Sukatan Dan Timbangan Bagi Produk Gasolin & Diesel
Soalan: Saya ingin mendapatkan penjelasan fatwa mengenai sukatan dan timbangan bagi produk yang digunakan oleh kenderaan bermotor. Biasanya setiap barangan yang diperniagakan akan ditimbang atau disukat mengikut kesesuaiannya.
Persoalan yang ingin saya ajukan ialah mengenai timbang sukat bagi benda-benda yang mudah terbakar seperti yang digunakan oleh kenderaan bermotor.
Pengisian minyak ke dalam tanker selalunya dibuat di refinery. Minyak yang dimasukkan ke dalam compartment tanker akan terlebih dahulu melalui sukatan yang dikawal dari bilik kawalan yang menunjukkan jumlah minyak yang dimasukkan ke dalam tanker. Setelah itu barulah minyak itu dihantar ke stesyen-stesyen minyak menurut jadual.
Masalahnya, catatan jumlah minyak dalam tangki, meter penjualan minyak pada hari yang sama dan jumlah tempahan menunjukkan minyak yang diterima kurang daripada jumlah yang ditempah. Pihak pembekal didapati tidak menggunakan flow meter gauge untuk menyukat minyak yang dibekalkan dan bayaran penuh tetap kami bayar walaupun jumlah minyak yang diterima kurang daripada yang ditempah.
Dalam satu pertemuan antara persatuan gabungan seluruh stesyen minyak di negara ini dengan pembekal (BSM), pihak pembekal menerangkan bahawa kesusutan sebanyak 0.5% bagi produk DIESEL dan 0.8% bagi produk MOGAS itu tidak dapat dielakkan. Alasan ini tidak dapat diterima kerana jika pihak pembekal menyedari masalah ini mengapa tidak ditambah sahaja jumlah minyak untuk mengelak daripada menyalahi sukatan? Mungkin pihak pembekal belum menyedari tentang adanya ayat al-Qur’an mengenai sukatan dan timbangan yang terdapat dalam surah al-Muthaffifin.
Pada tahun 70an dan 80an pihak pembekal ada memberi elaun kemeluapan (evaporating allowance) sebagai mengganti kesusutan tetapi ia sudah tidak diberi lagi dengan alasan jualan sudah meningkat.
Dipohonkan fatwa Pehin Mufti dalam masalah ini.
Jawapan: Muamalat yang biasa kita lakukan; mungkin setiap hari adalah berjual beli. Ia adalah satu perjanjian pemindahan milik yang banyak mengambil peranan dalam muamalat kita seharian yang pastinya seorangpun tidak terkecuali daripada melakukannya. Jual beli dalam syariat Islam adalah sesuatu yang harus dilakukan sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. (Surah al-Baqarah:275)
Berkesinambungan dengan keharusan jual beli itu, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah memerintahkan kepada sesiapa yang membuat perjanjian jual beli itu supaya memenuhi dan menyempurnakan perjanjian yang telah dibuat. Perkara ini jelas disebut oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam firmanNya:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah janji-janji (yang dimeterai). (Surah al-Mâ’idah: 1)
Perjanjian yang dimeterai adalah satu ikatan di antara dua pihak. Ia adalah kesepakatan yang lahir daripada kemahuan kedua-dua pihak yang bertujuan untuk menjamin kemashlahatan barangan yang ditukar ganti. Inti daripada perjanjian itu ialah untuk menggariskan panduan yang jelas dan terperinci yang membatasi hak-hak dan kewajipan kedua-dua pihak yang membuat perjanjian yang mesti mereka hormati dengan tidak menyalahi dan melanggarnya.
Memenuhi dan menyempurnakan janji bermaksud mengikut peraturan atau garis pandu yang dengannya terbangun kehidupan manusia mengikut neraca keadilan, tanpa perbalahan dan seterusnya melahirkan perpaduan sesebuah masyarakat, sama ada di antara sesama mereka atau dengan masyarakat yang lain. (Mausû‘ah al-Ahkâm asy-Syar‘iyyah al-Muyassarah fi al- Kitâb wa as-Sunnah: Al-‘Uqûd wa al-Math‘ûmât wa al-Masyrûbât: 5)
Sebenarnya masih banyak ayat-ayat al-Qur’an yang menyebut tentang penyempurnaan janji yang menunjukkan betapa pentingnya kewajipan menunaikan janji itu.
Di antara cara menyempurnakan perjanjian jual beli itu ialah dengan menyempurnakan sukatan dan timbangan dengan adil. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil. (Surah al-An‘âm: 152)
FirmanNya lagi:
Tafsirnya: Oleh itu, sempurnakanlah sukatan dan timbangan. Janganlah kamu kurangkan bagi manusia akan benda-benda dan perkara-perkara yang menjadi haknya dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi sesudah Allah memperelokkan kejadiannya. (Surah al-A’râf: 85)
Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, penjualan minyak sama ada gasolin ataupun diesel yang digunakan oleh kenderaan bermotor adalah termasuk dalam jual beli yang diharuskan dan diletakkan di bawah kategori jual beli mutlak. Jual beli mutlak bermaksud penjualan sesuatu benda tertentu dengan cara menunjuk atau menyebutkan harganya, contohnya menjual minyak diesel dengan harga 50 sen seliter, buku dengan harga dua ringgit senaskhah dan sebagainya. (Al-Mu‘âmalât asy-Syar‘iyyah al-Mâliyyah: 112)
Minyak adalah bahan cecair, oleh itu ia terkandung di bawah kategori barang jualan yang boleh dinilai iaitu sesuatu yang boleh disukat, ditimbang, dibahagi dan dibilang. (Al- Mu‘âmalât asy-Syar‘iyyah al-Mâliyyah: 131)
Menurut hukum syara‘ jika timbangan atau sukatan sesuatu barang yang dijual itu kurang beratnya atau kurang ukuran panjangnya daripada timbangan dan sukatan yang sudah dipersetujui, maka hukum jual beli itu tidak sah. Pembeli diberi pilihan sama ada untuk membatalkan jual beli atau membayar barang belian mengikut berat dan ukuran yang berkurang. (Al-Mu‘âmalât asy-Syar‘iyyah al-Mâliyyah: 132)
Masalah yang timbul di antara syarikat Tuan dengan pihak pembekal adalah masalah berat yang perlu diselesaikan kerana ia menimbulkan perasaan tidak puas hati daripada pembeli yang boleh mengakibatkan permusuhan dengan pihak pembekal. Apa yang lebih berat daripada itu, ia boleh menyebabkan urusan jual beli itu tidak sah.
