Beberapa Permasalahan Mengenai Korban
Soalan: Dihadapkan beberapa persoalan mengenai ibadat korban iaitu:
1. Bolehkah dalam satu keluarga (suami, isteri dan anak-anak yang ‘âqil bâligh) mengambil bahagian dalam satu korban untuk mencukupkan tujuh bahagian korban?
2. Bolehkah kita melaksanakan korban bagi orang yang telah meninggal dunia yang telah memberi wasiat kepada kita untuk dilaksanakan?
3. Bolehkah kita memasukkan anak yang belum bâligh ke dalam tujuh bahagian korban itu?
4. Bolehkah kita menggunakan duit yang kita hutang daripada orang lain untuk melakukan korban?
5. Bolehkah kita menerima daging korban yang diberi oleh jiran tetangga kita sedangkan kita juga melaksanakan korban yang sama?
Jawapan: 1. Sebuah keluarga boleh (harus) berkongsi mengambil bahagian dalam satu korban seperti berkorban seekor unta, lembu atau kerbau. Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Memadai seekor unta, demikian juga lembu untuk tujuh orang, sama ada untuk sebuah ahli keluarga ataupun untuk beberapa ahli keluarga. Sama ada mereka itu melakukan korban dengan maksud yang sama ataupun berbeza, sama ada korban wajib atau sunat, atau sebahagian mereka hanya mahukan daging. Harus juga kalau sebahagian mereka bermaksud melakukan korban dan sebahagiannya lagi bermaksud al-hadyu (binatang yang disembelih di tanah haram sebagai dam haji atau umrah). (Al-Majmû‘: 8/291)
Berdasarkan penjelasan di atas, seekor unta, lembu atau kerbau boleh (harus) dikongsi oleh tujuh orang sama ada perkongsian itu terdiri daripada ahli keluarga ataupun orang lain. Perkongsian itu pula tidak disyaratkan semuanya bermaksud untuk ibadat korban. Daging korban boleh dikongsikan sama ada kesemua dagingnya itu khusus untuk korban, aqiqah atau sebahagiannya untuk daging biasa sahaja dengan syarat pembahagian setiap seekor unta, lembu atau kerbau itu tidak melebihi daripada tujuh bahagian.
2. Adalah harus dan sah melaksanakan korban bagi orang yang telah meninggal dunia jika dia (si mati) berwasiat untuk berbuat demikian. Imam al-Khathib Asy-Syarbini Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Jika orang yang mati itu berwasiat (supaya berkorban untuknya), maka itu adalah harus. Dalam Sunan Abu Daud, al-Baihaqi dan al-Hakim; bahawa ‘Ali bin Abu Thalib berkorban dua ekor kibasy untuk dirinya dan dua ekor pula untuk Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Dia berkata: “Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah menyuruh aku berkorban untuknya, maka aku akan berkorban untuk Baginda buat selama-lamanya.” (Mughni al-Muhtâj: 6/ 137)
3. Hukum berkorban ialah sunat mu’akkadah (sunat yang sangat dituntut) bagi orang yang bâligh, berakal, merdeka serta berkemampuan untuk melaksanakannya. Oleh itu, orang yang belum bâligh tidak sah untuk melakukan korban untuk dirinya, bahkan wali (bapa dan datuk sahaja) yang boleh melakukan korban untuknya (kanak-kanak yang belum bâligh) dengan syarat wali (bapa dan datuk) menggunakan segala perbelanjaan ibadat korban tersebut daripada hartanya (bukan harta anak). Imam Ibnu Hajar Rahimahullâhu Ta‘âlâ berkata:
Ertinya: Wali iaitu bapa atau datuk sahajalah, tidak yang lain yang boleh melakukan korban untuk orang yang di bawah tanggungannya (seperti anak dan isterinya) daripada hartanya sendiri. (Tuhfah al-Muhtâj: 2/376)
4. Melakukan ibadat korban dengan cara berhutang daripada orang lain adalah sah mengikut hukum syara‘. Tetapi memaksa diri untuk berhutang adalah suatu tindakan yang menyusahkan diri dan tidak digalakkan oleh Islam. Apalagi jika sememangnya dia tidak berkemampuan untuk melakukan ibadat korban sehingga membebankannya, kerana tuntutan beribadat dalam agama itu bukanlah untuk membebankan manusia. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Allah tidak menghendaki untuk menjadikan kamu menanggung suatu kesusahan tetapi Allah berkehendak untuk membersihkan kamu dan mencukupkan ni‘matNya kepada kamu supaya kamu bersyukur. (Surah al-Mâ’idah: 6)
Perlu diingat bahawa orang yang tidak melunaskan hutangnya sehingga dia meninggal dunia rohnya akan tergantung-gantung daripada menempati tempat yang selayaknya sebagaimana dalam hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu mengatakan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Roh seseorang mu‘min itu tergantung-gantung dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Ini belum termasuk beberapa risiko-risiko lain akibat berhutang itu. Maka penjelasan di atas menunjukkan bahawa dalam melakukan ibadat korban itu tidak perlu kita menyusah-nyusahkan atau memaksa diri sehingga berhutang dengan orang lain jika sememangnya kita tidak berkemampuan untuk melakukan ibadat korban. Lebih-lebih lagi jika hutang tersebut akan menjejaskan keperluan hidup harian keluarga.
5. Menerima daging korban sunat daripada orang yang melaksanakan korban sunat adalah harus bagi orang kaya sekalipun dia pada waktu yang sama juga melakukan ibadat korban sunat.
Daging korban yang diterima orang kaya hanya untuk dimasak atau dimakan sebagai makanan sahaja bukannya untuk dijual atau diberikan lagi kepada orang kaya yang lain, kerana hak penerimaan mereka (orang kaya) hanyalah setakat untuk dimakan bukan untuk dimiliki. Ini bermakna, jika orang kaya itu dalam masa yang sama dia juga melakukan korban, kemudian dihadiahkan pula daging korban sunat umpamanya, maka dia hanya boleh memakannya, menyedekahkannya kepada orang fakir miskin atau menjamu makan orang-orang Islam sahaja. Orang kaya yang menerima daging korban tidak boleh menjual atau memberikan daging korban yang diterimanya itu lagi kepada orang kaya yang lain.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11729
