Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳النكاح والطلاق

Bertukar Jantina Secara Semula Jadi Dan Melakukan Hubungan Kelamin Dengannya

Soalan: Dengan hormatnya dimaklumkan bahawa Bahagian Penguatkuasaan Agama telah menjalankan waran periksa dan bongkar berikutan maklumat orang awam mengenai seorang lelaki dan seorang perempuan (suspek) yang tinggal bersama sedangkan mereka bukannya suami isteri.

Hasil pemeriksaan dan siasatan yang dijalankan ke atas kedua-dua suspek, didapati bahawa kedua-dua mereka adalah perempuan, salah seorang daripadanya berlagak atau menyerupai seorang lelaki (tomboy). Dalam keterangan bertulis kedua-dua suspek berkenaan mengakui bernikah dan telah melakukan hubungan kelamin suami isteri seperti pasangan yang lain. Suspek yang menyerupai lelaki ini mengakui bahawa jantinanya telah bertukar menjadi jantina lelaki secara semula jadi sekalipun sebelum ini beliau pernah melahirkan dua orang anak lelaki hasil pernikahannya bersama bekas suaminya yang terdahulu.

Persoalannya, apakah hukum seorang perempuan bertukar jantinanya menjadi jantina lelaki secara semula jadi dan apakah hukum persetubuhan yang dilakukannya bersama pasangannya itu?

Jawapan: Manusia diciptakan dengan sifat dan rupa bentuk yang berbeza-beza. Namun yang pastinya Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menciptakan makhluk yang bernama manusia itu dengan sebaik-baik atau seindah-indah kejadian.

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). (Surah at-Tîn: 4)

Kejadian manusia secara semula jadinya ada yang diciptakan sebagai lelaki dan ada pula sebagai perempuan berdasarkan alat kelamin yang dimilikinya. Namun tidak dinafikan ada juga yang diciptakan mempunyai kedua-dua alat kelamin atau sama sekali tidak mempunyai alat kelamin dan dipanggil sebagai khuntsâ.

Khuntsâ menurut istilah ialah seseorang yang mempunyai dua alat kelamin atau langsung tidak mempunyai alat kelamin melainkan hanya satu lubang untuk membuang air kencing. (Asnâ al-Mathâlib: 1/59)

Khuntsâ terbahagi kepada dua golongan:

1. Khuntsâ ghair musykil iaitu seseorang yang mempunyai dua alat kelamin dan mempunyai tanda-tanda yang jelas dan dapat dipastikan sama ada dia wajar dikategorikan sebagai lelaki ataupun perempuan.

2. Khuntsâ musykil iaitu seseorang yang tidak diketahui langsung jantinanya disebabkan tidak mempunyai sebarang tanda-tanda jelas yang boleh diklasifikasikan sebagai lelaki atau perempuan. Golongan ini mempunyai dua jenis;

i. Kedua-dua alat kelaminnya menunjukkan tanda-tanda yang sama.

ii. Tidak mempunyai alat kelamin melainkan hanya satu lubang. (Hawâsyi asy- Syarwani wa Ibnu Qasim: 6/521)

Adapun lelaki yang mempunyai alat kelamin lelaki yang jelas tandanya tetapi berkelakuan dan bersifat seperti perempuan, lelaki seperti ini bukanlah termasuk dalam golongan khuntsâ tetapi mereka ini dipanggil mukhannats. Begitu juga dengan perempuan yang mempunyai alat kelamin perempuan yang jelas tandanya, tetapi berkelakuan dan bersifat seperti lelaki dan mereka ini digelar sebagai mutarajjilah. Perbuatan seperti ini dilarang oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan ia merupakan dosa besar yang dilaknat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan RasulNya.

Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam melaknat orang-orang mukhannats daripada golongan lelaki dan orang-orang mutarajjilât (perempuan yang menyerupai lelaki) daripada golongan perempuan, Baginda bersabda: “Keluarkanlah mereka dari rumah-rumah mereka.” Ibnu ‘Abbas berkata: “Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah mengeluarkan si fulan (mengeluarkan dari tempatnya sehinggalah dia kembali bertaubat) dan Umar telah mengeluarkan si fulan.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Cara Mengenal Jantina Khuntsâ Musykil Menurut Fuqahâ’

Cara mengenal jantina bagi khuntsâ musykil itu adalah melalui beberapa kaedah. Antaranya ialah: (Raudhah ath-Thâlibîn: 1/188-189)

i. Tempat keluar air kencing.

