Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الأطعمة والأشربة

Penggunaan Alkohol Dalam Makanan

Soalan: Bahagian Kawalan Makanan Halal telah menerima surat daripada Jabatan Perkhidmatan Saintifik mengenai dengan penganalisaan ke atas beberapa produk makanan yang didapati mengandungi alkohol.

Sehubungan dengan itu Bahagian Kawalan Makanan Halal memohon pandangan dan nasihat Pehin Mufti mengenai alkohol yang terkandung di dalam produk-produk tersebut adakah boleh dimakan oleh orang Islam?

Jawapan: Alkohol adalah cecair tanpa warna yang mudah mengewap, mudah terbakar dan mempunyai bau yang sederhana. Ia boleh dihasilkan melalui dua cara iaitu melalui:

1. Penapaian ragi karbohidrat (yeast fermentation of carbohydrates). Ia juga dikenali sebagai etanol atau etil alkohol dan merupakan isi kandungan aktif minuman keras.

2. Sintetik atau tiruan yang dihasilkan melalui penghidratan etilina (hydration of ethylene). Kebiasaannya semua alkohol sintetik yang dihasilkan daripada etilina bersumber daripada petroleum, gas alami dan arang. (The New Webster’s Encyclopedic Dictionary of the English Language: 17 & The New Encyclopaedia Britannica: 4/583).

Adakah Alkohol Najis?

Pada dasarnya, tidak semua alkohol itu najis dan bersumber daripada arak. Kenajisan alkohol adalah bertitik tolak daripada arak itu sendiri yang merupakan minuman memabukkan.

Menurut jumhûr (majoriti) ulama yang terdiri daripada imam-imam mazhab yang empat iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam asy-Syafi‘e, Imam Ahmad bin Hanbal dan lain-lain ulama Rahimahumullâh, arak itu adalah najis berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ: (Al-Majmû‘: 2/581)

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan anak panah itu adalah (perbuatan) keji daripada perbuatan syaitan, maka hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu beroleh kemenangan (dan keberuntungan). (Surah al-Mâ’idah: 90)

Oleh kerana arak itu menurut jumhûr ulama adalah najis, maka alkohol yang terkandung di dalam arak itu juga dengan sendirinya najis. Ini memberi maksud bahawa kenajisan alkohol adalah bertitik tolak daripada sebab kenajisan arak. Dari itu, alkohol semata-mata tidak semestinya najis selama ia tidak bersumber daripada arak atau minuman yang memabukkan, kerana itulah tapai dan jeruk, menurut pakar sains, ada juga mengandungi alkohol, namun ia tidak dihukumkan najis kerana sifatnya tidak memabukkan, atau tidak sampai ke tahap memabukkan.

Begitulah juga kedudukan alkohol sintetik atau tiruan yang dihasilkan melalui penghidratan etilina. Walaupun menurut syara‘ ia tidak boleh dimakan atau diminum kerana sifatnya memudharatkan sama dengan racun, namun ia tidak dihukumkan najis.

Penggunaan Alkohol Dalam Makanan Dan Minuman

Penggunaan apa jua jenis alkohol sama ada alkohol sintetik atau alkohol yang bersumber daripada minuman yang memabukkan seperti arak ke dalam produk-produk makanan dan minuman adalah ditegah, sekalipun alkohol yang digunakan itu sedikit, tidak memabukkan atau tidak mendatangkan kemudharatan zahir kepada orang yang memakan atau meminumnya.

Larangan memanfaatkan alkohol yang bersumber daripada minuman yang memabukkan adalah jelas, sementara alkohol sintetik pula, sekalipun ia bukan najis dan penggunaannya secara luaran dibolehkan, tetapi kerana ia sama seperti racun yang boleh memudharatkan, maka penggunaannya ke dalam produk-produk makanan dan minuman adalah ditegah, berdasarkan prinsip sadd adz-dzarâ’i‘ (menutup pintu-pintu yang membawa keburukan). Ini antara lain bertujuan memilih sikap berhati-hati dalam perkara makan dan minum serta juga mengambil kira pendapat ulama yang mengharamkan penggunaan alkohol secara mutlak walau daripada apa jua proses ia dihasilkan. Larangan juga bertujuan untuk menutup ruang serapat-rapatnya terhadap ekploitasi penggunaan alkohol dalam makanan dan minuman. Orang awam, dengan ini tidaklah akan terkeliru dengan anggapan bahawa terdapat jenis alkohol yang boleh dimakan atau diminum.

Di samping itu, turut difahami bahawa penggunaan alkohol dalam makanan dan minuman bukanlah sesuatu yang amat mendesak atau sangat-sangat diperlukan. Tanpa menggunakannya pun ia tidak akan menjejaskan keperluan harian manusia mahupun industri makanan atau minuman.

Kewujudan Alkohol Secara Semula Jadi Di Dalam Makanan Dan Minuman Yang Tidak Memabukkan

Selama mana kewujudan alkohol di dalam sesuatu makanan atau minuman itu terjadi secara semula jadi (bukan dicampur dengan alkohol daripada penapaian), serta makanan atau minuman itu sifatnya tidak memabukkan, maka makanan atau minuman itu adalah suci dan halal dimakan atau diminum. Tetapi jika makanan atau minuman itu jadi bertukar sifatnya kepada memabukkan, maka makanan atau minuman itu hukumnya najis dan haram dimakan atau diminum.

Dalam hal ini Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam (apabila) dibuatkan kepada Baginda minuman perahan anggur di permulaan malam, maka Baginda meminumnya di waktu paginya, di waktu malamnya yang akan tiba, di keesokan dan malam yang seterusnya serta keesokannya lagi sampailah ke waktu ‘Ashar. Jika masih berbaki, Baginda memberi minum kepada khadamnya (jika belum terdapat tanda-tanda ia berubah menjadi arak) atau memerintahkannya supaya dibuang (jika ia sudah bertukar menjadi arak). (Hadits riwayat Muslim)

Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam menghuraikan maksud hadits tersebut mengatakan bahawa adalah harus meminum perahan anggur selama ia masih manis belum berubah (rasanya) dan belum meruap (menjadi arak). Perkara ini diharuskan menurut ijmâ‘. (Shahîh Muslim bi Syarh Imam an-Nawawi: 9/5500)

Kesimpulan

Sehubungan dengan itu, kedudukan produk-produk berkenaan yang didapati mengandungi alkohol di dalamnya adalah tertakluk kepada perkara-perkara berikut:

1. Jika sesuatu produk itu dicampur atau dimasukkan ke dalamnya alkohol sama ada alkohol itu bersumber daripada proses penapaian atau proses penghidratan etilina (alkohol sintetik atau tiruan), sekalipun kuantiti alkohol itu hanya kecil dan produk itu tidak memabukkan dan tidak memudharatkan, maka produk tersebut tidak boleh diklasifikasikan sebagai makanan atau minuman halal.

2. Jika alkohol yang didapati terkandung di dalam sesuatu produk itu bukan disebabkan produk tersebut dicampur atau dimasukkan ke dalamnya alkohol, tetapi alkohol yang terkandung di dalamnya terhasil secara semula jadi dan produk itu tidak memabukkan dan tidak juga memudharatkan seperti tapai, maka produk tersebut boleh diklasifikasikan sebagai makanan atau minuman halal.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11705