Pembahagian Waris Bagi Yang Berlainan Agama
Soalan: Dipohonkan nasihat dan pandangan Pehin Mufti mengenai pembahagian hak pusaka bagi ahli keluarga yang berbeza agamanya.
Dalam kes pertama, seorang ayah yang bukan beragama Islam telah meninggal dunia dan meninggalkan pusaka berbentuk tanah. Harta ini telah pun dibahagikan kepada anak-anaknya mengikut hukum adat mereka. Di antara anak-anaknya yang diberikan hak ada yang telah pun menganut agama Islam.
Kes kedua pula melibatkan seorang ayah beragama Islam yang meninggal dunia dan meninggalkan pusakanya berupa sekeping tanah dan anak yang bukan beragama Islam. Adakah anak si mati yang tidak beragama Islam itu boleh membuat tuntutan ke atas harta peninggalannya?
Jawapan: Para ulama telah sepakat bahawa salah satu perkara yang menjadi sebab terhalangnya dua orang itu daripada saling mewarisi harta pusaka ialah apabila kedua-duanya berlainan agama.
Oleh itu, orang Islam tidak dapat mewarisi harta peninggalan si mati yang bukan beragama Islam, begitu juga sebaliknya. Hal ini ada disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Usamah bin Zaid Radhiallâhu ‘anhu mengatakan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Orang Islam tidak mewarisi orang kafir dan orang kafir tidak mewarisi orang Islam. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Tidak saling mewarisi orang Islam dan orang kafir dengan (sebab) nasab (keturunan) dan selainnya. (Tuhfah al-Muhtâj: 3/49)
Maka berdasarkan penjelasan di atas, dua orang yang berlainan agama tidak ada hak untuk membuat tuntutan harta peninggalan atau pusaka di antara satu sama lain, apabila salah seorang daripadanya meninggal dunia, sama ada harta itu berbentuk wang, tanah atau sebagainya.
Walau bagaimanapun, jika si bapa yang bukan Islam itu dengan rela hati telah memperuntukkan sebahagian hartanya untuk diberikan kepada anaknya yang beragama Islam sama ada perkara tersebut mengikut hukum adat mereka ataupun tidak, maka tidak ada halangan dari segi syara‘ anaknya yang beragama Islam itu untuk menerimanya sebagaimana hukum dia menerima sebarang pemberian daripada bapanya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11701
