Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الأطعمة والأشربة

Penggunaan Hand Sanitizer (Pencuci Tangan) Beralkohol

Soalan: Dengan hormat sukacita saya memohon nasihat dan fatwa mengenai perkara-perkara berikut: 1. Hukum penggunaan disinfectant seperti hand sanitizer (pencuci tangan) yang digunakan di hospital-hospital dan klinik-klinik kesihatan bagi pencegahan jangkitan penyakit seperti wabak Influenza A (H1N1) dan seumpamanya yang kandungannya adalah alkohol. 2. Hukum pemakaian hand sanitizer semasa sembahyang.

Jawapan: Alkohol adalah cecair tanpa warna yang mudah mengewap, mudah terbakar dan mempunyai bau yang sederhana. Ia boleh dihasilkan melalui dua cara iaitu melalui: 1. Penapaian ragi karbohidrat (yeast fermentation of carbohydrates). Ia juga dikenali sebagai etanol atau etil alkohol dan merupakan isi kandungan aktif minuman keras. 2. Sintetik atau tiruan yang dihasilkan melalui penghidratan etilina (hydration of ethylene). Kebiasaannya semua alkohol sintetik yang dihasilkan daripada etilina bersumber daripada petroleum, gas alami dan arang. (The New Webster’s Encyclopedic Dictionary of the English Language: 17 dan The New Encyclopedia Britannica: 4/583).

Adakah Alkohol Najis? Pada dasarnya, tidak semua alkohol itu najis dan bersumber daripada arak. Kenajisan alkohol adalah bertitik tolak daripada arak itu sendiri yang merupakan minuman yang memabukkan. Menurut jumhûr (majoriti) ulama yang terdiri daripada imam-imam mazhab yang empat iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam asy-Syafi‘e, Imam Ahmad bin Hanbal dan lain-lain ulama Rahimahumullâh, arak itu adalah najis berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ: (Al-Majmû‘: 2/581)

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! sesungguhnya arak, judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan anak panah itu adalah (perbuatan) keji daripada perbuatan syaitan, maka hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu beroleh kemenangan (dan keberuntungan). (Surah al-Mâ’idah: 90)

Oleh kerana arak itu menurut jumhûr ulama adalah najis, maka alkohol yang terkandung di dalam arak itu dengan sendirinya najis juga. Ini memberi maksud bahawa kenajisan alkohol adalah bertitik tolak daripada sebab kenajisan arak. Dari itu, alkohol semata-mata tidak semestinya najis selama ia tidak bersumber daripada arak atau minuman yang memabukkan, kerana itulah tapai dan jeruk, menurut pakar sains, ada juga mengandungi alkohol, namun ia tidak dihukumkan najis kerana sifatnya tidak memabukkan, atau tidak sampai ke tahap memabukkan.

Begitulah juga kedudukan alkohol sintetik atau tiruan yang dihasilkan melalui penghidratan etilina. Walaupun menurut syara‘ ia tidak boleh dimakan atau diminum kerana sifatnya memudharatkan sama dengan racun, namun ia tidak dihukumkan najis.

Menggunakan Hand Sanitizer (Pencuci Tangan) Yang Mengandungi Alkohol Semasa Sembahyang

Kedudukan hukum sembahyang orang yang menggunakan hand sanitizer (pencuci tangan) yang mengandungi alkohol adalah tertakluk dari mana sumber alkohol tersebut diperolehi:

i. Alkohol yang bersumber dari arak.

Pencuci tangan yang mengandungi alkohol yang bersumber daripada arak atau minuman yang memabukkan adalah najis. Hukumnya tidak sah sembahyang seseorang yang menggunakan pencuci tangan mengandungi alkohol yang bersumber daripada arak atau minuman yang memabukkan, kerana salah satu daripada syarat-syarat sah sembahyang itu ialah suci tubuh badan, pakaian dan tempat sembahyang itu.

Walau bagaimanapun jika orang yang menggunakan pencuci itu telah membersihkan tangan dan mana-mana bahagian tubuh badan, pakaian dan tempatnya sembahyang yang terkena bahan pencuci tangan tersebut dengan air sebelum dia sembahyang, maka sembahyangnya sah, kerana tubuh badan, pakaian dan tempatnya sembahyang suci daripada najis.

ii. Alkohol sintetik.

Adapun jika pencuci tangan itu mengandungi alkohol sintetik atau tiruan, maka tidaklah membatalkan sembahyang, dan harus ia digunakan kerana alkohol sintetik itu dihukumkan tidak najis.

Walau bagaimanapun, dalam kedudukan harus memakai alkohol sintetik ini, persoalannya adakah boleh dikenal pasti alkohol dalam pencuci tangan itu alkohol sintetik yakni yang bukan bersumber daripada arak atau minuman yang memabukkan?

Jika perkara tersebut tidak boleh dikenal pasti, maka ia pasti mengundang keraguan. Apabila timbul keraguan, menurut ajaran Islam, perkara itu lebih baik ditinggalkan.

Hassan bin ‘Ali Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa dia telah menghafal daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, sabda Baginda:

Maksudnya: Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Meninggalkan sesuatu yang meragukan (syubhah) bererti kita memelihara diri dan agama daripada sebarang kecaman dan bahaya haram, sebagaimana dinyatakan dalam hadits yang diriwayatkan oleh an-Nu‘man bin Basyir Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Maka sesiapa yang menjauhi perkara-perkara yang syubhah, (maka) dia telah melepaskan bagi agamanya dan kehormatannya (daripada kecaman); dan sesiapa yang terjerumus ke dalam perkara-perkara yang syubhah (maka) terjerumuslah dia ke dalam perkara haram. (Hadits riwayat Muslim)

Malah untuk mencapai ke peringkat taqwa, seseorang itu mestilah meninggalkan perkara-perkara yang haram dan meragukan serta beramal dengan perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan meninggalkan apa yang dilarang.

Daripada ‘Athiyyah as-Sa‘diy Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Seorang hamba tidak akan sampai ke peringkat golongan orang-orang bertaqwa, sehinggalah dia meninggalkan perkara yang tidak ada dosa dengannya sebagai langkah berhati-hati daripada (berlakunya) perkara dosa. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Oleh yang demikian, termasuk perkara yang dituntut oleh syara‘ ialah menghindari daripada menggunakan pencuci tangan yang tidak diketahui dari mana jenis dan sumber alkoholnya. Walau bagaimanapun, jika penggunaannya tidak dapat dielakkan kerana keperluan, maka bagi orang yang telah menggunakannya hendaklah membersihkan tangan atau mana-mana anggota badan, pakaian dan tempat sembahyangnya yang terkena dengan bahan pencuci tangan tersebut dengan air sebelum sembahyang.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11709