Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Baju Berilustrasi Ganas Dan Tidak Bermoral

Soalan: Dengan hormatnya disertakan 11 helai contoh baju T (T Shirt) yang mempamerkan ilustrasi yang berunsur ganas dan tidak bermoral.

Sehubungan dengan itu, dipohonkan fatwa dan ulasan mengenai baju-baju berkenaan untuk rujukan Jabatan ini bagi tindakan seterusnya.

Jawapan: Baju Berilustrasi Ganas dan Tidak Bermoral

Baju berilustrasi ganas dan tidak bermoral yang disertakan oleh pihak Pusat Da’wah Islamiah itu setelah diselidiki didapati bahawa ia mempunyai kaitan yang rapat dengan perkara-perkara berikut:

1. Ia merupakan sokongan terhadap underground metal yang antaranya bergiat di Bandung, Indonesia.

2. Ia menyatakan pemberontakan ahli-ahli underground metal melalui kata-kata yang memberi erti ‘membersih diri menggunakan gergaji’ dan ‘menggergaji dan membunuh beramai-ramai dilakukan’.

3. Ia mempunyai lambang black metal yang juga merupakan lambang pemujaan syaitan; lambang bintang lima penjuru dalam bulatan (pentacle); satu penjuru menghadap ke bawah dan dua penjuru daripada bintang itu menghadap ke atas, dan letak bintang itu di tengah dua tanduk tengkorak seperti tengkorak kambing.

4. Ia merupakan promosi atau iklan kepada lagu-lagu brutal death metal.

5. Ia mempamerkan tajuk atau sepatah dua lirik lagu berunsurkan kata-kata ganas yang tidak elok seumpama kata-kata yang membenci kehidupan, mengajak kepada pertumpahan darah, pemberontakan yang tidak berkesudahan, tiada perasaan dan keseronokan dalam penyembelihan manusia.

6. Ia mempamerkan ilustrasi penyiangan daging manusia dan menyatakan itu adalah upacara rahsia keturunan yang merentas dimensi (melangkaui batasan).

7. Ia mempamerkan ilustrasi ganas serta tidak bermoral seumpama tengkorak, syaitan bertanduk dan bertaring dengan aktiviti pemberontakan, penindasan dan penyeksaan terhadap kaum wanita dan kanak-kanak, pengguguran janin, pembunuhan secara kejam, penyembelihan manusia dan ada yang dalam keadaan tidak menutup aurat.

Pengenalan Ringkas Underground Metal

Underground metal ialah muzik metal bawah tanah, termasuk trash, black dan death metal. Ia merangkumi setiap genre muzik yang umumnya tidak diterima masyarakat pada awalnya, malah pasarannya hanya tertumpu kepada peminat sahaja. Prinsipnya menekankan kebebasan berkarya. Liriknya bersifat terbuka. Ia disebarkan melalui kertas edaran, majalah dan kaset. Antara muslihat kumpulan-kumpulan underground metal bagi menambah ahli kepada penyokong-penyokong mereka ialah dengan menyebarkan produk seperti pakaian, aksesori, majalah, poster, pelekat, cd dan dvd.

Brutal death metal adalah antara genre muzik di bawah underground metal yang bertemakan nihilistik (iaitu fahaman yang menolak semua nilai dan kepercayaan yang sedia ada). Liriknya menggunakan kata-kata yang mengerikan atau kekerasan yang menjurus kepada kematian.

Black metal juga adalah antara genre muzik di bawah underground metal. Antara cirinya ialah liriknya bertemakan peperangan, kegelapan, kekikiran, pemujaan syaitan yang mengajak kepada penyeksaan, penyembahan berhala dan anti agama, meminum darah segar supaya suara lebih serak atau sebagai atribut aliran muzik tersebut. (Wikipedia Ensiklopedia Bebas & Akademika 64 (Januari) 2004: 97-131 Sub-Budaya Muzik Rock Bawah Tanah di Kalangan Remaja Bandar)

Black Metal dan Brutal Death Metal Bertentangan Dengan Ajaran Islam

Orang Islam wajib menjaga keimanan baik melalui niat, percakapan mahupun perbuatan. Ini kerana seseorang itu boleh terkeluar daripada agama Islam dengan niat, percakapan atau perbuatan kufur, sama ada ia diucapkan atau dilakukan dalam bentuk penghinaan, pengingkaran atau i‘tiqâd kufur. Umpamanya, menafikan kewujudan Tuhan, mendustakan atau mengeji rasul-rasul, menghalalkan perkara yang telah disepakati haram seperti zina, minum arak dan membunuh, mengharamkan perkara yang telah disepakati halal seperti jual beli dan nikah. Demikian juga jika melakukan perbuatan yang mengkufurkan dengan sengaja untuk menghina agama secara terang-terangan atau mengingkari agama seperti melempar Mushhaf dengan kotoran dan sujud kepada berhala, matahari atau makhluk-makhluk lain (seumpama syaitan). (Mughni al-Muhtâj: 4/165-168)

Tema underground metal sebagaimana yang didapati pada baju-baju T yang disertakan adalah bertentangan dari segi aqidah, syari‘ah dan akhlak Islam:

i. Bertentangan dari segi aqidah.