• Jika air kencingnya keluar melalui alat kelamin lelaki, maka dia dianggap sebagai lelaki dan jika sebaliknya, maka dia dianggap sebagai perempuan.

• Jika air kencingnya keluar melalui kedua-duanya, menurut pendapat yang paling al-ashah ialah:

a. Jika air kencingnya keluar secara serentak dari kedua-dua alat kelaminnya, maka jantinanya berdasarkan pada air kencing yang terkemudian berhenti darinya.

b. Jika air kencingnya berhenti serentak dari kedua-dua alat kelaminnya, maka jantinanya berdasarkan pada air kencing yang mula-mula keluar darinya.

c. Jika air kencingnya keluar dan berhenti serentak, maka menurut pendapat al-ashah tempat keluar air kencingnya tidak boleh menjadi penentu jantinanya.

ii. Haidh dan tempat keluar air mani.

• Jika air mani keluar melalui alat kelamin lelaki, maka dia dianggap sebagai lelaki dan jika air mani keluar melalui alat kelamin perempuan atau dia didatangi haidh, maka dia dianggap sebagai perempuan dengan syarat hendaklah ia berlaku secara berulang-ulang.

• Jika air mani keluar melalui kedua-duanya, maka menurut pendapat al-ashah, ia dilihat berdasarkan sifat air mani tersebut sama ada ia bersifat air mani lelaki atau sifat air mani perempuan.

iii. Melahirkan anak.

Melahirkan anak merupakan tanda atau bukti yang paling nyata dan qath‘i menunjukkan bahawa dia seorang perempuan sekalipun terdapat tanda atau bukti lain yang menunjukkan bahawa dia seorang lelaki. Ini kerana tanda bahawa dia melahirkan anak mengatasi dan mendahului semua tanda yang ada sekalipun tanda-tanda tersebut bertentangan dengannya yang juga menunjukkan bahawa dia lelaki seperti air kencing dan air maninya keluar melalui alat kelamin lelaki dan seumpamanya. (Raudhah ath- Thâlibîn: 1/188-189)

Status Jantina Seseorang Yang Bertukar Alat Kelaminnya

Seorang perempuan yang menukar alat kelaminnya kepada alat kelamin lelaki, secara hukumnya tidaklah menjadikannya sebagai lelaki. Begitu juga sebaliknya, seorang lelaki yang menukar alat kelaminnya kepada alat kelamin perempuan tidaklah menjadikannya sebagai perempuan dan bukanlah juga digelar sebagai khuntsâ. Setiap hukum-hakam yang berjalan ke atasnya tetap berjalan sepertimana sebelumnya sekalipun alat kelaminnya telah bertukar.

Oleh itu, sehubungan dengan persoalan mengenai status jantina seseorang yang bertukar alat kelaminnya secara semula jadi, maka perlu dipastikan terlebih dahulu dengan merujuk kepada pakar yang berkenaan, adakah dakwaan suspek itu betul bahawa alat kelaminnya telah bertukar secara semula jadi dengan tumbuhnya alat kelamin lelaki dan alat kelamin perempuannya masih kekal atau adakah dia telah melakukan pembedahan menukar alat kelamin.

Jika ia betul-betul bertukar secara semula jadi dan dia merupakan seorang khuntsâ, maka hukum berkahwin dengan khuntsâ adalah tertakluk kepada jenis khuntsânya.

Adalah harus berkahwin dengan khuntsâ ghair musykil apabila telah ditentukan jantinanya sama ada dia seorang lelaki atau perempuan. Jika ditentukan jantinanya sebagai seorang lelaki, maka harus dia berkahwin dengan seorang perempuan. Jika sebaliknya, maka harus dia berkahwin dengan seorang lelaki.