Kekurangan timbangan adalah perkara yang sangat diambil berat dalam Islam. Ia bukan satu perkara kecil yang boleh diremehkan. Apatah lagi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah menjanjikan seksaan azab yang amat pedih di akhirat kelak bagi orang-orang yang mengurangi sukatan dan timbangan. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Kecelakaan besar bagi orang yang curang (menipu dalam timbangan dan sukatan). Iaitu apabila mereka menerima sukatan daripada orang lain mereka meminta dipenuhi; dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka menguranginya. (Surah al-Muthaffifîn: 1-3)
Mengurangi sukatan dan timbangan juga boleh menyebabkan mala petaka di dunia kepada orang-orang yang melakukannya. Tidakkah kita mengambil i‘tibâr daripada apa yang telah menimpa ke atas kaum Nabi Syu‘aib ‘Alaihissalâm akibat daripada perbuatan syirik dan kecurangan mereka dalam timbangan dan sukatan.
Mereka telah dibinasakan oleh satu suara yang mengguntur lalu matilah mereka itu bergelimpangan di rumah-rumah mereka. Kemudian Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mengirimkan rasa panas yang hebat kepada mereka, yang menyumbat pernafasan mereka sehingga hampir tercekik kerana dahsyatnya. Pada saat demikian Allah mengirimkan awan dingin yang menaungi mereka lalu mereka pun panggil memanggil untuk bernaung di bawahnya. Setelah mereka berkumpul di bawahnya, tiba-tiba muncul nyala api yang kuat membakar mereka sehingga mati di dalam kehinaan dan azab serta kutukan sepanjang masa.
Dalam sebuah hadits panjang juga ada menyebutkan tentang bala bagi orang yang mengurangi timbangan dan sukatan:
Maksudnya: Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ dia berkata: “Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menemui kami lalu bersabda: “Wahai sekalian orang-orang Muhajirin! Ada lima perkara jika kamu diuji dengannya, aku berlindung dengan Allah semoga kamu tidak akan menemuinya; tidak akan nampak perbuatan keji dalam sesebuah kaum sehinggalah mereka melakukannya berterang-terangan, melainkan menularlah penyakit taun dan kelaparan yang belum pernah berlaku kepada orang-orang terdahulu daripada mereka, tidaklah mereka mengurangi sukatan dan timbangan, melainkan mereka akan mendapat seksa kemarau panjang dalam beberapa tahun, kesulitan bahan makanan dan kezaliman pemerintah ke atas mereka, tidaklah mereka enggan mengeluarkan zakat harta mereka, melainkan terhalang turunnya hujan dari langit dan jika tidak kerana haiwan-haiwan, tentu mereka tidak akan mendapat hujan, tidaklah mereka mengingkari perjanjian Allah dan perjanjian RasulNya, melainkan Allah akan memberi kekuasaan kepada musuh mereka, lalu mereka mengambil sebahagian harta yang ada pada tangan mereka, tidaklah pemimpin-pemimpin mereka tidak mengikut Kitab Allah dan memilih apa yang diturunkan oleh Allah, melainkan Allah akan menjadikan kesusahan kepada sesama mereka.” (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Dalam hadits ini ada menyebutkan tentang seksaan bagi orang-orang yang mengurangi sukatan dan timbangan itu, bahawa ditimpakan kepada mereka kemarau panjang selama beberapa tahun, kesusahan untuk mendapatkan makanan dan diperintah oleh penguasa yang zalim.
Menurut pengamatan kita, langkah-langkah yang pihak Tuan jalankan bagi mengatasi masalah itu memang sudah cukup baik dan bijak. Namun walaupun aduan dan perjumpaan semuanya telah diusahakan tetapi masih tidak mendapat respon menggalakkan daripada pihak pembekal.
Pada pandangan kita terdapat dua cara bagi mengatasi masalah ini:
Pertama: Pihak pembekal mengurangi harga minyak yang dijual dengan menolak harga kesusutan minyak yang dibekalkan. Cara untuk mengetahui kesusutan itu, pihak pembekal hendaklah bertolak ansur kepada pihak pembeli dengan memenuhi permintaan mereka supaya menggunakan flow meter gauge untuk mengetahui jumlah sebenar minyak yang dibekalkan. Bayaran hendaklah mengikut jumlah bekalan.
Kedua: Pihak pembekal menambah atau melebihkan jumlah minyak yang dibekalkan setelah mengetahui kesusutan yang telah berlaku. Sekiranya kesusutan itu berjumlah 0.7% maka hendaklah ditambah 0.7% untuk menampung kesusutan yang berlaku.
Inilah prinsip muamalat yang betul dan disuruh dalam Islam.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11713
