam 2.59 petang hari keempat.
Apabila seseorang itu menyapu khuffnya sewaktu bermuqîm (bukan dalam pelayaran) kemudian dia pergi belayar ataupun sebaliknya iaitu dia menyapu khuffnya ketika dalam pelayaran kemudian dia bermuqîm, maka kiraan tempohnya adalah seperti tempoh orang yang bermuqîm. Oleh itu, dia hanya dibolehkan menyapu khuffnya selama sehari semalam sahaja. (Mughni al-Muhtâj: 1/10)
Cara Menyapu Air Pada Khuff
Apabila seseorang itu hendak menyapu khuffnya dengan air ketika berwudhu, maka memadai dengan apa yang dinamakan sebagai sapuan sepertimana menyapu kepala ketika berwudhu. Apa yang wajib disapu ialah sedikit daripada bahagian atas sebelah luar khuff. Ini adalah bercontoh daripada perbuatan Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Mughirah bin Syu‘bah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Aku telah melihat Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam menyapu di atas kedua khuff Baginda di sebelah luarnya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Namun begitu, disunatkan juga menyapu pada bahagian atas dan bawah khuff dengan cara berikut:
• Masukkan (rendam) kedua-dua belah tangan ke dalam air.
• Kemudian letakkan tapak tangan kanan dalam keadaan anak-anak jari dijarangkan pada bahagian atas khuff yang dimulai dari hujung jari-jari kaki sebelah kanan, dan letakkan tapak tangan kiri pada bahagian bawah tumit.
• Setelah itu dilalukan tangan kanan hingga ke betis dan tangan kiri dilalukan hingga ke hujung jari.
• Begitulah juga sebaliknya cara yang dilakukan apabila menyapu khuff sebelah kaki kiri. (Mughni al-Muhtâj: 1/114)
Cara ini adalah seperti yang diriwayatkan oleh al-Mughirah bin Syu‘bah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Aku telah menyediakan air untuk Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam berwudhu pada peperangan Tabuk, maka Baginda menyapukan air pada bahagian atas dan bawah kedua-dua khuff Baginda. (Hadits riwayat Abu Daud)
Tidak disunatkan menyapu khuff dengan berulang-ulang, bahkan menyapu secara berulang-ulang hukumnya makruh. Oleh itu memadai dengan sekali sapu sahaja.
Tidak memadai dengan hanya menyapu bahagian bawah khuff sahaja, kerana tidak ada sandaran dalil yang mengatakan begitu. (Mughni al-Muhtâj: 1/114)
Perkara-Perkara Yang Membatalkan Sapuan Khuff
Sapuan khuff yang telah dilakukan terbatal dengan salah satu daripada perkara-perkara berikut:
1. Apabila khuff yang dipakai ditanggalkan atau tertanggal dari kaki.
Dalam hal ini, jika dia masih dalam keadaan berwudhu, maka dia hendaklah membasuh kedua-dua kakinya sahaja sambil berniat mengangkat hadas tanpa perlu mengulangi keseluruhan wudhu. Selepas itu barulah dia memakai khuffnya semula.
Manakala jika wudhunya sudah terbatal dan dia hendak berwudhu semula, maka dia hendaklah berwudhu secara sempurna (seperti biasa). Selepas itu barulah dia memakai khuffnya semula.
2. Apabila tempoh yang ditetapkan telah tamat.
Dalam hal ini, jika dia masih dalam keadaan berwudhu, maka dia hanya perlu menanggalkan kedua-dua khuff dan membasuh kedua-dua kakinya sahaja sambil berniat mengangkat hadas. Selepas itu barulah dia memakai khuffnya semula.
Manakala jika wudhunya sudah terbatal dan dia hendak berwudhu semula, maka dia hendaklah berwudhu secara sempurna (seperti biasa). Selepas itu barulah dia memakai khuffnya semula.
3. Apabila berlaku perkara yang mewajibkan mandi seperti junub, haidh dan nifas.
Dalam hal ini, dia hendaklah menanggalkan khuffnya dan melakukan mandi wajib. Selepas itu barulah dia memakai khuffnya semula setelah dia sempurna suci daripada hadas kecil dan hadas besar.