Adapun khuntsâ musykil, dia adalah ditegah daripada bernikah sehinggalah jantinanya dapat dipastikan sama ada lelaki atau perempuan. (Mughni al-Muhtâj: 4/341)

Walau bagaimanapun dalam kes ini, sekalipun jantinanya bertukar secara semula jadi, dia tetap dikategorikan sebagai seorang perempuan. Ini kerana tanda-tandanya sangat jelas iaitu seperti yang dinyatakan bahawa dia telah melahirkan dua orang anak lelaki hasil perkahwinannya dengan seorang lelaki. Dengan ini sahaja, adalah cukup untuk menunjukkan bahawa dia adalah seorang perempuan sekalipun dia mempunyai dua alat kelamin dan sekalipun kedua-duanya berfungsi kerana beranak itu merupakan bukti lebih kukuh dan mu‘tamad yang tidak diragui lagi bahawa dia adalah seorang perempuan.

Maka dengan itu, pernikahannya bersama perempuan berkenaan seperti yang didakwa, adalah tidak dapat diterima. Bagaimanakah dia boleh mendakwa telah bernikah, sedangkan sebelum bernikah dan selaku orang yang sudah pernah berkahwin, pasti akan disiasat terlebih dahulu oleh Hakim Syar‘i berkenaan butir-butir dirinya, termasuklah akan terbuka dengan sendirinya dia memiliki sijil yang menunjukkan dia adalah seorang janda. Dengan siasatan seperti ini, tentu sahaja permohonannya untuk bernikah tidak akan diluluskan kerana dia juga adalah seorang perempuan, sama jantina dengan orang yang hendak dinikahinya.

Menurut Akta Perintah Darurat (Undang-Undang Keluarga Islam), 1999, Bhg.II, bab 13 (2) & (4) ada memperuntukkan bahawa:

“(2) Jika perempuan itu adalah janda –

(b) dia tidaklah boleh berkahwin melainkan setelah memberikan izinnya dengan jelas dan setelah mengemukakan- (i) satu salinan sijil cerai yang sah yang dikeluarkan di bawah undang-undang yang pada masa itu berkuatkuasa; atau (ii) satu salinan catatan yang diperakui berkaitan dengan perceraiannya dalam daftar perceraian yang berkenaan; atau (iii) satu sijil yang boleh diberi atas permohonannya selepas penyiasatan yang wajar oleh Hakim Syar‘i yang mempunyai bidang kuasa di tempat di mana permohonan itu dibuat, yang bermaksud bahawa dia adalah seorang janda;”

“(4) Jika perempuan itu adalah seorang balu –

(b) dia tidaklah boleh berkahwin melainkan jika dia telah mengemukakan sijil kematian suaminya atau dengan cara lain membuktikan kematian suaminya.”

Pernikahannya dengan perempuan berkenaan juga bukan sahaja tidak sah dari segi undang-undang, bahkan ia samalah seperti pernikahan yang dilakukan oleh pasangan homoseksual. Pernikahan sesama jenis adalah haram kerana ia bertentangan dengan hukum syara‘ dan fitrah manusia. Pernikahan seperti ini tidak sah kerana ia tidak memenuhi rukun-rukun nikah yang digariskan oleh syara‘ iaitu antaranya, pasangan yang bernikah itu hendaklah terdiri daripada suami, iaitu seorang lelaki dan juga isteri, iaitu seorang perempuan.

Menurut Akta Perintah Darurat (Undang-Undang Keluarga Islam), 1999, Bhg.II, bab 10 ada memperuntukkan bahawa:

“Sesuatu perkahwinan adalah tidak sah melainkan jika cukup semua syarat yang perlu, mengikut Hukum Syara‘, untuk menjadikannya sah.”

Hukum Berkhalwat Dan Melakukan Hubungan Kelamin Sesama Jenis Atau Dengan Khuntsâ

Seseorang yang sama jenis sama ada lelaki memandang lelaki dan perempuan memandang perempuan dengan syahwat, adalah hukumnya haram dengan ijmâ‘. Apatah lagi berkhalwat dengan syahwat, kerana ia boleh membawa kepada perbuatan melakukan hubungan kelamin sesama jenis. (Mughni al-Muhtâj: 4/212)

Hubungan kelamin sejenis di antara lelaki dan lelaki dinamakan ia liwâth, sementara antara perempuan dengan perempuan disebut ia as-sihâq.

