Bertunang Dengan Perempuan Bukan Islam
Soalan: Seorang pemuda Muslim berkawan dengan gadis Cina-Dusun (free thinker) yang belum beragama Islam. Akan tetapi, alhamdulillâh keluarga gadis tersebut memang mengamalkan cara hidup keluarga Islam iaitu menjauhi perkara yang ditegah oleh Islam. Hanya saja mereka belum memeluk Islam. Alhamdulillâh, si gadis sekeluarga memang pernah menyebut tentang memeluk Islam dan telah mempelajari ehwal Islam melalui pembacaan dan guru-guru agama. Mereka juga hidup di persekitaran masyarakat Islam dan ramai ahli keluarga mereka yang sudah beragama Islam.
Suatu hari, ayah kepada gadis ini menyebut mengenai ‘mengikat’ pemuda dan gadis dengan hubungan pertunangan. Menurut ayah si gadis, dalam tempoh pertunangan nanti dapatlah si gadis mendalami Islam dengan mengikuti kursus di Pusat Dakwah dan sebagainya. Gadis itu tadi berhajat untuk memeluk Islam apabila hendak bernikah kelak. Apakah pandangan Islam jika mereka ditunangkan sedangkan mereka berlainan agama?
Setelah dirujuk kepada beberapa guru-guru agama dan juga beberapa juru nikah serta mereka yang berkelulusan dalam bidang syariah, terdapat perbezaan pendapat mengenainya. Ada yang berpendapat, kalau sekadar pertunangan tidak menjadi masalah kerana bertunang itu hanya adat. Ada juga yang menyebut mengenai khithbah yang memestikan kedua-dua pihak beragama Islam.
Jadi, apakah maksud khithbah dan adakah ia berbeza dengan bertunang menurut adat Melayu?
Jawapan: Pengertian Khithbah
Khithbah yang bererti pertunangan membawa maksud permintaan dan penyataan hasrat seorang lelaki kepada seorang perempuan atau sebaliknya untuk bernikah sama ada dilakukannya sendiri ataupun melalui perantaraan atau wakilnya. Ia merupakan satu wasîlah atau langkah pendahuluan bagi sebuah pernikahan.
Antara tujuan khithbah itu ialah agar dapat saling kenal-mengenali di antara satu sama lain sesuai dengan batasan syara‘ bagi mengetahui peribadi dan sifat masing-masing agar nantinya wujud perasaan tenteram dan mahabbah apabila mendirikan rumahtangga. Walau bagaimanapun batasan pergaulan setelah bertunang masih sama seperti sebelum bertunang.
Hukum Khithbah Bertunang merupakan satu perkara yang disyariatkan dalam Islam dan ia bukan sekadar adat. Ia adalah sunnah yang diamalkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Baginda juga pernah meminang isteri-isteri Baginda iaitu Sayyidatuna ‘Aisyah dan Hafshah Radhiallâhu ‘anhumâ. (Asnâ al-Mathâlib: 3/115)
Walau bagaimanapun, pertunangan bukan diwajibkan atau satu syarat sebelum menjalankan akad pernikahan. Pernikahan tetap sah walaupun tanpa diadakan pertunangan kerana hukum bertunang itu sunat sahaja selama tidak ada larangan atau halangan syara‘ yang melarang untuk meminang perempuan tersebut.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan tidaklah ada dosa ke atas kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran) untuk meminang perempuan (yang masih dalam ‘iddah kerana kematian suami) atau tentang apa yang kamu sembunyikan dalam hati kamu (tentang keinginan kamu hendak bernikah dengan mereka). (Surah al-Baqarah: 235)
Perbezaan Khithbah Dalam Islam Dan Adat Melayu
Mengikut adat Melayu yang berlaku di negara kita, biasanya peminangan dilakukan oleh pihak lelaki dengan menghantar wakilnya. Namun dalam Islam, peminangan itu tidak hanya ditetapkan dan dilakukan oleh pihak lelaki sahaja. Perempuan juga boleh dan tidak salah untuk meminang lelaki.
Peminangan daripada pihak perempuan pernah dilakukan pada zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Sayyidatuna Khadijah Radhiallâhu ‘anhâ sendiri meminang Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melalui perantaraan.
Perbuatan ini tidak hanya dikhususkan dan terjadi kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sahaja, bahkan ia juga pernah dilakukan oleh sahabat Baginda. Sayyidina ‘Umar sendiri meminang kepada Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina ‘Utsman bin ‘Affan Radhiallâhu ‘anhum untuk anaknya Hafshah Radhiallâhu ‘anhâ.
Diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu bahawa Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu berkata:
Maksudnya: Aku telah mendatangi ‘Utsman bin ‘Affan lalu aku menawarkan Hafshah (anakku) kepadanya. Lalu beliau (‘Utsman) berkata: “Aku akan melihat dalam urusanku”. Lalu aku pun menunggu beberapa malam sehinggalah kemudiannya dia menemuiku, lalu berkata: “Benar-benar telah nampak kepadaku untuk tidak berkahwin pada hari ini.” ‘Umar berkata: “Lalu aku menemui Abu Bakar as-Shiddiq, aku berkata: “Jika engkau mahu, aku kahwinkan engkau dengan Hafshah binti ‘Umar.” Abu Bakar diam, dia tidak memberikan sesuatu jawapan pun kepadaku dan dia benar-benar membuatku sangat marah kepadanya mengatasi (kemarahanku) ke atas ‘Utsman. Lalu aku menunggu beberapa malam sehinggalah kemudiannya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melamarnya (Hafshah), lalu aku mengahwinkannya dengan Baginda.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Pemberian hadiah (bukan mahr) seperti cincin, wang dan sebagainya juga merupakan satu adat yang biasa dilakukan oleh masyarakat Melayu di negara kita. Ia dianggap sebagai tanda pertunangan yang akan menguatkan lagi ikatan perjanjian di antara kedua-dua belah pihak. Namun perkara ini bukan disyariatkan atau ditetapkan dalam Islam.