Ia bertentangan dari segi aqidah kerana terdapat unsur pemujaan syaitan, maka ia adalah syirik iaitu menyekutukan Allah Subhânahu wa Ta‘âla. Sedangkan kita diperingatkan agar menganggap syaitan sebagai musuh dan sentiasa berwaspada daripada tipu dayanya. Firman Allah:

Tafsirnya: Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi daripada penduduk neraka. (Surah Fâthir: 6)

Orang Islam hendaklah sentiasa ingat bahawa syaitan sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia dengan memperindahkan perkara maksiat agar ia dianggap elok, sebagaimana sumpahnya yang disebutkan dalam al-Qur’an:

Tafsirnya: Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan aku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan daripada sebarang syirik.” (Surah al-Hijr: 39-40) ii. Bertentangan dari segi syariah.

Tema underground metal sebagaimana yang didapati pada baju-baju T yang disertakan itu juga bertentangan dari segi syariah kerana mengajak kepada pembunuhan yang diharamkan. Segala perkara yang membawa kepada perbuatan yang diharamkan oleh syara‘ juga adalah haram dilakukan. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âla:

Tafsirnya: Katakanlah: “Marilah aku bacakan apa yang diharamkan oleh Tuhan kamu ke atas kamu, iaitu janganlah kamu mempersekutukanNya dengan sesuatu pun dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana (takutkan) kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang mengurniakan rezeki kepada kamu dan kepada mereka, dan janganlah kamu mendekati perbuatan keji sama ada yang terang mahu pun yang tersembunyi. Janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan alasan yang dibenarkan. Demikian itulah Allah memerintahkan kamu supaya kamu memikirkannya.” (Surah al-An‘âm: 151)

Hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Jauhilah oleh kamu tujuh perkara yang membinasakan (dosa besar). Para sahabat Radhiallahu ‘anhum berkata: “Apa dia wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Syirik kepada Allah, sihir, membunuh nyawa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan hak (yang dibenarkan oleh syara‘), makan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri semasa hari pertempuran (dengan musuh Islam) dan menuduh perempuan beriman yang menjaga kesucian dan menjauhi perkara keji melakukan zina.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan firman dan hadits di atas, syirik kepada Allah (menyekutukan Allah) seperti memuja syaitan, membunuh tanpa hak, zina dan menuduh perempuan suci berzina adalah diharamkan dalam Islam.

iii. Bertentangan dari segi akhlak.

Tema underground metal sebagaimana yang didapati pada baju-baju T yang disertakan itu juga bertentangan dari segi akhlak kerana menggunakan kata-kata kejam, mengerikan dan tidak elok. Sedangkan Allah tidak menyukai kata-kata zalim melainkan daripada orang yang dizalimi bagi mengadu kezaliman yang berlaku ke atasnya. Firman Allah:

Tafsirnya: Allah tidak suka kepada perkataan buruk yang diucapkan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang) kecuali oleh orang yang dianiaya. (Surah an-Nisâ’: 148)

Kata-kata sebagaimana pada baju T yang mengajak kepada melakukan perkara mungkar dan melarang perbuatan baik adalah antara sifat munâfiq dan balasan bagi orang munâfiq adalah neraka. Ini disebutkan dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Orang-orang munâfiq lelaki dan perempuan, sebahagiannya adalah sama dengan sebahagian yang lain, mereka menyuruh berbuat yang mungkar dan melarang daripada yang ma‘rûf, dan mereka pula menggenggam tangan-tangan mereka (bakhil). Mereka melupakan (mengabaikan) Allah, maka Allah juga melupakan (mengabaikan) mereka. Sesungguhnya orang-orang munâfiq itu, mereka itulah orang-orang yang fâsiq. Allah menjanjikan orang-orang munâfiq lelaki dan perempuan serta orang-orang kafir dengan neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya. Cukuplah (neraka itu) bagi mereka. Dan Allah melaknat mereka, dan bagi mereka azab yang kekal. (Surah at-Taubah: 67-68)

Oleh yang demikian, membuat, mengimport, mengexport, menjual, mengedar, mempromosi dan memakai baju-baju berilustrasi ganas dan tidak bermoral itu, termasuk membenarkan setiap satunya, adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Oleh kerana itu, kemasukan, pengedaran, penjualan dan pemakaiannya di Negara Brunei Darussalam wajiblah disekat demi memelihara aqidah, syari‘ah dan akhlak orang-orang Islam, termasuk keselamatan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11722