Perbuatan seperti ini bukanlah baru, tetapi telah berlaku di zaman Nabi Luth ‘Alaihissalâm lagi. Perbuatan ini sangat dicela oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan (Kami juga telah mengutus) Nabi Luth (kepada kaumnya). (Ingatlah) ketika dia berkata kepada kaumnya: “Mengapa kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun daripada penduduk alam sebelum kamu?Sesungguhnya kamu mendatangi laki-laki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas.” (Surah al-A‘râf: 80-81)

Adapun hukuman ke atas orang yang melakukan perbuatan liwâth, menurut pendapat yang masyhur dalam mazhab asy-Syafi‘e Rahimahullâh adalah sama seperti hukuman hadd ke atas orang yang melakukan zina, iaitu hukuman rejam ke atas pelaku liwâth yang muhshan (yang sudah bernikah) dan hukuman sebat serta pemulauan ke atas pelaku liwâth yang bukan muhshan. (Al-Muhadzdzab: 5/383)

Manakala hukuman sihâq tidak sama dengan hukuman liwâth, kerana perbuatan sihâq itu tidak melibatkan sebarang perbuatan jimâ‘ atau ‘ilâj (perbuatan memasukkan kelamin lelaki). Oleh itu seorang perempuan yang melakukan hubungan kelamin dengan sesama perempuan hanya dikenakan hukuman ta‘zîr iaitu hukuman bukan hadd atau kaffârah serta menurut kebijaksanaan hakim. (Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibnu Qasim: 9/130-131 dan al-Muhadzdzab: 5/385)

Walau bagaimanapun, dengan hukuman berkenaan tidak bermakna Islam mengambil mudah atau menganggap remeh dosa perbuatan sihâq itu. Malah ia juga dikategorikan zina sesama perempuan, sebagaimana menurut riwayat daripada Watsilah Radhiallâhu ‘anhâ bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Perbuatan as-sihâq (hubungan sejenis) antara perempuan adalah zina antara mereka. (Hadits riwayat ath-Thabarani)

Adapun perkara yang ditanyakan mengenai hubungan kelamin dengan perempuan yang telah bertukar alat kelaminnya kepada alat kelamin lelaki sama ada secara semula jadi ataupun secara pembedahan, adalah ia dapat diqiyâskan kepada perempuan yang melakukan hubungan kelamin dengan khuntsâ dan adanya ‘ilâj. Perbuatan seperti ini bukanlah ia jimâ‘ sekalipun berlaku ‘ilâj, kerana alat kelamin lelaki di sini hanyalah sebagai alat tambahan. Dari itu, hukuman ke atas pelakunya samalah seperti hukuman ke atas perempuan yang mendatangi perempuan iaitu hukuman ta‘zîr, dan boleh didakwa di bawah Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadi jika terdapat peruntukan mengenainya. (Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibnu Qasim al-‘Abbadi: 9/130-131 dan Hasyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/492)

Kesimpulan

Status jantina bagi khuntsâ atau seorang yang bertukar alat kelaminnya secara semula jadi adalah tertakluk kepada tanda-tanda dan bukti-bukti yang boleh menunjukkan statusnya sama ada dia seorang lelaki ataupun perempuan. Walau bagaimanapun, melahirkan anak merupakan tanda jelas dan mu‘tamad menunjukkan dia seorang perempuan, sekalipun dia juga mempunyai tanda-tanda lain sebagai seorang lelaki seperti mengeluarkan air kencing dan air mani melalui alat kelamin lelakinya.

Dari itu, jika dia telah melahirkan anak, sekalipun alat kelaminnya bertukar menjadi alat kelamin lelaki, maka dia tetaplah perempuan. Haram ke atasnya berkahwin dengan seorang perempuan lain dan mengadakan hubungan kelamin dengannya. Mengenai dengan pasangan tersebut dan juru nikah mereka, terpulanglah kepada pihak-pihak berkenaan untuk mengambil langkah-langkah perundangan mengenainya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11734