Akan tetapi, tidaklah menjadi kesalahan jika ia dilakukan asalkan tidak menyalahi syara‘, kerana saling memberi hadiah itu boleh menimbulkan rasa mahabbah dan menghilangkan permusuhan. Hal ini ada disebut dalam hadits yang diriwayatkan daripada ‘Atha’ bin Abu Muslim ‘Abdullah al-Khurasaniy Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Bersalam-salamlah kamu nescaya ia akan menghilangkan perasaan dengki (iri hati), dan beri memberilah antara kamu, nescaya kamu akan saling cinta mencintai antara sesama kamu dan ia akan menghilangkan permusuhan. (Hadits riwayat Malik)
Namun begitu, pemberian tersebut hendaklah tidak berlebih-lebihan sehingga membebankan dan menyusahkan diri sendiri kerana berlebih-lebihan itu akan mengakibatkan seseorang menjadi tercela sepertimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu, dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya engkau akan menjadi tercela dan menyesal.
(Surah al- Isra’: 29)
Diriwayatkan daripada ‘Amr Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Dan sebaik-baik perkara ialah yang berada di tengah-tengahnya (sederhana). (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Syarat Perempuan Yang Dipinang
Perempuan yang dipinang mestilah dia seorang yang diharuskan oleh syara‘ untuk dinikahi. Jika pernikahan dengan perempuan yang dipinang itu ditegah oleh syara‘, maka pertunangannya juga adalah ditegah.
Adapun maksud pernikahan yang ditegah oleh syara‘ itu ialah jika perempuan yang dipinang itu ialah perempuan yang diharamkan bernikah dengannya sama ada haram berbentuk kekal seperti ibu, emak saudara, kakak, anak, atau haram berbentuk sementara seperti isteri abang atau adik dan isteri orang lain.
Haram yang berbentuk sementara lagi ialah seperti perempuan yang sudah bertunang iaitu pinangan orang lain dan perempuan yang dalam ‘iddah daripada thalaq raj‘i. Manakala perempuan dalam ‘iddah thalaq bâ’in (thalaq tiga) dan ‘iddah thalaq kerana kematian suami adalah diharuskan meminangnya tetapi dengan tidak menggunakan lafaz pinangan yang sharîh (terang), bahkan sebaliknya hendaklah dengan lafaz sindiran. (Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibnu Qasim: 7/265-268 dan Mughni al-Muhtâj: 4/219-221)
Maksud lafaz sharîh itu ialah menyatakan hasrat untuk mengahwininya dengan jelas dan terang seperti katanya:
“Aku ingin menikahimu apabila habis ‘íddahmu”.
Maksud lafaz sindiran pula ialah menyatakannya dengan lafaz yang membawa maksud ingin mengahwininya atau dengan lafaz yang tidak jelas dan terang seperti katanya:
“Alangkah bahagianya seandainya saya mendapatkan pasangan hidup seorang wanita shâlihah sepertimu.”
Bertunang Dengan Perempuan Bukan Islam
Adapun seorang Muslim dilarang sama sekali daripada menikahi perempuan yang bukan beragama Islam berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: (Wahai orang-orang Islam) janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan musyrik sehingga mereka beriman (memeluk agama Islam). (Surah al-Baqarah: 221)
Jika menikahi perempuan yang bukan Islam dilarang oleh syara‘, maka bertunang dengan orang yang bukan Islam juga adalah dilarang. Walau bagaimanapun, ulama asy-Syafi‘iyyah mengharuskan bertunang dengan orang yang bukan Islam dengan syarat pertunangan itu akan membawanya untuk memeluk Islam apabila bernikah kelak. Dalam hal ini, asy-Syeikh Sulaiman al-Jamal Rahimahullâh menyatakan:
Ertinya: Jika seorang kafir muhtaram (bukan kafir harbi atau orang murtad) berkata kepada wali perempuan Islam: “Jika engkau menjawabku (menyetujui pinanganku), nescaya aku akan memeluk Islam dan mengahwininya, lalu wali menjawabnya (menyetujuinya) di atas syarat ini, maka haram (orang lain) meminang atas pinangan ini sebagai pendorong kepadanya untuk memeluk Islam. (Hâsyiah as-Syeikh Sulaiman al-Jamal ‘alâ Syarh al- Manhaj: 4/129)
Ibnu Hajar dan ar-Ramli Rahimahumallâh juga ada menyatakan perkara yang sama iaitu:
Ertinya: Dan halal (boleh) meminang seumpama perempuan majusi untuk tujuan menikahinya apabila dia telah memeluk Islam.” (Nihâyah al-Muhtâj: 6/202 dan Hawâsyî asy- Syarwani wa Ibnu Qasim: 7/266)
Perlu diingat bahawa ikatan pertunangan bukanlah menjadi alasan untuk menghalalkan pergaulan bebas seperti sepasang suami isteri. Pergaulan antara mereka adalah juga sama seperti sebelum bertunang kerana mereka masih terikat dengan hukum-hukum pergaulan yang digariskan oleh syara‘ sehingga mereka diijabkabulkan.
Dengan yang demikian, mengenai dengan perkara yang ditanyakan tentang pinangannya terhadap perempuan bukan Islam itu, maka ia adalah diharuskan memandangkan perempuan tersebut berkeinginan untuk memeluk Islam apabila bernikah kelak.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11738