Ini adalah berdasarkan kepada apa yang diriwayatkan oleh Shafwan bin ‘Assal al- Muradi Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah menyuruh kami ketika dalam pelayaran untuk menyapu khuff-khuff kami dan kami tidak menanggalkannya selama tiga hari kerana berak, kencing dan tidur kecuali kerana berjunub. (Hadits riwayat an-Nasa’i)
4. Apabila khuff yang dipakai koyak sehingga menampakkan bahagian kaki yang wajib dibasuh.
Dalam hal ini, jika dia masih dalam keadaan berwudhu, maka dia hanya perlu menanggalkan khuffnya dan membasuh kedua-dua kakinya sahaja sambil berniat mengangkat hadas tanpa perlu mengulangi keseluruhan wudhu. Selepas itu barulah dia memakai khuff lain yang sah disapu ke atasnya.
Manakala jika wudhunya sudah terbatal dan dia hendak berwudhu semula, maka dia hendaklah berwudhu secara sempurna (seperti biasa). Selepas itu barulah dia memakai khuff lain yang sah untuk disapu ke atasnya.
5. Apabila berlaku perkara yang membatalkan wudhu.
Perkara yang membatalkan wudhu membatalkan juga sapuan pada khuff. Ini kerana menyapu khuff itu adalah sebahagian daripada wudhu sebagai ganti membasuh kaki.
Dalam hal ini, jika tempoh yang dibenarkan menyapu khuff masih ada, maka dia hendaklah mengambil wudhu tanpa menanggalkan khuffnya dan menyapu kedua-dua khuffnya semula.
Manakala jika tempoh yang dibenarkan untuk menyapu khuff telah tamat, maka dia hendaklah menanggalkan kedua-dua khuffnya dan mengambil wudhu seperti biasa. Selepas itu barulah dia memakai khuffnya semula.
(Fath al-‘Allâm: 1/327-328, Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibn Qasim al-‘Abbadi: 1/271- 272, Mughni al-Muhtâj: 1/68, al-Fiqh al-Islâmi wa Adillatuh: 1/493 dan al-Mausû‘ah al- Fiqhiyyah, Kuwait: 37/269)
Langkah-Langkah Yang Perlu Dilakukan Dalam Menyapu Khuff
Perkara-perkara yang perlu dilakukan apabila seseorang itu hendak menyapu khuff sebagai ganti membasuh kaki:
1. Ketika masih berada di rumah atau yang seumpamanya, sebelum memakai khuff hendaklah mengambil wudhu seperti biasa, iaitu dengan dimulai membasuh muka disertai niat, membasuh kedua-dua belah tangan, menyapu kepala dan akhir sekali membasuh kedua-dua belah kaki.
2. Setelah sempurna mengambil wudhu, barulah dipakai kedua-dua khuff. Khuff hendaklah dipastikan suci daripada najis sebelum memakainya.
3. Ketika berada di tempat pengajian atau di tempat-tempat lain, apabila hendak mengambil wudhu semula setelah wudhu yang awal tadi terbatal, tidak perlu lagi menanggalkan kedua-dua khuffnya untuk membasuh kedua-dua belah kakinya. Dia boleh mengambil wudhu dengan memakai khuffnya, dimulai dengan membasuh muka disertai niat, kemudian membasuh kedua-dua tangan, menyapu kepala dan memadailah baginya menyapu kedua-dua khuffnya (disapu bahagian atasnya) dengan sekali sapuan sahaja sebagai ganti membasuh kedua-dua belah kaki.
4. Dengan demikian, sempurnalah wudhunya, dan dia boleh melakukan ibadat tanpa perlu menanggalkan khuffnya. Khusus bagi ibadat sembahyang, khuff hendaklah dipastikan suci daripada najis sebelum sembahyang kerana tidak sah sembahyang orang yang menanggung najis.
Maka berdasarkan syarat-syarat yang telah diterangkan, adalah jelas bahawa harus hukumnya menyapu khuff di rumah ketika bukan musim sejuk atau ketika musim panas walau apa pun sebabnya, kerana perkara-perkara tersebut tidak menjadi salah satu syarat dalam menyapu khuff. Oleh itu para ulama asy-Syafi‘e menyatakan:
Ertinya: Harus menyapu khuff bagi orang yang tidak berhajat kepada berjalan seperti orang yang sakit tenat, perempuan yang sentiasa berada di rumahnya, orang yang sentiasa berada di kenderaan dan selainnya. (Kitab al-Majmû‘: 1/560)
Apa yang penting, syarat-syarat menyapu khuff, tempoh menyapu khuff, cara menyapu khuff, kebersihan (suci) khuff dan perkara-perkara yang membatalkan sapuan khuff perlu dijaga dan difahami dengan betul supaya wudhu yang diambil itu sah dan tidak menjejaskan ibadat yang dikerjakan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11697
